Alhamdulillah. Sambutan yang diterima untuk program Teknik Memori SmartStudy sangat menggalakkan. Walaupun saya buka untuk pelajar tahun 4 ke atas, namun ada juga ibu bapa yang bersemangat untuk menghantar anak mereka yang berada di tahun 1, 2 dan 3. Walaupun teknik ini mungkin kurang digunakan pada tahap mereka, saya percaya pendedahan awal akan mampu membuka minda mereka untuk melihat betapa teknik yang betul akan membuat proses pembelajaran menjadi seronok dan berkesan.

Saya juga teramat gembira melihat kesungguhan ibu bapa yang mahu menyertai program ini meskipun berada di luar kawasan Kuala Lumpur. Ada peserta kali ini yang datangnya daripada Pulau Pinang, Johor dan Kelantan. Malah, ada yang akan terbang daripada Kota Kinabalu Sabah untuk menyertai program ini. Hebat sungguh semangat, sokongan dan kesungguhan ibu bapa pelajar ini untuk membantu anak-anak mereka. Tahniah saya ucapkan.

Jika ada di antara anda yang berminat untuk menghantar anak-anak ke program ini, cuma ada beberapa tempat sahaja lagi yang tinggal seperti dibawah.

Tarikh

Masa

Tempat

Penyertaan

Ahad, 23 November 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Penuh!

Ahad, 30 November 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Penuh!

Ahad, 14 Disember 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

7 tempat lagi

Rabu, 17 Disember 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Penuh!

Ahad, 21 Disember 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Dibuka

 

Pengalaman menjalankan program Mind Based Learning pada 6-8 November lalu sesungguhnya meninggalkan kesan yang amat positif kepada diri saya. Selain dapat berkongsi dengan guru-guru daripada sekolah seluruh negeri Terengganu Darul Iman, saya mula mendapat satu impian baru. Mungkin saya akan kongsikan mengenai impian baru ini.

Alhamdulillah, saya mendapat maklumbalas yang sangat positif daripada peserta program ini. Maklumbalas ini semua menaikkan lagi semangat saya untuk terus mengkaji dan mencari jalan bagaimana para pelajar di sekolah, kolej atau universiti mampu mempelajari sesuatu dengan mudah dan dalam keadaan yang menyeronokkan. Di sini saya kongsikan beberapa maklumbalas yang saya terima. Saya memohon maaf kepada guru yang memberikan maklumbalas tetapi tidak dipaparkan di sini kerana bagi saya semuanya begitu menarik hingga saya tidak pasti yang mana saya patut paparkan di sini.

“Saya telah mengikuti banyak kursus seumpama ini sejak beberapa tahun yang lepas tetapi saya paling berpuas hati dengan kursus ini kerana adanya penambahbaikan kepada ilmu yang sedia ada. Terima kasih.” ~Wan Nor Zuaini Wan Abdullah~

“Sebelum menghadiri kursus ini, saya memandang setiap kursus adalah sesuatu yang negatif, membosankan dan hambar tetapi kursus kali ini menangkis perspektif tersebut. Saya bersemangat untuk mengikuti kursus seperti ini lagi.”~Nur Hazana Mohd Aris~

“Banyak maklumat baru yang dapat saya ketahui. Secara tidak langsung dapat saya aplikasi dalam profesion saya sebagai seorang pendidik. Saya harap dapat menjadi seorang yang pandai berkomunikasi seperti En Osman Affan.” ~Noor Zahrah Mustaffa~

“Sangat energetic, ceria dan menghiburkan di samping pelbagai perkara baru yang telah saya pelajari di dalam bengkel ini. Tahniah En Osman kerana telah mendedahkan Do’s and Don’ts dalam Microsoft PowerPoint. Sangat berguna buat saya!” ~Norbaity Azura~

“Program ini menjadikan saya seperti BAYI GENIUS yang baru lahir melihat dunia dengan mata hati yang positif dan bermatlamat lagi kreatif.” ~Siti Khairiah Jalaludin~

“Program ini amat bermakna dan berkesan terutama untuk guru-guru dan perlu disampaikan kepada orang lain bahawa program ini membangkitkan keupayaan dan semangat diri kita, dalam mendidik anak bangsa dan menjadi seseorang yang pakar dalam bidang pendidikan. Pendek kata, program En Osman ni memang best la!” ~Norsuriani Awang~

“Program yang paling seronok pernah saya hadiri. Banyak menyedarkan saya tentang perkara-perkara yang selama ini dianggap remeh. Terima kasih. Alangkah bagusnya kalau semua guru di Malaysia mempunyai ciri-ciri seperti En Osman. TAHNIAH!” ~Azizah Abd Rahman~

“Program ini sangat baik untuk guru yang mempunyai matlamat tinggi tetapi tidak tahu bagaimana mahu mencapai matlamatnya. Kini saya lebih bersemangat untuk mengendali pelajar yang lemah dan lebih berkeyakinan untuk ‘mencerahkan‘ masa depan pelajar-pelajar saya selain mendidik anak-anak saya dengan cara yang lebih ke arah psikologi.” ~Rahamah Abd Hamid~

“Sangat seronok, rasa tidak sabar nak ikuti slot seterusnya. Sangat selesa, langsung tidak mengantuk, bertenaga, sangat bermakna dan sukar untuk dilupakan. Congratulation! Thank you very much! Saya sangat berminat dengan fasa kedua program ini, Insyaallah.” ~Wan mahfudzah Wan Ibrahim~

“Memang best. Dapat menarik minat peserta dengan lawak selamba yang bermaklumat. Saya dapat menyedari kelemahan yang ada pada diri sendiri. Menambah ilmu dengan ‘hapuskan halangan minda’. Teruskan usaha untuk memberi kesedaran baru kepada peserta-peserta lain.” ~Zuziliati Zulkepli~

“Bengkel yang diadakan sungguh seronok. Tidak boring macam bengkel-bengkel lain. Tahniah kepada En Osman kerana menyediakan isi kandungan yang cukup jelas dan menarik.” ~Nor Hazliana Mat Jusuf~

“Saya merasa cukup seronok dan rasa ingin teruskan lagi program ini. Banyak tips dan ilmu yang saya boleh praktikkan untuk diri saya sendiri dan juga untuk anak didik. Semoga kita semua cemerlang dalam membangunkan modal insan, cemerlang dunia dan akhirat. Amin.”~Fatimah Ibrahim~

“Syabas! En Osman berjaya membuat peserta dapat beri tumpuan sepenuhnya pada setiap slot motivasi. Penyampaian yang tepat dan peserta tertunggu-tunggu untuk mengikuti slot yang seterusnya.” ~Mimi Sharahana Jamaludin~

“Saya salute pada En Osman kerana dapat handle program ini dengan berkesan, menyentuh emosi dan merangsang motivasi dalaman kami.” ~Wan Norhaizam Wan Hassan~

“Tidak rugi dan sangat enjoy. Rupa-rupanya ada misteri yang tidak pernah kita fikir boleh dibuat hanya dengan minda. Saya sangat teruja, bukan sahaja menjadi lebih semangat tetapi punya cita-cita baru yang dulunya rasa mustahil untuk dicapai.” ~Zubaidah Samat~

“Program yang meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam diri, sepanjang bergelar sebagai seorang guru. Beliau pandai mengaitkan apa yang disampai untuk diaplikasikan dalam situasi sebenar. Beliau sememangnya yang paling terbaik di antara yang terbaik.” ~Susilawati Sidek~

“Sangat seronok! Saya jarang berpeluang mengikuti program motivasi. Selepas ini jika ada program bersama En Osman Affan, saya ingin join, ajak kawan-kawan sekali.”~Sharifah Manisah Syed Ahmad~

“Program ini amat berkesan kerana banyak mempunyai contoh-contoh dan cerita yang menarik untuk peserta mengingati setiap cerita kreatif yang diberikan. Tahniah En Osman, teruskan usaha anda demi agama dan bangsa. Kembangkan pasukan Osman Affan ke peringkat global.” ~Rohaliza Idris~

“Saya sangat seronok mengikuti program ini. Cara penyampaian oleh En Osman amat berkesan dan tidak membosankan. Saya mendapat keyakinan untuk berkomunikasi di depan audience yang ramai.” ~Rahimah Daud~

Begitu mencuit hati. Saya jarang berseronok semasa berkursus begini. Tahniah dan syabas En Osman.” ~Hayati Munirah Zahkai~

“Amazing… saya tidak pernah tahu kebolehan/kelebihan menggunakan otak kanan sehingga berjumpa En Osman. Thank you & Congratulations.” ~Norlinda Mardi~

“Program yang terbaik pernah saya ikuti. Satu-satunya program yang selama ini saya impikan untuk membantu pelajar-pelajar saya dalam meningkatkan minat belajar.” ~Zarina Azian Mohamed Yusop~

“Bengkel yang amat menarik dan menyeronokkan. Semoga akan menjadi seorang motivator yang akan dikagumi bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia.” ~Nik Rusmaria Md Nur~

“Program ini amat memberi kesan positif kepada saya. Ia sungguh menyeronokkan. Saya harap dapat bersama En Osman dalam sesi motivasi akan datang.” ~Nurul Hani Baharudin~

“Amat berkesan dalam meningkatkan kemahiran belajar kepada para guru. Amat menyeronokkan dan ‘happening’. Tahniah En Osman.” ~Norliza Ramli~

“Cara dan gaya persembahan yang sangat menarik. TQ.” ~Kamaruddin Yusoff~

“Program ini sangat berguna kepada saya kerana dapat membuka minda tentang bagaimana ingin membentuk / mencapai sesuatu kejayaan. Tahniah kepada En Osman Affan kerana berjaya mengendalikan program ini sehingga tamat tanpa saya berasa boring atau bosan.” ~Nooriah Ibrahim~

“Program ini sangat menarik dan sangat berkesan. Saya sangat beruntung terpilih untuk menyertai program seumpama ini. Harapan saya agar dapat menyertai program yang dianjurkan oleh En Osman di lain masa, Insyaallah. Terima kasih kerana menyampaikan segala ilmu kepada saya.” ~Cik Rusfariza Embong~

“Sangat best! Lebih-lebih lagi En Osman menyampaikan ceramah dengan cara yang tidak skema dan yang penting, pandai berjenaka serta guna bahasa loghat Terengganu pulak tu. Program ini mampu meningkatkan keyakinan guru-guru untuk menjadi pendidik yang lebih cemerlang.” ~Sharifah Ayuni Syed Mustaffa~

” Amat seronok. En Osman dapat mengendalikan program ini dalam suasana yang seronok dan kelakar. Banyak benda baru yang dipelajari.” ~Asma Jusoh~

“Sangat berguna dan berkesan. Nampak En Osman cukup bersedia dan bersemangat. Semoga cepat-cepat dapat Phd. Nanti kita boleh panggil Dr Os. ” ~Mat Didik Awang Senik~

“Program ini sangat bagus dan seronok. Persembahan daripada En Osman sentiasa bertenaga dan tidak ada rasa bosan.” ~Norshida Kadir~

Terima kasih kepada semua guru yang memberikan maklumbalas. Sampai disini sahaja yang larat saya taip maklumbalas yang saya perolehi. :) Saya benar-benar hargai segala penghargaan yang diberikan. :)

Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan pelajar yang seringkali menghubungi saya dan staff untuk bertanya tentang program-program SmartStudy.

Pada 30 November ini, Ahad, buat pertama kalinya saya akan jalankan satu program teknik belajar yang bertajuk ‘SmartStudy Memory Skills’. Program ini ada diselitkan sedikit topik motivasi tetapi fokus utamanya ialah bagaimana untuk menghafal dan mengingat apa yang dipelajari dengan lebih mudah.

Setelah lebih 3 tahun menjalankan program sebegini, saya telah baca dan buat kajian ke atas banyak buku-buku tentang teknik memori. Apa yang saya sedar ialah ada banyak teknik memori yang diajarkan tetapi tidak banyak yang difokuskan kepada sukatan pelajaran di Malaysia. Maksud saya, contoh-contoh yang diberikan tidak ada kena mengena dengan sukatan pelajaran di Malaysia.

Jadi saya mengambil inisiatif untuk menerangkan teknik-teknik memori ini dan tunjukkan bagaimana ia boleh digunakan oleh pelajar semasa belajar di sekolah. Sebagai contoh, saya akan terangkan

Subjek Sains tingkatan 2

Bagaimana menghafal rajah dalam subjek Sains

Menghafal maklumat dalam jadual

Bagaimana menghafal senarai isi penting dan tarikh dalam jadual.

Formula kepada gambar

Bagaimana formula boleh bertukar menjadi ini.

Tarikh kepada gambar

Bagaimana tarikh boleh bertukar menjadi ini.

 

5893548217653764781474882597463444037071

Bagaimana senarai nombor ini boleh dihafal dalam masa yang sangat singkat. Ia akan membuktikan bahawa nombor atau tarikh dalam sukatan pelajaran juga boleh diingat dengan mudah.

(Cuba anda ambil masa 5 minit dan cuba hafal nombor 40 digit ini. Kemudian, tulis semula sebanyak mana yang anda ingat mengikut turutan yang betul. Anda akan dapat lihat dan rasakan tahap kesukarannya.Bayangkan jika pelajar boleh menghafalnya dengan mudah dan boleh membaca dengan sempurna semua nombor-nombor ini setelah dihafal. Mereka bukan sahaja boleh baca dari depan ke belakang, malah dari belakang ke depan)

Satu perkara lagi, untuk memastikan program ini lebih berkesan, saya buka program ini hanya untuk 25 pelajar sahaja! Ya, cuma 25 pelajar sahaja. Ini dapat memastikan setiap peserta akan dapat berlatih dan memahami isi kandungan kursus ini dengan lebih baik.

Berikut adalah maklumat lanjut mengenai program ini.

Tarikh

Masa

Tempat

Penyertaan

Ahad, 23 November 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Dibuka

Ahad, 30 November 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Dibuka

Ahad, 14 Disember 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Dibuka

Rabu, 17 Disember 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Dibuka

Ahad, 21 Disember 2008

9.00 a.m. - 6.p.m.

Pusat Motivasi SmartStudy

Dibuka

Anda boleh memilih tarikh yang sesuai untuk anda. Tarikh ini perlu dinyatakan apabila anda menghantar maklumat mengenai pembayaran. Memandangkan tempat yang terhad, tarikh yang telah dipilih tidak boleh ditukar.  

Yuran penyertaan ialah RM120. Untuk mendaftar, sila layari laman web www.SmartStudy.com.my dan dapatkan langkah untuk mendaftar di bahagian bawah sekali laman web tersebut.

Terima kasih.

 

Assalamualaikum Warahmatullah.

AlahaiBuat pengunjung setia blog motivasibelajar ini, terima kasih kerana setia berada di sini. Dalam beberapa hari kebelakangan ini begitu banyak cabaran untuk saya menulis di sini. Banyak perkara tertangguh untuk ditulis. Sebabnya…..? Biasalah…. virus…virus…virus…..

Laptop saya diserang virus besar-besaran kali ini. Minggu lepas buat pertama kalinya presentation saya di hadapan Pelanggan Korporat terganggu akibat laptop saya berhenti berfungsi. Pelik virus kali ini. Ia membuat laptop saya menjadi ‘MANJA’. Manja bermaksud ia perlu dibelai setiap masa dan tidak boleh dibiarkan bersendirian. Apabila saya guna berterusan, tidak ada masalah. Namun kalau saya tinggalkan ‘idle’ tanpa aktiviti beberapa minit, ia akan tersekat dan berhenti berfungsi. Menarik sungguh….. :) Hendak reformat, bimbang jika ada maklumat penting tidak sempat diselamatkan. Jadi untuk penyelesaian jangka masa pendek dan panjang, saya beli satu laptop baru.

Harapannya laptop baru ini boleh digunakan untuk program-program saya minggu ini. Aduhai, entah macam mana pulak virus dalam laptop lama boleh melompat masuk ke laptop baru ni? Silap saya jugalah nampaknya kerana terlupa scan dulu beberapa file yang saya alihkan ke laptop baru. Hmmm…..

Serangan virusUntuk jadi menarik lagi, talian telefon di rumah saya pula tidak berfungsi sejak 3 hari lalu. Jangan kata internet, nada dail telefon pun tidak ada. Sudah 3 kali saya buat laporan ke TM tetapi belum ada yang menghubungi saya untuk memberitahu apa masalahnya. Banyak email yang tidak berjawab dan banyak penyertaan kursus SmartStudy Memory Skills yang tidak dikemaskini. Jadi hari ini saya bawa satu famili masuk pejabat untuk saya gunakan khidmat internet. Sudah lama juga tidak luangkan masa bersama famili di pejabat.

Kalau perkara ini berlaku suatu masa dahulu, sudah pasti saya jadi marah dan mengeluh. Mengapalah perkara sebegini harus berlaku. Mengapa nasib malang datang bertimpa-timpa. Mengapa ia tidak berlaku kepada orang lain sahaja.

Namun dengan apa yang telah saya tahu dan telah saya pelajari, tidak ada apa perlu dikeluhkan. Sekurang-kurangnya setelah apa yang berlaku ini, adalah juga sesuatu yang hendak saya coretkan di sini. Namun apa yang lebih penting, setiap masalah dan cabaran yang hadir itu membawa bersama peluang dan nikmat. Mungkin ia tidak jelas kelihatan. Itulah sebabnya saya perlu lihat dengan teliti. Pernah saya diajar oleh pensyarah saya bahawa jika kebijaksanaan yang kita pohon daripada Allah, Allah mungkin kduga kita dengan masalah untuk diselesaikan agar bertambah kematangan dan kebijasaksanaan fikiran. Jika kita pohon kesihatan berpanjangan, mungkin penyakit yang Allah duga agar kita lebih bersyukur setelah sembuh. Jika kekayaan yang kita inginkan, mungkin Allah duga kita dengan kemiskinan agar kita tabah dan bekerja keras untuk mencari jalan keluar daripada belenggunya.

Jadi, tidak ada apa-apa yang perlu dikeluhkan……

Maktab kerjasama malaysia 

Selasa lalu saya berada di PJ Hilton bagi menyampaikan satu slot pembentangan yang bertajuk ‘Konsep dan Prospek perniagaan internet’. Program ini adalah program yang dianjurkan oleh Maktab Kerjasama Malaysia dan dibuka kepada ahli koperasi seluruh Malaysia. Saya diberitahu yang pada mulanya hanya dijangka seramai 500 orang sahaja yang akan hadir. Namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Pada hari program saya diberitahu ada hampir 700 peserta yang menyertai program 2 hari ini.

Saya dijemput bagi membentangkan konsep asas perniagaan internet. Saya merupakan penceramah pertama dalam program 2 hari ini. Sesi saya dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Naim Bin Datuk Haji Mohamad, ahli majlis Maktab Kerjasama Malaysia.

Ini adalah topik yang sangat menarik buat saya. Terasa sudah agak lama saya tidak berbicara tentang perniagaan internet. Kali terakhir mungkin pada awal tahun 2008 di mana saya jalankan program keusahawanan internet untuk para pensyarah IKM Lumut. Walaupun sudah lama, topik ini sentiasa berada di hati saya kerana internet merupakan medium utama saya jalankan perniagaan training saya. Saya terangkan kepada para peserta bahawa lebih 80% perniagaan yang saya perolehi ialah melalui laman web. Melalui laman web, saya mampu menyampaikan kepada bakal pelanggan tentang apa yang saya tawarkan dan jelaskan perbezaan utama saya berbanding pembekal khidmat training yang lain.

MKM

Konsep perniagaan internet jugalah yang membuatkan saya begitu peka tentang kepentingan meningkatkan kualiti perkhidmatan saya dan menambahkan tahap kredibiliti diri saya dalam bidang motivasi dan teknik belajar. Selalunya saya perlu ambil masa sekurang-kurangnya sehari untuk menerangkan konsep perniagaan internet namun dalam masa yang sangat singkat, Alhamdulillah dapat juga saya jelaskan maklumat paling asas mengenai perniagaan internet kepada peserta.

Alhamdulillah sekali lagi, saya mendapat maklumbalas yang sangat baik daripada peserta program. Ramai yang bertemu saya selepas program yang mengucapkan tahniah atas penyampaian maklumat yang mereka rasakan mudah dan jelas. Ini membuatkan saya rasa lebih bersemangat untuk berkongsi ilmu-ilmu sebegini yang dapat memajukan diri dan perniagaan seseorang.

MKM

Terima kasih saya ucapkan kepada Maktab Kerjasama Malaysia kerana mengundang saya sebagai penceramah dalam program ini. Semoga kerjasama berterusan dapat diadakan pada masa yang akan datang. Terima kasih khas untuk En Faiz Mohd Yatim, pegawai latihan Maktab Kerjasama Malaysia kerana banyak membantu saya terutamanya dalam berurusan dengan staf saya sebelum program ini dijalankan.

Kepada semua peserta program ini, saya ucapkan tahniah dan selamat berjaya dalam menggunakan internet sebagai satu medium untuk meningkatkan lagi tahap keberkesanan aktiviti koperasi.

Mindcet 

Pada 6-8 November lalu, saya sungguh bertuah kerana berpeluang menjalankan program Mind Based Learning (Cara Belajar berasaskan minda)bersama wakil guru daripada semua sekolah menengah seluruh Terengganu. Program ini adalah anjuran Pusat Minda Terengganu yang diketuai oleh Dato’ Haji Saidi dan juga Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Setiap sekolah menengah di seluruh Terengganu menghantar 2 wakil guru yang menjadikan peserta program ini seramai hampir 300 orang.

Program ini adalah amat istimewa bagi saya kerana saya rasa saya mampu memberi semula apa yang pernah saya perolehi di Terengganu. Saya menceburi bidang pendidikan ini sekarang kerana saya pernah menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)di SMK Menerong dan SMK Ajil pada tahun 2003. Bermula daripada itu, minat saya berkembang di dalam ini hinggalah saya kini mampu berdiri di hadapan hampir 300 orang guru untuk berkongsi maklumat yang ilmu yang telah saya kuasai selama ini.

Mindcet

Dalam program ini, saya kongsikan bagaimana minda guru dan pelajar boleh membantu proses pembelajaran. Saya ketengahkan bagaimana minda pelajar yang tertutup boleh dibuka dengan bantuan guru. Saya juga kongsikan pantang larang semasa mengajar agar minda pelajar tidak tertutup selamanya.

Selain daripada itu, saya juga sempat kongsikan beberapa teknik belajar yang berkesan. Saya kongsikan teknik-teknik untuk mudah menghafal kepada guru-guru dengan harapan mereka dapat aplikasikannya dan mengajarnya kepada para pelajar di sekolah mereka nanti.

mindcet

Program kali ini adalah program pertama dalam projek ini. Insyaallah beberapa program susulan akan dijalankan pada tahun 2009 dalam kumpulan yang lebih kecil untuk melatih guru yang berminat untuk mendalami ilmu mengajar berasaskan minda ini. Insyaallah dalam posting yang akan datang akan saya kongsikan maklumbalas positif yang saya terima daripada guru-guru ini.

Urusetia

Terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu kerana menganjurkan program ini. Terima kasih khas untuk Pusat Minda Terengganu terutamanya kepada Dato’ Hj Saidi dan Dr Wan Shaari kerana memberikan saya kepercayaan untuk menerajui program ini. Tidak lupa kepada sahabat saya Ridzal Yusof dan isteri, Fatimah Zahra yang sanggup mengambil cuti dan memandu ke Terengganu kerana hendak membantu saya menjalankan program. :)

SAM Hishamuddin 

Beberapa minggu lalu saya telah dijemput oleh Puan Siti, guru kaunseling Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Sungai Bertih Klang untuk memberikan ceramah ringkas kepada pelajar tingkatan 1. Ceramah ini adalah berkenaan pembinaan sahsiah cemerlang.

Sesi ceramah itu adalah biasa sahaja bagi saya. Namun satu perkara yang amat menarik hati saya mengenai sekolah ini ialah semasa saya tiba ke sana. Disebabkan sekolah ini terletak di Klang, saya keluar rumah seawal 6.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Saya tiba ke kawasan sekolah pada pukul 7.15 pagi. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, saya meletakkan kereta saya di tempat letak kereta di hadapan kawasan sekolah. Saya keluar dan berdiri di sisi kereta saya sambil memerhatikan gelagat pelajar. Ketika itu pelajar tingkatan 3 sedang bersedia untuk masuk dewan peperiksaan.

Setelah saya berdiri lebih kurang 5 minit, tiba-tiba ada seorang pelajar lelaki datang menghampiri saya. Dia masih menyandang beg sekolah yang bermakna dia baru tiba dan dalam perjalanan masuk ke kelas. Dia juga memang sengaja berjalan ke arah saya kerana di tempat saya berdiri itu bukanlah laluan untuk pelajar ke kelas. Pelajar ini berkata, “Assalamualaikum Encik…”

“Waalaikumsalam warahmatullah..” jawab saya.

“Boleh saya bantu Encik…? Encik ada hendak cari sesiapa?” Tanya pelajar lelaki tersebut dengan nada yang sangat sopan dan merendah diri.

Saya tersenyum. Sepanjang pengalaman saya beberapa tahun pergi ke sekolah, kolej dan universiti, inilah kali pertama ada pelajar yang datang menegur pelawat yang datang untuk memberi bantuan. Saya menjawab,

“Tak apa dik, saya tengah tunggu nak jumpa Cikgu Siti. Cikgu Siti akan datang ke sini sekejap lagi.”

Pelajar lelaki ini menganggukkan kepala sambil tunduk dan berkata, “Assalamualaikum.” Lalu dia bergegas menuju ke kelas.

Saya begitu gembira dan kagum dengan kelakuan ini hingga saya terlupa untuk bertanyakan nama dan umurnya. Rasa bangga juga memenuhi diri saya kerana pelajar ini datang daripada sekolah agama dan apa yang baru dilakukannya benar-benar mencerminkan keindahan adab dan budaya seorang muslim sejati. Hati saya tidak henti-henti memuji pelajar ini.

Dalam masa yang sama, saya percaya semua guru dan pihak pentadbiran sekolah ini juga harus diberi pujian yang tinggi. Sikap yang ditunjukkan oleh pelajar tadi adalah sesuatu yang sukar diajar. Bagi saya ia cuma boleh diajarkan dengan berkesan jika sikap itu diamalkan dengan meluas di sesebuah sekolah. Saya percaya pihak pentadbiran sekolah termasuk pengetua dan guru-guru telah berjaya mewujudkan suasana yang menggalakkan amalan baik dan adab-adab muslim sejati seperti ini.

Sekalung tahniah sekali lagi kepada pelajar yang tidak sempat saya tanyakan nama ini. Semoga sikap, kelakuan dan adab beliau menjadi contoh kepada semua pelajar di negara kita ini.

Osman AffanAlhamdulillah, berjaya juga saya akhirnya menulis kesemua 7 tanda seorang pelajar bakal gagal di universiti. Untuk pengetahuan anda, kesemua tujuh tanda ini adalah menurut pendapat dan pemerhatian saya selama menjalankan program dan berhadapan dengan mahasiswa dan mahasiswi di seluruh Malaysia.

Satu perkara penting yang perlu saya utarakan ialah melalui posting ini, anda tidak perlu membuang masa untuk berdebat sama ada benarkah tanda-tanda ini boleh menyebabkan pelajar di universiti gagal. Masa anda yang berharga lebih baik digunakan untuk mengkaji apakah yang bakal anda perolehi di masa akan datang jika anda dapat atasi kesemua tujuh tanda yang telah saya terangkan. Apakah kelebihan anda berbanding pelajar lain jika anda berjaya atasi semua masalah dan perkara tidak baik yang dinyatakan melalui 7 tanda ini.

Mahasiswa dan mahasiswi di IPTA dan IPTS seluruh negara adalah harapan bangsa kita untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dan disegani. Saya percaya ia dapat dicapai jika 7 tanda ini dapat dihindari mulai hari ini. Selamat berjaya!

p/s Anda boleh membaca kompilasi 7 tanda ini di ruangan kompilasi tips dan petua. Klik di sini.

Percaya atau tidak, 6 tanda pertama yang telah saya terangkan di dalam siri ‘7 tanda anda akan gagal di universiti’ ini bermula dengan tanda ketujuh ini. Mahasiswa dan mahasiswi yang tidak pernah fikirkan dengan teliti tentang apa yang mereka mahu lakukan dan capai dalam hidup akan

  • Susah bangun tidurSusah tidur malam dan susah hendak bangun pagi.
  • Takut salah lalu tidak mahu mencuba.
  • Tidak bawa payung hujan dipersalahkan.
  • Bawah tempurung lebih selesa daripada padang yang luas.
  • Sanggup berkawan dengan orang tidak mandi pagi.
  • Tidak berani jadi berbeza.

Tulis matlamatSaya beri contoh tentang fenomena tidak suka menghadiri kursus atau bengkel di kalangan pelajar. Boleh saya katakan hampir semua universiti yang saya pernah hadiri mengalami masalah ini. Masalahnya ialah jika program motivasi dan teknik belajar dijalankan untuk pelajar yang mendapat CGPA rendah, kadar kehadiran juga selalu rendah. Walaupun mereka diberi amaran tindakan keras akan diambil jika mereka tidak hadir, mereka tetap tidak hadir. Jelas menunjukkan mereka belum terfikir tentang bagaimana bengkel dan program sebegini boleh membantu mereka. Jelas mereka sedang memanah di dalam gelap. Itulah sebabnya tidur di dalam bilik lebih kuat pengaruhnya kepada mereka berbanding kemungkinan diambil tindakan atau kemungkin mereka akan pelajari sesuatu yang berguna.

Pelajar yang memanah di dalam gelap akan sentiasa diselubungi kegelapan. Mereka jauh berbeza dengan pelajar berjaya yang bukan sahaja tekun dalam belajar malah mereka seolah-olah telah tahu dengan jelas apa yang mereka mahu lakukan setelah tamat belajar. Ada dua tips pantas untuk memanah di dalam terang dan dengan mata yang terbuka. Walaupun ini tips pantas, ia akan memakan masa yang agak panjang. 2 tips itu ialah

  • Baca buku-buku pembangunan diri sebanyak mungkin.
  • Hadiri kursus, seminar dan bengkel yang boleh meningkatkan pembangunan diri dan meningkatkan tahap penguasaan kemahiran-kemahiran asas yang diperlukan suatu hari nanti.

Minggu ini, apa kata anda cari masa terluang selama 1 jam. Ambil beberapa keping kertas dan senaraikan 3 perkara.

  • Memanah didalam terangPertama, siapakah orang-orang yang sangat penting dalam hidup anda dan mengapa?
  • Kedua, senaraikan apa sahaja yang anda hendak capai sebelum anda meninggal dunia termasuk sesuatu yang anda mahu lakukan kepada orang-orang yang sangat penting kepada anda.
  • Ketiga, buka mata dan minda mulai sekarang untuk mencari jalan dan semua kemahiran yang anda perlukan untuk mencapai semua perkara yang telah anda senaraikan.

Saya percaya, jika anda dapat cari masa dan lakukan perkara ini, suasana disekitar anda akan menjadi lebih cerah. Mata anda akan mula terbuka. Perlahan-lahan anda akan mula dapat lihat jalan yang anda cari selama ini.

Selamat memanah di dalam terang dengan mata yang terbuka!

 Osman Affan di Motivasi Pagi TV3

Dua minggu lalu saya telah berjaya menyiapkan penggambaran untuk rancangan Motivasi Pagi TV3 bagi episod 6 hingga 8 buat saya. Penggambaran ini dijalankan di Bukit Cahaya Shah Alam. Alhamdulillah, semua proses penggambaran berjalan dengan sangat lancar. Saya juga dipermudahkan untuk membuat rakaman ini tanpa masalah lupa atau hilang idea semasa bercakap.

Di sini saya berikan tarikh yang diberikan kepada saya untuk tayangan 3 rakaman tadi. Tayangan bermula pada pukul 7 pagi.

Ahad 9/11/2008     Tajuk: Ketenangan menjawab soalan (terutama untuk pelajar menduduki peperiksaan SPM)

Ahad 6/12/2008     Tajuk: Mengisi masa cuti selepas SPM 

Ahad 27/12/2008    Merancang masa depan selepas SPM

Bersama Krew TV3

Terima kasih saya ucapkan kepada semua krew TV3 yang terlibat dalam proses penggambaran ini terutamanya kepada Ustaz Fasil yang memberi kepercayaan kepada saya dan juga kepada Cik Anita yang memastikan proses penggambaran ini berjalan lancar. Kepada anda semua saya ucapkan selamat menonton.

Selamat Pagi MalaysiaSelamat Pagi Malaysia 

Pagi tadi saya dijemput menjadi tetamu undangan Selamat Pagi Malaysia bagi membicarakan isu gejala PengKid di Malaysia. Ketika saya mula-mula mendengar tajuk slot ini, saya terimbas kembali perkataan PengKid yang saya sudah dengar sejak dulu lagi. Apa yang menarik perhatian saya ialah ada kekeliruan tentang apa yang dimaksudkan dengan PengKid. Adakah PengKid ini budak-budak perempuan yang berambut pendek dan berpakaian seperti lelaki? Apakah pula beza mereka berbanding dengan ‘Tomboy’ dan ‘Lesbian’.

Menurut sedikit kajian yang saya lakukan, beza antara PengKid dan Tomboy ialah

  • Tomboy ialah budak perempuan yang selesa berpakaian seperti gaya seorang lelaki. Namun naluri dan keinginan mereka masih lagi seperti seorang perempuan.
  • PengKid pula ialah budak perempuan yang berpakaian seperti lelaki dan mempunyai minat pula kepada kaum sejenis iaitu kaum wanita. Mereka ini pula selalunya memainkan peranan sebagai orang lelaki dalam hubungan dengan pasangan mereka.

Apa yang mahu dibincangkan sebenarnya ialah adakah PengKid ini disebabkan genetik (lahir dalam keadaan yang berbeza dan mempunyai naluri yang berbeza sejak lahir) atau ia disebabkan oleh pengaruh. Sebelum saya berikan pendapat saya, bolehkah anda berikan pendapat anda sendiri atau apa yang anda percaya selama ini?

Hasil kajian saya, tidak ada kajian Sains yang dapat membuktikan sepenuhnya bahawa gejala ini disebabkan oleh genetik atau terjadi secara semula jadi semasa lahir. Satu kajian yang paling hampir pun mengenai perkara ini ialah satu kajian mengenai otak lelaki ‘gay’. Kajian ini mengatakan bahawa satu bahagian dalam hypothalamus lelaki gay lebih kecil daripada lelaki biasa. Namun kajian ini tidak dapat menentukan sama ada perkara ini berlaku sejak lahir atau terbentuk perlahan-lahan sepanjang hidup lelaki gay.

Selamat Pagi Malaysia

Semasa temubual, saya tegaskan tentang satu perkara. Tidak kira PengKid, lesbian, gay atau lelaki lembut, mereka sebenarnya ada pilihan. Banyak kajian Sains dan kajian Psikologi yang membuktikan perkara ini. Mereka boleh pilih untuk tidak bertindak dengan apa yang mereka rasa. Malah pakar psikologi mengatakan bahawa tabiat atau gejala ini sebenarya boleh dihentikan jika mereka memilih untuk melakukan begitu.

Daripada sudut agama pula, seperti kita semua tahu, mempunyai niat untuk melakukan sesuatu yang salah itu tidak berdosa. Namun jika kita bertindak ke atas niat itu, itu yang menyebabkan dosa. Ustaz Razali, pengarah bahagian penyelidikan JAKIM yang turut menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia ini menerangkan kepada kami bahawa Majlis Fatwa Malaysia telah mengumumkan bahawa gejala PengKid ini ialah sesuatu yang jelas HARAM. Agak menarik juga apabila saya baca mengenai satu kajian barat yang mengatakan bahawa, salah satu faktor mengapa gejala sebegini boleh berlaku ialah kurangnya didikan agama di rumah. Saya percaya anda boleh lihat dan fikirkan sendiri tentang kebenaran kajian ini.

Semasa membuat kajian, saya mendapat bantuan daripada Tuan Abdul Razak  mengenai kedudukan gejala PengKid ini menurut pandangan Islam. Ini adalah sumbangan beliau mengenai perkara ini.

Daripada Ibn Abbas, Nabi saw bersabda bermaksud: “Allah melaknat golongan perempuan yg menyerupai lelaki, dan lelaki yg menyerupai perempuan”. (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud, al-tirmizi, Ibn Majah, & Ahmad)

daripada Abu Hurairah, bermaksud: ((Rasulullah saw melaknat lelaki yg memakai pakaian perempuan, dan perempuan yg memakai pakaian lelaki)). (hadis sahih, riwayat Ahmad, Abu Daud)

Rasulullah saw bersabda bermaksud: ((Tiga golongan yg tidak akan masuk syurga….(antaranya): perempuan yang meniru dan berkelakuan seperti lelaki)) (Riwayat Ahmad).

Terima kasih Tuan Abdul Razak.

PanahTanda ketujuh dan terakhir dalam siri posting mengenai 7 tanda anda akan gagal di universiti ialah ‘memanah di dalam gelap dengan mata yang tertutup‘.

Apa yang saya maksudkan ialah sebahagian besar pelajar di universiti tidak pernah berfikir dengan jelas apa yang mereka mahu capai selepas mereka habis belajar. Jika anda tidak percaya, tanya diri anda sendiri atau rakan-rakan yang sama belajar di universiti, apa yang mereka mahu lakukan sebaik sahaja tamat belajar hingga 5 tahun akan datang? Menurut kajian dan berdasarkan pemerhatian saya, lebih 90% pelajar tidak boleh menjawab dengan yakin.

Panah dalam gelapMereka mungkin boleh kata, saya mahu dapatkan kerja tetap, mahu bekerja dalam bidang ini dan itu, mahu jadi kaya dan sebagainya. Namun jawapan itu semua sebenarnya hanyalah jawapan umum yang tidak pernah difikirkan dengan teliti.

Saya banyak juga menjalankan program untuk pelajar yang bakal tamat belajar di universiti. Apabila saya tanya apakah rancangan mereka selepas itu, begitu ramai yang menunjukkan reaksi kosong, tidak ada apa-apa idea untuk menjawab soalan ini. Adakah anda sama seperti pelajar-pelajar ini?

Ada dua perkara saya perlu terangkan di sini. Mengapa saya kata tanda ini sebagai memanah di dalam gelap dengan mata tertutup dan mengapa ia merupakan satu tanda anda akan gagal.

Bayangkan anda pandai memanah. Diberi apa sahaja anda boleh panah dengan tepat. Bayangkan pula anda perlu memanah sesuatu sasaran yang kecil di dalam sebuah bilik yang sangat gelap. Mata anda pula ditutup rapat. Apakah peluang dan kebarangkalian untuk memanah dengan tepat? Hampir kosong bukan? Pelajar yang tidak pernah fikirkan dengan jelas apa yang mahu dicapai dalam hidup dan merancang jalan untuk mencapainya adalah umpama memanah di dalam gelap.

Mereka setiap hari datang ke kuliah dan tutorial kerana semua orang lakukan perkara yang sama. Apabila mereka diberi tugasan, mereka merungut kerana susah. Apabila disuruh membuat presentation, mereka merungut lagi. Ini tanda mereka tidak tahu apakah manfaat yang bakal mereka perolehi daripada aktiviti-aktiviti itu tadi. Mereka tidak nampak tujuan dan sasaran daripada aktiviti tersebut. Mengapa? Kerana mereka tidak pernah fikirkan apa yang hendak dicapai. Kerana mereka sedang seronok menutup mata sambil memanah di dalam gelap.

Panah dalam gelapApabila pelajar tidak pernah fikirkan dengan teliti apa yang mereka mahu capai, apa yang mereka mahu buat, apa yang mereka mahu beli,ke negara mana mereka hendak pergi melawat, kerjaya apa yang membuat mereka rasa seronok dan sebanyak mana duit yang mereka ingin kumpul, mereka akan mudah leka dan malas semasa belajar. Akibatnya, mereka kerap ponteng kelas kerana tidur lebih seronok daripada mendengar ceramah. Pelajar yang biasa berfikir tentang masa depan pula lebih seronok dengar ceramah dalam kuliah berbanding tidur kerana mereka akan belajar sesuatu yang satu hari nanti akan membantu mereka mencapai apa sahaja yang mereka mahukan.

Pelajar yang memanah di dalam gelap selalu merungut.  Itu tak kena, ini tak kena. Orang itu salah dan orang ini salah. Pelajar yang memanah dalam keadaan terang dan mata yang terbuka luas pula malas mahu merungut. Bagi mereka, jika sesuatu perkara itu susah, tentu ada cara untuk membuatnya senang, dan merungut bukanlah caranya. Mereka juga percaya, semakin susah satu perkara itu semakin besarlah kepentingan dan kelebihan yang mereka bakal perolehi. Sama seperti melombong berlian. Begitu banyak tanah yang perlu dikorek, ditapis dan diayak untuk menghasilkan sejumlah kecil berlian. Namun harga yang diletakkan pada berlian itu membuatkan kerja-kerja berat semua itu tadi amat berbaloi.

Apa kata hari ini anda buat sesuatu tentang perkara ini. Sebagai langkah permulaan, apa kata anda ambil sekeping kertas kosong dan senaraikan sekurang-kurang 10 perkara yang anda mahu capai daripada sekarang hingga 10 tahun akan datang. Anda boleh tulis anda mahu beli kereta, rumah, ada simpanan wang yang banyak, ingin menunaikan haj, memberi wang saku kepada ibu bapa sebanyak RM1000 sebulan dan sebagainya. Tulis apa sahaja yang anda inginkan. Jangan fikirkan langsung tentang halangan untuk mendapat semua perkara ini. Jangan risau jika anda ambil masa yang agak lama untuk memikirkan perkara ini.

Saya akan terangkan dalam posting seterusnya mengapa tanda ini merupakan tanda anda akan gagal di universiti.

Berani diketawakanSoalan saya kepada anda, beranikah anda jadi berbeza? Beranikah anda jika ada kemungkinan anda dipulaukan, diketawakan, dipersendakan dan sebagainya kerana mempertahankan apa yang anda percaya?

Apabila saya katakan berani jadi berbeza, ia bukan bermaksud kita sengaja mahu jadi berbeza berbanding orang lain. Contohnya jika semua orang lelaki pakai Baju Melayu dan kita mahu jadi berbeza dengan memakai Baju Kurung. Perbezaan yang dimaksudkan ialah apabila kita buat sesuatu keputusan yang berbeza daripada orang lain, kita mesti berani untuk mempertahankannya. Contohnya jika ditanya soalan di dalam dewan kuliah, anda berani beri jawapan menurut pendapat anda sendiri walaupun mungkin pelajar lain tidak bersetuju. Kemudian berani pula mempertahankan jawapan dan pendapat anda itu.

Saya banyak mendengar aduan pelajar lelaki dan juga perempuan yang mereka sukar berjaya kerana kawan-kawan mereka ialah jenis pelajar yang malas, suka bertangguh, suka ponteng kelas, suka bangun lambat dan sebagainya. Malah ada pelajar yang bangun awal pagi tetapi tidur semula kerana melihat kawan-kawan mereka masih terus tidur. Kalau bangun dan belajar, nanti berbeza pula daripada kawan-kawan. Nanti disindir pula. Pelik bukan, lebih takut disindir dan diketawakan berbanding gagal dan menyesal sepanjang hayat.

Berani jadi berbeza juga mungkin bermaksud anda berani meninggalkan kumpulan pelajar yang anda dampingi selama ini. Maksud saya, jika kumpulan kawan-kawan yang anda dampingi sekarang hanya membawa anda ke arah lebih teruk, anda mesti berani untuk meninggalkan mereka. Bukan bermaksud memutuskan sahabat tetapi memberikan sedikit jarak agar anda boleh bina cara hidup baru. Jika anda tinggal serumah dengan kawan-kawan yang menjatuhkan semangat belajar anda, mungkin anda perlu berani untuk keluar daripada rumah itu dan cari rumah yang mempunyai penghuni yang boleh membantu anda.

Amat menyedihkan, saya lihat pelajar begitu takut meninggalkan kumpulannya walaupun mereka tahu kumpulan itu merosakkan mereka. Saya banyak buat program untuk pelajar yang mendapat CGPA rendah. Apa yang saya dapati, mereka ini datang dari kumpulan yang sama. Ada juga saya buat program susulan. Lebih menyedihkan, pelajar begini masih hadir (kerana prestasi belum meningkat) dan mereka hadir dengan orang-orang dan kawan-kawan yang sama juga.

Menentang arusKetika saya buat keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan, ada yang memberi komen kepada saya bahawa saya sedang menentang arus.  Bahaya, nanti boleh lemas. Benar, memang boleh lemas. Namun belum pernah lemas lagi walaupun banyak kali tertelan air. Apa yang menariknya ketika menentang arus ini, sampai ke satu tahap, arus menjadi lebih tenang. Tidak perlu menentang arus lagi. Golongan yang tidak menentang arus pula sentiasa resah dan gelisah kerana mereka harus ikut sahaja kemana arus mahu membawa mereka.

Jadi apa kata anda buat keputusan sekarang. Mahu menentang arus, bersusah payah sekarang dan berenang dengan tenang kemudian, atau ikut sahaja arus sekarang hingga anda tersangkut di mana-mana perangkap sampah yang ada di sepanjang sungai.

Osman Affan di KUIS 

Pada 23-24 Oktober (Khamis & Jumaat) lalu, saya bersama beberapa rakan trainer menjayakan satu program kepimpinan siswa bersama barisan pemimpin pelajar di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Program ini disertai lebih kurang 120 pelajar yang terdiri daripada pemegang-pemegang jawatan dalam persatuan atau pertubuhan universiti.

Pelajar

Apa yang sangat menarik dalam program ini ialah ini adalah kali pertama khidmat saya dan beberapa rakan trainer lain digabungkan di dalam satu program. Ia bermaksud, inilah kali pertama (bagi saya mungkin) modul kepimpinan dihasilkan dan digabungkan daripada lebih 8 orang trainer berpengalaman. Kemudian ia dijalankan pula bersama oleh pembuat modul-modul ini semua.

Pelajar

Antara trainer yang terlibat dalam program ini ialah

  • Sifu Puan Ainon Mohd - PTS Publishing Group
  • YM Dr. Tengku Asmadi - MAP Training
  • Tuan Fadzli Yusof - RK Training
  • Tuan Abdul Razak - RK Training
  • Tuan Hj Sabtu - IIR Consultancy
  • Tuan Azzam Sabtu - IIR Consultancy
  • Tuan Shamsuddin Kadir - Ultra Mind Resources
  • Puan Norlela Zubir - Yuzuki Melaka Sdn Bhd
  • Tuan Zamri Mohamad - Penulis bebas, jurulatih penulisan dan pengurusan
  • Osman Affan - Creative Questions Enterprise.

 Trainer

Di dalam program ini, para pelajar didedahkan kepada beberapa tajuk penting yang mereka perlukan sebagai pemimpin. Pemimpin yang digambarkan bukan sahaja pemimpin dikalangan pelajar malah mereka ini merupakan bakal-bakal pemimpin di masa akan datang. Antara topik yang dibincangkan ialah bagaimana cara untuk berfikir dengan kreatif, kemahiran berkawan dan berkomunikasi, menjadi bakal hartawan, kaedah pembentangan terbaik dan sebagainya.

Pelajar

Saya diamanahkan untuk mengendalikan slot kaedah pembentangan iaitu slot yang membincangkan tentang Presentation Skill. Buat beberapa orang rakan trainer, ini adalah kali pertama mereka melihat saya beraksi semasa membuat presentation. Harapnya mereka tidak terlalu terkejut jika ada sedikit gaya ‘gila-gila’ dalam cara persembahan saya dan dalam cara saya mencuri perhatian pelajar untuk fokus dalam sesi saya. :) Ini kerana ada rakan trainer dan krew memberi komen yang mereka rasa seperti melihat orang lain pula semasa saya membuat presentation.

Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, kerjasama dan maklumbalas yang diberikan oleh pelajar sangat memberangsangkan walaupun masa yang ada sangat singkat. Saya telah kongsikan dengan pelajar tentang satu teknik di mana jika mereka bentangkan sesuatu, bagaimana untuk menjadikannya mampu menarik perhatian penonton dan bagaimana untuk meninggalkan kesan di dalam hati penonton.

Pelajar

Jika anda tanya saya apakah yang saya faham tentang definisi seorang pemimpin yang baik? Saya akan kata, seorang pemimpin yang baik ialah tidak semestinya seorang yang paling kuat, bijak, bersemangat atau mempunyai rupa paras yang menawan. Seorang pemimpin yang baik ialah seorang pemimpin yang pandai menggunakan sumber-sumber yang ada di dalam kumpulan pimpinannya. Seorang pemimpin yang baik bijak menggunakan kekuatan ahli pimpinannya untuk membawa kumpulannya itu semakin mara ke hadapan.

Kepada semua rakan trainer saya ucapkan tahniah diatas kejayaan menjalankan program yang sudah dirancang sejak bulan Mac lagi ini. Terima kasih atas perkongsian dan tunjuk ajar yang diberikan. Kepada semua pelajar yang mengikuti program ini, saya ucapkan selamat berjaya dan semoga berjumpa lagi.

Tanda keenam seseorang pelajar akan gagal di universiti ialah ‘Tidak berani jadi berbeza’. Untuk pengetahuan anda, setiap pelajar berbeza. Kekuatan dan kelemahan setiap pelajar juga berbeza. Jika anda mahu berjaya, anda perlu kenal pasti apakah kekuatan diri anda dan cuba sebaik mungkin untuk menggilap dan menonjolkannya.

Ini juga bermakna, jika kekuatan anda membuat anda jadi lain daripada orang lain, anda mesti berani menghadapinya. Sebab saya mengutarakan tanda ini ialah saya lihat dan dengar banyak kisah pelajar yang cuba mengikut arus pelajar lain. Kalau pelajar lain mahu cemerlang kerana mahu dapat pekerjaan yang baik, mereka juga ikut sama. Jika pelajar malas belajar kerana pensyarah membosankan, mereka juga ikut sama. Pendek kata, majoriti keputusan yang mereka lakukan ialah berdasarkan keputusan yang dibuat oleh pelajar lain.

Jadi berbezaAda beberapa situasi yang membuat saya melihat perkara ini dengan jelas. Pertama, dalam program motivasi saya bersama pelajar universiti, ada ketikanya saya bertanya soalan yang meminta pelajar mengangkat tangan untuk menentukan pendirian mereka. Contohnya saya suruh pelajar pilih keputusan A atau B. Ada yang angkat tangan untuk A dan ada yang angkat tangan untuk B. Agak menyedihkan, ramai yang tidak mengangkat tangan kerana tidak boleh membuat keputusan. Mereka takut salah lalu tidak berani mengangkat tangan.

Pelajar begini selalunya suka melihat apa yang pelajar lain lakukan. Mungkin mereka mahu angkat tangan untuk jawapan A, tetapi lihat tidak ramai yang mengangkat tangan. Jadi untuk tidak mahu berbeza, mereka tunggu jawapan untuk B. Namun apabila lihat tidak ramai juga pelajar angkat tangan untuk jawapan B, mereka buat keputusan untuk tidak angkat tangan. Berita buruk untuk pelajar begini, selagi mereka tidak ubah sikap ini, seumur hidup mereka, keputusan yang dibuat akan berdasarkan apa yang orang lain lakukan. Ini bermaksud, jika orang buat keputusan untuk terjun longkang, mereka akan ikut sama.

R. Ian Seymour dalam bukunya ‘Discover your true potential’ menyatakan tentang satu keputusan eksperimen yang agak membimbangkan. Dalam eksperimen tersebut, 10 pelajar dipanggil untuk duduk dalam satu kumpulan. Mereka ditanya beberapa soalan dan diminta mengangkat tangan untuk menyatakan jawapan. Dalam 10 orang pelajar ini, 9 daripada mereka sudah dipilih oleh pembuat eksperimen. Mereka sudah berpakat untuk menjawab dengan cara tertentu. Cuma pelajar yang kesepuluh sahaja yang mahu diuji.

BerbezaJadi, pembuat eksperimen memberikan soalan pertama iaitu garisan manakah yang paling panjang (sambil menunjukkan 3 garisan A, B dan C). Jika pelajar rasa garisan yang sedang ditunjukkan paling panjang, mereka perlu mengangkat tangan). Garisan yang paling panjang ialah garisan C, tetapi apabila garisan A ditunjukkan (garisan kedua terpanjang), sembilan pelajar (yang telah berpakat tadi) mengangkat tangan. Mereka telah diarahkan untuk menjawab begini untuk melihat reaksi pelajar kesepuluh tadi.

Apa yang berlaku ialah, pelajar kesepuluh pada mulanya tidak mahu mengangkat tangan, tetapi setelah melihat semua pelajar lain mengangkat tangan, dia turut mengangkat tangan. Ini berterusan hingga ke soalan-soalan seterusnya. Jelas kelihatan pelajar kesepuluh ini hanya mengikut sahaja jawapan yang salah.

Setelah tamat eksperimen, pelajar kesepuluh ditanya mengapa dia menjawab dengan jawapan yang salah. Katanya, pada awalnya, dia sangka dia tersalah dengar soalan.  Jadi dia ikut sahaja jawapan pelajar lain. Namun dalam soalan-soalan berikutnya, dia tahu yang jawapan pelajar lain itu salah, tetapi dia tidak berani hendak memberikan jawapan yang lain. Dia bimbang jika dia seorang sahaja yang berbeza berbanding pelajar lain. Dia bimbang jika dia seorang sahaja yang betul. Eksperimen ini diteruskan dengan beberapa kumpulan pelajar lain dan didapati hampir 80% pelajar berkelakuan begini - tidak mahu jadi berbeza.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda mempunyai tanda ini? Adakah anda juga sanggup gagal, salah atau kurang menyerlah semata-mata hendak menjaga hati kawan atau hendak menyesuaikan diri dengan orang lain? Adakah anda lebih rela mengenepikan apa yang anda rasa betul semata-mata kerana tidak mahu dilihat berbeza atau dikritik disebabkan tidak sama dengan orang lain? Adakah anda sanggup hantar assignment pada saat-saat akhir kerana tidak seorang pun kawan-kawan anda menghantarnya awal? Bolehkah anda membuat keputusan anda sendiri dan mempertahankannya?

Saya akan sambung situasi seterusnya dalam posting saya yang akan datang.

Next Page »