Cerita


Semalam saya berada di wisma radio RTM untuk merakamkan beberapa lagi slot untuk segmen Reflection di siaran Traxx.fm dan juga beberapa episod untuk rancangan Anakku di siaran Salam.fm.

Setakat ini, saya sudah merakamkan lebih kurang 13 episod segmen Reflection, 10 minit setiap 1 episod yang di siarkan biasanya pukul 7.45 malam Traxx.fm. Segmen Reflection merupakan segmen kelolaan Jakim dan biasanya menyentuh persoalan agama. Peranan saya pula ialah membincangkan beberapa topik dan saya cuba kaitkan pengetahuan psikologi dan cuba Agama Islam. Kedua-duanya mempunyai kaitan yang amat rapat sebenarnya meskipun kadangkala sukar untuk melihatnya.

NoraDi dalam rancangan Anakku pula, saya telah rakamkan lebih kurang 8 episod, 12 minit setiap 1 episod. Antara topik-topik yang saya bincangkan ialah bagaimana untuk berkomunikasi dengan anak-anak dan bagaimana untuk memupuk semangat dan keyakinan diri dalam anak-anak.

Semasa membuat rakaman semalam, saya berpeluang buat pertama kali bertemu dengan penyanyi terkenal tanahair iaitu Nora. Beliau ketika itu juga sedang merakamkan segmen Pesona untuk siaran Salam.fm.

Terima kasih saya ucapkan kepada Puan Norlida daripada Jakim dan pengelola untuk Traxx.fm dan terima kasih kepada Puan Hasnida yang mengelolakan rancangan Anakku untuk Salam.fm. Semoga perkongsian yang telah dirakamkan dapat memberi manfaat dan faedah kepada para pendengar.

Harian MetroHari ini artikel dan temubual saya bersama Kak Noriah, wartawan Harian Metro disiarkan di dalam akhbar Harian Metro. Tajuk artikel ini ialah Rehat seketika, elak tekanan - Debaran boleh ganggu persediaan pelajar hadapi peperiksaan.

Di dalam artikel ini saya terangkan beberapa tips untuk mengurangkan kadar tekanan perasaan yang dialami oleh pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan, terutamanya pelajar SPM dan STPM.

Saya juga terangkan beberapa tips bagaimana ibu bapa atau penjaga boleh membantu dalam mengurangkan kadar tekanan perasaan ini. Ini adalah kerana jika pelajar tertekan, mereka akan hadapi kesukaran dalam membuat persediaan yang baik menjelang peperiksaan.

Satu ungkapan saya yang ditulis di dalam artikel ini ialah

“Jika anda sedang membuat persiapan terakhir untuk peperiksaan dan mula berasa resah, gelisah, tidak tenteram dan tidak boleh menumpukan perhatian, mohonlah bantuan ibu bapa serta keluarga.”

Dapatkan akhbar Harian Metro hari ini.

ironmanPada satu malam, anak sulung saya, Darwish yang akan genap umur 4 tahun tidak berapa lama lagi tiba-tiba berkata kepada saya, ‘Abah, Darwish nak lampu tu.” sambil menunjukkan ke arah lampu bulat di siling rumah saya.

“Darwish nak buat apa?” Soal saya.

“Darwish nak letak kat dada.” Sambil memegang bahagian tengah dadanya. Isteri saya merasa hairan lalu bertanya, “kenapa nak letak lampu kat dada?”

Saya sudah tersenyum. Saya sudah tahu mengapa Darwish mahu buat begitu. “Darwish nak jadi Ironman.” Jawab Darwish tegas. Saya suami isteri ketawa mendengar jawapan yang sangat bersungguh-sungguh  ini.

IronmanDaripada gelagat anak saya ini, banyak sungguh perkara yang bermain di fikiran saya. Antara yang saya fikirkan ialah betapa kanak-kanak mudah mahu mencontohi apa sahaja yang mereka lihat. Apa yang menggembirakan saya ialah bagaimana anak saya boleh mengaitkan lampu siling itu seperti lampu di dada Ironman. Ini bermakna sekurang-kurangnya anak saya ini normal cara pemikirannya. :)

Namun apa yang lebih banyak saya fikirkan ialah bagaimana kanak-kanak selalu bercita-cita dan berangan-angan untuk menjadi sesuatu atau seseorang yang sangat hebat. Adakah anda masih ingat ketika zaman kanak-kanak dulu? Apakah hero atau watak-watak pujaan anda? Adakah ia Superman? Batman? Ultraman? Power Rangers? Gaban?

Pernahkah anda berlagak dan beraksi seperti watak-watak kegemaran anda ini? Pernahkah anda hampir percaya bahawa anda ada kuasa seperti Spiderman atau sekurang-kurangnya kuasa untuk terbang seperti Superman?

Adakah anda masih meminati watak-watak itu sekarang? Adakah watak-watak itu memberi kesan kepada personaliti anda dulu dan sekarang?

IronmanSebahagian daripada kanak-kanak yang meminati watak-watak ini akan lupa dan hilang minat apabila mereka meningkat dewasa. Namun sebahagian daripada mereka kekal begitu dan masih begitu sayangkan watak-watak superheroes tadi. Persoalannya, mengapa kanak-kanak malah orang dewasa begitu minat dengan watak-watak superheroes ini?

Saya sendiri masih lagi minat cerita-cerita yang dibuat berdasarkan fantasi superheroes ini. Kadangkala, malu juga rasanya apabila berminat untuk menonton cerita seperti Spiderman, Batman atau X-Men. Watak yang paling saya minati daripada dulu hingga sekarang pula ialah Superman. Hmm… Nanti orang kata macam budak-budak pula.

Namun setelah saya fikir-fikirkan, saya faham mengapa saya sangat minat dengan watak-watak yang mempunyai kelebihan kuasa yang unik berbanding orang lain. Sejak dulu, saya ada keinginan untuk jadi berbeza (dalam erti kata yang baik) berbanding orang lain. Menurut kajian psikologi pula, keinginan ini didorong secara semulajadi oleh keinginan diri untuk dihargai dan dikagumi. Mana tidaknya, kuasa hebat luar biasa dan kebolehan menolong orang akan membuat diri disanjungi.

Sekarang, setelah memahami tentang dunia realiti, saya faham bahawa kelebihan dan keunikan tidak semestinya datang daripada kuasa luar biasa. Bukan hanya kuasa luar biasa sahaja yang mampu menolong orang lain. Tanpa kuasa luar biasa juga kita boleh jadi unik dan ada kelebihan berbanding orang lain.

SupermanSaya percaya, jika kita lihat disekeliling kita, pasti dapat kita lihat superheroes dalam bentuk yang berbeza. Mereka tidak memakai kostum berwarna-warni atau menutup muka dengan topeng hitam.

Antara mereka ini, ada yang datang dalam bentuk kebolehan, bakat dan ketabahan untuk mengajar seperti guru-guru disekolah. Ada yang datang dalam bentuk kebijaksanaan menjalankan perniagaan hingga mampu menderma beribu-ribu malah berjuta-juta ringgit kepada orang-orang yang memerlukan.

Jadi, kalau kita adalah seorang guru, kita mungkin juga seorang superhero kepada anak-anak  murid kita. Jika kita seorang ibu atau ayah,  kita adalah superhero kepada anak-anak kita. Jika kita sebagai ahli masyarakat, kita boleh jadi superhero yang sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan apabila ada yang memerlukan.

Tidak kira jenis superhero yang mana kita ingin jadi sekalipun, semoga ia dapat menambahkan ketenangan dan kesejahteraan hidup, bukan sahaja untuk orang yang ditolong, tetapi untuk diri kita sendiri. Selamat menjadi superhero! :)

Program Tuisyen Rakyata Selangor 

Sabtu lalu, 18 Julai 2009, saya berada di Quality Hotel Shah Alam bagi menjayakan satu slot bersama guru-guru yang terlibat dalam Program Tuisyen Rakyat Selangor. Program ini dihadiri hampir 100 orang guru yang bertugas mengajar dan mengendalikan kelas-kelas tuisyen yang diberikan secara percuma kepada pelajar-pelajar di Negeri Selangor.

Sejak awal tahun, saya turut terlibat dalam Program Tuisyen Rakyat Selangor ini. Namun penglibatan saya bukanlah sebagai guru tuisyen. Tugas saya ialah menjalankan program sehari SmartStudy Learning Skills untuk pelajar-pelajar tuisyen ini di beberapa zon yang terpilih. Maklumbalas pelajar mengenai program tersebut boleh dibaca di www.OsmanAffan.com/testimoni.htm .

Osman Affan

Kali ini, saya berdepan dengan guru-guru pula. Tajuk yang diberikan kepada saya ialah Petua Mengajar Berkesan. Topik ini sangat dekat di hati saya. Ini kerana saya juga berasal daripada guru yang mengajar tuisyen. Tambahan pula, saya benar-benar rasa begitu penting untuk setiap guru mempunyai teknik dan kebolehan untuk mengajar dengan baik. Apabila seorang guru boleh mengajar dengan baik, peluang untuk menukarkan seorang murid biasa kepada murid yang luar biasa cemerlangnya adalah lebih besar.

Di dalam program ini saya kongsikan bersama guru 4 topik utama iaitu:

  • Prinsip mengajar
  • Petua mengajar
  • Etika mengajar
  • Salam Mesra

Kesemua topik ini berkisar mengenai bagaimana seorang guru boleh mengajar dengan lebih baik. Malah lebih penting lagi, jika ia diamalkan, seorang guru akan menjadi seseorang yang hebat dan pakar dalam subjek yang diajarnya.

Satu contoh mudah yang saya berikan adalah pengalaman saya sendiri mengajar tuisyen. Ramai yang tahu, pelajar yang menghadiri tuisyen selalunya terdiri daripada pelajar yang agak lemah daripada segi pencapaian akademik. Ada juga yang sudah cemerlang namun jumlahnya tidak seramai yang kurang cemerlang. Jadi cabaran mengajar tuisyen ialah seorang guru tuisyen perlu membuat pelajar faham dalam masa yang singkat berbanding dengan guru yang mengajar di sekolah.

Osman Affan

Jika guru tuisyen asyik merungut mengatakan bahawa anak muridnya lemah, tidak ada asas dan tidak berpotensi untuk skor A dalam peperiksaan, sudah tentulah tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan. Namun, jika seorang guru tuisyen itu mula berfikir, “bagaimana aku boleh buat pelajar ini lebih mudah faham?” atau “apa agaknya cara terbaik untuk buat pelajar aku ni ingat dan kuasai topik ni dengan secepat mungkin?”, saya percaya satu perubahan besar akan berlaku.Buat Duit Dengan TuisyenBukan sahaja guru ini mula akan berfikiran positif, beliau juga akan mula mengasah dan meningkatkan kebolehannya untuk mengajar.

Apabila saya amalkan teknik ini, saya dapati diri saya sentiasa mencari jalan untuk memajukan cara saya menyampaikan sesuatu. Akibatnya, saya sentiasa (sengaja atau tidak sengaja) jumpa cara dan kaedah terbaik untuk menyampaikan sesuatu. Cara dan kaedah itu pula bukan sahaja sesuai untuk digunakan kepada pelajar, malah juga kepada peserta yang mengikuti program-program kendalian saya seperti program Mind Power dan juga program-program Public Speaking. Hasil daripada cara berfikir begitu juga membuat saya dapat menghasilkan beberapa buku mengenai teknik belajar seperti Persediaan Minda Pelajar Cemerlang, Kemahiran Belajar dan juga Tenang Menjawab Soalan Peperiksaan. Bayangkan apa akan jadi jika semua guru boleh amalkan cara berfikir tadi dan akhirnya semua menjadi pakar dan menulis dalam bidang kepakaran masing-masing?

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada En Hamdan Bin Sapar yang telah menjemput saya bagi menjayakan program ini. Saya doakan agar Program Tuisyen Rakyat Selangor ini berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan supaya hasilnya dapat dinikmati oleh anak-anak bangsa kita sendiri.

Catatan: Maklumat lanjut mengenai Prinsip mengajar, petua mengajar dan etika mengajar boleh dibaca di dalam buku saya yang bertajuk ‘Buat duit dengan tuisyen’ terbitan PTS Professional.

 Hello On Two RTM2

Pagi tadi, saya berada di Angkasapuri sebagai tetamu undangan rancangan Hello On Two, satu siaran langsung saluran RTM2. Hari ini segmen ini dikendalikan oleh Terrence dan Angie. Sudah beberapa kali rasanya saya hadir sebagai tetamu dan dikendalikan oleh dua hos yang sangat riang dan ceria ini. :) Tajuk untuk kali ini ialah ‘Who is a better messenger, man or woman’ atau dalam Bahasa Melayunya, siapakah penyampai mesej yang lebih baik, lelaki atau perempuan?

Bagi saya, topik ini terasa agak berat kerana dengan hanya berbekalkan apa yang saya sudah tahu, saya tidak dapat menjawab soalan tersebut. Ini menyebabkan saya terpaksa buka semula beberapa buku mengenai teknik komunikasi yang saya ada dan saya juga terpaksa lakukan beberapa carian melalui internet. Jika soalan ini ditanyakan kepada anda, apakah yang akan anda jawab? Lelaki atau Perempuan? Hmmm……

Apa yang saya jawab tadi, kita tidak boleh katakan dengan jelas atau muktamad bahawa lelaki atau perempuan yang lebih baik dalam menyampaikan mesej. Namun ada satu fakta yang saya kongsikan bersama Terrence dan Angie. Apa yang saya jelaskan tadi,

“Menurut pembacaan saya, secara umumnya, kebanyakan lelaki (bukan semua) adalah tergolong dalam kategori yang disebut ‘Global Learner’. Ia bermaksud, lelaki lebih suka melihat sesuatu dalam gambaran yang besar (big picture). Perempuan pula kebanyakannya (bukan semua) tergolong dalam kategori ‘Analytical Learner’. Ia bermaksud perempuan kebanyakannya suka melihat sesuatu dengan lebih terperinci. Sebagai contoh yang mudah, jika kita berikan peta kepada orang lelaki dan orang perempuan, yang manakah akan dapat mencari sesuatu destinasi dengan lebih berkesan? Ramai yang akan menjawab lelaki (termasuk hos Hello On Two, Angie) akan dapat cari destinasi atau lokasi dengan berkesan.

Mengapa? Kerana kebanyakan lelaki akan membayangkan destinasi yang hendak dituju di dalam minda mereka menggunakan gambaran keseluruhan. Jadi mereka akan sentiasa sedar di mana mereka berada sekarang dan tahu bagaimana hendak ke destinasi dengan lebih cepat dan berkesan.

Perempuan pula (bukan semua) hadapi masalah kerana mereka sangat memerhatikan perkara-perkara yang kecil. Jika diberi peta dan disuruh cari jalan, mereka akan leka dengan apa yang mereka boleh lihat disekeliling mereka.”

Hello On Two RTM2

Apa kaitan ini semua dengan siapa lebih berkesan dalam menyampaikan mesej? Kaitannya begini.

Saya percaya, jika kita mahu dapatkan sesuatu mesej dengan ringkas, padat dan hanya isi penting sahaja yang diperlukan, lelaki lebih baik untuk menyampaikan mesej-mesej begini. Ini kerana lelaki selalunya bercakap dengan ringkas dan terus kepada isu atau isi penting yang hendak disampaikan. Masalahnya, disebabkan lelaki terlalu fokus kepada isi penting, mereka leka dan kurang peka kepada perkara-perkara kecil yang mereka dengar. Sebagai contoh, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, orang lelaki lebih mudah lupa nama orang yang baru dikenalinya. Baru kenal, baru tanya nama, beberapa minit kemudian, tanya sekali lagi. Kemudian, lupa lagi. Berbeza dengan perempuan, mereka lebih mendengar sesuatu dengan lebih teliti jadi maklumat yang bakal mereka sampaikan adalah lebih khusus dan terperinci.

Banyak lagi yang kami bincangkan sebenarnya. Namun kesimpulannya, kita tidak boleh mengatakan lelaki atau perempuan yang lebih berkesan dalam menyampaikan sesuatu mesej kerana ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Walau apa pun, satu perkara yang kita perlu tahu bahawa menyampaikan mesej dengan berkesan adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari. Jadi jika orang selalu merungut yang mereka sukar faham apabila kita sedang menerangkan sesuatu, kita boleh pelajari teknik dan kemahiran untuk menjadi penyampai mesej yang lebih baik.

Hello On Two

Selamat menyampaikan mesej dengan lebih berkesan! :)

 Osman Affan di Sarawak

Dalam proses mengemaskin blog saya siang tadi, saya terbaca satu komen yang ditulis oleh seorang bekas pelajar saya daripada SMK Menerong, Kuala Berang Terengganu. Komen itu berbunyi (saya perbetulkan ejaan dan tukarkan daripada loghat Terengganu kepada loghat biasa)

“Salam cikgu…sy ex-student SMK Menerong…maybe cikgu dah tak ingat saya dan kawan2 lain kan? hehe..takpe..janji saya ingat lagi cikgu..masa cikgu 1st datang SMK Menerong..saya form 3..saya ingat lagi..dulu cikgu beritahu cikgu ni akan jadi motivator..akhirnya,cikgu dah berjaya ek…Congratulati0n cikgu!!!”~Basyariah, Ex-SMK Menerong

Pada pendapat saya, bagi seorang guru, apabila ada anak murid yang masih ingat tentang dirinya, ia merupakan satu penghargaan yang amat besar. Terima kasih. Sebab itulah kalau kita ada terserempak dengan mana-mana guru yang pernah mengajar kita, usahakan untuk menegur mereka. Tidak perlu bimbang jika mereka sudah lupa kerana apa yang pentingnya, ingatan kita buat mereka sudah cukup boleh menggembirakan hati mereka.

Kali pertama saya datang ke SMK Menerong yang dimaksudkan oleh Basyariah ialah pada bulan Mac 2003. Saya meninggalkan SMK Menerong pada Jun 2003. Di dalam buku dan penulisan saya yang lepas, saya ada ceritakan tentang SMK Menerong ini dan kesannya kepada diri saya dalam industri pendidikan ini.

Osman Affan

Apabila saya baca komen Basyariah ini, saya terfikir, saya pernah beritahu pelajar saya bahawa saya akan jadi motivator? Hmmm…mungkin saya sudah terlupa perkara tersebut tetapi ia tidak mustahil. Apa yang saya benar-benar ingat, setiap kali saya mengajar, lima minit terakhir saya akan kongsikan dengan pelajar saya sama ada mutiara kata atau saya kongsikan teknik-teknik belajar berkesan yang boleh mereka gunakan. Lima minit terakhir ini adalah sesi yang paling menyeronokkan saya. Besar kemungkinan inilah yang mendorong saya lakukan apa yang saya lakukan sekarang ini.

Hasil perkongsian ini, saya lihat pelajar ada memberikan maklumbalas yang baik daripada segi meningkat semangat untuk belajar dan ketahanan mental apabila menghadapi topik-topik yang susah. Ini benar-benar memberi saya ilham bahawa mana-mana pelajar yang didedahkan kepada teknik yang betul, mempunyai peluang yang besar untuk berjaya dengan cemerlang.

Jadi, ketika itu, saya mungkin ada luahkan kepada pelajar saya bahawa saya bercita-cita mahu kongsikan semua teknik belajar yang saya tahu. Hasrat dan cita-cita saya ketika itu sebenarnya bukan hendak menjadi motivator tetapi jurulatih (trainer) teknik belajar. Namun di Malaysia kita jarang mendengar gelaran ‘Study Skill Trainer’. Gelaran yang biasa digunakan ialah Pakar Motivasi atau Motivator.

Kadangkala ada rasa kebimbangan dalam diri saya untuk menerima gelaran sebagai seorang motivator kerana tugas seorang motivator adalah sangat berat (pada pandangan saya). Namun, demi keyakinan diri, saya anggap gelaran itu adalah sebagai satu doa yang baik untuk diri saya.

Osman Affan

Bagaimana dengan anda, sahabat-sahabat pembaca yang saya hormati sekalian? Adakah anda ada apa-apa cita-cita yang masih belum ditunaikan? Soalan lebih penting, adakah anda masih berusaha untuk mendapatkan cita-cita itu atau sudah melupakannya disebabkan halangan dan rintangan yang sentiasa melintas di hadapan anda?………………………………………..

Saya ucapkan selamat mencapai impian….. Semoga apa yang kita benar-benar idamkan, benar-benar menjadi milik kita….

Dian Iman 

Selasa lalu, 30 Jun 2009, saya telah selesai menjalankan rakaman buat kali kedua untuk siaran tv Dian Iman. Rancangan ini ditayangkan di RTM1 dan berada di bawah kelolaan Jakim. Rakaman sebanyak 4 episod ini dijalankan di Putrajaya.

Sebanyak 4 episod yang berjaya dirakamkan. Tajuk-tajuk bagi episod ini ialah

  1. Mengawal tekanan perasaan.
  2. Membina keyakinan diri anak-anak.
  3. Mengenali sumber keyakinan diri.
  4. Petua memikat hati rakan sebaya.

Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Zul selaku penerbit rancangan ini dan juga kepada Cik Fasihah selaku pegawai yang berurusan dengan pihak saya sejak awal lagi.

Azizi AliBeberapa minggu lalu saya berpeluang bertemu muka dengan Abang Azizi Ali yang terkenal sebagai Jutawan Hartanah. Tujuan pertemuan saya dengan beliau ialah untuk saya menemuramah beliau tentang rahsia kejayaan beliau. Pertemuan ini diadakan di pejabat beliau di Kelana Jaya. Satu perkara khusus yang saya ingin tahu ialah apakah pandangan beliau mengenai kepentingan menulis matlamat. Ada 2 perkara menjadi isu di sini, pertama, adakah matlamat itu penting, dan kedua, adakah ia perlu ditulis?

Saya mendapat jawapan-jawapan yang sangat menarik daripada Abang Azizi Ali ini. Sebagai contoh beliau ada ceritakan bagaimana sebelum beliau bergelar jutawan, beliau ada membaca sebuah buku mengenai menetapkan matlamat. Buku itu mencadangkan agar beliau menulis sepucuk surat kepada diri beliau sendiri yang mengatakan “Tahniah, anda telah berjaya menjadi seorang jutawan!”.

Wealth SummitKata beliau, cadangan itu bunyinya sangat tidak masuk akal dan pelik. Namun, beliau rasa tidak rugi kalau ia dilakukan. Kalau rugi pun mungkin rugi sekeping kertas agaknya. Setelah beberapa lama, beliau terlupa akan surat itu kerana ia telah disorokkan ke dalam sebuah buku bacaan beliau. Secara tidak sengaja, beliau terjumpa semula surat itu dan apabila beliau membacanya, apa yang tertulis itu sudah menjadi kenyataan.

Cerita ini sangat menyeronokkan apabila saya dengar kerana bunyinya sangat mudah untuk dilakukan. Namun ada satu kebimbangan. Jika benar menulis matlamat boleh membuat kita senang mendapatnya, mengapa ramai orang tidak menulis matlamat. Satu kebimbangan lagi, saya tanya kepada beliau, apa yang harus saya jelaskan kepada orang-orang yang tidak percaya bahawa menulis matlamat boleh memudahkan untuk kita mencapai sesuatu?

Abang Azizi Ali dengan tenang menjawab soalan ini. Kata beliau, benar, tidak semua orang akan terima idea kepentingan menulis matlamat. Ini kerana ia ‘terlalu mudah’, ‘its too simple’. Takkanlah sesuatu yang begitu mudah boleh jadi begitu berkesan?

Namun, kata Abang Azizi Ali lagi, dalam dunia ni, ada benda yang susah (complicated) dan ada benda yang senang (simple). Realitinya, menulis matlamat terletak dalam kategori senang dan sebab itulah ramai yang sukar menerimanya.

Saya sangat bersetuju dengan pendapat beliau ini. Dalam program-program yang saya jalankan, teknik menetapkan matlamat adalah salah satu topik besar yang saya kongsikan. Pernah juga saya jumpa peserta-peserta yang langsung tidak mahu membuka minda mereka untuk melihat kepentingan menulis matlamat. Namun mana-mana peserta yang berani membuka minda dan  mula menulis matlamat apa yang ingin dicapai dalam hidup, mereka selalunya sangat terkejut apabila apa yang dirasakan selama ini mustahil, rupa-rupanya sangat boleh dicapai.

Saya ucapkan ribuan terima kepada Abang Azizi Ali dan juga staff True Wealth SB yang banyak membantu dalam proses temuramah ini. Hasil temuramah ini akan saya kongsikan dengan peserta-peserta program SmartStudy dan program-program Mind Power yang saya jalankan bersama pelajar dan juga kakitangan swasta dan kerajaan.

Ada satu lagi ulasan saya mengenai perbualan saya dengan Abang Azizi Ali yang saya lakukan lebih kurang 2 tahun lalu. Beliau juga ada ceritakan satu falsafah kejayaan dirinya yang patut kita ketahui dan bolehkita amalkan. Sahabat-sahabat pembaca sekalian boleh membacanya di http://www.motivasibelajar.com/mutiara-kata/mutiara-kata.html

 IMR

Pada 15 hingga 16 Jun yang lalu, saya buat pertama kalinya berpeluang mengendalikan program bersama kakitangan Institute of Medical Research, Kuala Lumpur. Intitut ini betul-betul terletak di sebelah Hospital Besar Kuala Lumpur. Program ini disertai oleh staff-staff IMR yang terdiri daripada Doktor-doktor perubatan, kakitangan penyelidikan dan juga beberapa orang kakitangan sokongan. Ini juga merupakan pengalaman pertama saya mengendalikan program untuk peserta yang bertaraf doktor perubatan.

Ini merupakan sebahagian daripada program Motivasi Insan Cemerlang yang dianjurkan oleh pihak IMR sendiri dengan dua konsultan iaitu syarikat Brilliant Management Qalbu (BMQ) yang diterajui oleh Ustaz Subhi, Ustaz Zul dan Ustaz Ramadhan dan juga syarikat saya Creative Questions Enterprise (CQE).

Di dalam program ini, seperti program Mind Power yang pernah saya jalankan selama ini, menekankan aspek pemahaman terhadap kebolehan minda dalam menangani segala konflik dan pemasalahan. Ada 3 topik besar di dalam program ini yang menyentuh kepentingan membuka minda dengan menulis matlamat, mempertingkatkan daya tahan diri apabila menghadapi masalah dengan melihat sikap dalam kreativiti dan juga topik terpenting iaitu memahami bagaimana ‘Syukur’ boleh mengubah cara kita melakukan sesuatu. Lebih menarik, peserta diberikan pendedahan kepada konsep bagaimana ‘Syukur’ boleh meningkatkan produktiviti dan kebolehan yang terpendam di dalam diri masing-masing.

IMR

Berikut adalah beberapa maklumbalas yang saya terima daripada para peserta mengenai program ini.

“Program ini haruslah diperluaskan kepada semua staff agar memperolehi dapat difahami pengisian dari konteks komunikasi, kewangan dan sebagainya.” – Janariah Jaafar, Institute of Medical Research,KL.

“Amat berkesan dan mudah dipraktikkan dalam kehidupan seharian.” – Suzidah bt Zainuddin, Institute of Medical Research,KL.

“Very interesting! Sekarang saya dah Nampak apa matlamat serta impian yang terpendam selama ini. Terima kasih En. Osman.” – Izan Shahrina, Institute of Medical Research,KL.

“Saya tidak pernah menghadiri kursus sebegini, seronok, senang difahami dan juga bermotivasikan diri saya agar selalu berfikiran positif dan berbaik sangka. Terima kasih En. Osman Affan, anda dapat memberi semangat baru kepada saya.” - Norlida Omar, Institute of Medical Research,KL.

“Suatu program yang cukup berguna untuk segenap lapisan umur, baik dari segi pemikiran mahupun spiritual.” – Norfarhana Khairul Fahmy, Institute of Medical Research,KL

“Antara banyak-banyak program yang saya pergi, inilah kali pertama program yang paling best. Memang masuk dalam kepala tentang apa yang En. Osman bercakap. Thanks En. Osman. Keep it up!.” – Norbaizura bt Nurizan Bakri, Institute of Medical Research,KL.

“Kursus ini amat bermakna dan berfaedah. Kursus ini membuka minda dan setiap impian/matlamat akan tercapai dengan usaha yang berterusan. Saya akan war-warkan kursus ini kepada kawan-kawan yang lain.” – Wan Marina Wan Mohamad, Institute of Medical Research,KL.

“Kursus yang penuh motivasi yang mendidik saya erti bersyukur dan sentiasa percaya bahawa saya juga berjaya dalam hidup ini.” – Hj Azali b Hj Bakar, Institute of Medical Research,KL.

“Moga program ini diperluaskan pada semua staff IMR yang lain.” – Noor Faezah Abdullah, Institute of Medical Research,KL.

“Dapat mengubah pemikiran dan pengurusan kewangan saya.” – Nik Fazlina Nik Mustafa, Institute of Medical Research,KL.

“Ia membantu menaikkan semangat baru yang sebenarnya dan keinginan dan dikecapi dengan usaha tanpa jemu diselangi dengan doa.” – Norziyana bt Idris, Institute of Medical Research,KL.

“Kursus yang sangat bertuah diikuti kerana apa diajarkan adalah yang berlaku dalam kehidupan harian tetapi kita yang tak pernah ambil peduli akan perkara tersebut.” – Sharifah Sharif, Institute of Medical Research,KL.

IMR

“Program ini memberi kesan yang amat mendalam terutama dalam penilaian diri dan kebolehan diri untuk berubah. Yang penting kita kena ada matlamat dan keyakinan dan selebihnya usaha untuk mencapainya. Kita kena hapuskan halangan minda yang melemahkan kita dan menghalang kita dari berjaya.” – Norul Ashikin Yahya, Institute of Medical Research,KL.

“Mudah dipraktikkan topic-topik yang dibincangkan dan seronok sepanjang berkursus.” – Mohd. Hafizul b Mohd. Hafizul, Institute of Medical Research,KL.

“Satu kursus menarik kerana banyak perkara baru yang dipelajari, penyampaian yang tidak membosankan dan mencuit hati.” – Jalilah Hasan, Institute of Medical Research,KL.

“Sesuatu kaum tidak dapat diubah, kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya. Program ini benar-benar memberi kesan kepada saya untuk lebih berubah kepada yang lebih positif, berinovasi dan bermatlamat.” – Nor Idayu Razali, Institute of Medical Research,KL.

“Penyampaian yang sangat menyeronokkan dan memberi kesan dalam diri saya.” – Noordini Abdullah, Institute of Medical Research,KL

“Saya sering menghadiri program seperti ini, biasanya saya menjadi pendengar yang akhirnya akan menjadi bosan. Tetapi kali ini, bukan setakat mendengar sahaja, tetapi aktiviti/praktikal amat menyeronokkan, dan banyak ilmu yang saya tahu untuk kehidupan harian saya dan juga meningkatkan prestasi perkhidmatan saya.” – Radzan Taib, Institute of Medical Research,KL.

“Ramai orang akan sedar supaya mereka patut bersyukur dengan apa yang ada.” – Dr. Mohd. Khadri Shahar, Institute of Medical Research,KL.

 

 

Osman Affan 

Hari ini entah kenapa saya teringat tentang satu komen/pertanyaan yang diajukan kepada saya beberapa bulan lalu. Komen ini diberikan oleh beberapa orang pelajar universiti yang bertugas sebagai urusetia dalam program pelajar yang mereka anjurkan. Ketika kami sedang berehat untuk minum pagi, seorang urusetia, mahasiswi tiba-tiba berkata kepada saya,

“Kerjaya En Osman sekarang ni, nampak semuanya dari dulu memang senang ye…” (lebih kurang beginilah komennya, saya tidak berapa ingat dengan jelas ayat-ayatnya).

“Apa maksud cik…?” Soal saya untuk kepastian.

“Maksudnya, bila saya baca background En Osman, nampak semuanya mudah je. Ye la, cemerlang zaman sekolah, pergi oversea, lepas tu buat master….dan sekarang buat program dengan pelajar. Semua nampak senang je kan?”

Saya ketawa kecil semasa mendengar komen ini. “Senang?” Hmmm….

Osman Affan

Jika dilihat latar belakang pendidikan saya, mungkin senanglah nampaknya. Sebagai contoh

  • UPSR 5A
  • PMR 8A SMKA Tok Jiring
  • SPM 6 Aggregat Kolej Islam Sultan Alam Shah, KISAS
  • Degree Accounting & Finance, UK
  • Master of Education, Counseling & Guidance, UIA Gombak.

Namun sebalik apa yang kelihatan mudah, tidak semestinya begitu. Bagi saya, apabila kejayaan sudah dicapai, kesukaran akan pasti dilupakan. Apabila kejayaan berjaya dicapai, laluan ke arahnya kelihatan begitu mudah dan jelas. Realitinya? Ia tidak begitu.

Di dalam program yang saya jalankan bersama pelajar, saya ada kongsikan beberapa kesukaran yang saya hadapi semasa belajar. Sebagai contoh, saya datang daripada keluarga yang agak susah. Semasa di dalam darjah enam, saya lihat sahabat sekelas asyik bercerita tentang pusat tuisyen yang mereka hadiri. Mereka kerap bergelak ketawa dengan lawak jenaka di tempat tuisyen dan apa yang selalu membimbangkan saya, mereka ini semua mempunyai banyak kelebihan untuk berjaya dalam bidang akademik. Mana tidaknya, apabila ada latihan dalam kelas, kerap kali mereka kelihatan begitu gembira kerana mereka pernah lakukan latihan tersebut di pusat tuisyen.

Pernah saya suarakan hasrat hendak masuk tuisyen kepada ayah saya. Ketika itu saya kurang faham masalah kewangan keluarga. Ayah saya mungkin tidak mampu untuk membiayai kos tuisyen. Jangan kata kos tuisyen, sepanjang darjah enam, saya hanya mempunyai sehelai baju sekolah sahaja! (Bayangkan hanya baju itu dipakai setiap hari daripada awal tahun hingga ke akhir tahun.)

Namun satu perkara yang hebat mengenai ayah saya ialah beliau sentiasa menanamkan sifat keyakinan diri dalam diri saya. Komen beliau apabila saya mahu masuk pusat tuisyen, “Orang macam mung ni tak perlu doh masuk tuisyen Mang.” (dalam loghat Terengganu sambil tersenyum). Daripada kata-kata itu, saya faham yang ayah saya cuba mengatakan bahawa saya ini sudah bijak dan tidak perlu pusat tuisyen untuk skor dalam peperiksaan. Adakah saya kecewa ketika mendengar jawapan ayah saya? Sudah tentu saya kecewa. Apabila saya kaji semula kini, apa yang ayah saya lakukan mendidik keupayaan diri saya untuk percaya kepada kebolehan diri sendiri meskipun tidak ada kelebihan seperti orang lain.

Jadi sepanjang darjah 6, seingat-ingat saya, saya tidak pernah minta apa-apa sangat daripada ayah saya. Cuma satu sahaja yang saya ingat. Ketika lebih kurang tinggal 4 minggu peperiksaan, ayah saya perlu pergi ke Kelantan kerana mengikut majikannya. Ayah saya bertanya kepada saya jika saya mahu beli apa-apa. Biasanya apa yang dipesan oleh kakak dan adik saya ialah sesuatu berbentuk makanan atau pakaian. Tetapi saya hanya minta ayah saya belikan saya 3 buku soalan latihan untuk peperiksaan UPSR. Alhamdulillah, setelah ayah saya pulang, benar-benar dia belikan saya 3 buku latihan tersebut.

Saya begitu seronok dan sayangkan buku-buku tersebut, saya langsung tidak tulis apa-apa di atas buku tersebut. Saya bimbang kalau saya tulis apa-apa nanti buku itu cepat rosak. Jadi apa yang saya lakukan setiap kali mahu buat latihan, saya ambil satu kertas kosong dan tuliskan jawapan kepada soalan-soalan di atas kertas kosong tadi. Buku itu semua ada lebih kurang 10 set latihan. Jadi, setelah saya habis buat latihan sampai ke set terakhir, saya ulang kembali buat latihan set pertama kerana ia kelihatan seperti baru dan belum pernah dibuat.

Percaya atau tidak, itulah sahaja 3 buku latihan yang saya gunakan sebelum peperiksaan sebenar UPSR. Alhamdulillah berkat doa ayah dan ibu saya, peperiksaan UPSR menjadi satu kenangan manis dalam hidup saya.

Persoalannya, adakah kesukaran itu membuat saya sedih, murung atau kecewa kini? SUDAH TENTU TIDAK! Seperti yang saya katakan awal tadi, kejayaan akan membuat segala kesukaran begitu mudah dilupakan. Jadi, satu lagi persoalan, adakah semuanya senang bagi saya? Sudah tentu tidak.

Osman Affan

Kini, keyakinan saya bahawa setiap yang susah akan disusuli kejayaan dan kemudahan adalah semakin kuat dan teguh. Ini ditambah lagi apabila saya membaca Al-Quran, Surah Al-Insyirah, ayat 5-8 yang bermaksud,’ Oleh itu (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa setiap kesukaran disertai kemudahan………

Jadi, jika kita sedang menempuh alam dan saat-saat kesukaran kini, jangan terlalu risau dan bimbang. Jika kita teruskan dengan usaha, sabar dan memohon pertolongan kepada Allah, saya percaya tidak ada halangan yang tidak boleh dihapuskan. Saya ucapkan selamat berjaya!

Buat Duit Dengan TuisyenHari ini saya mendapat satu email yang agak berlainan dan menarik perhatian saya. Apa yang menarik bukanlah cerita baik mengenai buku yang saya tulis, tetapi secebis kisah seorang guru yang mempunyai latar belakang seperti saya. Selamat membaca. Terima kasih HH kerana menghantar email ini kepada saya.

salam….

maaf jika saya mengganggu…

saya baru selesai membaca buku encik “buat duit dengan tuisyen”

saya memang sudah berjinak-jinak dengan bidang bisnes tuisyen dar iawal tahun…

selepas saya berpengalaman setahun menjadi GSTT(guru sandaran tidak terlatih)

tujuan saya melibatkan diri dengan bidang tuisyen untuk mencari pendapatan tambahan semasa saya menunggu untuk

kontrak gstt saya disambungkan untuk 2009.

Alhamdullilah kontrak saya disambungkan…itu la dilema graduan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Kemudian saya terpanggil untuk mengajar tuisyen di salah satu pusat tuisyen di bandar saya…bandar melaka.

Walaupun kontrak sebagai gstt disambung saya menerima peluang yang saya tunggu dua ke tiga bulan.

Kemudian saya memberanikan diri untuk membuka tuisyen di rumah atas dorongan ibu bapa saya. dengan tanggungjawab di sekolah sebagai gstt yang agak dibebankan tugas (erti kata kurang sopan “dibuli”) …di manakah guru2 terlatih yang berpengalaman dan yang memandang rendah kepada gstt.

Sebagai guru gstt yang sentiasa diperlekehkan oleh golongan yang terlatih dengan teknik P&P(walaupun bukan semua pihak yang beranggapan demikian) tetapi tanggapan kepada gstt tetap masih lagi seperti pisau yang terhiris isi…saya masih perlu bersabar…rezeki saya masih takat kontrak sahaja..tidak guna cerita tanggapan orang…kerana tiada ketentuan yang ditentukan oleh mulut-mulut yang sentiasa tidak berpuas hati dengan rezeki org lain…walaupun rezeki yang kurang daripada mereka…

Suatu hari di kedai buku Popular…di Tesco Melaka….

saya seperti biasa mencari buku2 yg menarik untuk dijadikan teman di kala kebosanan cuti sekolah…erm…erm..masih mencari..walau pun tiada saya ingin juga membeli…pada mula nya saya ingin mengambil novel ‘ayat2 cinta’ tetapi…saya tidak pernah membeli novel sebelum ini…kemudian di ruangan buku2 motivasi…saya berminat untuk mengetahui apakah isi yang terdapat pada ‘buat duit dengan tuisyen’. Tanggapan pertama….’buat duit dgn buku buat duit……’

Hati saya masih berat utk meletakkan buku itu lagi…

erm….

saya menelek isi kandungan buku tersebut…dengan berfikir panjang…ada ketentuan yang boleh saya usahakan atau ikhtiarkan daripada idea yang tuan akan sampaikan.jadi saya membeli buku tuan…

Mengambil masa seharian…

menghabiskan buku tuan…

banyak yang saya sudah lalui….dan saya dapat dengan secara terperinci dan boleh diperbaiki….

malah saya berterima kasih dengan pihak tuan….

kerana menaikkan semagat saya untuk meneruskan usaha….untuk menambahkan bilangan kelas malah murid di kelas tuisyen saya…

(3 murid di rumah…dan 3 kelas di pusat tuisyen) …..malah….saya ada terfikir untuk mengadakan atau menguruskan program motivasi untuk pelajar-pelajar melaka yang masih kecil pasaran nya….insyallah..kalau saya berjumpa dengan orang yang sesuai untuk merealisasikannya..cukup untuk berpengalaman menguruskan pada awalnya….cukup berbaloi….

Terpanggil nya saya ….

untuk mencoretkan luahan rasa….

walaupun saya tidak berharap pihak tuan membaca coretan saya yang tidak sepenting aktiviti2 pihak tuan….

apabila saya membaca bab 10 pengalaman mengajar tuisyen dalam buku tuan…

1) en. Osman Affan …..bermula daripada seoranhg gstt

2)cikgu Rahaza….juruteknik….erm…seorg guru kepercayaan smartstudy….

3)cikgu Shila…kerani…erm….juga seorg guru kepercayaan smartstudy….

di sini….terbukalah mata….hati dan minda saya….

Seorang guru..pendidik…bukan lah dari awal pembelajaran sebagai graduan dr maktab atau graduan pendidikan….

ada juga yang ditakdirkan masuk ke maktab atau ijazah pendidikan….tidak berminat untuk menjadi guru….

hasil nya jadi la guru2 sesetengah…..

saya berbangga…insyallah…jika saya berpeluang maju seperti tuan…kita akan jumpa di hari saya ditakdirkan maju dengan haluan dan ikhtiar saya…insyallah…

coretan guru sandaran tidak terlatih

salam penghormatan

dari ilmu yang pihak tuan berikan..

Radio Asyik fm 

Jumaat lalu sekali lagi saya berada di Angkasapuri. Namun kali ini saya bukan berada di wisma tv tetapi di wisma radio. Ini pertama kali saya menjejakkan kaki ke tempat ini sebenarnya. Saya berada di sini di atas jemputan Puan Azizah daripada Jakim untuk merakamkan lebih kurang 30 episod segmen motivasi pendek di dalam saluran radio Asyik.fm.

Saya dimaklumkan bahawa saluran ini adalah saluran khas untuk orang-orang asli. Jika tidak silap saya ada 4 loghat utama yang digunakan sebagai bahasa pengantar utama stesen ini. Banyak juga perkara baru yang saya pelajari di sini.

Segmen motivasi yang perlu saya rakamkan ialah segmen selama lebih kurang 2-3 minit sahaja. Namun ada 30 segmen yang perlu dirakamkan yang dicadangkan untuk disiarkan selama 30 hari. Agak kekok apabila saya masuk kebilik rakaman tersebut. Ini kali pertama saya buat rakaman sebegini jadi banyak tunjuk ajar yang diberikan oleh Puan Azizah.

Asyik FM

Disebabkan masa yang singkat dan juga saya perlu bersedia untuk menunaikan sembahyang Jumaat, rakaman tidak sempat dihabiskan. Namun ini memberi saya peluang untuk membuat lebih banyak kajian tentang apa topik-topik yang sesuai untuk saya sampaikan nanti. Terima kasih kepada Puan Azizah secara khususnya dan kepada Jakim secara umumnya kerana menjemput saya bagi menjayakan segmen ini.

 Selamat Pagi Malaysia

Pagi tadi saya berada di RTM1 bersama hos Selamat Pagi Malaysia, Shuhaimi dan Eisya bagi membincangkan topik gelombang internet. Segmen ini disiarkan secara langsung selama lebih kurang 25 minit di saluran TV1.

Fokus perbincangan segmen ini ialah apakah kesan-kesan dan pengaruh internet kepada penduduk di Malaysia. Lebih spesifik lagi, apakah kesan-kesan baik dan juga kesan buruk akibat penggunaan meluas internet di Malaysia.

Saya ada berikan beberapa pendapat bagaimana internet memberikan kesan yang baik dan yang buruk. Bagi saya, internet sama seperti apa-apa elemen yang ada disekeling kita. Sebagai contohnya, air. Air ada fungsi yang baik dan ada fungsi yang buruk. Kalau kena caranya, ia boleh menghilangkan dahaga. Kalau salah situasinya boleh lemas kita dibuatnya.

Jadi, untuk mengelakkan kesan yang tidak baik daripada internet, langkah terbaik ialah kita menimba ilmu tentang internet ini. Kita perlu belajar bagaimana kalau anak-anak menggunakan internet, mereka terhindar daripada anasir-anasir tidak baik seperti bahan-bahan lucah atau bahan bacaan yang boleh memesongkan pegangan akidah mereka.

Selamat Pagi Malaysia

Langkah termudah ialah, rujuk kepada sesiapa yang lebih faham dan arif tentang cara mengelakkan perkara ini semua. Saya sendiri mungkin tidak berkesempatan untuk menulis semua cara untuk menghindari kesan tidak baik. Ini kerana ada seribu satu macam kesan yang tidak baik daripada penggunaan internet. Jadi setiap kali ada masalah, rujuk kepada seseorang yang boleh dipercayai dan berpengetahuan untuk membantu kita dalam memberikan nasihat dan panduan yang bernas.

Selamat melayari internet. :)

Hmm… lama rasanya saya tidak mencoretkan sesuatu di sini. Sibuk dan seronok dengan SmartStudy Tour saya sejak awal bulan Mac ini. Sejak awal Mac ini saya berusaha sedaya upaya memenuhi undangan program di Terengganu, Klang, Johor, Port Dickson dan Pulau Pinang. Walaupun kesihatan sedikit terjejas dengan kesibukan ini, keseronokannya tetap dapat saya rasakan.

Hari ini tergerak hendak bercerita tentang satu panggilan yang diterima oleh staff saya beberapa bulan lalu. Menurut seorang staff saya, pejabat menerima satu panggilan pada pukul 1 pagi. Ya, saya tidak tersilap tulis, pada pukul 1 pagi! Panggilan ke pejabat saya, selepas waktu pejabat akan disambungkan terus ke telefon bimbit staff saya. Jadi kebetulan staff saya itu belum tidur, jadi dia menjawab panggilan tersebut. Apa yang membimbangkan, apabila staff ini menjawab panggilan tersebut, pemanggilnya terus meletakkan telefon.

Mula timbul kebimbangan di hati staff saya. Ada kemungkinan ini dilakukan oleh pencuri yang mahu memecah masuk pejabat kerana mereka saja mahu mencuba jika ada sesiapa yang masih berada di pejabat. (Kejadian ini pernah berlaku kepada pejabat di bangunan tingkat atas pejabat saya). Jadi staff saya segera menelefon nombor telefon itu semula.

Lebih membimbangkan, pemanggil itu segera menolak panggilan staff saya ini. Setelah ditelefon beberapa kali, masih juga dia tidak mahu menjawab. Jadi, staff saya mula mengikut prosedur biasa. Dia menghant sms kepada nombor handphone tersebut agar menjawab panggilan atau nombor itu akan dihantar dan dilaporkan ke balai polis berdekatan pejabat saya.

Kemudian, staff saya menerima satu sms. Katanya lebih kurang macam ni, “saya telefon nak tanya tentang program smartstudy. Saya baca diinternet tuan ada banyak tulis tentang motivasi. Janganlah cepat berfikiran negatif.”

Saya tergelak besar mendengar cerita staff saya ini. Telefon nak tanya program pada pukul 1 pagi? Lepas tu bila orang jawab tidak mahu pula dia bercakap. Bila ditelefon semula dia menolaknya. Dan kemudian dia mengatakan saya (staff saya) berfikiran negatif? (pemanggil ini sangka saya yang menjawab telefon dan menghantar sms tersebut.

Hmm… memang banyak perkara menarik yang berlaku dalam dunia ni. :)

Baru-baru ini saya menonton satu ‘movie’ Cina berkisahkan peperangan. Ada satu watak pahlawan yang sangat handal di dalam movie ini. Apa yang menarik perhatian saya ialah pahlawan ini sangat berani dan handal di medan perang, tetapi apabila pulang ke kampung halaman, dia bekerja sebagai guru yang mengajar anak-anak orang miskin membaca. Tersentuh juga saya apabila menonton watak sebegini kerana watak pahlawan dan guru untuk kanak-kanak selalunya adalah besar jaraknya.

Paling menarik hati saya ialah apabila seorang kanak-kanak kecil berkepala botak menyoal pahlawan ini semasa sedang belajar membaca buku beramai-ramai. Kata kanak-kanak ini, “Cikgu, kenapa kita sibuk belajar membaca sedangkan membaca tidak boleh membuat perut yang lapar ini kenyang?”

Pahlawan ini tersenyum sambil berkata, “Kau masih kanak-kanak lagi. Apabila kau sudah dewasa nanti, kau akan tahu bahawa kalau kita belajar membaca hari ini, kita akan kenyang pada hari-hari yang akan datang, bukan kenyang hari ini.”

Bagi saya, kata-kata ini membawa maksud yang sungguh mendalam.

  • Pertama, membaca adalah satu proses menuntut dan menimba ilmu. Sudah pasti ia tidak mengenyangkan serta merta.
  • Kedua, kanak-kanak selalunya masih tidak faham mengapa pentingnya menuntut ilmu sekarang. Ini disebabkan mereka membandingkan proses menuntut ilmu dengan sesuatu yang lebih menyeronokkan seperti bermain atau makan.
  • Ketiga, timbul persoalan di minda saya, kalau kita mahu betul-betul kenyang suatu hari nanti, berapa banyak ilmu yang perlu kita timba?

Berbelanja ke arah pendidikanApabila asyik memikirkan tentang perkara ini, saya nampak lojiknya mengapa pelajar biasanya tidak nampak kepentingan menuntut ilmu sekarang. Saya faham kenapa pelajar tidak sanggup belanjakan RM15 untuk membeli kamus dan lebih rela membeli prepaid handphone. Saya faham mengapa pelajar tidak sanggup membeli buku dan lebih sanggup membeli makanan ringan atau tiket wayang.

Namun yang lebih membimbangkan, begitu ramai juga orang dewasa yang masih berfikiran seperti kanak-kanak ini. Maksud saya, mereka tidak sanggup berbelanja ke arah sesuatu yang mengenyangkan minda mereka. Malah ada orang dewasa yang tidak pernah keluarkan sesen pun ke arah kemajuan minda mereka sejak mereka tinggalkan zaman persekolahan.

Saya percaya, jika kita mahu maju seperti bangsa-bangsa lain di Malaysia dan di dunia, kita perlu bersedia untuk berbelanja untuk ilmu. Tidak perlu hairan jika kita belanja RM15, RM30, RM100 atau RM200 untuk belajar sesuatu. Jika kita bercakap besar tentang harga-harga yang kita bayar itu tadi untuk menuntut ilmu, bangsa lain akan mengetawakan kita kerana mereka berbelanja 10 hingga 100 kali ganda lebih besar daripada itu. Sebagai contoh, bagi bangsa lain, saya lihat harga purata yang dikenakan untuk program pembangunan diri untuk seorang ialah antara RM700 hingga RM1500 sehari. Mereka sanggup keluarkan belanja tersebut kerana mereka dapat lihat betapa banyak masa dan tenaga yang dapat dijimatkan apabila menghadiri program yang membolehkan mereka berdepan dengan pakar dalam sesuatu bidang.

Jimat masa dan tenaga? Bagaimana?

Contohnya, saya biasa mendengar rungutan penganjur program sama ada pihak sekolah, kolej atau universiti mengenai kos program sebanyak RM1500 sehari. Peserta yang hadir adalah antara 100 hingga 200 pelajar.

Berbelanja ke arah pendidikanKatakanlah saya ambil jumlah yang paling kecil, 100 orang pelajar. RM1500 jika dibahagikan dengan 100 orang pelajar, hasilnya menunjukkan kos seorang pelajar ialah RM15. Katakan program ini tidak mahu dijalankan kerana terlalu mahal. Ambil RM1500 itu dan berikan kepada 100 orang pelajar tadi. Jadi setiap pelajar akan menerima RM15. Persoalannya, apakah yang mampu diperolehi oleh pelajar tersebut dengan duit RM15 tersebut? Beli buku? Mungkin dapat beli sebuah buku sahaja. Mahu tuisyen? Saya pasti ia tidak cukup. Mahu makan? Kenyang selama 3-4 jam sahaja.

Katakanlah seorang pelajar dapat RM150 sekalipun dan mereka mampu membeli 10 buah buku seorang, berapa lamakah masa yang perlu diambil untuk membaca dan memahami 10 buku tersebut? Berapa banyakkah tenaga yang perlu digunakan? Apa pula akan jadi jika mereka tidak faham apa yang dibaca? Bolehkah ilmu-ilmu tersebut dikuasai?

Persoalan ini  semua banyak memberi pengajaran kepada diri saya sendiri terutama jika saya terasa berat untuk mengeluarkan belanja bagi mempelajari sesuatu. Selagi kita masih berkira untuk membayar harga untuk minda yang lapar, selagi itulah kita akan jauh ketinggalan berbanding bangsa-bangsa yang begitu kenyang minda mereka.

Next Page »