Khas


Osman AffanSaya dan sahabat, Fadzli Yusof sama-sama sedang mencari pekerja untuk membantu menguruskan syarikat kami. Sudah lebih sebulan saya terfikir untuk mengumumkannya di sini tetapi asyik terlupa akibat kesibukan menjalankan program. Apabila saya lawati laman web Tuan Fadzli Yusof pagi tadi dan baca pengumuman beliau, baru saya teringat kembali.

Tuan Fadzli Yusof sedang mencari pekerja, seorang lelaki dan saya pula sedang mencari 2 orang pekerja, seorang lelaki dan seorang perempuan. Jawatan yang dibuka ini merupakan jawatan ‘Management Executive’. Tugasnya ialah untuk membantu saya mengembangkan lagi program-program SmartStudy dan program Pembangunan Modal Insan. Maklumat lanjut mengenai skop kerja akan diberitahu dengan lebih lanjut kelak.

Ciri-ciri yang dicari ialah (seperti yang dinyatakan dalam blog Tuan Fadzli)

1. Berkelulusan minimum diploma
2. Berfikiran positif dan bersedia untuk belajar
3. Bersedia untuk bermula dari bawah
4. Keupayaan komunikasi yang baik
5. Solat tepat pada waktu
6. Tidak merokok

Jika anda berminat atau kenal sesiapa yang berminat, sila emailkan ke info@OsmanAffan.com

  1. Resume (sertakan nombor telefon atau HP untuk dihubungi)
  2. Gambar penuh atau berukuran passport

Anda akan dihubungi untuk maklumat tentang sesi temuduga.

Terima kasih.

Pelajar PMRPelajar PMRSaya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR kepada semua pelajar tingkatan 3 di seluruh Malaysia. Semoga anda semua dikurniakan ketenangan fikiran semasa menjawab soalan, kegembiraan di dalam hati selepas peperiksaan dan kejayaan yang gemilang semasa mendapat keputusan peperiksaan.

Selamat berjaya.

Osman Affan sekeluarga 

Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat hari Raya Aidil Fitri kepada semua pengunjung blog MotivasiBelajar.com. Saya memohon maaf jika ada salah dan silap sepanjang anda mengunngi blog ini. Saya doakan agar Syawal kali ini memberi lebih rahmat dan berkat untuk kita hinggalah ke Syawal yang akan datang.

Saya ucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada kad-kad raya yang saya terima. Terharu juga apabila menerima kad raya kerana sudah lama saya tinggalkan budaya indah tersebut semenjak ada sms dan email. Terima kasih juga atas sms yang saya terima. Ia membuatkan Syawal saya lebih ceria.

Salam Aidil Fitri daripada saya, Elly, Darwish dan Danish. :)

TamrinAssalamualaikum.

Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa TAMRIN akan menganjurkan majlis berbuka puasa Eksklusif untuk 50 orang sahaja. Berikut adalah maklumat mengenai majlis ini.

  • Tarikh: 24 September 2008 (Rabu)
  • Tempat: Hotel De Palma, Ampang,
  • Yuran penyertaan: RM75 seorang.

Antara yang bakal hadir ke majlis ini ialah YM Dr Tengku Asmadi, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Tuan Kamal Effendi, Tuan Fadzli Yusof, Tuan Shamsuddin Kadir dan ramai lagi. Jika anda berminat untuk beramah mesra dan berkenal-kenalan dengan perunding-perunding dan pakar motivasi muslim yang aktif di Malaysia ini, apa kata sertai kami di dalam majls ini. Untuk menyertainya, smskan nama dan nombor hp anda kepada staff saya En Arif di talian 012-9028747 dan anda akan diberitahu cara untuk mendaftarkan diri.

Semoga berjumpa di majlis berbuka puasa ini.

KLIA 

Lebih kurang pukul 3.30 petang tadi saya selamat tiba ke KLIA Sepang. Alhamdulillah perjalanan dan aktiviti saya sepanjang berada di UITM Sabah dipermudahkan. Saya akan ceritakan sedikit mengenai program tersebut esok.

Kini saya sedang menunggu penerbangan ke Kuala Terengganu bagi menghadiri mesyuarat untuk menjalankan program SmartStudy bersama guru-guru di Terengganu. Insyaallah program ini akan dijalankan dengan usahasam Pusat Minda Terengganu dan juga Jabatan Pendidikan Terengganu. Tidak sabar pula rasanya hendak sampai bila memikirkan hendak berbuka puasa bersama keluarga dan juga makanan-makanan Terengganu. :)

Assalamualaikum. Dengan sukacita dan rendah dirinya saya menjemput pembaca dan pengunjung blog ini untuk menonton rancangan Motivasi Pagi TV3 Ahad ini, 7 September 2008 pukul 7 pagi. Slot ini dikendalikan oleh saya sendiri mengenai ‘Puasa dan Peperiksaan’.

Selamat menonton. :)

Di sini saya berikan tarikh yang diberikan kepada saya untuk tayangan 5 rakaman tadi. Tayangan bermula pada pukul 7 pagi.

Ahad 17/8/2008     Tajuk: Pengisian masa cuti (Apa yang sepatutnya dilakukan dalam masa cuti sekolah)

Ahad 24/8/2008     Tajuk: Persediaan memulakan sekolah (Persediaan untuk memulakan cuti sekolah)

Ahad 7/9/2008       Tajuk: Puasa & Peperiksaan

Ahad 12/10/2008  Tajuk: Persiapan akhir menjelang peperiksaan

Ahad 19/10/2008  Tajuk: Tenang menjawab soalan

Selamat menonton. :)

Sahabat baik saya Rezuan dan Che Nur daripada Institusi Kemahiran Showme (www.Showme.com.my) , Kuala Terengganu sedang mengusahakan satu kelab video tutorial yang dinamakan kelab Showme. Kelab ini akan memberikan video-video tutorial percuma tentang komputer.

Apa yang menarik ialah banyak tutorial percuma yang akan diberikan untuk pengetahuan asas komputer. Menurut pengalaman saya mengendalikan program keusahawanan internet, masih ramai yang tidak ada kemahiran asas komputer. Jika tidak silap saya, nanti kelab ini juga akan memberi tutorial percuma tentang bagaimana cara membina laman web, blog dan sebagainya.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai kelab ini di sini. ==> Kelab Showme. Lawati juga laman web utama mereka www.Showme.com.my

Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa kepada semua kenalan dan pengunjung blog motivasibelajar.com ini.

Semoga Ramadhan Al-Mubarak tahun ini membawa seribu satu rahmat dan nikmat untuk kejayaan kita di dunia dan akhirat.

Sekadar satu pengumuman kecil mengenai chatbox yang biasa ada di sebelah kanan blog ini. Saya telah keluarkannya seketika kerana terlalu banyak iklan dan pop-ups yang keluar di blog ini disebabkan oleh chatbox tersebut. Insyaallah saya akan cari ruangan komen versi lain pula nanti. :)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Osman AffanHmm… sudah hampir sebulan saya menyepi tanpa sebarang posting di sini. Nak kata tak masuk blog, tidak juga. Nak kata tidak ada idea, tidak juga. Saya sebenarnya 3-4 minggu kebelakangan ini agak sibuk dengan program dan sibuk dengan pembinaan modul terbaru saya untuk teknik memori.

Sekadar berkongsi, kali pertama saya membeli buku berkenaan teknik memori ialah pada tahun 2000. Ketika itu saya masih lagi bekerja sebagai sales executive di sebuah syarikat alat pencegah kebakaran di Kelana Jaya. Walaupun buku itu tidak ada kena mengena dengan kerjaya saya, ia benar-benar menarik minat saya kerana itulah minat sebenar yang ada dalam diri saya. Daripada buku itu, saya praktikkan beberapa teknik untuk menghafal. Daripada buku itu juga, saya bina modul teknik asas menghafal untuk SmartStudy (anda boleh baca teknik asas memori di dalam ruangan kompilasi tips dan petua).

Namun, untuk lebih maju, kita tidak boleh bergantung kepada satu buku atau satu seminar sahaja. Saya pernah jumpa beberapa orang dewasa yang terlalu berbangga kerana pernah pergi beberapa kursus atau baca beberapa buah buku. Saya percaya itu belum mencukupi dan kita tidak patut berbangga dengan kursus atau buku yang pernah kita hadiri dan baca. Ini kerana perasaan bangga boleh menyebabkan kita lupa diri, tidak terbuka kepada idea baru dan mula tidak mendengar nasihat dan pandangan orang lain.

Dipendekkan cerita, bulan lepas saya terjumpa dan terbeli :) beberapa buku baru tentang teknik memori. Selama ini saya sangka buku teknik memori lebih kurang sama sahaja isi kandungannya tetapi ternyata saya salah. Buku yang baru saya baca itu membuka minda saya dengan lebih luas. Malah ia memberi saya idea baru bagaimana saya boleh majukan lagi modul teknik memori saya agar dapat membantu pelajar mengingati apa yang mereka pelajari. Inilah sebab utama mengapa saya menyepi dalam masa 4 minggu sebenarnya. Terlalu seronok membina dan mempraktikkan teknik-teknik memori baru bagi saya.

Kepada sahabat-sahabat yang menghantar sms bertanyakan khabar, saya ucapkan terima kasih. Mereka ini semua agak prihatin dan tertanya-tanya mengapa lama blog ini tidak dikemaskini dengan maklumat terbaru.

Kepada pengunjung setia blog ini yang menghantar email bertanya khabar dan bertanya soalan juga saya ucapkan terima kasih. Ucapan itu semua sentiasa membantu meningkatkan motivasi dalaman diri saya untuk terus berusaha dan berjaya.

Terima kasih.

sekadar gambar hiasanSaya perlu mengambil peluang ini untuk mengumumkan kepada pengunjung laman web ini mengenai peluang belajar teknik email melalui seminar pendek anjuran sahabat baik saya, Dino. Selain pelajar, saya sedar sebahagian besar pengunjung blog ini ialah usahawan dan individu yang meminati bidang keusahawanan (berdasarkan email dan mesej yang saya terima).

Jadi ini adalah satu peluang keemasan. Bagi saya, Dino adalah pakar dalam bidang internet marketing terutamanya ‘email marketing’ kerana selama ini beliaulah yang banyak membantu meningkatkan perniagaan saya melalui teknik tersebut. Saya juga katakan ini adalah peluang keemasan kerana yuran yang Dino kenakan untuk program ini cuma RM50 sahaja! Terkejut juga saya pada mulanya kerana sangka Dino bergurau. Tapi…. memang betul, cuma RM50. Satu perkara lagi, kepada yang belum mengenali beliau, inilah peluang untuk berkenalan dan bertukar-tukar pandangan tentang perniagaan.

Namun seminar ini akan dijalankan di KL. Untuk maklumat lanjut, apa kata anda hubungi beliau sendiri atau lawati laamn web beliau di http://www.inoutmarketing.com/training/.

Selamat belajar. :)

Majalah Fokus SPMSemalam saya dan isteri keluar untuk membeli rak buku. Sudah hampir 2 tahun rasanya saya bercadang nak membeli satu rak buku baru untuk buku-buku saya yang selalu bersepah-sepah di dalam bilik saya. Ini kerana rak buku lama saya agak kecil.

Setelah membeli dua rak buku baru, mulalah proses mengemas dan menyusun semula buku-buku saya itu. Dalam sibuk-sibuk mengemas, saya terjumpa satu majalah Fokus SPM keluaran September 2006. Hmmm…. pelik juga, kenapa saya ada majalah tersebut sedangkan saya belum lagi menulis untuk Fokus SPM ketika itu. Setelah saya fikirkan buat seketika, baru saya teringat, saya beli majalah itu bersama beberapa majalah lain kerana saya memasang cita-cita untuk menulis di dalam majalah untuk pelajar.

Ketika itu, saya beli beberapa majalah yang berkaitan dengan pelajar dan remaja. Saya ada terfikir untuk menulis kepada editor majalah bagi memohon ruang untuk saya menulis. Namun, ketika itu saya mula sibuk dan terlupa tentang niat ini buat beberapa ketika.

Beberapa bulan kemudian, saya dihubungi oleh seorang sahabat lama. Beliau bertanya sama ada saya berminat untuk menulis di dalam ruangan teknik belajar bagi satu majalah. Tanpa berfikir panjang, tentulah saya setuju! Saya pun dihubungi oleh editor (Puan Shahriza) dan kami berbincang mengenai ruangan ini. Akhirnya, saya diterima setelah saya hantarkan cadangan topik untuk sepanjang tahun. Tulisan pertama saya di majalah Fokus SPM bermula pada Mac 2007.

Saya percaya ini adalah satu kehebatan akal fikiran kita. Bila kita letakkan niat, cita-cita dan matlamat untuk mencapai sesuatu, kita akan mula melihat atau terlihat cara untuk mendapatkannya. Saya beli majalah Fokus SPM dengan niat untuk menjadi salah seorang penulisnya dan niat saya itu telah dipermudahkan. Bagaimana dengan anda? Apakah yang anda mahu capai? Apakah satu perkara yang anda ingin sangat dapat hingga anda sanggup lakukan apa sahaja (asalkan dengan cara baik) untuk mendapatkannya?

Apa kata hari ini anda ambil sekeping kertas dan tuliskan apa yang anda mahukan itu. Jika anda sudah tulis, apa kata anda cari satu perkara yang boleh dilakukan untuk mendekatkan diri anda kepada matlamat itu. Seperti saya, langkah yang saya ambil ialah membeli majalah tersebut. Fikirkan….. apa yang boleh anda lakukan sekarang. Ini penting kerana langkah yang anda ambil itu akan memberi minda anda isyarat bahawa anda bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Jadi, minda anda juga akan membantu anda.  Siapa tahu, anda akan alami pengalaman seperti saya tidak lama lagi. :)

Sabtu lalu, saya luangkan sehari masa saya bersama beberapa orang penulis PTS di Pesta buku 2008 PWTC. Fuh….. ramai sungguh pengunjung pesta buku ini. Walaupun saya rasa macam susah nak bernyawa, rasa bangga memenuhi diri saya melihat begitu ramai rakyat Malaysia yang sudah mula menjadikan acara mengunjungi pesta buku sebagai acara yang menyeronokkan. Ini juga menggambarkan semangat dan minat membaca dikalangan rakyat Malaysia sudah meningkat dengan begitu ketara sekali. Tahniah untuk rakyat Malaysia! :)

Saya berada di tapak jualan PTS (yang terletak di seberang sungai). Walaupun terletak di seberang sungai, nampaknya tapak ini dipenuhi pengunjung dari awal saya tiba hinggalah ke petang. Kuat juga pengaruh publisher saya ni ye. :)

Mulanya saya bercadang untuk melawat sambil berjumpa penulis tetapi entah bagaimana saya diberi peluang untuk berada di sudut penulis untuk berbicara bersama pengunjung. Mahu tidak mahu, terpaksalah saya memegang microphone buat seketika. Cuma ada satu masalah…….

Saya terfikir, siapa mahu dengar penulis bercakap disudut tersebut sedangkan pengunjung sibuk mencari dan membelek buku? Siapa yang mahu datang mendengar apa yang saya katakan sedangkan tempat itu agak meriah dengan bising dengan bunyi suara para pengunjung? Akhirnya, apabila microphone diserahkan kepada saya, datang satu idea……. saya pun mula menjerit (bercakap dengan kuat la kiranya ni….. hehe)

“Siapa yang ada masalah lupa bila baca buku…datang rapat….! Siapa yang baca buku 2 muka surat kemudian lupa 4 muka surat, datang rapat! Siapa yang rasa anak mereka lebih suka tengok tv daripada baca buku, datang rapat! Siapa yang sifir pun tak hafal-hafal sampai sekarang, datang rapat kalau nak tahu macam mana nak selesaikkan masalah tu! Siapa yang nampak buku Sejarah je dah mula menguap, datang rapat!”

hehe… saya rasa macam jual ubat pun ada. Seronok juga rupanya. Di depan saya yang kosong tadi mula ada beberapa pengunjung. Apa yang seronoknya, semasa saya menjerit tadi, saya boleh lihat reaksi ramai pengunjung yang seolah-olah rasa apa yang katakan kena tepat kepada diri mereka. Ada yang tersenyum-senyum sambil menunjukkan kepada anak mereka atau kawan mereka yang terkena batang hidung apa yang jeritkan tadi.

Hasilnya, hampir sejam masa saya luangkan di sudut itu, penuh juga dengan pengunjung terutamanya pelajar dan ibu bapa yang mahu mendapatkan nasihat dan pandangan saya mengenai motivasi dan teknik belajar. (Saya jawab soalan tanpa menggunakan microphine.)Buku saya yang ada di rak dan simpanan PTS di situ juga habis dijual kerana pengunjung mula membeli untuk mendapatkan tandatangan saya. Hmmm… bagus juga ye… :) Kenapa la saya tak datang hari-hari kat sana ye? hehe….

Apa-apa pun, pengalaman di pesta buku ini memang hebat. Terima kasih kepada krew-krew PTS di atas sokongan kepada saya. Terima kasih juga kepada sahabat saya Shamsuddin Kadir yang banyak menghiburkan dan menemankan saya sepanjang masa saya berada di sana. :)

Anne NgasriSelasa lalu saya berpeluang berada bersama Anne Ngasri mengendalikan beberapa slot pendek untuk rancangan Cahaya Permata siaran RTM1 tidak lama lagi. Rancangan ini ialah rancangan panduan untuk kaum ibu tentang bagaimana cara menguruskan anak bermula peringkat mengandung, lahir hingga anak-anak menjadi dewasa. Segmen yang melibatkan saya ialah segmen di mana anak-anak sudah berusia 7 hingga 9 tahun.

Ini kali pertama saya bertemu dengan pelakon yang terkenal ini. Dulu selalu tengok lakonan beliau di dalam rancangan cili padi. Kemudian saya ingat beliau ada berlakon dalam iklan Fair & Lovely (hehe… itulah soalan saya kepada beliau…”yang berlakon dalam iklan fair & lovely tu Anne la kan?  :)   )Tidak sangka boleh berjumpa dan bekerjasama dalam segmen Cahaya Permata ini. Entah macam mana saya boleh bercerita pula kepada Anne tentang bagaimana menggunakan teknik memori untuk menghafal skrip. Hmm… tersenyum juga saya bila Anne kata kalau beliau dah kenal saya masa zaman beliau belajar dulu, mesti beliau boleh skor subjek-subjek yang susah nak ingat. :)

Seperti dirancang-rancang pula. Baru sahaja saya ceritakan tentang perumpamaan menghadiri kursus motivasi, soalan ini juga ditanyakan kepada saya semasa segmen ini. Jadi, jika anda ada baca posting saya beberapa lepas mengenai mengapa saya kata menghadiri kursus bukan macam buat kek tetapi mamcam buat ukiran batu, ini jawapannya.

Apabila kita mengukir batu, banyak ketikanya kita perlu mengetuk beberapa kali tetapi hasilnya langsung tidak kelihatan. Kita tidak boleh mengetuk dengan terlalu kuat kerana batu itu akan pecah. Jadi, walaupun kita mengetuk dengan perlahan dan kelihatan seolah-olah tidak ada kesan, perubahan akan kelihatan juga nanti.

Begitu juga dengan menghadiri kursus. Sekali datang mungkin tidak berubah. Tetapi setelah beberapa kali datang kursus yang berbeza-beza, minda pelajar akan mula mengesan beberapa corak pemikiran positif. Minda pelajar juga akan mula menerima beberapa corak pemikiran positif sebagai corak pemikiran mereka sendiri. Hasilnya, mereka mula menyerap segala ilmu yang disampaikan dalam kursus dan mula mampu mengaplikasikannya dengan berkesan.

Apabila ini sudah berlaku, kursus atau mana-mana majlis ilmu yang dihadiri oleh pelajar akan membuahkan hasil yang berlipat kali ganda. Ini semua kerana mereka sudah biasa dengan kursus-kursus begitu dan sudah boleh menerima apa yang diajarkan dengan cepat.

Nasihat saya kepada diri saya sendiri dan anda semua, sebanyak mungkin, hadiri kursus atau majlis-majlis ilmu yang boleh menambahkan lagi pengetahuan kita. Tanam kepercayaan bahawa setiap majlis ilmu yang dihadiri pasti memberikan hasil yang lumayan suatu hari nanti walaupun ia langsung tidak kelihatan sekarang.

Selamat berjaya! :)

Assalamualaikum w.b.t

Insyaallah saya akan berada di pesta buku pada hari Sabtu ini. Asalnya ada program lain yang hendak dilaksanakan, namun nampaknya idea berada bersama rakan-rakan penulis di pesta buku kelihatan lebih menarik. Jadi saya akan berada di booth PTS Publishing dari awal pagi (mungkin pukul 10.30) hingga pukul 2 atau 3 petang. Jika anda ke sana juga Sabtu ini, jangan lupa singgah di booth PTS. Manalah tau kita boleh bersua muka dan bertukar-tukar pendapat, soalan atau pandangan.

Jumpa anda di sana. :)

« Previous PageNext Page »