Mutiara Kata


Bijak adalah apabila anda merasa tidak pandai dan mula menumpukan perhatian untuk mempelajari sesuatu. ~Osman Affan~

gelasJika anda datang ke sesuatu majlis ilmu seperti pergi ke sekolah, menghadiri kuliah, menghadiri seminar atau menghadiri kursus, anda tidak dapat pelajari sesuatu jika anda datang dalam keadaan “gelas yang penuh”. Bayangkan sebiji gelas yang penuh dengan air. Bolehkah anda menuangkan air lagi ke dalamnya? Tidak boleh bukan.

Masalahnya yang ingin saya utarakan, banyak orang yang hadir sesuatu majlis ilmu dengan tanggapan mereka sudah tahu semuanya, sudah pandai dan mereka lebih baik daripada pensyarah atau penceramah dihadapan. JIka ini mentaliti yang anda gunakan, anda akan rugi kerana anda pasti tidak akan pelajari apa-apa.

Ini kerana, apabila anda rasa anda sudah tahu, anda mula memandang rendah dan memperlekehkan apa yang diajarkan. Jadi, anda tidak akan mendengar dengan teliti dan tidak mampu menumpukan perhatian. Akhirnya, anda tidak akan belajar apa-apa. Persoalan saya, jika anda hadiri majlis ilmu untuk belajar tetapi anda tidak mampu belajar apa-apa, adakah anda tergolong dalam golongan orang yang pandai?? :)

Tanpa halangan, matlamat bukanlah suatu impian. ~Osman Affan

halangan

Saya secara peribadi suka falsafah hidup saya ini. Apabila anda mahukan sesuatu, anda boleh tahu sama perkara itu benar-benar atau tidak berdasarkan halangan yang perlu anda tempuhi. Semakin besar halangan yang perlu anda tempuhi, semakin besar nilainya matlamat anda itu.

Di dalam program-program yang pernah saya jalankan, maksud kata-kata ini boleh ditunjukkan dengan membuat peserta melalui halangan-halangan fizikal. Semakin susah halangan fizikal itu, semakin besar maknanya kepada peserta.

halangan1

Contohnya, ada satu aktiviti repelling di mana peserta perlu turun dengan tali daripada tempat tinggi. Ini benar-benar menguji keberanian dan ketabahan peserta terutamanya yang takutkan ketinggian. Tetapi, setelah mereka berjaya atasi halangan itu, mereka rasa lebih bersemangat dan yakin untuk menempuhi cabaran-cabaran yang lain. Keyakinan ini akan membuat mereka berjaya suatu hari nanti. :)

“Lihat dunia dari mata burung, atau lihat dari bawah tempurung…..”~Lagu M. Nasir.

Saya terdengar lagu ini dimainkan sebentar tadi. Saya memang suka lagu ini, penuh makna walaupun saya mungkin tidak tahu kesemuanya. :)
Persoalannya, adakah anda melihat dunia dari mata burung atau anda lihat dari bawah tempurung? Jika anda lihat dunia dari bawah tempurung, dunia anda akan kelihatan sangat kecil dan sempit. Anda akan hidup dalam ketakutan kerana anda tidak tahu apa yang ada di luar tempurung itu. Ini perumpamaan pelajar yang berfikiran sempit dan cetek. Mereka cuma lihat apa yang didepan mata sahaja. Apa yang ada di depan mata?……….. Ya…. keseronokan…… seronok bermain jadi tak suka belajar…. seronok tidur jadi tak suka mengulangkaji…..

Jika anda lihat dunia dari mata burung pula, dunia akan kelihatan sangat luas. Anda akan lihat ada hutan belantara yang terbentang di hadapan anda, tetapi anda tidak risau kerana anda boleh nampak ada satu tempat yang sangat indah disebalik hutan belantara itu.

Ini perumpamaan untuk pelajar yang berpandangan jauh. Mereka sedar belajar itu susah dan kadangkala menyakitkan. Tetapi mereka boleh lihat kenikmatan dan kegembiraan yang akan mereka kecapi di masa akan datang. Jadi, mereka teruskan juga usaha mereka tanpa putus asa. tidak hairanlah mengapa mereka berjaya……… :)

Perubahan adalah sesuatu yang tidak menyelesakan. Namun, tanpa perubahan, anda hanya boleh mengharapkan hasil sebagaimana yang telah anda kecapi selama ini sahaja. ~Osman Affan~

Perubahan membuat anda tidak selesa kerana anda akan keluar daripada zon selesa anda. Insyaallah esok saya akan ceritakan dengan lebih lanjut mengenai konsep zon selesa.

Kekuatan tidak bermakna tanpa beban dan usaha tidak bermakna tanpa kesungguhan. ~Osman Affan~

Pernahkah anda terfikir bahawa anda sering bernasib malang kerana selalu ditimpa masalah? Satu pengajaran yang ingin saya kongsikan disini, bagi setiap masalah yang melanda, pasti ada peluang yang menanti disebaliknya. Ini semua terpulang kepada cara anda melihat kepada masalah tersebut.

Jika anda fokuskan kepada masalah itu sahaja, fikiran anda akan dipenuhi dengan masalah tersebut dan anda pasti tidak akan dapat menyelesaikannya. Tetapi anda fokuskan kepada apakah kelebihannya jika anda berjaya menyelesaikan masalah tersebut, anda pasti akan mendapat jawapannya dan menikmati hasilnya. :)

Memburu kejayaan tidak seperti menjamu selera di kedai makan; makan dahulu bayar kemudian. Memburu kejayaan umpama menanam pokok buah-buahan. Tanam, jaga dan nikmati hasilnya kemudian. ~Osman Affan

Jika diberi peluang, semua pelajar mahu menjadi cemerlang. Jika diberi peluang, semua pelajar mahu berjaya dalam hidup. Namun, anda perlu ingat bahawa, jika anda tidak faham konsep di atas, anda akan jadi tidak sabar untuk mengecap sesuatu yang menyeronokkan. Benar, kejayaan adalah menyeronokkan, tetapi bolehkah anda bersabar dan berusaha untuk mengecapinya?

Pelajar yang gagal biasanya tidak sabar untuk mengecapi sesuatu yang menyeronokkan. Lambat sangat nak tunggu seronok dapat keputusan cemerlang, penat pulak tu kena belajar. Jadi, macam mana nak seronok cepat? –> Melepak…seronok cepat….. ponteng sekolah…seronok cepat……. ikut kawan hisap rokok…seronok cepat…… main-main dalam kelas…seronok cepat…..

Malangnya, apa yang cepat menyeronokkan ini selalunya akan menjadi sesuatu yang sangat-sangat menyakitkan dalam jangka masa panjang…..

Satu rahsia untuk hidup aman, tenang dan sejahtera sepanjang hayat ialah dengan memaafkan semua orang setiap malam sebelum anda tidur. ~Bernard Baruch~

Mungkin anda ada disakiti oleh kawan-kawan anda. Mungkin anda ada tersinggung atau kecil hati akibat kata-kata kawan anda. Sedar atau tidak, anda boleh pilih sama ada mahu terus rasa sakit atau mahu lupa kesakitan itu dan hidup dengan tenang. Caranya amat mudah, setiap malam sebelum tidur, maafkan semua kesalahan sesiapa yang pernah buat kesalahan dengan anda. Perkara ini pasti sukar pada mulanya, tetapi dengan memaafkan orang lain, anda akan mula rasakan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup anda.

Selamat mencuba. :)

Fungsi membaca kepada minda adalah umpama fungsi senaman kepada tubuh badan kita. ~Joseph Addison 

Saya kagum melihat sahabat-sahabat dan kenalan saya yang berjaya menimba ilmu melalui pembacaan. Saya juga kagum melihat orang-orang yang berjaya yang benar-benar suka membaca. Benar pepatah melayu mengatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Jika anda tidak dapat mencapai ilmu, membaca umpama membina jambatan yang menyambungkan anda dan ilmu.

osman affanMembaca membuat minda anda lebih cergas. Membaca membuat anda lebih yakin untuk berbicara. Membaca juga membuat fikiran anda lebih terbuka kerana anda telah terdedah kepada pelbagai idea, cerita kehidupan dan budaya yang berlainan.

Matlamat tanpa usaha adalah angan-angan. Usaha tanpa matlamat umpama berjalan tanpa tujuan. Matlamat beserta usaha pasti menghasilkan kejayaan. ~Osman Affan

Saya percaya anda ada matlamat, sebab itulah anda membaca petua harian ini untuk membantu usaha anda. Tips-tips motivasi diri menjelang peperiksaan sepanjang minggu ini  menekankan tentang usaha anda untuk mencapai kejayaan. Walaupun ia mungkin kelihatan mudah, ia tidak begitu mudah untuk dipraktikkan. Saya sendiri juga sentiasa perlu mengingatkan diri saya supaya sentiasa mengamalkan tips-tips yang saya kongsikan bersama anda di sini.

Saya percaya anda tidak semestinya perlu baca 1000 petua untuk mencapai kejayaan. Selalunya, hanya dengan satu petua sahaja yang benar-benar dipraktikkan dan diamalkan, apa yang anda ingin kecapi selama ini akan tercapai. Persoalannya, sanggupkah anda anda berubah daripada tabiat lama kepada tabiat yang boleh membawa anda ke arah kejayaan?

Bagi setiap usaha yang disertai dengan disiplin, pasti akan ada ganjaran yang berganda. ~Jim Rohn

Semasa menjalankan sesi kaunseling, saya dengar banyak cerita daripada ibu bapa tentang anak-anak mereka yang mulanya cemerlang di dalam darjah 1,2 dan 3 tetapi kemudian semakin merosot apabila masuk darjah 4 ke atas. Apakah puncanya? Jika saya tanya ibu bapa apakah puncanya, apa agaknya jawapan mereka?

Majoriti ibu bapa meneka puncanya ialah cikgu yang mengajar dan juga keadaan sekolah yang tidak terkawal. Apa pendapat anda?

Perkara terbaik yang harus kita buat ialah elakkan dari menuding jari ke arah orang lain. Tuding jari ke arah kita dahulu. :) Saya akan kongsikan sedikit pemerhatian saya terhadap perkara ini.

JIka anda cemerlang diperingkat bawahan dan kemudian semakin menurun, besar kemungkinannya anda mempunyai potensi kelebihan intelek. Maksud saya, anda mempunyai kelebihan untuk belajar sesuatu dengan mudah. Jadi, anda berpeluang untuk menjadi pelajar yang sangat cemerlang. Tetapi kenapa prestasi anda semakin menurun?

Ia berlaku kerana anda tidak mempunyai disiplin belajar. Pada peringkat bawahan, anda boleh menjawab dengan baik dalam peperiksaan kerana anda mudah ingat apa yang cikgu anda ajar di dalam kelas. Jadi, walaupun tanpa ulangkaji, anda boleh menjawab dengan baik. Selepas darjah 3 ke atas, pembelajaran bukan sahaja anda perlu faham apa yang cikgu ajar di dalam kelas, tetapi anda perlu buat latihan tubi supaya ilmu itu sebati dengan anda.

Mungkin di sinilah kurangnya anda. Anda mungkin terasa yang menjawab peperiksaan tidak semudah dulu. Sebabnya, dulu anda tidak perlu mengulangkaji, tetapi kini disiplin untuk mengulangkaji dan membuat latihan adalah sangat penting.

Jadi, jangan risau jika prestasi anda semakin merosot. Anda bukan semakin bodoh. Apa yang perlu anda lakukan? Disiplinkan diri untuk mengulangkaji setiap hari dan membuat latihan matapelajaran anda. Insyallah, anda akan lihat prestasi anda meningkat semula. Inilah yang Jim Rohn maksudkan dengan ganjaran yang berganda.  :)
 

Imaginasi adalah lebih penting daripada kebijaksanaan. ~Albert Einstein

Imaginasi adalah sesuatu yang amat berguna kepada pelajar. Ia boleh membuat pelajar merasa bahawa belajar itu susah, atau belajar itu senang. Maksudnya, jika di dalam imaginasi pelajar itu menunjukkan bahawa belajar itu adalah perkara susah, maka pelajar itu pasti merasa susah semasa hendak belajar.

Begitu juga sebaliknya jika imaginasi pelajar menunjukkan bahawa belajar itu mudah dan menyeronokkan, ia akan menjadi nyata.

Jadi, jika anda belajar itu susah, periksa semula apakah imaginasi anda terhadap pelajaran?

 

Bodoh adalah apabila anda merasa terlalu pandai dan tidak mahu mendengar nasihat orang lain. ~Osman Affan

Saya tidak suka bercakap tentang perkataan bodoh sebenarnya kerana ia amat sensitif dan kalau disalah guna akan mendatangkan akibat yang tidak baik dalam jangka masa panjang. Saya selalu ingatkan sahabat-sahabat saya agar jangan sekali-kali menggunakan perkataan ‘bodoh’ kepada pelajar kerana kesannya sangatlah tidak baik.

Apa yang kita perlu ingat ialah, bodoh ini bukan satu sifat. Maksudnya, kalau tak tau jawab soalan, itu bukan bodoh. Kalau gagal dalam peperiksaan itu bukan bodoh. Bodoh ini ialah satu sikap. Ia adalah satu sikap anda bila anda merasa terlalu pandai dan mula tidak mahu mendengar nasihat atau pendapat orang lain.

Disekolah, saya pernah bertemu dengan murid sebegini. mereka ini selalu mencari kesalahan guru dan mentertawakan guru jika guru ada membuat kesilapan. Elakkan sejauh-jauhnya daripada menjadi pelajar sebegini.  :)
 

Jangan bazirkan tenaga anda untuk mencari alasan. Sebaliknya, gunakan segala keupayaan anda untuk mencari dan mencipta jalan penyelesaian. ~Osman Affan

Kenapa kerja sekolah tak siap? “Rumah saya ada kenduri semalam cikgu.”

Kenapa tak datang kelas tambahan semalam? “Kawan-kawan tak beritahu saya ada kelas cikgu.”

Kenapa gagal dalam ujian ni? “Cikgu ajar tak jelas. Lagi pun saya memang lemah sikit subjek ni.”

Semakin banyak kita gunakan keupayaan kita untuk mencipta alasan, semakin kurang keupayaan kita untuk mencari jalan penyelesaian. Akhirnya, kita akan sentiasa tersekat di takuk lama.

Setiap kali ada masalah, elakkan dari menuding jari ke arah orang lain. Cari kesilapan dari dalam diri sendiri dahulu kerana di situlah selalunya punya kebanyakan masalah kita. Bila kita sudah akui kesilapan kita, lebih mudahlah untuk kita perbaiki dan majukan diri kita sehingga berjaya.

 

Memburu kejayaan tidak seperti menjamu selera di kedai makan; makan dahulu bayar kemudian. Memburu kejayaan umpama menanam pokok buah-buahan. Tanam, jaga dan nikmati hasilnya kemudian. ~Osman Affan~

Ada masanya kita terlalu tidak sabar untuk mengecap kejayaan. Hari ini kita belajar, esok lusa kita sudah mahu berjaya dengan cemerlang. Ada yang lebih malang lagi, mahu berjaya dahulu dengan cemerlang baru mahu ada semangat untuk berusaha.

Kita perlu ingat, kalau kita bersifat tidak sabar dalam mengejar kejayaan, kita akan mula mencari sesuatu aktiviti yang memberikan kepuasan dengan cepat. Contohnya, ada orang yang mahu menjadi kaya tetapi tidak sabar kerana usaha untuk menjadi kaya akan memakan masa yang lama, mungkin bertahun-tahun. Jadi, apa mereka lakukan? Mereka beli nombor ekor, dengan harapan, jika kena, mereka akan kaya dengan segera.

Malang juga kerana saya tahu ada orang yang bertahun-tahun habiskan masa beli nombor ekor tapi masih juga tidak kaya. Malah, jika masa yang bertahun-tahun itu dihabiskan dengan berusaha di atas jalan yang halal dan diberkati, sudah pasti mereka akan kaya raya sekarang. Fikirkanlah…..

 

Pelajar tanpa kemahiran belajar umpama mekanik yang tidak tahu membaiki kereta. ~Osman Affan~

Kita selalu dengar orang mengatakan bahawa jika anda selalu gagal dalam peperiksaan, anda mungkin seorang yang bodoh. Ada juga yang sanggup mengatakan yang otak anda lembab jika anda tidak mampu memahami apa yang cikgu anda ajarkan. benarkah begitu?

Saya tidak percaya itu semua. Saya percaya bahawa, jika anda tidak mendapat keputusan yang baik, mungkin anda masih tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi sebagai seorang pelajar.

Sebagai pelajar, anda perlu banyak menghafal fakta, tetapi anda tidak tahu kemahiran menghafal, jadi anda gagal. Sebagai pelajar anda perlu banyak membaca, tetapi anda tidak boleh membaca dengan kadar yang pantas, jadi anda gagal membaca semua bahan bacaan yang perlu anda baca.

Apa yang perlu anda sedar di sini bahawa, jika kegagalan anda disebabkan oleh kekurangan kemahiran, bolehkah anda lakukan sesuatu?? Ya, sudah tentu anda boleh lakukan sesuatu. Kuasai semua kemahiran belajar yang boleh membantu anda.

 

« Previous PageNext Page »