Soft Skills


English SeminarSaya baru sahaja dimaklumkan oleh sahabat baik saya Coach Ridz dan Coach Sha yang mereka akan mengadakan bengkel Bahasa Inggeris untuk guru tadika di Akademi Irsyadiah, seksyen 7 Shah Alam pada 22 Ogos (Jumaat). Yuran penyertaan yang dikenakan cuma RM50 dan bengkel ini terhad dan eksklusif kepada 20 peserta sahaja. Saya sendiri rasa terkejut dengan harga yang sangat rendah dan jumlah peserta yang sangat rendah ini. Ini menyebabkan saya buat keputusan untuk turut sama datang dan menyertai bengkel ini.

Saya pernah lihat Coach Ridz dan Coach Sha menyampaikan program sebelum ini. Banyak sungguh yang dapat saya pelajari daripada mereka. Ia menyebabkan sayaEnglish Seminar mahu datang ke program mereka setiap kali saya mempunyai kesempatan. Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program ini atau ingin menmpah tempat yang terhad ini, anda boleh hubungi coach Sha di coachsha@englishguru.com.my atau sms 012-201 7353.

Anda juga boleh lawati laman web mereka di www.EnglishGuru.com.my

 Gathering Wang Cyber

Semalam saya berada di Kelab Golf Bukit Jalil bagi menghadiri satu perhimpunan yang dianjurkan oleh pengasas Wangcyber, saudara Shuth. Perhimpunan ini diadakan dengan tujuan untuk memberi peluang kepada ahli berkenal-kenalan diantara satu sama lain sambil membuka mata untuk melihat peluang jalinan perniagaan yang boleh diwujudkan.

Saya lihat banyak nama-nama besar dalam arena Internet Marketing Malaysia yang muncul di sini. Banyak juga nama-nama yang biasa saya dengar tetapi belum pernah berjumpa, dapat saya jumpa hari ini. Antara yang saya temui buat pertama kali ialah Alang, Labanon, Yusri Jom seminar, Syed Ikhwan, Farid rahsiakambing.com, Syukri pakarhowto.com dan beberapa orang lagi yang tidak sempat saya nak tulis nama-nama mereka.

Gathering Wang Cyber 

Saya ditugaskan untuk menjadi moderator forum ringkas yang diadakan. Yang menjadi ahli panel forum tersebut ialah nama yang sangat dikenali dalam dunia internet marketing Malaysia iaitu Sabri SaifulSham, Gobala Krishnan dan Yusri JomSeminar. Kecil rasanya diri saya bila menemuramah orang-orang yang hebat begini. Mesej terpenting yang cuba disampai oleh ahli panel ialah jika seseorang usahawan internet sanggup berusaha keras, meluangkan masa dan belajar untuk sentiasa berubah mengikut perubahan semasa, mereka pasti boleh berjaya. Saya sangat setuju dengan pendapat ini.

Akhir sekali, saya sangat kagum dengan kejayaan pertemuan ini. Shuth ada memberi ucapan bagaimana WangCyber mula-mula ditubuhkan. Saya percaya objektif penubuhan tersebut sangat murni kerana ia boleh mendidik rakyat Malaysia yang hanya menyangka perniagaan internet adalah sama dengan skim cepat kaya. Semoga usaha murni Shuth dan WangCyber ini akan terus mendapat sokongan dan terus diberkati Allah.

Akhir kata, tahniah kepada yang hadir. Tahniah terbesar buat Shuth dan krew yang menjayakan pertemuan ini. Semoga dapat bertemu lagi di dalam pertemuan-pertemuan yang berikutnya. :)

Untuk maklumat lanjut, anda boleh baca di sini. http://www.wangcyber.com/umum/wc-gath-successfull/

 Universiti Putra Malaysia

Selepas selesai program bersama UDM di Terengganu, saya bergegas ke KL semula untuk menjayakan program bersama mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia. Program ini bertajuk ‘Strategi Pembelajaran Cemerlang’. Sangat menarik dan cantik banner yang digunakan untuk program ini.

Program kali ini saya diminta menekankan tentang kepentingan menetapkan matlamat untuk pelajar. Saya kongsikan bersama pelajar beberapa langkah dalam menetapkan matlamat dan bagaimana mahu menaikkan semangat belajar dengan menulis matlamat yang benar-benar bertenaga dan hebat. Matlamat yang hebat selalunya adalah sesuatu yang agak mendebarkan untuk dicapai kerana kita ada rasa bimbang jika ia hanya menjadi angan-angan kosong. Namun ia mesti mampu membuat kita rasa bersemangat setiap kali kita membayangkan saat di mana ia tercapai.

Universiti Putra Malaysia 

Dalam masa yang sama, saya kongsikan tips ringkas bagaimana pelajar boleh menggunakan teknik belajar yang berkesan dalam menghafal apa yang mereka pelajari. Pesan saya kepada pelajar ialah tidak perlu menghafal semua yang mereka baca. Sebaliknya, cuma hafal kata kunci atau isi penting dan berlatih untuk mengembangkan idea daripada kata kunci tersebut.

Saya juga sempat berkongsi tips ringkas dalam pengurusan masa. Bagi saya, untuk pelajar di peringkat universiti, yang berjaya dan gagal selalunya ditentukan oleh kebolehan mereka membahagikan masa yang mengisi masa mereka dengan perkara yang membawa mereka ke arah matlamat mereka. Ada satu pesan saya yang paling penting di sini, “Jika pelajar mahu berjaya suatu hari nanti, berlatih untuk bangun tidur tepat pada waktu yang telah mereka sendiri tetapkan.” Maksud saya, jika mereka kata mahu bangun pukul 6.30 pagi dan bunyikan jam loceng, disiplinkan diri untuk benar-benar bangun pada waktu tersebut.

Universiti Putra Malaysia 

Jika mereka perlu bangun awal untuk pergi ke kelas, pastikan mereka benar-benar bangun tidak kira pukul berapa pun mereka tidur pada malam sebelumnya. Jika pelajar gagal amalkan ini, tahap disiplin diri mereka akan menurun dan mereka akan rasa tidak mampu menjamin kejayaan mereka dalam bidang akademik.

Terima kasih saya ucapkan kepada unit kaunseling UPM terutamanya Encik Zaliazam dan pihak urusetia program yang memberi layanan yang sangat baik dan istimewa kepada saya dan krew sepanjang program dijalankan. Semoga program ini dapat mencetuskan sedikit api di dalam diri pelajar untuk terus berusaha dan maju.

 Universiti Darul Iman

Semalam saya berada di Terengganu bagi menjayakan program ‘Membina semangat dan keyakinan diri’ bersama mahasiswa dan mahasiswi Universiti Darul Iman Terengganu. Program ini agak berbeza bagi saya kerana fokus utamanya ialah untuk mendedahkan pelajar kepada teknik-teknik yang mampu menaikkan semangat dan keyakinan diri mereka.

Apa yang saya sedar ialah agak ramai pelajar di peringkat pengajian tinggi yang mengalami masalah keyakinan diri. Masalah keyakinan diri datang bukan sahaja semasa menjawab soalan peperiksaan tetapi juga semasa proses pembelajaran dan semasa bergaul dengan orang-orang yang baru dikenali.

Universiti Darul Iman

Jika anda ialah pelajar di peringkat universiti, mungkin anda pernah lihat kawan-kawan yang menghadapi masalah untuk mengangkat tangan dan bertanya di dalam kelas. Mungkin anda pernah lihat kenalan anda yang begitu takut untuk bersuara atau menyatakan pendapat. Mungkin juga anda pernah lihat pelajar yang terlalu takut untuk ‘salah’ hingga tidak mahu mencuba. Lebih membimbangkan jika……anda sendiri yang memiliki masalah-masalah ini!  :)

Program bersama pelajar UDM ini dihadiri oleh lebih kurang 200 pelajar. Seperti biasa, program begini amat menyeronokkan bagi saya. Harapnya itu jugalah yang dirasakan oleh peserta saya. :)

Universiti Darul Iman

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Puan Rosni dan Puan Hayati yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan kejayaan program ini. Hati saya memang sentiasa tenang dan gembira setiap kali meluangkan masa di Universiti Darul Iman ini. Kepada para peserta program, semoga beberapa tips keyakinan diri yang saya kongsikan dapat digunakan dan diamalkan dengan baik. Selamat berjaya! :)

15 – 17 Julai (Selasa hingga Khamis) lalu saya mengikuti satu kursus yang dianjurkan oleh Malaysian Institute of Management (MIM) yang ber ibu pejabat di Jalan Ampang. Bengkel ini bertajuk ‘How to design, assess and implement your training modules creatively’. Jurulatih yang mengendalikan bengkel ini ialah seorang wanita yang sangat berpengalaman dalam dunia training iaitu Puan Rita Krishnan (Gambar, 2 dari kanan). Saya hadir sebagai peserta dan pelajar yang bersemangat untuk belajar sesuatu yang saya belum cukup mahir.

Bengkel ini agak kecil jumlah pesertanya… cuma 10 orang peserta. Jadi ini merupakan satu peluang yang sangat baik untuk mempelajari topik ini dengan mendalam kerana kami boleh diberi tumpuan yang sepenuhnya oleh jurulatih kami. Puan Rita Krishnan ialah seorang jurulatih yang sangat berpengetahuan. Saya amat kagum dengan pengetahuan dan pengalaman beliau. Beliau mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang psikologi dan kaunseling. Seronok apabila saya mendengar konsep dan teori tentang psikologi pelajar dan kanak-kanak yang beliau terangkan. Susah rasanya hendak jumpa orang yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang begitu luas begini.

Kebanyakan peserta adalah pegawai sumber manusia atau pegawai bahagian latihan daripada bank dan syarikat korporat. Saya seorang sahaja rasanya yang datang daripada syarikat kecil saya sendiri yang bernama Creative Questions Enterprise. Tidak mengapa, syarikat kecil, tetapi hati besar! :)   Terkejut juga apabila saya berkenalan dengan seorang peserta yang datang daripada Sri Lanka semata-mata untuk menghadiri kursus ini (peserta lelaki yang paling tinggi). Beliau mewakili sebuah bank utama di Sri Lanka.

Malaysian Institute of Management

Banyak yang saya pelajari dalam tempoh bengkel ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Puan Rita Krishnan yang menjayakan bengkel ini. Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta yang menyertai bengkel ini dari awal hingga akhir. :)

Semalam saya bersama Tuan Shamsuddin Kadir berada di bangunan BB Plaza Kuala Lumpur bersama kakitangan Skim Pelatih Pengurusan (SPP) Uda Holding bagi menjayakan program yang bertajuk ‘Mind Power’. Saya sebenarnya sedang menjalani kursus 3 hari ‘How to design, assess and implement your training modules creatively’ bersama Malaysian Institute of Management (MIM) bermula hari Selasa. Namun disebabkan kepentingan program Mind Power, saya mengambil cuti sehari dan akan menghabiskan kursus tersebut hari ini (Khamis). Saya akan kongsikan hasil yang saya pelajari bersama anda dalam posting akan datang).

Mind Power

Apakah program Mind Power? Hmm… program ini berkisar tentang bagaimana kita boleh menggunakan kekuatan minda kita untuk mencapai kejayaan. Contohnya, jika selama ini kita masih belum mencapai kejayaan yang kita idam-idamkan walaupun sudah berusaha dengan begitu kuat sekali, mungkin kita terlupa untuk menggunakan kekuatan minda.

Satu cara paling mudah untuk mengaktifkan semua potensi kekuatan minda kita ialah dengan menulis dengan jelas apa yang kita mahu capai dalam hidup. Apabila kita tahu apa yang kita mahu capai, otak kita pasti akan mampu bekerja dengan lebih keras untuk merealisasikannya.

Namun, kekuatan minda bukan bermaksud kita perlu hanya duduk dan berfikir sahaja. Tindakan perlu diambil. Ada orang yang sudah terlalu lama berfikir untuk menjadi usahawan tetapi tidak pernah mengambil tindakan. Ada orang yang selalu berfikir untuk belajar dengan lebih tekun tetapi tidak pernah buat sesuatu.

Mind Power

Terima kasih saya ucapkan kepada para peserta yang begitu ‘sporting’ dan bersemangat sepanjang program. Ia membuat program yang saya kendalikan menjadi bertenaga dan mengekalkan keceriaan saya dari awal hingga ke akhir program. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan yang telah menjadikan program ini satu realiti. Di bawah ini adalah beberapa maklumbalas yang saya terima di akhir program.

“Program ini sangat sesuai untuk semua golongan terutama pelajar, pekerja mahupun golongan korporat, Pengisiannya ringkas tetapi padat dan penuh dengan pengetahuan. Penceramah yang berpengalaman dan isu yang dibincangkan juga sangat berkaitan dengan kehidupan seharian” ~Nur Syahfina Ishak~

“Hadir dan dengarlah sendiri. Anda akan berasa puas hati dan hidup anda mungkin akan berubah menjadi yang lebih baik selepas mengikuti program ini.” Ainul Suraya Zainal~

“Program ini sangat berkesan dan berguna bagi meningkatkan keyakinan diri serta mengenalpasti kebolehan diri untuk mencapai matlamat seseorang.” ~Aida Faizurah Ibrahim~

“Harus hadiri program bersama En Osman Affan, banyak tips-tips yang berguna diberikan dalam program beliau. Contoh yang diberikan melibatkan keadaan sekeliling dan mudah difahami serta diingati.” ~Mardhiah Ahmaddiah~

“Sangat menarik dengan penerangan dan penjelasan yang jelas dan terperinci.” ~ Siti Mariam Ahmad.

Peserta kursus 

Sabtu lalu, 12 Julai 2008 saya berpeluang untuk merehatkan minda saya daripada menjalankan program. Sudah lama saya tidak berehat pada hari Sabtu sebenarnya. Namun, cara saya berehat kali ini agak berbeza kerana saya telah ‘reserve’ tarikh 12 Julai itu untuk menghadiri kursus penulisan yang dianjurkan oleh syarikat Azizi Ali, True Wealth SB yang bertajuk ‘How to write a bestseller in 88 days’.

Entah kenapa, saya kalau ada program atau seminar yang hendak dihadiri, saya akan rasa seronok dan gembira. Hari Jumaat lagi dah berada dalam ‘good mood’. Mungkin kerana selama ni asyik saya je yang bercakap, Jadi bila ada peluang jadi penonton dan dengar orang lain pula yang jalankan program, rasa seronoklah agaknya. Apa-apa pun, saya pasti saya rasa seronok kerana saya bakal tambahkan lagi sedikit ilmu yang ada pada saya. Semakin banyak ilmu yang saya kuasai, semakin luas dunia saya dan semakin jauh juga langkah saya nanti. Anda setuju tak agaknya dengan pendapat ini? :)

Azizi AliDi dalam program ini, saya bukan sahaja belajar bagaimana hendak menulis dengan berkesan, malah bagaimana mahu menguruskan masa penulisan agar proses penulisan menjadi teratur dan kemas. Guru yang mengajar program ini pula sangat berpengalaman dan telah menulis lebih kurang 30 buku yang kebanyakannya termasuk dalam senarai bestseller.

Apa yang saya sedar ialah sesuatu ilmu boleh dipelajari dengan cara membaca. Tetapi kadar penguasaannya adalah sangat berbeza jika kita berdepan dengan guru itu sendiri. Dalam program motivasi yang saya jalankan, selalu saya tanya pelajar sama ada mereka ada pengalaman ini,

“Pernah tak anda berjumpa dengan guru untuk bertanya soalan yang tidak faham. Apabila anda buka mulut untuk bertanya sahaja dan guru belum pun menjawab lagi, anda sudah mula nampak jawapannya.”

Saya percaya ada penjelasan saintifik dan lojik mengenai perkara ini. Secara mudahnya, kalau kita berdepan dengan guru, kita akan lebih mudah faham.

Friends

Saya ucapkan terima kasih kepada Abang Azizi Ali dan krew True Wealth Sdn Bhd yang telah berjaya melaksanakan program ini. Seronok juga dapat jumpa kembali sahabat-sahabat seperti, Eruwan Gerry Norsen, Iwan Dahnil dan Gobala Krishnan. Kepada semua peserta kursus ini, saya ucapkan ALL THE BEST dan selamat menulis! :)

Osman AffanAlhamdulillah. Saya telah kongsikan 3 sumber keyakinan diri untuk kita semua gunakan bagi meningkatkan tahap keyakinan diri kita. Bagi saya, tanpa keyakinan diri, kita sukar untuk melakukan sesuatu terutamanya sesuatu yang baru. Kita akan sukar untuk meletakkan matlamat kejayaan kerana kita bimbang dan tidak yakin bahawa kita boleh berjaya.

3 Sumber keyakinan diri yang telah saya kongsikan itu ialah

  1. Kejayaan dan kenangan manis di masa lalu’
  2. Sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita.
  3. Cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara 
    1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
    2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Insyaallah saya akan letakkan hasil tulisan ini di dalam ruangan kompilasi tips dan petua dalam masa terdekat ini. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita yang membaca dan yang mencubanya. :)

Bagaimanakah ibu bapa boleh gunakan sumber keyakinan diri yang ketiga ini untuk membantu anak-anak mereka? Begini.

Keyakinan diriJika bercakap dengan anak-anak, elakkan daripada membandingkan kebolehan anak-anak kita dengan orang lain. Contohnya, kita kata kepada anak-anak kita,

‘Belajar la betul-betul. Mak tengok anak jiran sebelah tu rajin belajar, keputusan pun cemerlang. Bukan macam kau.’

‘Masa abang kau dulu, tak payah suruh, dia belajar sendiri. Sebab tu dia boleh masuk universiti.’

‘Anak Pak Long kau semua cemerlang. Kenapa la anak-anak abah ni tak boleh jadi macam tu’.

Keyakinan diriMembandingkan anak-anak kita dengan orang lain yang lebih cemerlang lebih banyak merosakkan daripada membantu sebenarnya. Walaupun niat kita baik untuk meningkatkan semangat mereka, ia lebih memedihkan hati dan semangat mereka kerana mesej yang mereka perolehi ialah

‘Asyik aku je yang tak pandai. Asyik aku je yang bodoh. Orang lain semua pandai, semua bagus.’

Apabila anak-anak dapat mesej begini, semangat dan keyakinan diri mereka akan terus jatuh. Dibimbangi mereka akan membesar dengan pemikiran bahawa semua orang lain lebih baik daripada mereka.

Jadi, kalau mahu meningkatkan keyakinan diri anak-anak untuk kecemerlangan, ada dua langkah. Semasa berbual dengannya

  1. Imbas kembali cerita-cerita di mana anak-anak kita hebat, cemerlang, bijak dan yakin. Cerita dengan penuh keyakinan agar anak-anak kita ingat semula tentang kisah itu semua. Kesannya, kita akan lihat anak kita semakin bersemangat. Cara dia duduk juga akan berubah sedikit seperti mahu kita terus bercerita. Teruskan bercerita dengan ikhlas. (Ikhlas bermaksud tak nampak macam kita bercerita macam terpaksa atau tak bersungguh-sungguh).
  2. Apabila wajah anak-anak kita dah nampak mula bercahaya, mula berseri dan mula ceria, baru kita masukkan sedikit cerita tentang orang lain yang cemerlang. Dalam keadaan ceria, anak-anak kita akan lebih bersedia untuk menerima cerita-cerita tentang kehebatan orang lain. Kemudian katakan kepada mereka, “Mak/abah rasa, anak-anak mak/abah lebih hebat dari mereka semua ni. Kalau belajar betul-betul sikit, tambah jadi rajin sikit, mesti tak ada orang lain boleh lawan. (Senyum dan kita mesti percaya apa yang kita katakan).

Apa kata kita cuba teknik ini bila berpeluang. Jika kita tidak cuba, kita pasti akan gunakan cara lama yang biasa kita gunakan. Jangan risau jika tidak dapat buat dengan sempurna kerana setelah mencuba, kita akan dapat beberapa idea baru bagaimana mahu melaksanakan teknik ini dengan lebih berkesan. Untuk jangka masa panjang, kita akan mula meningkatkan tahap keyakinan diri anak-anak kita sendiri tanpa bantuan orang lain. Selamat mencuba. :)

Gambar hiasanJika kita asyik membandingkan diri kita dengan orang yang kurang berjaya, tentu kita kelihatan lebih hebat bukan? Bukankah perasaan begini akan menghancurkan dan merosakkan kita di masa akan datang?

Ya, benar, jika kita terlalu bandingkan diri dengan orang yang kurang berjaya, kita akan gagal. Itulah sebabnya sumber ketiga keyakinan diri ini mengatakan bahawa anda perlu ingat 2 perkara iaitu

  1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
  2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Gambar hiasanTujuan kita membandingkan diri dengan orang kurang berjaya adalah sekadar untuk menaikkan semula semangat kita daripada bawah. Apabila semangat dan keyakinan diri kita jatuh ke paras terendah, tidak begitu mudah untuk kita mengangkatnya begitu sahaja. Saya dapati antara cara termudah untuk mengangkatnya semula ialah dengan membandingkan diri dengan kelemahan orang lain.

Namun, kita tidak sepatutnya berhenti di situ. Apabila semangat dan keyakinan diri kita sudah meningkat sedikit akibat aktiviti perkara pertama, kita perlu tingkatkan lagi kejayaan kita dengan membandingkan diri kita dengan orang-orang yang lebih berjaya.

Jika kita sedang lemah semangat dan tidak yakin diri, ia akan jadi lebih teruk jika kita bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini kerana kita akan rasa semakin jauh ketinggalan di belakang. Jadi apa kata kita naikkan dulu sedikit semangat kita. Kemudian, apabila ia sudah meningkat Gambar hiasansedikit, kita pun sudah mula mampu hilangkan rasa sedih dan kecewa akibat rasa tidak yakin diri tadi, barulah kita bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini akan menambahkan dan meningkatkan lagi semangat dan keyakinan diri kita sendiri.

Idea mengenai sumber keyakinan diri ketiga ini sebenarnya datang apabila saya teringat kisah saya semasa di tingkatan lima.  Ketika belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, saya dikelilingi oleh pelajar-pelajar cemerlang. Keputusan peperiksaan bulanan saya selalunya tidak sehebat kawan-kawan saya yang lain. Ini membuat saya merasa kecil dengan kebolehan diri saya terutamanya dalam bidang akademik. Lama-kelamaan, saya seolah-olah telah menerima kenyataan bahawa saya tidak sehebat pelajar lain. Ini adalah satu perkara yang tidak sihat untuk keyakinan diri.

Kemudian, beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM, saya pulang ke kampung dan mengambil peluang bermalam di rumah sahabat baik saya daripada sekolah lama (SMKA Tok Jiring). Ketika bermalam di sana, selepas membuat latihan dan sedikit ulangkaji, sahabat saya ini membuka cerita kisah sekolah rendah kami (SK Tok Jiring). Sahabat saya ceritakan tentang ke mana perginya 11 orang pelajar yang berjaya mendapat 5A dulu. Masing-masing ada cerita kejayaan masing-masing. Semasa dia bercerita, saya mula sedar rupa-rupanya saya juga termasuk dalam cerita tersebut kerana saya adalah salah seorang daripada 11 pelajar tadi. Saya juga mula sedar yang saya sebenarnya datang dari kalangan pelajar cemerlang. Lebih hebat lagi, saya mula sedar yang kalau dulu saya boleh cemerlang, kenapa sekarang tidak boleh cemerlang?

Cetusan idea ini terus meningkatkan semangat diri saya untuk bersedia menghadapi peperiksaan SPM pada tahun itu. Sejak hari tersebut, apabila saya lihat sahabat lain yang cemerlang di KISAS, saya akan kenang kembali bagaimana saya cemerlang suatu masa dahulu. Dalam masa yang sama, saya tekadkan azam untuk capai kejayaan seperti beberapa pelajar cemerlang di dalam kelas saya dan kelas lain. Dua perkara ini berjaya mengekalkan semangat dan keyakinan diri saya hingga hari peperiksaan sebenar.

Saya percaya anda boleh gunakan pendekatan ini. Saya juga percaya bahawa pendekatan ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk meningkatkan semangat anak-anak. Bagaimana ye? Kita tunggu posting seterusnya. :)

Sumber keyakinan diri yang ketiga ialah cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara 

  1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
  2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Gambar hiasanPenggunaan perkara pertama adalah lebih kurang seperti cara membuat diri kita bersyukur. Apabila kita merungut tentang sekolah kita yang kurang peralatan atau kurang dewan besar, kita bandingkan sekolah kita dengan sekolah yang lebih mundur. Tentu kita akan rasa bersyukur berada di sekolah kita sekarang. Jika kita merungut tentang banyak masalah di tempat kerja kita sekarang, cuba bandingkannya dengan tempat kerja lain yang lebih teruk. Ini akan menimbulkan rasa bersyukur dan kita sepatutnya akan berhenti merungut.

Begitu juga dengan keyakinan diri, jika kita rasa lemah semangat dan hilang keyakinan diri, ingat kembali kelebihan diri kita dan bandingkan dengan orang lain yang tidak mempunyai kelebihan tersebut. Ini akan mengangkat semangat kita kembali. Saya banyak kali bertemu pelajar di sekolah berasrama penuh dan pelajar diperingkat kolej dan universiti yang mengadu lemah semangat dan tidak ada keyakinan diri. Mereka rasa mereka tidak pandai dan tidak kurang potensi untuk berjaya.

Gambar hiasanNasihat saya mudah sahaja. Tahukah pelajar ini semua bahawa di luar sana beribu-ribu lagi pelajar yang gagal memasuki asrama penuh, kolej dan universiti? Sedarkah pelajar ini semua bahawa apabila mereka berjaya berada di tempat sekarang, ia bermakna mereka lebih hebat (dalam beberapa perkara terutamanya pencapaian akademik) berbanding dengan pelajar-pelajar lain di luar sana? Tidakkah ini boleh membuat mereka merasa atau melihat kehebatan dan potensi yang sebenarnya terpendam dalam diri mereka selama ini?

Untuk hari ini, apa kata jika anda merasa rendah diri dan tidak berkebolehan, bandingkan diri anda dengan seseorang yang anda tahu anda lebih hebat daripadanya. Jika anda rasa tidak pandai, apa kata bandingkan diri Gambar hiasananda dengan seseorang yang mungkin jauh lebih tidak pandai. Aktivti mudah ini sahaja akan meningkatkan tahap keyakinan diri anda.

Saya faham mungkin ada antara anda yang terfikir bahawa, kalau kita asyik bandingkan diri kita dengan orang kurang berjaya, sampai bila kita akan berubah? Bukankah ia akan menyebabkan kita selesa dan tidak mahu berusaha kerana sangka kita sudah hebat? Bukankah ia akan menimbulkan rasa sombong, bangga diri dan bongkak?

Jika anda terfikit begitu, tahniah. Ia menunjukkan anda benar-benar faham apa yang saya sampaikan di dalam posting ini. Saya akan menjawab persoalan itu dalam posting seterusnya dengan menerangkan tentang perkara kedua (di atas).

Sedarkah anda bahawa apabila kita merasa rendah diri, kita akan terlupa sebenarnya ada ramai orang yang menyokong kita dan ada ramai orang yang sebenarnya kagum dengan kehebatan kita.

Keyakinan diriAda masanya, kita tidak pandai dalam sesuatu bidang dan kita rasa rendah diri. Contohnya kita tidak pandai dalam bidang akademik lalu rasa rendah diri terutamanya bila berada diantara kawan-kawan yang cemerlang akademiknya. Tetapi tahukah kita bahawa kita mungkin ada kehebatan lain yang kawan-kawan kita tadi tidak ada? Mungkin kita pandai bersukan? Mungkin kita pandai berkawan atau pandai bergaya? Itu semua adalah sesuatu yang patut kita banggakan dan patut rasa yakin dengan diri kita sendiri.

Kita perlu tahu, kita mungkin tidak akan hebat dalam semua bidang. Takkanlah kita nak buat semua perkara di dunia ini. Perkara yang kita tak berapa pandai, biarkan orang lain yang buat. Bagi saya sendiri, saya rasa saya yakin dan cekap dalam teknik belajar. Tetapi bila saya balik ke rumah dan ada kerosakan elektrik, saya angkat tangan (menyerah kalah) dan panggil juru elektrik untuk membaikinya. Perlukah saya rasa rendah diri apabila juru elektrik itu keyakinan diridatang ke rumah saya? Perlukan saya bersedih kerana saya tidak pandai membaiki kerosakan itu sendiri? Tentu tidak bukan?

Mesejnya di sini ialah, kita ada kelebihan dan kekuatan kita tersendiri. Jangan biarkan kekuatan orang lain membuat kita rasa rendah diri. Jadi, setiap kali kita rasa rendah diri apabila melihat kehebatan orang lain, fikirkan tentang kehebatan kita sendiri. Tetapi dalam masa yang sama, buat keputusan sama ada kita mahu miliki kehebatan seperti orang tadi atau tidak. Contohnya, jika ada kawan pandai main catur dan kita tidak, jangan rasa rendah diri dan fikirkan tentang satu perkara di mana kita lebih hebat daripada kawan tadi. Kemudian, fikirkan, adakah kita mahu jadi pandai main catur? Kalau mahu, fikirkan begini, ‘kalau aku belajar betul-betul permainan ni, aku pun akan jadi sehebat dia’. Insyaallah perasaan rendah diri itu tidak akan mengganggu.

Selamat meningkatkan keyakinan diri. :)

Kursus motivasi kecemerlangan jati diri

Jumaat dan Sabtu lalu saya berpeluang mengendalikan program Motivasi Kecemerlangan Jati Diri untuk kakitangan TPPT SB. Program 2 hari ini dijalankan di Selesa Resort, Bukit Tinggi, Pahang Darul Makmur. Lebih kurang 80 peserta yang mengikuti program ini.

Program kecemerlangan jati diri kali ini mementingkan keakraban dan kerjasama berpasukan. Banyak aktiviti outdoor yang dijalankan sepanjang dua hari ini. Saya yang dah terbiasa berada di dalam bilik berhawa dingin dan teduh terperanjat juga bila sekali sekala berada di tengah padang dan dibawah panas matahari yang terik. Namun itu semua langsung tidak menjadi masalah kerana keseronokan dapat bermain dan bersukan bersama peserta.

Motivasi Kecemerlangan Jati Diri

Program sebegini selalunya, walaupun tidak disedari, dapat mengeratkan hubungan sesama kakitangan. Sukan dan aktiviti outdoor adalah satu cara termudah untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik dan rapat. Cuma sekali sekala peserta perlu diingatkan bahawa walaupun mereka bertanding sesama sendiri, mereka perlu kekalkan semangat kesukanan dan semangat persahabatan yang tinggi agar permainan berakhir dengan hati dan suasana yang ceria. Alhamdulillah, itulah yang berjaya dicapai dalam program ini.

Motivasi Kecemerlangan jati diri

Saya ucapkan tahniah kepada semua peserta yang mengikuti program ini. Ucapan tahniah kepada kumpulan yang memenangi hadiah hamper dan hadiah utama. Tahniah juga kepada peserta lelaki dan wanita terbaik. Akhir sekali, terima kasih kepada pihak pengurusan TPPT SB terutamanya Puan Khuzamy yang telah memberi peluang kepada syarikat saya untuk mengendalikan program ini.

Tidak lupa terima kasih kepada Tuan Fadzli Yusof yang sudi meluangkan masa bagi menjayakan program motivasi kecemerlangan jati diri ini.  :)

Keyakinan diriSumber keyakinan diri yang kedua ialah sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita. Jika anda sedar, kita selalu terlupa untuk melihat kepada kekuatan dan kehebatan diri kita sendiri. Apabila kita berdiri dikalangan orang-orang hebat, kita terlalu asyik memandang ke arah kehebatan orang lain dan terlupa melihat ke arah kehebatan diri sendiri. Akibatnya, kita rasa rendah diri, tidak yakin dan mula mengutuk diri sendiri. “Kenapa la aku tak pandai macam mereka? Kenapa la aku ni lembab sangat? Kenapa la aku ni tak pandai?”……

Salah satu cara terbaik untuk melihat kekuatan diri kita ialah dengan mendapatkan sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita seperti keluarga atau sahabat karib. Keluarga selalunya adalah orang-orang yang selalu percayakan kebolehan dan kekuatan diri kita. Namun, jika mereka tidak begitu, cari orang lain yang boleh menyokong kita.

Menyokong bukan bermaksud orang tersebut sentiasa mengatakan kita hebat. Ada masanya orang yang menyokong kita ini akan memberi komen terhadap kelemahan diri kita. Namun, kita pastu tahu bahawa komen itu adalah untuk lebih memajukan diri kita lagi. Jadi jangan ambil hati atau bersedih terhadap komen membina daripada orang yang menyokong kita ini.

Hari ini, apa kata anda senaraikan orang-orang yang anda rasa selalu menyokong anda. Senaraikan nama-nama orang yang anda rasa setiap kali anda mahu mencuba sesuatu, anda akan rasa lebih bersemangat apabila telah berbincang dengan orang-orang ini. Selamat menulis. :)

Kolej Teknologi Bestari 

Kolej Teknologi Bestari bukanlah satu nama yang asing buat saya. Sebab utamanya ialah isteri saya sendiri adalah graduan daripada kolej tersebut lebih kurang 7 tahun lalu. Jadi setiap kali kami lalu kawasan tersebut, saya akan selalulah mendengar semula imbasan kenangan isteri saya ni. :)

Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk mengendalikan 2 program pada dua minggu berbeza. Program bertajuk ‘Pembangunan Organisasi dan Pemantapan Modal Insan’ ini dijalankan untuk dua kumpulan kakitangan iaitu kakitangan sokongan dan kakitangan akademik. Ada beberapa perbezaan modul untuk kedua-dua program ini namun kedua-duanya mempunyai beberapa mesej utama yang sama.

Kolej Teknologi Bestari

 Program kali ini amat istimewa bagi saya. Selain daripada mendapat kerjasama hebat daripada semua peserta, program ini juga menemukan saya semula dengan sahabat satu sekolah yang sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa. Jadi setiap kali program dijalankan, saya asyik terkenang kisah di zaman persekolahan. Ada sekali saya terfikir, jika saya masih di dalam darjah enam, adakah saya akan terfikir berada di dalam situasi begini? Hmm… tentu tidak. :)

Saya ucapkan terima kasih kepada semua peserta yang banyak memberi maklumbalas dan kerjasama yang sangat baik hingga semua perkara yang saya rancangkan dapat dijalankan dengan begitu lancar sekali. Saya ucapkan terima kasih kepada dua sahabat saya, Ustaz Zubaidi dan En Suhaili yang menjadikan program ini satu kenyataan.

Ini adalah antara komen yang saya perolehi melalui borang maklumbalas.

“Satu kursus yang mampu merangsang minda, mencetus idea-idea dan memberi impak yang besar pada pembangunan diri dan rohani. Keinginan dan kemahuan diri menjadi lebih tepat dan keazaman memberangsang jiwa supaya berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang dicitakan. Terima kasih En Osman kerana membuka minda saya.” ~Nor Nazirawati Anang~

“Ini adalah kursus pertama yang saya hadiri yang mana saya boleh ‘stay awake’ tak mengantuk dari hari pertama hingga habis kursus.” ~Mariana Jusop~

“Program yang amat memberi kesan kepada mereka yang merasakan diri mereka tiada keistimewaan atau lemah. Program ini mampu meningkatkan keyakinan diri……” ~Azlinah Ambak~

“Program bersama En Osman Affan banyak membantu saya memperbaiki kelemahan diri saya, cara-cara untuk meningkatkan prestasi pengajaran & pembelajaran di dalam kelas serta menyuntik semangat ke dalam diri saya untuk mencapai sesuatu yang saya fikirkan mustahil untuk dicapai sebelum ini.”~Nadia Nawawi~

“Selalu masuk kursus mesti mengantuk dan boring. But you’re not. You are a great man En Osman Affan.”~Saloma Mohd Yusoff~

Kolej Teknologi Bestari

Terima kasih Kolej Teknologi Bestari. :)

« Previous PageNext Page »