Teknik Belajar


ika: assalamualaikum tuan osman, semoga tuan siht ceria dgn semangt yg membara, lama dh x msuk sni, tuan mcmana cara nk mulakan sesuatu perkara @ kerja dari awal, sy ni suka last minute lg2 time nk exam @sbmt asgmnt, tp hujung2 tu la yg byk idea nk buat, apa step pertama sy perlu lakukn nk berubah sbab sy rse buat kerja last minute ni danger klu dteruskan, tolong lah sy… semoga tuan sentiasa dalam keredhaan dan kerahmatanNYA…

Osman AffanWaalaikumsalam Ika. Semoga Ika juga dalam keadaan sihat dan dilindungi rahmat Allah sentiasa.

Saya rasa saya faham situasi Ika mengenai idea yang datang mencurah-curah menjelang tarikh akhir atau ‘last minute’. Bukan sahaja Ika yang mengalami masalah itu, malah hampir semua pelajar yang saya temui mengadu masalah tersebut. Lebih menarik lagi, saya juga hadapi masalah tersebut semasa bergelar seorang mahasiswa satu ketika dulu.

Saya ada cadangan berdasarkan apa yang pernah saya pelajari daripada beberapa buah buku dan program pembangunan diri yang saya hadiri dulu.

Langkah pertama - Senaraikan semua kerja atau assignment yang patut diselesaikan bersama dengan tarikh akhirnya (dateline). Untuk setiap kerja, senaraikan juga kerja-kerja kecil yang perlu turut sama dilakukan. Contohnya jika kerja itu assignment ekonomi, kerja-kerja sampingan ialah pergi ke perpustakaan untuk pinjam buku, temujanji dengan pensyarah atau mungkin ada perbincangan dalam kumpulan.

Eat that frogLangkah kedua - Gunakan tips daripada Brian Tracy yang berbunyi ‘Eat that frog’. Hehe… bukan maksudnya kalau nak siapkan kerja kena makan katak. Tips itu menyuruh kita menyiapkan kerja yang paling kita tidak suka dahulu. Selalunya pelajar akan pilih buat kerja yang mereka suka dulu. Akibatnya, mereka hilang tenaga dan tidak bersemangat untuk memulakan kerja-kerja yang lebih sukar. Akibatnya juga, kerja-kerja itu tertangguh hingga ke tahap ia tidak boleh ditangguhkan lagi. Apabila kita buat kerja yang kita tidak suka dahulu, tenaga kita masih banyak ketika itu. Jadi lebih mudah fokus. Kemudian setelah selesai kita akan terfikir, kalau kerja paling susah pun aku dah boleh selesaikan, ini kan pula kerja yang lebih senang.

Langkah ketiga - Kerja yang dipilih untuk dibuat itu pula dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil. Bayangkan jika Ika perlu makan sebiji kek dengan sekali suap, boleh tak agaknya? Macam mana nak makan keseluruhan kek itu? Ya, tentu Ika potong ke bahagian kecil bukan? Berapa kecil? Potong 2? 4? 8? Atau 16? Jawapannya, potong mengikut saiz mulut yang hendak disuapkan kek itu. Katakanlah ada orang yang mulutnya besar, potong 2 pun mungkin sudah cukup agaknya. :)

Teknik memecahkan kerja kepada bahagian kecil ini dinamakan ‘Chunking’. Apabila jumlah kerja itu kecil, ia nampak mudah dilakukan dan tidak menakutkan. Hasilnya, Ika tidak akan teragak-agak untuk memulakannya.

Disiplin diriLangkah keempat - Jika boleh, cari satu masa khas setiap hari untuk melakukan kerja tersebut. Katakan Ika pilih pukul 8.30 malam untuk buat kerja, setiap pukul 8.30 malam, duduk danbuat kerja. Jangan fikir apa-apa lagi. Jadikan ia satu rutin yang tidak perlu difikirkan lagi. Sama seperti menggosok gigi di waktu pagi. Adakah kita bangun setiap pagi dan fikir, “pagi ni aku nak gosok gigi ke tidak ye?”. Kemudian terus berfikir lagi, “Kalau gosok gigi, nanti gigi aku cantik dan bersih. Kalau tak gosok, nanti rosak. Ishh… nak gosok ke tidak ni?”

Saya percaya kita tidak berfikir begitu. :)

Langkah kelima - Langkah paling penting, setiap kali lepas sembahyang dan berdoa, doakan agar kita sentiasa diberi kekuatan untuk melawan nafsu malas dan godaan-godaan yang cuba menjauhkan kita daripada matlamat yang kejar selama ini. Semasa berdoa pula, bayangkan bagaimana rupa dan keadaan kita kalau kita adalah seseorang yang sangat berdisiplin dan rajin menjalankan tanggungjawab tepat pada masanya.

Semoga cadangan ini dapat membantu Ika. Jangan lupa cari dan tanya pendapat orang lain juga terutamanya orang-orang yang berpengetahuan dan berpengalaman seperti pensyarah atau mungkin juga rakan sebaya. Selamat berjaya Ika! :)

Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menjalankan program SmartStudy yang bertajuk “Effective Study Techniques & Motivation” bersama mahasiswa dan mahasiwi Kuliyyah ICT, Universiti Islam Antarabangsa Gombak. Program ini dijalankan selama 3 hari 2 malam di Golden Straits Villas, Port Dickson. Bahasa pengantar untuk program ini ialah Bahasa Inggeris kerana ada beberapa peserta datang daripada luar negara seperti negara-negara Afrika dan juga daripada negara jiran seperti Filipina.

SmartStudy

Saya sangat berpuas hati dengan program ini kerana saya rasa saya sempat untuk berkongsi keseluruhan modul SmartStudy bersama mahasiswa dan mahasiswi ini. Apabila masa yang ada mencukupi, peserta dapat mempelajari teknik-teknik belajar berkesan dengan lebih selesa dan dapat menyiapkan contoh-contoh latihan yang saya berikan.

Program SmartStudy untuk pelajar peringkat universiti ada sedikit kelainan berbanding dengan program SmartStudy untuk pelajar sekolah menengah dan rendah. Kelainannya ialah disebabkan program ini mempunyai 2 topik utama yang berbeza iaitu topik ‘presentation skills’ dan ‘communication skills’.

Apabila pelajar sudah sampai di peringkat universiti, selain daripada teknik belajar, mereka perlu tahu cara untuk bergaul dan menyesuaikan diri dengan orang ramai. Mereka perlu mempunyai kemahiran untuk berkenalan dengan orang baru dengan pantas. Lebih penting lagi, mereka perlu tahu bagaimana mahu bercakap di hadapan khalayak ramai.

Selalunya apabila saya tanyakan pelajar mengenai masalah bercakap di depan khalayak ramai, masalah utama sudah tentunya rasa berdebar atau ‘nervous’. Tips saya kepada pelajar-pelajar ini, rasa itu adalah normal. Malah jika anda tidak rasa berdebar, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. :)

SmartStudy

Jadi, saya kongsikan beberapa tips praktikal yang pelajar boleh gunakan untuk mengurangkan rasa berdebar itu dengan cara

  • Berdiri dengan tegak, menarik nafas dengan dalam dan senyum ke arah penonton. Apabila pelajar boleh bernafas dengan tenang dan selesa melihat penonton, rasa berdebar tadi akan lebih mudah dikawal.
  • Keluarkan suara dengan kuat. Kuat bukan bermaksud menjerit. Cukup kuat dan sesuai dengan jumlah penonton. Jika pelajar tidak keluarkan suara dengan betul, suara mereka akan bergetar dan mereka akan rasa lebih berdebar.

 SmartStudy

Tahniah saya ucapkan kepada Kuliyyah ICT terutamanya kepada Cik Tini dan En Najmi yang menjadikan program ini satu kenyataan. Saya sendiri seronok berada dalam program kali ini kerana ada satu bonus diberikan kepada peserta iaitu sesi ‘barbeque’. Rasa macam hadir ke majlis-majlis training korporat pula.

SmartStudy

Kepada semua peserta, saya ucapkan selamat berjaya. Jangan lupa pesan saya pada sesi kesimpulan. Terima kasih juga kepada seorang peserta yang menghantar sms ini kepada saya selepas tamat program. Ia sangat bermakna buat saya dan buat program SmartStudy yang saya bina. :)

“Thank you Bro Osman. Creative stories really works for me. Buat saya lagi cepat faham dan seronok belajar. Dah tak tension lagi. Thanks a lot.”

arryani: kedua anak lelaki saya tidak meminati Bahasa Melayu.Mereka lebih cenderung meminati sains dan maths.Kenapa boleh terjadi dmkian

arryani: utk pngtahuan Sdr. anak saya pernah mndpt mrkah tertinggi dlm subjek tersbut, tetapi hnya cukup2 mkn dalam sbjek b melayu.Tlg bg sdikit tips memupuk mnat thdap BM

Osman AffanPuan Arryani, saya rasa, tidak ada peliknya jika anak Puan minat subjek Sains dan Maths dan tidak minat subjek bahasa. Semua orang ada kecenderungan masing-masing. Contohnya, main video game sangat menyeronokkan bagi kanak-kanak tetapi bukan semua kanak-kanak minat main video games. Sama seperti kenyataan bahawa kebanyakan orang lelaki minat tengok bola tetapi bukan semua orang lelaki minat tengok bola.

Menurut pengalaman saya sendiri menguruskan pusat tuisyen, saya lihat majoriti pelajar yang minat subjek sains dan maths selalunya tidak minat subjek-subjek bahasa. Ini jelas kerana subjek bahasa dan sains adalah dua kategori berbeza. Pelajar yang minat sains jarang meminati sajak atau puisi. Pelajar yang minat sastera dan drama pula jarang meminati tabung uji atau formula matematik. Jadi, Puan tidak perlu terlalu risau mengenai perkara ini.

Cuma, apa yang boleh dilakukan ialah buat beberapa perkara untuk menguatkan subjek bahasa anak Puan. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pelajar yang lemah subjek bahasa selalunya lemah dalam 2 perkara iaitu

  • Perbendaharaan kata (vocabulary)
  • Tatabahasa

Akibat kelemahan ini, mereka tidak pandai membentuk atau membina ayat-ayat pendek yang mudah. Apabila tidak pandai membina ayat, mereka akan lemah dalam subjek karangan.

Ada dua cadangan yang biasa saya berikan kepada ibu bapa yang bertemu dengan saya.

  1. Luangkan masa dengan anak-anak ini membaca buku-buku dalam bahasa yang ingin dikuasai. Sambil membaca, galakkan anak-anak bertanya perkataan yang mereka kurang faham maksudnya. Jangan terkejut jika ada pelajar tahun lima yang tidak tahu apa itu ’sofa’ atau apa itu ’saku’. Selalunya juga anak-anak yang lemah subjek bahasa tidak akan mahu membaca buku dalam bahasa tersebut. Jadi cari buku atau majalah yang kena dengan minat mereka. Mungkin buku atau majalah tentang kereta. Mungkin buku tentang peralatan moden seperti teknologi handphone dan alat muzik terbaru. Bawa mereka ke kedai buku dan lihat ke bahagian mana mereka pergi. Tidak perlu terlalu risau jika apa yang dibaca itu tidak ada kena mengena dengan subjek sekolah kerana matlamat utama sekarang ini ialah mahu memupuk minat membaca dalam bahasa yang dia lemah.
  2. Latih anak-anak menulis karangan setiap hari. Karangan tidak bermaksud menulis hingga 50 atau 150 patah perkataan. Cukup dengan beberapa ayat lengkap setiap hari. Ini akan meningkatkan kecekapan menulis dan mengingat perbendaharaan kata yang sudah ada. Jika anak perempuan, mungkin boleh ajar menulis diari.

Pesanan terakhir saya mengenai perkara ini, Puan perlu rujuk guru sekolahnya. Guru yang mengajar subjek lebih cekap memberikan pandangan dan cadangan untuk perkara sebegini. Saya cuma berikan pendapat melalui pengalaman saya. Dapatkan juga maklumat dan pandangan daripada guru-guru di sekolah atau guru-guru tuisyen (jika ada).

Saya doakan kejayaan buat anak-anak Puan Arryani. :)

Osman Affaniqbal: assalamualaikum cikgu osman,saya tahun ni menduduki spm,saya nak minta panduan cikgu bagaimana nak ulangkaji pelajaran dengan berkesan?

Waalaikumsalam w.b.t. Iqbal, seperti yang saya katakan, agak panjang ceritanya. Saya cadangkan Iqbal dapatkan buku berkenaan persediaan untuk menghadapi peperiksaan dan juga buku-buku tentang teknik belajar. Namun di sini saya ingin berikan sedikit tips untuk Iqbal. Saya kalau orang bertanya dengan baik dan sopan ni, rasa tak sedap pula kalau tak jawab dengan baik juga. :)

Ada 5 langkah yang saya mahu Iqbal ambil.

Langkah pertama - Ambil sekeping kertas, senaraikan semua subjek yang Iqbal ambil. Tuliskan gred yang biasa dapat dan gred yang Iqbal mahu dapat dalam peperiksaan sebenar nanti. (Tulis seperti jadual yang disediakan di bawah)

SmartStudy

Langkah kedua - Kenalpasti mana-mana subjek yang yang gred sekarang dan gred matlamat agak jauh berbeza. Subjek-subjek ini perlu diberi keutamaan untuk dipelajari semula dan diulangkaji.

SmartStudy

Langkah ketiga - Untuk subjek-subjek yang perlu diberi keutamaan ini, senaraikan pula semua topik-topiknya. Kemudian kenal pasti topik mana yang Iqbal rasa paling lemah.

Langkah keempat - Antara senarai topik  paling lemah ini, pilih topik yang paling pendek dahulu untuk dikuasai. Apabila kita mulakan dengan topik yang paling pendek, ia kelihatan seperti yang paling senang. Jadi keyakinan diri akan jadi tinggi sedikit. Ia membuat proses pembelajaran menjadi lebih mudah.

Langkah kelima - Belajar topik-topik itu semasa Iqbal paling aktif dan bertenaga. Begini. Selalunya pelajar suka belajar subjek yang mereka suka apabila ada masa terluang. Jadi subjek yang lemah akan ditinggalkan. Jika belajar subjek yang lemah pun mungkin selepas belajar subjek yang mereka suka. Ini akan membuat pelajar ini rasa letih dan penat semasa mahu mula belajar subjek yang lemah itu. Jadi, kali ini, apabila ada masa terluang dan ketika minda dan fizikal Iqbal masih cergas, belajar subjek yang dirasakan lemah tadi.

Selamat berjaya Iqbal. Teruskan membaca tips dan petua yang saya kongsikan di sini. Semoga sedikit sebanyak ia akan memberi ilham dan panduan bagaimana Iqbal boleh belajar dan mengulangkaji dengan berkesan. :)

Assalamualaikum Cikgu,

Saya ialah salah seorang pelajar tingkatan empat salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Sudah masuk SmartStudylima bulan saya menetap di sekolah asrama. Saya mempunyai masalah tentang pengurusan masa dan cara pembelajaran saya di sekolah dan asrama. Saya perlukan bantuan dan nasihat Cikgu agar saya tidak terus kecundang dalam pelajaran dan memusnahkan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

 

 Saya berasa kesuntukan masa untuk mengulangkaji pelajaran di sekolah. Padahal, masa yang diperuntukkan kepada pelajar untuk belajar adalah lebih kurang sama dengan masa saya belajar di rumah. Saya tidak dapat belajar kerana berada di dalam sebuah bilik yang dipenuhi pelajar lain. Sebab itulah saya tidak belajar dengan sepenuh tumpuan semasa waktu prep. Minda saya masih di tahap lama yang beranggapan bahawa rumah ialah tempat untuk belajar. Hal ini kerana saya amat selesa jika belajar dalam keadaan di dalam sebuah bilik tanpa gangguan sesiapa. Apabila tiba di asrama iaitu pada jam 11.00 malam, saya perlu menyiapkan diri untuk bacaan Al- Mulk iaitu pada jam 11.30 malam. Manakala pada jam 11.45 malam, semua lampu akan ditutup. Jadi, saya tiada masa untuk belajar. Terdapat juga bilik bacaan untuk kegunaan pelajar yang ingin mengulangkaji sehingga lewat malam. Akan tetapi, saya masih berasa tidak selesa kerana saya tidak dapt bercakap iaitu menerangkan perkara yang saya sedang pelajari. Oleh itu, saya bertindak untuk hanya belajar di hadapan pintu dorm dengan berbekalkan lampu di korridor. Saya tahu, cara ini akan merosakkanm mata, tetapi, ramai pelajar yang melakukannya juga. Namun, saya masih kurang selesa kerana akan menganggu ketenteraman rakan-rakan lain yang hendak tidur. Akibatnya, saya tidak dapat mengulangkaji pelajaran.

 

Apabila berada di rumah, cara saya belajar ialah dengan meluahkan kembali melalui percakapan seperti menerangkan perkara-perkara yang saya pelajari. Apabila saya berada di sekolah, semestinya saya tidak boleh melakukannya kerana akan mengganggu rakan yang lain. Oleh itu, saya cuba hanya membisikkan sahaja apa yang saya pelajari. Namun, saya tidak sepenuhnya faham akan apa yang saya pelajari.oleh itu, tahap kefahaman saya boleh diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan sahaja. Saya juga ada mencuba mencari tempat untuk belajar seorang diri. Namun, saya bimbang kerana waktu malam yang gelap selain tiada pondok belajar. Jika di perpustakaan pula, saya juga tidak dapat bercakap menerangkan perkara yang saya sedang pelajari di sana .

 

Selain itu, saya juga berasa malu untuk bertanya dengan anggapan bahawa rakan lain akan memandang serong terhadap saya. Oleh itu, saya tidak akan faham sepenuhnya. Walhal, saya merupakan orang yang paling banyak bertanya di sekolah saya sebelum saya masuk ke sekolah berasrama penuh ini. Saya juga sudah banyak berubah sikap semenjak masuk ke sekolah berasrama penuh. Saya sering beranggapan bahawa saya ialah pelajar baru. Jika dahulu, saya merupakan seorang pelajar yang disegani kerana sering mendapat nombor satu dalam peperiksaan, sekarang tidak lagi. Saya tahu, hal ini berkaitan dengan ¡kedudukan¢ yang telah saya cipta selama tiga tahun di sekolah lama.

 

            Jika dahulu, saya selalu mengimpikan sekolah berasrama penuh kerana gurunya lebih berpengalaman dan dapat banyak memberi input kepada pelajar, sekarang tidak lagi. Hal ini kerana , sekolah saya masih lagi setahun jagung. Saya tidak katakan bahawa guru mudanya tidak berkaliber. Namun, mereka masih lagi belum cukup pengalaman. Saya tahu, saya perlu bekerja keras dengan belajar sendiri, namun, saya tidak dapat input sepenuhnya dari guru. Saya dapat membandingkan betapa guru di sekolah lama saya akan menerangkan satu persatu apa yang dipelajari. Namun di sekolah berasrama penuh ini, guru hanya akan menerangkan yang penting sahaja dengan pelajar memahami yang lainnya sendiri. Saya tahu, saya perlu belajar sendiri, namun, saya kesuntukan masa.misalnya, saya perlu banyak membaca dan melakukan latihan untuk subjek Mathematics dan Additional  Mathematics. Say juga sedar bahawa melalui latihanlah saya kan faham akan ilmu Mathematik ini. Namun, kekangannya ialah masa. Kesannya, akibat bertimbun subjek yang perlu saya baca, saya menangguhkan kesemuanya hingga terlupa .  

 

            Saya amat memohon pada Cikgu agar menolong saya menyelesaikan masalah saya ini. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.

 

Wassalam.

 

Osman AffanWaalaikumsalam A.Z.

Terima kasih kerana menghantar email kepada saya. Saya memilih untuk menulis jawapan saya di sini kerana keunikan isi kandungan email A.Z.  Saya rasa macam terbaca kisah saya dan kawan-kawan saya sendiri dulu. Tambahan pula saya suka cara A.Z. menulis apa yang mungkin selama ini bermain di fikiran sahaja. Tulisan yang mempunyai nilai adab yang tinggi ini menunjukkan A.Z. adalah seorang yang bersungguh-sungguh mahu belajar dan meningkatkan pencapaian diri. Tahniah dahulu saya ucapkan.

 

Ada 3 perkara yang ingin saya katakan.

Pertama, perubahan sememangnya tidak menyelesakan. Saya biasa mendengar rungutan tentang berpindah ke tempat baru daripada hampir semua sahabat yang saya kenali semasa saya berpindah ke asrama penuh di tingkatan 4 dulu. Malah, sayalah salah seorang yang suka merungut tu (walaupun hanya dalam hati). Yang mana tidak tahan akan perubahan, memohon bertukar ke sekolah lama atau ke sekolah lain. Apa boleh buat, itu pilihan mereka. Saya buat andaian bahawa bertukar ke sekolah lama bukanlah pilihan A.Z. Jadi,  A.Z perlu bersabar dan cepat-cepat sesuaikan diri dengan cara belajar baru ini. Jangan rasa terkilan kerana tempat baru tidak sama dengan tempat lama kerana cabaran di tempat baru boleh memberi kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan.

Saya faham yang tempat baru ini tidak berapa sesuai dengan gaya A.Z yang suka belajar seorang diri. Namun, mungkin sesuatu boleh dilakukan agar A.Z rasa seolah-olah sedang belajar seorang diri di dalam bilik yang ramai orang seperti melatih minda untuk fokus 100% kepada apa yang sedang dilakukan. Bayangkan kalau seseorang sedang membaca buku yang sangat diminati di dalam sebuah bilik yang penuh dengan orang lain. Adakah dia akan sedar tentang orang ramai disekelilingnya? Tentu tidak bukan? Ini kerana mindanya tertumpu 100% kepada apa yang dilakukan. Cadangan lain mungkin boleh gunakan walkman (jika dibenarkan di dalam dewan belajar) dan pasang lagu berentak perlahan tanpa lirik. Ia boleh membuat kita belajar dalam dunia kita tersendiri.

 

Kedua, teruskan cara belajar dengan bercakap kepada diri sendiri. Saya percaya itu teknik yang bagus untuk memahami sesuatu. Bercakap sendiri itu tidak perlu kuat kan? Jadi ia tidak akan mengganggu sesiapa. Ia seperti kita membaca ayat bacaan dalam sembahyang….. dilafazkan tetapi telinga kita sahaja yang mendengarnya. Cuma yang belajar menggunakan cuma cahaya lampu koridor tu perlu dikurangkan atau dihentikan. Kesannya bukan sekarang, tetapi akan datang. Ia mungkin boleh menyebabkan pening kepala atau migrain nanti. Alternatif, kalau boleh, beli lampu membaca dan tarik ke depan pintu. Jadi, ada lampu koridor dan lampu membaca. Lebih terang kan? :)

 

Ketiga, jangan bimbang dengan pengalaman cikgu di sekolah baru. Bagaimana supaya tidak bimbang? Berhenti daripada membandingkan cikgu lama dan baru. Sudah pasti ada beza antara mereka. Namun kalau A.Z asyik membandingkan mereka, pasti  A.Z akan sentiasa nampak kelemahan dan kekurangan cikgu baru. Ini akan melemahkan semangat dan mengurangkan kebolehan A.Z untuk faham apa yang cikgu baru sedang ajarkan. Apa yang perlu dibuat ialah, sentiasa bayangkan yang A.Z dapat faham dengan baik apa yang cikgu sedang ajarkan. Lebih baik lagi, jumpa cikgu selepas waktu kelas. Cikgu-cikgu selalunya tidak ada masalah untuk membantu pelajar di luar waktu kelas. Cuma perlu cari waktu yang sesuai.

 

Akhir sekali, saya nasihatkan 2 perkara. Pertama, jumpa kaunselor sekolah untuk dapatkan bimbingan dan nasihat. Saya percaya kaunselor sekolah lebih memahami dan boleh membantu. Kedua, dalam tingkatan 4 ini, kuasai teknik belajar berkesan sebanyak mungkin. Lebih banyak teknik belajar dikuasai, lebih mudah semua masalah yang dibincangkan tadi dapat diselesaikan.

 

Selamat berjaya A.Z! :)

Majalah ebacaTerima kasih saya ucapkan kepada kak Ida, pengendali ruangan Bersama Kak Ida majalah e-Baca terbitan Karangkraf, kerana memberi alamat www.OsmanAffan.com dan blog ini sebagai sumber rujukan dalam satu soal jawab keluaran bulan Jun ini. Terima kasih juga kerana menghubungi saya mengenai perkara ini. Di sini saya tuliskan semula hasil tulisan Kak Ida. Untuk membaca lagi hasil tulisan beliau, anda boleh rujuk pada majalah E-Baca keluaran Karangkraf setiap bulan atau lawati http://www.karangkraf.com/e-majalah/ebaca/.

Soalan oleh adik Amirul Hafifi Hamzah:

“Hai Kak Ida, saya pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Mohd Arif Abdullah. Saya mempunyai masalah untuk menghafal nota-nota yang diberikan oleh cikgu dan surah-surah Al-Quran. Bagaimanakah cara yang terbaik untuk lari daripada masalah ini? Harap Kak Ida boleh memperjelaskannya.”

Jawapan Kak Ida:

“Hai Amirul, jangan risau jika Amirul merasa sukar untuk menghafal. Masalah ini bukan berpunca daripada daya ingatan yang lemah tetapi mungkin selama ini adik cuba menghafal tulisan, bukannya gambar. Untuk itu, adik perlu menukar cara menghafal dengan menukarkan semua nota ke dalam bentuk gambar. Teknik begitu lebih memudahkan. Teknik pengulangan juga banyak membantu. Ada pepatah Inggeris menyatakan Repetition is the mother of all skills - bermaksud pengulangan ialah ibu kepada segala kemahiran. Ini bermakna, setelah guru adik mengajar dan adik memahaminya, adik perlu membacanya kembali dalam tempoh 48 jam. Jika tidak, adik akan lupa 90% daripada apa yang telah dipelajari. Untuk mengetahui lebih tip dalam menghafal dan cara bijak belajar, adik bolehlah melayari laman sesawang www.OsmanAffan.com atau www.MotivasiBelajar.com .”

Seperti kata Kak Ida tadi, jika anda berminat untuk membaca lebih lanjut mengenai teknik memori, sila klik pada pautan di bawah.

http://www.osmanaffan.com/hafal.htm atau

http://www.osmanaffan.com/hafal1.htm

Selamat membaca. :)

UTHMPada hari Jumaat hingga Ahad lalu (15-17 Feb) saya bersama beberapa associate trainer (Ihsan, Coach Ridz & Coach Sha) berada di Savannah Hill, Johor. Program yang saya kendalikan kali ini bertajuk ‘Towards First Class’ untuk pelajar cemerlang daripada Universiti Tun Hussein Onn.

Program ini diadakan dengan tujuan untuk mengekal dan mendorong para peserta untuk mendapat kecemerlangan menjelang hari graduasi. Walaupun para peserta ini sudah dikategorikan sebagai cemerlang, mereka perlukan sedikit panduan untuk mengekalkan malah menaikkan lagi kecemerlangan mereka. Antara topik yang saya kendalikan ialah topik bagaimana menentukan hala tuju dan bagaimana cara mengekalkan semangat dan keazaman untuk berjaya.

UTHMUTHMApabila saya berada di hadapan pelajar cemerlang, saya dapat rasakan tenaga dan semangat mereka untuk mempelajari sesuatu yang baru. Mereka mudah berikan tumpuan dan cepat memberi maklumbalas terhadap apa yang dipersembahkan kepada mereka. Malah mereka cepat ‘tangkap’ atau faham lawak jenaka yang disampaikan. Ini bukanlah kerana mereka dilahirkan berbeza tetapi mereka telah latih diri mereka untuk fokus dengar dan lihat dengan teliti pada apa yang sedang mereka pelajari.

UTHMKita semua boleh jadi begini. Kita semua mempunyai kebolehan untuk menjadi pelajar cemerlang. Tidak kira sama ada kita sedang belajar atau sudah bekerja, kebolehan untuk mempelajari sesuatu yang baru adalah sangat penting. Bayangkan jika anda sudah berumur lebih 30 tahun tetapi tidak pandai untuk belajar sesuatu yang baru. Akibatnya, anda kekal di takuk lama. Betapa anda tidak suka keadaan hidup anda sekalipun, anda akan kekal begitu kerana anda tidak pandai untuk menambahkan koleksi ilmu yang baru.

 UTHM

Saya ucapkan tahniah kepada para peserta program ini yang begitu bersemangat semasa program dijalankan. Walaupun mereka letih sedikit kerana program agak penuh sepanjang hari namun mereka masih bersemangat dan boleh menumpukan sepenuh perhatian.

Terima kasih saya ucapkan kepada urusetia terutamanya Ms Shikin, Ms Aspa dan Ms Nora atas layanan baik yang kami terima terima sepanjang program. Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat saya (Ihsan, Coach Ridz & Coach Sha) yang bersama saya semasa program dijalankan.

Tahniah!! :)

SMK MenerongHari ini (seperti tarikh di atas) saya kembali ke Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Kuala Berang, Terengganu. Jika anda pernah membaca kisah bagaimana saya bermula dalam bidang pendidikan (seperti yang tertulis disini) pasti anda ada terbaca kisah bagaimana saya mendidik sekumpulan pelajar untuk memasuki pertandingan drama Bahasa Inggeris.

SMK MenerongUlang kembali, pada Mac 2003, setelah gagal beberapa perniagaan yang saya ceburi, saya mendapat tawaran bekerja sebagai GSTT, Guru Sandaran Tidak Terlatih selama 3 bulan. Saya dihantar ke SMK Menerong ini yang terletak lebih 50km daripada tempat tinggal saya di Kuala Terengganu. Asalnya saya patut mengajar Prinsip Akaun, tetapi akibat kekurang tenaga pengajar Bahasa Inggeris, saya ‘dipaksa’ mengajar subjek tersebut. Saya kata dipaksa kerana saya ketika itu tidak pernah terfikir untuk mengajar subjek tersebut. Namun terus jugalah mengajar. Dalam masa mengajar inilah saya terlihat bakat dan kekuatan yang ada dalam diri saya. Disinilah juga mulanya bagaimana saya mula terjun ke dalam dunia pendidikan.

SMK MenerongHabis cerita tersebut, saya kembali sekali lagi ke sekolah ini kerana dijemput oleh guru penyelaras tingkatan 3, Cikgu Rozita (saya biasa panggil Kak Ita ) dan guru kaunseling, Ustaz Baharuddin. Saya diberi 2 slot untuk bercerita kepada pelajar tentang potensi kejayaan yang mereka miliki.

Sudah 5 tahun saya tinggalkan sekolah ini. Saya masih ingat betapa saya berdebar hingga tangan saya sedikit menggeletar semasa mula-mula masuk ke kelas pada minggu pertama. Padahal yang ada di dalam kelas cumalah pelajar sekolah menengah.

Pasukan dramaSaya masih ingat bagaimana saya berusaha melatih pasukan drama dalam masa lebih kurang 4 minggu hingga menang tempat kedua daerah (sebelum itu, setahu saya SMK Menerong belum pernah memenangi apa-apa tempat dalam pertandingan sebegini.) Hasilnya, nama SMK Menerong ini (menurut Kak Ita) sudah sinonim dengan pertandingan drama. Malah para pelajar yang menyertai pasukan drama selalu dikaitkan dengan pelajar yang mempunyai semangat dan keyakinan diri yang tinggi.

Saya ucapkan terima kasih kepada guru-guru yang menjemput saya. Bak kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Nama sekolah ini akan kekal menjadi satu titik permulaan istimewa dalam kerjaya hidup saya. :)

skor a 2008Alhamdulillah. Saya telah berjaya menulis 7 petua skor A untuk tahun 2008 ini. Petua-petua ini sebenarnya adalah hasil bacaan saya selama ini dan juga hasil pemerhatian saya terhadap pelajar-pelajar cemerlang yang saya kenali. Saya selalu percaya bahawa skor A dalam peperiksaan adalah umpama kita sedang belajar memasak daripada seorang Chef yang handal. Jika kita ikut satu-persatu apa yang dilakukan termasuk menggunakan sukatan yang 100% sama, kita pasti akan dapat hasil yang sama.

Seperti pelajar cemerlang yang mampu skor A juga, kita boleh jadi seperti mereka jika kita amalkan apa yang mereka amalkan. Antara apa yang mereka amalkan ialah 7 petua yang saya kongsikan di sini. Mari kita ulang semula ketujuh-tujuh petua ini.

  1. Tulis gred yang kita mahu capai.
  2. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan.
  3. Uruskan masa berpandukan matlamat.
  4. Latih tubi.
  5. Tingkatkan kepantasan dan ketepatan.
  6. Jaga kesihatan fizikal dan mental.
  7. Dapatkan sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

Anda juga boleh membacanya di ruangan kompilasi. Saya telah siap mengumpul petua ini dalam bentuk kompilasi di sini.

Skor AKita sudah sampai ke tips terakhir dalam 7 petua skor A 2008 ini. Dalam petua ketujuh yang lepas, saya sudah terangkan kepentingan menjaga hubungan baik dengan ibu bapa dan guru. Kali ini saya akan terangkan kepentingan dan juga teknik untuk menjaga hubungan baik dengan rakan sebaya.

Untuk pengetahuan kita semua, rakan sebaya adalah orang-orang yang paling hebat dalam membantu kita mencapai kejayaan akademik. Satu sebab utamanya ialah mereka ini mempunyai tahap fikiran yang sama dengan kita. Jadi jika mereka faham sesuatu, mereka boleh terangkan kepada kita dengan lebih mudah.

Rakan sebaya juga boleh menjadi sumber rujukan dan sistem sokongan kepada kita. Ada banyak ketikanya kita tidak dapat luahkan masalah atau kerisauan hati kita kepada guru atau ibu bapa tetapi rakan-rakan rapat kita akan sentiasa bersedia mendengar dan menyokong kita.

Namun kita perlu berhati-hati. Tidak semua rakan sebaya boleh membantu kita. Ada yang akan cuba menarik kita kearah kegagalan walaupun bukan itu niat mereka. Contohnya jika kita berkawan dengan pelajar yang malas, walaupun dia baik dan rapat dengan kita, dia akan membuat kita terikut-ikut dengan perangai malas atau nakalnya.

Skor AUntuk skor A 2008 ini, ada beberapa tips yang perlu kita praktikkan.

  • Pertama, dekati rakan-rakan berfikiran positif, rajin dan bersemangat untuk berjaya. Dalam masa yang sama, kurangkan masa yang kita luangkan dengan pelajar-pelajar yang malas, bermasalah disiplin dan suka merungut. Gabungan tindakan kita ini akan menaikkan semangat kita untuk belajar dengan lebih baik.
  • Belajar bagaimana mahu menambahkan jumlah kawan. Kemahiran berkawan adalah satu kemahiran yang sangat penting kerana tanpanya, tidak ramai pelajar yang mahu berkawan dengan kita. Jadi, baca tips kemahiran berkawan (Klik disini) dan 7 petua memikat hati rakan sebaya ( klik disini)

Selamat mencuba. :)

Skor A 2008Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah ‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’. Semalam saya sudah terangkan bagaimana untuk mendapat sokongan ibu bapa. Kali ini, mari kita bincangkan bagaimana untuk mendapat sokongan guru dan rakan-rakan.

Para pembaca yang saya hormati sekalian, sokongan guru adalah antara perkara terpenting dalam mencapai matlamat kejayaan kita. Untuk skor A, saluran paling utama untuk mencapainya ialah melalui guru kita. Apabila guru kita bersungguh-sungguh untuk membantu dan membawa kita ke arah kejayaan, lebih mudah untuk kita ke sana. Banyak ketikanya pelajar dan ibu bapa merungut mengatakan guru tidak bersungguh-sungguh dan tidak peduli dengan kejayaan muridnya. Malah ada yang menuduh guru hanya menganggap sekolah sebagai tempat mencari duit dan tempat untuk mempunyai kerjaya sahaja. Saya percaya tanggapan ini salah.

Skor A 2008Mengapa? Sepanjang pengalaman saya berkenalan dengan guru sama ada di zaman persekolahan atau dewasa, saya lihat semua guru mahu anak muridnya berjaya. Satu sebabnya tentulah kerana itu tanggungjawab mereka. Namun satu sebab yang boleh kita percayai ialah kejayaan anak murid melambangkan kejayaan guru itu juga. Guru yang hebat pasti boleh melahirkan anak murid yang hebat. Jadi, persoalan guru tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh harus diketepikan.

Apa yang perlu kita fikirkan ialah mengapa guru lebih bersungguh-sungguh mengajar murid lain berbanding kita? Hmm… sekali lagi, jangan buruk sangka. Lihat semula kepada diri kita. Adakah kita selalu melawan cakap cikgu, degil, tidak beri tumpuan dalam kelas, terlalu ‘loyar buruk’, tidak hormat, tidak pernah siapkan kerja sekolah dan mengutuk guru itu dibelakangnya? Jika kita pernah atau biasa lakukan ini semua, adakah guru akan serius untuk membantu kita?Tentu tidak bukan?

Jadi, mulai hari ini, cari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan guru kita. Saya ada tulis 7 petua untuk memikat hati guru di dalam blog ini. Untuk membaca kompilasinya, klik disini. Dengan 7 petua ini, saya percaya kita akan lebih mudah mendapat perhatian dan sokongan guru meskipun guru itu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab hariannya.

Selamat mendapat sokongan guru dan selamat memikat hati mereka. :)

Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah ‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’. Sekali lagi ringkas sahaja bunyi petua ini tetapi adakah kita tahu mengapa sokongan mereka ini semua sangat penting dalam usaha mencapai gred A dalam tahun ini?

Skor A 2008Begini. Semasa kita berusaha untuk mencapai matlamat, kita akan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Rintangan dan cabaran ini mungkin datang dalam bentuk kegagalan, kekecewaan dan rasa sakit hati akibat macam-macam perkara. Contohnya, kalau kita nak skor A dalam subjek Bahasa Inggeris, mungkin kita tidak akan selalu mendapat gred tersebut. Ada kalanya kita dapat gred B, C, D atau gagal. Cabaran ini boleh menggugat keyakinan dan semangat kita untuk berjaya.

Jadi, dalam keadaan begini, ibu bapa, guru dan rakan-rakanlah yang boleh membantu menaikkan semula semangat dan keyakinan diri yang semakin jatuh itu. Namun, tidak semudah itu untuk mendapat sokongan mereka. Di sini saya akan kongsikan bagaimana caranya untuk mendapat sokongan mereka. Mari kita mulakan dengan bagaimana mendapat sokongan daripada ibu bapa.

Secara umumnya, ibu bapalah yang paling mudah untuk menyokong dan memberi semangat kepada kita. Ini adalah kerana kejayaan kita mencerminkan kejayaan buat diri mereka juga. Malah, banyak ketikanya, ibu bapalah yang lebih risau berbanding pelajar apabila menjelang peperiksaan (pernah lihat situasi begini?). Walaupun mereka mudah menyokong, ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan agar mereka lebih mudah memahami cabaran yang sedang kita tempuhi.

  • Skor A 2008Pertama, belajar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kepada ibu bapa. Masalah biasa dikalangan pelajar dan ibu bapa ialah hilangnya kebolehan untuk mereka berkomunikasi dengan baik. Perkara ini selalu saya lihat dalam sesi kaunseling yang saya jalankan terutamanya apabila anak-anak meningkat dewasa (dari umur 12 hingga 17 tahun). Jika anda ada masalah atau kerisauan, cuba bincangkan dengan ibu bapa. Saya faham ini bukan perkara mudah. Namun setelah anda buka mulut dan berkongsi masalah dengan ibu bapa, fikiran mereka akan jadi lebih terbuka untuk menyokong kita. Contohnya, jika kita sedang risau dan tertekan, jangan hanya berdiam diri dan mula menunjukkan perangai-perangai yang tidak menyenangkan. Perasaan tertekan tidak akan hilang dengan cara begitu. Apa kata jumpa ibu bapa, beritahu mereka yang kita sedang rasa tertekan dan minta nasihat mereka untuk membantu diri kita. Saya percaya mereka akan bantu.
  • Kedua, ceritakan kepada ibu bapa tentang matlamat kita untuk mencapai kejayaan. Ceritakan kepada mereka mengapa kita mahu capai kejayaan.  Kemudian, berterus-terang dengan mereka yang kita perlukan sokongan dan restu mereka untuk merasa lebih bersemangat. Ibu bapa mana yang tidak akan gembira dan menyokong jika anak-anak mereka sudah bertekad untuk berjaya.
  • Ketiga, dalam masa yang sama, walaupun sedang berusaha untuk berjaya, jangan lupa untuk membantu ibu bapa di rumah.  Kerja-kerja rumah selalunya tidak terlalu membebankan untuk kita. Setelah kita bantu meringankan beban ibu bapa di rumah, hati kita akan jadi lebih tenang. Ibu bapa kita juga akan rasa tenang. Jadi, lebih mudahlah untuk mereka membantu kita nanti.

Selamat mencuba. :)

Petua yang ke-6 untuk skor A tahun 2008 ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Saya telah terangkan mengenai tips menjaga kesihatan fizikal. Kali ini, kita bincangkan tips menjaga kesihatan mental pula.

Kesihatan mentalKita perlu faham, kadangkala tekanan perasaan yang kita rasa sebagai pelajar boleh menjadi terlalu hebat hingga ia memusnahkan kebolehan kita untuk berfikiran rasional. Ada ketikanya, pelajar boleh jatuh sakit secara fizikal (demam, letih badan, pening kepala atau kerengsaan kulit) atau secara mental (separuh gila, gila atau hilang akal). Berat juga perkara ini kerana saya sendiri pernah menyaksikan sahabat saya sendiri jatuh sakit secara mental akibat tekanan perasaan semasa belajar dan masih tidak pulih sepenuhnya hingga ke hari ini.

Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan untuk menjaga kesihatan mental kita ini.

  • Pertama, kekalkan imej positif di dalam minda kita. Tekanan perasaan selalunya disebabkan kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang menakutkan seperti gagal peperiksaan atau tidak mampu menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan. Hari ini, senaraikan perkara-perkara yang boleh buat kita gembira setiap kali memikirkannya. Apabila kita rasa tertekan, terus lihat pada senarai ini dan fikirkan tentang perkara tersebut. Saya pasti ia boleh membantu mengurangkan tekanan yang kita rasakan.
  • Kesihatan mentalMula berkawan rapat dengan kawan-kawan yang ceria, cemerlang dan yang suka memberi dorongan dan sokongan. Tujuan ini bukan untuk kita pergi kepada mereka dan luahkan masalah kita kerana masalah yang kita bawa akan melemahkan mereka juga. Pergi kepada mereka untuk tiru cara mereka hadapi tekanan perasaan mereka. Pelajar cemerlang selalunya berfikiran positif dan menganggap tekanan perasaan sebagai satu cabaran yang seronok untuk ditempuhi. Ia sama seperti kita bermain sukan. Semakin sukar permainan itu, semakin seronok untuk kita cuba memenanginya.
  • Jaga ibadah harian. Selain daripada menunaikan sembahyang wajib, luangkan juga masa untuk melakukan ibadah sunat yang digalakkan dalam agama kita. Saya selalu percaya bahawa air sembahyang adalah satu senjata hebat pelajar cemerlang untuk mengurangkan tekanan perasaan mereka. Disamping itu, membaca Al-Quran selepas Subuh dan Asar benar-benar boleh menenangkan fikiran dan menambahkan keselesaan dan kelapangan di dalam hati kita. 

Selamat mencuba. :) 

Sudah beberapa minggu tergendala perbincangan kita mengenai petua skor A 2008 kan? Hmm… agak sibuk sedikit kebelakangan ini tetapi tidak mengapa, saya akan habiskan tulisan saya mengenai 7 petua ini.

Petua yang ke-6 untuk skor A tahun 2008 ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Mudah sahaja bunyi petua ini tetapi tahukah kita bagaimana menjaga kesihatan fizikal dan mental. Mari kita mulakan dengan kesihatan fizikal dahulu.

skor a 2008Selalunya, apabila sudah terlalu bersemangat untuk skor A, pelajar lupa menjaga kesihatan tubuh badan mereka. Mereka terperap dalam rumah atau bilik untuk membaca buku. Mereka enggan keluar berjalan-jalan atau bersenam.  Mereka juga mula tidak menjaga makan minum mereka di mana mereka tidak makan dengan cukup, makan berlebihan atau makan makanan yang tidak berkhasiat.

Saya percaya tidak perlu diterangkan mengapa kesihatan fizikal itu penting untuk skor A. Kita kena ingat, minda tidak boleh berfungsi dengan baik jika fizikal kita tidak berada dalam keadaan yang baik. Sama seperti kereta, ia tidak berfungsi dengan baik jika ada sebarang kerosakan pada enjinnya. Jadi, apa yang perlu kita lakukan untuk menjaga kesihatan fizikal dalam usaha skor A 2008 ini?

  • Pertama, banyakkan makan makanan yang berkhasiat. Ia boleh dilakukan dengan memakan buah-buahan segar atau sayur-sayur segar.  Kebanyakan zat-zat yang kita perlukan boleh didapati di dalam makanan-makanan ini. Jika sukar mendapat makanan berkhasiat, penggunaan ’supplement’ atau zat tambahan yang boleh dibeli di pusat kesihatan atau farmasi juga boleh membantu.
  • Kedua, banyakkan minum air yang bersih. Sukar untuk saya terangkan lebih lanjut mengenai air bersih ini. Namun, air yang dicadangkan oleh Dr Bruce Miller (penulis buku-buku kesihatan termasuk buku mengenai penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya) mencadangkan air reverse osmosis atau air yang sudah disuling. Kalau kita pergi ke kedai, kita boleh lihat banyak air minuman yang dijual dalam botol bukan? Selalunya kita hanya panggil air minuman itu dengan nama air mineral. Tetapi bukan semua air itu air mineral. Ada diantaranya ialah air reverse osmosis. Ia selalunya juga ditulis sebagai ‘drinking water’. Dapatkan nasihat seseorang yang lebih pakar daripada saya mengenai perkara ini supaya tidak ada keraguan. :)
  • skor a 2008Luangkan masa 30 hingga 60 minit sehari untuk berpeluh. Mudah sahaja bunyinya kan? Kalau kita berjalan kaki ke kedai pun kadang-kadang sudah ambil masa 30 minit dan kita akan berpeluh.  Itu pun sudah lebih baik daripada asyik terperap di dalam rumah.
  • Lakukan senaman regangan otot 5 - 10 minit sehari. Apabila kita asyik belajar dan duduk di atas kerusi sepanjang masa, otot kita boleh jadi kejang dan tidak selesa.  Perjalanan darah juga akan jadi tidak lancar.  Jadi dengan membuat senaman regangan otot, kita akan rasa lebih segar dan selesa. Mudahlah nanti untuk kita sambung belajar.
  • Lebih menarik lagi, luangkan masa bermain sukan dengan kawan-kawan 30 hingga 60 minit sehari. :)

RTM1Semalam segmen motivasi belajar yang pernah saya ceritakan minggu lalu telah disiarkan di RTM1, rancangan Selamat Pagi Malaysia, pukul 8.30 pagi. Seronok juga melihat hasil usahasama saya dan pihak RTM hingga terhasilnya slot motivasi belajar ringkas yang cuma mengambil masa lebih kurang 20 minit itu.

Jika anda terlepas menontonnya, semalam saya ceritakan tentang langkah demi langkah yang perlu diambil jika kita mahu menjadi pelajar cemerlang tidak kira sama ada kita berada di sekolah, kolej atau universiti. Ada 5 langkah yang saya kongsikan.

RTM1Langkah pertama - Tulis gred yang hendak dicapai. Jika kita mahu jadi pelajar cemerlang, kita mesti tahu dengan jelas gred apa yang kita mahu dapat dalam peperiksaan sebenar nanti. Jika kita tidak tahu atau tidak pasti, hasilnya pasti mengecewakan kita nanti.

Langkah kedua - Kaji kelemahan. Setelah kita tahu gred apa yang kita mahu, kita perlu tahu di manakah kedudukan kita sekarang. Jika kita mahu dapat gred A dalam subjek Sains, kaji semula, apakah gred yang biasa kita dapat sekarang. Mungkin kita biasa dapat gred C. Apabila kedudukan sekarang jelas, kita boleh anggarkan berapa banyak usaha yang perlu diletakkan dalam proses mencapai gred A tersebut. Kaji kelemahan juga dapat memberitahu kita subjek mana yang perlu diberi perhatian lebih.

Langkah ketiga - Senaraikan aktiviti. Selalunya pelajar ada azam dan azam itu akan pudar dan hilang sepenuhnya dalam masa 4 ke 8 minggu. Untuk mengelakkan ini terjadi, jangan hanya fikirkan azam, tapi fikirkan dengan jelas apakah aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan untuk mendapat gred idaman. Contoh aktiviti ialah ‘buat latihan Add Maths 20 soalan sehari, setiap hari’, atau ‘jumpa cikgu Sains setiap minggu untuk terangkan bab susah’ atau ‘buat nota bab 1 hingga 4 dalam masa 2 minggu’.

teknik belajar umpama kenderaanLangkah keempat - Belajar teknik belajar. Teknik belajar adalah kenderaan kita untuk sampai ke sesuatu destinasi. Kalau guna kenderaan berbanding berjalan kaki, kita akan sampai lebih cepat dan kurang meletihkan. Cari peluang untuk belajar teknik belajar seperti teknik menghafal, teknik menulis nota, teknik pengurusan masa dan teknik fokus di dalam kelas. Ini semua boleh dipelajari melalui buku, seminar atau kursus motivasi dan teknik belajar yang dianjurkan berhampiran tempat kita.

Langkah kelima - Dapatkan sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Pastikan kita minta sokongan orang-orang ini. Berkat doa dan restu ibu bapa dan guru akan menenangkan hati kita dan memudahkan kita untuk mempelajari dan menguasai sesuatu. Hormati ibu bapa dan guru. Pikat hati mereka. (Baca tips dan petua memikat hati guru dan kawan-kawan di ruangan kompilasi tips dan petua).

Selamat merancang kejayaan untuk tahun 2008 ini. Jika ada masa, jangan lupa tonton segmen motivasi belajar di RTM1 minggu depan (masa yang sama, 8.30 pagi). Minggu depan saya bincangkan tentang konsep halangan minda (mental block) dan bagaimana cara untuk menghapuskannya. :)

Next Page »