Mon 23 Jun 2008
Bersama Anne Ngasri dalam rancangan Cahaya Permata Musim Kedua
Posted by Osman Affan under Cerita
No Comments
Jumaat lalu saya sekali lagi menjalankan penggambaran untuk rancangan Cahaya Permata bersama Anne Ngasri. Rancangan ini sudah masuk penggambaran musim kedua. Saya diberitahu bahawa rancangan ini akan ditayangkan di RTM1 setiap hari Isnin pukul 10 pagi. Namun saya tidak pasti bila ia akan bermula.
Dalam penggambaran kali ini, Anne bertanyakan tentang tajuk kemewahan terlampau untuk pelajar di sekolah menengah. Jadi, kami bincangkan tentang berapa banyak wang belanja yang perlu diberikan kepada pelajar diperingkat sekolah menengah dan apakah
panduan utama untuk menentukan jumlah belanja pelajar. Jika wang belanja terlalu sedikit, tentu tidak cukup untuk pelajar. Jika terlalu lebih pula dikhuatiri pelajar akan gunakan untuk aktiviti lain yang tidak baik. Jadi ibu bapa perlu lakukan sesuatu untuk menjaga perbelanjaan sekolah anak-anak mereka.
Anne juga ada bertanyakan tentang tips untuk mendidik anak menyimpan wang. Saya ceritakan tentang tips yang saya pelajari daripada sahabat saya, Shamsuddin Kadir (www.Shamsuddinkadir.com). Tips itu ialah kita patut ajar anak kita simpan duit dahulu, baru belanjakan bakinya. Ini amat berbeza dengan konsep dulu di mana anak-anak diajar kalau ada baki duit belanja, baru simpan dalam tabung. Saya rasa kalau pelajar amalkan teknik mudah ini, mereka pasti akan membesar dengan tabiat menyimpan dan berfikir untuk masa hadapan. Terima kasih Tuan Shamsuddin atas tips ini.
Semoga perbincangan di dalam rancangan ini akan memberi banyak manfaat kepada para penonton.






















