Wed 12 May 2010
Bersama Pakar Memori Bertaraf Dunia Dr Koh Ming Kwang
Posted by Osman Affan under Cerita
No Comments
Selasa lalu, 11 Mei 2010, merupakan satu hari yang amat bermakna dan berbeza buat diri saya apabila berpeluang bersemuka dengan seorang pakar memori bertaraf dunia, Dr Koh Ming Kwang. Apabila disebut nama beliau, saya terbayang seorang yang sudah berumur dan kelihatan seperti seorang professor di universiti. Namun apa yang mengejutkan saya ialah beliau rupa-rupanya 2 tahun lebih muda daripada saya!
![]()

Di dalam buku saya yang kedua, Menjadi Remaja SmartStudy – Kemahiran Belajar yang diterbitkan pada tahun 2007, saya ada sebutkan nama beliau. Jika tidak silap saya, beliau pernah memenangi tempat kelima pertandingan memori peringkat dunia. Di dalam program SmartStudy Memory Skills, saya ada terangkan kepada pelajar betapa mencabarnya pertandingan memori peringkat dunia ini. Dr Koh berjaya menduduki tempat kelima jadi itu merupakan satu pencapaian yang sangat mengkagumkan.
Dr Koh juga ada mendidik ribuan pelajar dalam menguasai teknik memori ini. Salah seorang anak muridnya telah berjaya memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Memori Dunia. Ini menunjukkan kesungguhan dan kehebatan beliau sebagai seorang guru dalam mendidik anak murid beliau hingga berjaya.
Selasa lalu, pertemuan kami adalah untuk berkenal-kenalan. Dalam masa yang saya, saya tidak lepaskan peluang bagi memohon agar beliau sudi menjadi mentor saya dan juga mendidik saya dengan lebih mendalam tentang teknik memori yang berkesan. Saya percaya, dengan tunjuk ajar beliau, saya dapatkan tingkatkan lagi kemahiran dan penguasaan saya terhadap teknik-teknik memori yang telah saya kembangkan selama ini. Saya juga benar-benar menaruh harapan agar persahabatan dan hubungan mentor mentee dengan Dr Koh ini akan memberi manfaat yang besar kepada peserta-peserta program SmartStudy Memory Skills yang akan datang.






















