Osman Affan 

Jumaat lalu, 26 Mac 2010, saya berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menjayakan seminar pendidikan yang bertajuk “Adakah buku pendidikan bosan dibaca ?”. Dua ahli panel dijemput bagi menjayakan seminar ini iaitu Tuan Fauzul Naim dan saya sendiri.

Sebelum saya memberi komen tentang tajuk seminar ini, saya terangkan kepada hadirin bahawa lebih kurang 5 tahun lalu (tahun 2005), saya pertama kali datang ke Pesta buku ini dengan harapan untuk menjadi penulis. Bolehkah anda teka siapakah yang saya jumpa untuk menceritakan hasrat saya ini?

Ya, saya jumpa Tuan Fauzul Naim yang ketika itu masih memegang jawatan sebagai pengurus PTS Millenia. Saya terangkan kepada beliau bahawa saya telah menulis sebuah buku mengenai pelajar cemerlang tetapi saya tidak pasti berapa panjang ia sepatutnya ditulis. Ketika itu saya tidak tahu sama ada apa yang saya tulis terlalu panjang, terlalu pendek atau isi kandungannya tidak memenuhi apa yang dikehendaki oleh penerbit.

Tuan Fauzul telah meluangkan masa menerangkan dengan panjang lebar mengenai buku bagaimana yang dicari di dalam pasaran. Jadi, beliau telah bersetuju menerima manuskrip pertama saya. Setelah beliau meneliti manuskrip tersebut (beberapa minggu kemudian), beliau menasihatkan saya agar buku saya itu dipecahkan kepada 2 bahagian kerana ia agak panjang. Jadi, terbitlah buku saya yang pertam bertajuk “Persediaan Minda Pelajar Cemerlang”. Beberapa bulan kemudian, terbit pula buku yang kedua yang bertajuk “Kemahiran Belajar”. Buku-buku ini semua termasuk di bawah siri buku Menjadi Remaja SmartStudy hasil tulisan saya. Di situlah bermulanya zaman penulisan saya bersama PTS.

Osman Affan               Osman Affan

Kenangan manis ini terimbas kembali apabila saya duduk berdua di atas pentas bersama Tuan Fauzul Naim. Kali ini kami berdua diminta mengulas mengenai masa depan buku pendidikan dan bagaimana caranya untuk menarik lebih banyak minat untuk membaca buku-buku di bawah kategori pendidikan.

Secara umumnya, seminar ini berjalan dengan sangat lancar. Terdapat beberapa soalan daripada audiens. Satu soalan menarik yang membuat saya ingin benar menjawabnya ialah mengenai isi kandungan buku motivasi yang dikatakan sama sahaja. Ia menimbulkan rasa bosan untuk membacanya.

Komen saya, benar, ada banyak isi kandungan di dalam buku-buku motivasi dan pembangunan diri yang kelihatan sama. Namun, apa yang patut difikirkan ialah satu topik yang sama akan jadi sangat berbeza pemahamannya apabila diceritakan oleh beberapa orang yang berbeza. Saya berikan satu contoh yang jelas, jika ada 500 orang yang melihat satu kemalangan jalan raya, kita akan boleh mendengar 500 versi kisah kemalangan tersebut. Ceritanya tetap sama iaitu kisah kemalangan tersebut tetapi penceritaannya pasti sangat berbeza. Fokusnya juga sangat berbeza. Ada yang bercerita tentang darah, ada yang bercerita tentang kereta remuk dan ada yang bercerita tentang ‘traffic jam’.

Apa yang menariknya, semakin banyak versi cerita yang kita dengar, semakin jelaslah kita dengan apa yang berlaku sebenarnya. Jadi, tidak perlu mengeluh kalau kita membaca tentang satu topik atau isu yang sama dalam beberapa buku berbeza. Satu berita baiknya, jika kita mula rasa terdapat isu yang sama diceritakan di dalam beberapa buah buku, itu bermaksud kita sudah banyak membaca buku.

Ini terbukti kerana kita sudah boleh ingat isu utama dalam buku-buku tersebut. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kita perlu melihat sudut-sudut yang berbeza di dalam isu atau topik tersebut. Satu hari, apabila kita sudah mula nampak perbezaan sudut perbincangan mengenai sesuatu isu itu, kita sudah mula menjadi seorang pakar dalam isu tersebut. :)

Osman Affan

Terima kasih kepada Tuan Yusri daripada PTS Pro yang sudi menjemput saya dan terima kasih kepada Tuan Aizat, juga daripada PTS Pro kerana menjadi moderator yang memudahkan dan melancarkan perjalanan seminar ini.