Thu 14 Dec 2006
Kisah di sebalik kisah Gadek….
Posted by Osman Affan under Cerita, Teknik Belajar
No Comments
Jika anda baca cerita yang saya tulis semalam, ada tiga perkataan yang saya ingin anda ingat dalam kisah ini. Perkataan-perkataan itu ialah:
- Pemanah
- Pantas
- Tepat
Saya percaya, untuk menjadi mahir dalam kemahiran belajar, anda juga perlu menjadi seperti seorang pemanah yang hebat. Seorang pemanah yang hebat mempunyai kebolehan untuk menumpukan perhatian mereka. Mereka tenang dan tahu masa yang sesuai untuk bertindak. Apa yang paling hebat ialah, mereka sangat pantas dan tepat semasa memanah.
Begitu juga dengan pelajar yang cemerlang. Pelajar yang cemerlang mempunyai ciri-ciri kehebatan mereka yang tersendiri terutamanya kebolehan mereka untuk menumpukan perhatian terhadap apa yang mereka pelajari. Di dalam dewan peperiksaan, mereka boleh menjawab soalan dengan sangat pantas dan tepat. Inilah rahsia kecemerlangan mereka. Bolehkah anda menjadi seperti mereka?
Sebenarnya ini adalah gambaran kandungan keseluruhan buku kedua saya yang sedang dalam proses penerbitan oleh PTS Publishing. Di dalam buku ini saya bahagikannya kepada tiga bahagian iaitu Pemanah, Pantas dan Tepat. Matlamat utama buku ini adalah untuk memberikan anda kemahiran untuk dapat mempelajari sesuatu dengan pantas.
Untuk itu, anda perlu menjadi seorang pelajar yang boleh menumpukan perhatian terhadap apa yang anda pelajari. Hasilnya nanti, anda akan dapat mengingati apa yang anda pelajari dengan pantas dan tepat.
Cuma saya tidak pasti bila buku ini akan terbit di pasaran. Harapnya, ia keluar awal tahun 2007.






















