Wed 13 Dec 2006
Kisah Gadek….
Posted by Osman Affan under Cerita, Teknik Belajar
No Comments
Gadek berdiri kaku. Matanya tidak berkelip memandang ke arah hadapan. Seekor harimau seberat 200 kilogram sedang merenung ke arahnya. Gadek berada di dalam keadaan bahaya. Harimau itu cuma berada lebih kurang 20 meter darinya sahaja. “Macam mana aku tak sedar ada jejak harimau masa aku masuk dalam hutan ni tadi?” Soal hati Gadek.
Harimau itu tidak bergerak. Matanya masih merenung Gadek. Ekornya sudah mula digoyangkan ke kiri dan ke kanan. Itu satu petanda bahaya. Ia akan menyerang bila-bila masa sahaja. Perlahan-lahan Gadek mengambil panah yang disangkutkan di bahunya. Suasana disekeliling hutan itu terasa begitu sunyi seolah-olah mereka tahu satu pertarungan hebat bakal berlaku. Gadek memperbetulkan kedudukannya. Dia berdiri dengan tegak, tidak bergerak walau seinci.
“Berdiri tegak Gadek!” Terngiang suara arwah ayah di telinga Gadek. “Bernafas betul-betul! Tenangkan hati! Tumpukan perhatian!” Jerit suara itu lagi. Di saat yang getir ini, memori ketika Gadek mula-mula belajar memanah dengan ayahnya mula terimbas dengan sendiri.
Gadek mula menarik nafas perlahan-lahan dan menahannya selama beberapa saat. Ketika itu, tumpuan sepenuhnya adalah terhadap harimau itu. Dia langsung tidak hiraukan nyamuk-nyamuk dan pacat yang mengerumuni tubuhnya. Secara mental, Gadek sudah bersedia. Dia berdiri sebagai seorang pemanah yang hebat. Tiba-tiba, harimau itu mengaum dan mula berlari ke arah Gadek. Rupanya yang bengis dan suaranya yang menakutkan pasti akan melemahkan semangat sesiapa sahaja yang berada di situ. Daya tumpuan Gadek masih lagi tidak terganggu. Dia masih menanti waktu yang sesuai untuk bertindak. Harimau itu semakin mendekati. Nyawa Gadek kini seperti telur di hujung tanduk.
“Gadek! Kau mesti pantas dan tepat! Barulah boleh jadi pemburu handal seperti ayah,” suara arwah ayah Gadek terngiang di telinganya lagi. Ketika kecil, Gadek selalu bercita-cita menjadi seorang pemburu yang hebat seperti ayahnya. Cuma ketika itu dia belum cukup pantas dan tepat semasa keluar memburu bersama ayahnya. “Pantas dan tepat! Pantas dan tepat! Pantas dan tepat!” Terkumat-kamit mulut Gadek mengucapkan kata-kata itu.
“Pantas dan tepat!” Bentak hati Gadek lalu dengan pantas diangkat panahnya dan ditujukan kepada harimau itu. Harimau itu cuma berada beberapa meter dari Gadek dan mula melompat untuk menerkam ke arah Gadek. Gadek melepaskan anak panahnya. Ia meluncur laju. Anak panah Gadek tepat mengenai mata kiri harimau itu dan menembusi kepalanya. Gadek mengelak ke kanan. Harimau itu tersungkur dan rebah di sebelah kiri Gadek, tidak bergerak, tidak bernyawa.
Gadek masih lagi berdiri dengan gagah. Kepantasan dan ketepatannya dalam memanah sudah membuatnya dikenali di sekitar kampung kediamannya. Dia merenung ke arah bangkai harimau itu dengan rasa lega bercampur kesal. Gadek lega kerana dia berjaya menyelamatkan dirinya dan kesal kerana terpaksa membunuh harimau itu…
Cerita oleh : Osman Affan
Saya akan ceritakan kisah di sebalik cerita ini esok……






















