Astana DugangSelasa dan Rabu, 6 & 7 Januari saya dan keluarga meluangkan masa di Teratak Hijjaz yang dikenali sebagai Astana Dugang, Putrajaya. Sudah lama rasanya saya tidak kembali ke suasana kampung seperti yang pernah saya alami dulu. Apabila saya sampai, bau-bauan yang datang daripada pokok-pokok pisang danjuga kolam ikan di sana mengingatkan saya kepada pengalaman berada di kawasan sawah padi dan juga semasa saya membesar di Kuala Terengganu dulu.

Lawatan kali ini ke sini sememangnya dengan tujuan untuk bercuti bersama keluarga. Bulan November dan Disember lalu agak sibuk bagi saya jadi apabila ada kesempatan untuk bersama begini tentunya sukar untuk dilepaskan.

TalapiaTalapiaSaya rasa seronok melihat anak-anak saya bermain pasir dan tanah berhampiran kolam ikan. Walaupun terdetik rasa bimbang tentang kekotoran tanah yang sedikit berselut, saya percaya anak-anak saya ini perlu didedahkan dengan cara kehidupan kampung juga seperti yang pernah saya alami dulu.

Saya dan keluarga banyak habiskan masa di hadapan tempat penginapan kami. Di situ letaknya kolam ikan yang agak besar juga. Saya dapat memancing beberapa jam sambil memerhatikan anak-anak saya sibuk membaling batu ke dalam kolam. Seronok benar nampaknya mereka tu. Maklumlah di Kuala Lumpur tidak boleh baling batu sebarangan ke dalam kolam. Kalau ada kolam yang hendak di baling pun mungkin kolam renang atau kolam loji penapisan. :) Banyak masalah pula nanti.

Darwish & DanishSaya percaya dalam kesibukan harian mengejar matlamat dan impian, ada masanya kita perlu berhenti seketika sambil duduk, tidak memikirkan apa-apa. Bagi orang yang biasa sibuk dengan bermacam-macam perkara, duduk tanpa melakukan sesuatu atau memikirkan apa-apa mungkin kelihatan sukar. Namun dengan aktiviti ini, saya percaya minda akan jadi lebih tenang dan tenaga kembali meningkat untuk menghadapi cabaran-cabaran seterusnya.

Untuk pembaca setia blog ini, saya ucapkan selamat berhenti seketika dan tingkatkan semula tenaga bagi merentasi apa juga halangan dan cabaran yang sedang melintang di hadapan sepanjang tahun 2009 ini.