Mon 25 Aug 2008
Program bersama Jabatan Penerangan Brunei
Posted by Osman Affan under Cerita, Program Motivasi
Hari ini (Isnin, 25 Ogos) ialah hari pertama saya jalankan program bertajuk Kursus Pembinaan Kapasiti Diri dan Organisasi untuk lebih kurang 65 pegawai Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Tuan Haji Yussof Haji Ladi. Di dalam ucapan perasmian beliau, banyak kali beliau nyatakan yang beliau sangat tertarik dengan satu slot utama modul mengenai kepentingan bersyukur.

Seperti yang saya terangkan dalam posting sebelum ini, program ini adalah sama seperti program Pembangunan Organisasi dan Pemantapan Modal Insan yang biasa saya jalankan untuk syarikat korporat dan jabatan kerajaan di Malaysia. Ia menekankan kepentingan memahami konsep keyakinan diri dan bagaimana kemajuan individu boleh menyumbang kepada perubahan dan kejayaan sesebuah organisasi.
Program ini adalah hasil kerjasama syarikat saya Creative Questions Enterprise dan Zol & Company Services Brunei. En Zul Kifli (gambar sebelah) adalah pengarah syarikat konsultan ini yang begitu aktif menjalankan kursus-kursus dan seminar pembangunan diri untuk para pegawai kerajaan di Brunei. Saya sangat bertuah kerana mendapat kerjasama beliau untuk meluaskan lagi modul kursus pembangunan diri yang telah saya bina ini.
Setakat hari ini, sambutan daripada peserta amatlah baik. Saya tidak terasa langsung seperti berada di Brunei. Terasa seperti berada di negara sendiri disebabkan keramahan dan kerjasama yang diberikan oleh para peserta kursus ini. Saya akan tuliskan sedikit lagi laporan mengenai kursus ini esok.























