Wed 27 Aug 2008
Program pada hari terakhir di Brunei Darussalam
Posted by Osman Affan under Cerita, Program Motivasi

Hari ini (Rabu 27 Ogos) adalah hari terakhir saya mengendalikan program pembangunan kapastiti diri dan organisasi bersama para pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan negara Brunei Darussalam. Mungkin disebabkan rasa letih dan tidur yang tidak berapa betul semalam, kepala saya agak sedikit berat hari ini. Namun semangat saya untuk meneruskan program sentiasa membara. Mungkin ini disebabkan kerjasama dan sifat ’sporting’ yang ditunjukkan oleh peserta sepanjang dua hari pertama program.
Hari ini saya telah simpulkan semua topik-topik yang saya bentangkan selama 3 hari bersama peserta. Saya kongsikan juga bersama peserta tentang perasaan saya yang terasa begitu cepat 3 hari berlalu. Setelah tamat sesi terakhir saya pada pukul 3 petang, satu majlis penutup diadakan yang telah dirasmikan oleh Tuan Pengarah Jabatan Penerangan, Tuan Haji Mahrub A. Hj Murni. Beliau telah menyatakan harapannya agar ilmu-ilmu yang telah dikongsikan dapat dipraktikkan agar kemajuan boleh dilihat bukan sahaja di peringkat individu tetapi diperingkat organisasi.

Seperti biasa, sesi bergambar menjadi tumpuan utama. Rasa semakin pening kepala saya yang asyik merenung ke arah flash daripada kamera. Namun, suasana meriah itu membuat saya rasa ingin terus berada di situ. Saya juga agak terharu dengan cenderahati yang diberikan oleh pihak Jabatan Penerangan. Selepas terima cenderahati daripada pihak jabatan, saya dipanggil sekali lagi untuk menerima cenderahati daripada semua peserta. Kemudian dipanggil sekali lagi untuk menerima cenderahati daripada kumpulan 6 (Gambar di bawah), salah satu kumpulan paling ceria dan bertenaga sepanjang program. Terima kasih saya ucapkan kepada semua peserta. Pengalaman saya menjalankan program 3 hari di Brunei akan menjadi satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Setelah tamat sesi bergambar, sekali lagi saya ditemuramah oleh pihak Akhbar The Brunei Times. Mereka banyak bertanya tentang bagaimana cara saya menjalankan program dan bagaimana cara saya menaikkan semangat peserta sepanjang program 3 hari itu. Saya sebenarnya juga agak terkejut (dalam erti kata gembira) apabila melihat peserta begitu bersemangat dan yakin terutamanya pada hari ketiga. Apa yang saya lihat pada hari ketiga ini, apabila saya minta peserta tampil ke depan untuk membentangkan hasil perbincangan, mereka berebut-rebut untuk tampil dahulu. Ini adalah satu permandangan yang sangat menggembirakan saya kerana saya percaya keyakinan diri mereka telah meningkat dengan begitu mendadak sekali. Ini semua adalah hasil kerjasama dan keinginan peserta sendiri untuk berubah. Apabila mereka sudah bersedia, sudah tentu mereka mampu meningkatkan keyakinan diri ke tahap yang saya dapat lihat ini. Tahniah saya ucapkan.
Lebih kurang pukul 5 petang, saya bergegas ke lapangan terbang antarabangsa Brunei untuk mendapatkan penerbangan balik ke Kuala Lumpur. Walaupun agak terkilan kerana tidak sempat untuk bersiar-siar ke kawasan menarik di Brunei, saya percaya saya akan kembali lagi dan memperolehi peluang tersebut. Saya perlu balik hari ini juga kerana saya dijadualkan untuk menjalankan program bersama pelajar di Kolej Matrikulasi Penang pada esok hari.

Kepada En Zul dan krew daripada Zol & Company Services (gambar di bawah), saya ucapkan terima kasih atas layanan baik yang saya terima sepanjang berada di Brunei. Tidak lupa kepada Pengarah, Timbalan Pengarah, ketua-ketua unit dan semua peserta yang menjadikan program ini satu program yang amat istimewa bagi saya. Di bawah saya sertakan beberapa komen baik yang saya perolehi daripada para peserta program.

“Sungguh luar biasa kerana saya dapat merasakan segala penyampaiannya yang amat jelas dan nyata segala yang disampaikan mengenai kehidupan pada diri masa ini yang perlu kita fikirkan dan ubah untuk sentiasa bahagia, dan bersyukur akan nikmat hidup.”~Mohd Abdul Kafi Hj Sulaiman~
“Sangat seronok. Ilmu dan mesej yang disampaikan dapat diterima dengan baik. Akhir sekali Congratulations & Thanks Mr Osman Affan for the valuable knowledge. Thanks.”~Anang Idris Hj Ramli~
“Sangat-sangat mengagumkan dan ianya memang betul dan benar-benar berlaku di dalam kehidupan kita sehari-hari mahupun di masa akan datang. So I call it ‘Magic’.” ~Mas’Ayu Abdullah~
“Pada hari pertama program ini saya sudah tertarik untuk mengetahui semua maklumat yang disampaikan kerana ianya amat membantu saya untuk menguruskan hal peribadi dan kerja di samping meningkatkan keyakinan saya dalam pekerjaan. Syabas dan tahniah diucapkan.”~Mohd Suzawadeen Mohd Zaidi~
“Program yang sangat bagus. Cara penyampaian yang menyeronokkan dan membina. Terima kasih kepada En Osman.” ~Henyzan Hj Jamudin~
“Sepanjang yang pernah saya alami seperti mengikut kursus-kursus atau ceramah, inilah pertama kalinya saya sangat suka pada program kursus. Saya sangat-sangat tertarik dengan semua motivasi yang disampaikan. Jikalau masa dapat diulang kembali (semasa zaman sekolah) insyaallah saya boleh jadi pelajar cemerlang. Syabas saya ucapkan kepada En Osman… yang terpenting sekali, saya memang enjoy sepanjang kursus ini dijalankan….dengan pengajaran yang saya dapat, insyaallah saya akan ajarkan pada bakal anak-anak saya.” ~Nurul Jannah Hassan~
“Kursus ini banyak memberikan pengetahuan yang amat berguna disamping penyampaian yang berkesan oleh penceramah yang berkebolehan. Setiap kursus tidak akan mendapat feedback yang baik sekiranya penceramah tidak pandai menarik perhatian audience nya. Overall excellent ad looking forward for more course in the future especially with our expert facilitator Mr Osman Affan. Congratulations!” ~Surani Sharil @ Hanny~
“Sangat berkesan untuk membina kapasiti diri dan organisasi melalui penyampaian topik-topik yang sungguh menarik dan memberangsangkan. Tuan Osman Affan seorang penceramah yang sungguh berkaliber dengan cara, peribadi, personaliti dan nada suara yang tidak membosankan.” ~Hjh Nor~
“Melalui program ini saya banyak menerima inpt dari segi perkara-perkara baru bagi memperbaiki kualiti kerja saya disamping dapat mengingatkan saya kembali kepada perkara-perkara asas yang mungkin atau telah saya ketepikan termasuk kepentingan memiliki kewangan stabil atau simpanan mencukupi.”~Ampuan Roza Amalyati Ampaun Hussain~









Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 













