Mon 21 Apr 2008
Sehari bersama pelajar Universiti Darul Iman
Posted by Osman Affan under Cerita, Program Motivasi
No Comments
Pada 21 Mac lalu, lebih kurang sebulan lepas, saya berada di Universiti Darul Iman buat kedua kalinya bagi menjayakan program SmartStudy Learning Skills bersama para mahasiswa dan mahasiswi. Ketika itu, saya masih berada di dalam SmartStudy Adventure di mana program saya begitu rapat antara satu sama lain sedangkan jarak setiap lokasi agak jauh.
Apabila saya sampai di UDM lebih kurang pukul 7.30 pagi, saya bersama Ihsan (www.simplytranslate.net) mundar mandir di kawasan universiti bagi mencari dewan tempat program. Tiba-tiba saya terlihat sekumpulan mahasiswi yang berkumpul di satu tempat. Pelik juga, apa yang mereka sedang lakukan. Rupa-rupanya mereka sedang menadah air daripada sebuah paip di tepi sebuah bangunan ke dalam sebuah baldi. Saya sekali lagi tiba-tiba menjadi berdebar. “Tak ada air ke universiti ni sekarang?”
Debaran itu bukan kerana bimbang saya tidak dapat gunakan air, tetapi bimbang jika ketiadaan air akan menjejaskan jumlah kehadiran pelajar ke program saya hari ini. Tambahan pula, ini hari Jumaat, iaitu cuti umum di Terengganu. Semalamnya juga cuti umum Maulidur Rasul. Tentu ramai pelajar sudah pulang ke rumah. Hmmmm…..
Setelah saya tiba di dewan tempat program, Alhamdulillah, seorang demi seorang pelajar tiba. Saya asalnya tidak mahu komen tentang air, bimbang kalau-kalau itu isu sensitif. Yelah, mana tau ada peserta program saya yang tidak dapat mandi pagi tu
Namun, saya ni kalau bab melawak memang tak boleh tahan, saya tanya jugalah siapa yang tak mandi pagi tu. Lega bila tengok para pelajar tersenyum dan ketawa mendengar soalan saya. Tak sensitif la tu nampaknya.
Satu perkara penting yang saya kongsikan kepada pelajar yang hadir ketika itu. Kata saya, “Hari ni hari cuti…. semalam cuti….kawan-kawan lain mungkin tengah tidur sekarang ni….. air pula dan 3 hari tidak ada….. tetapi…. adik-adik semua (saya bahasakan peserta saya adik-adik, dapatlah saya rasa lebih muda
) tetap gagahkan diri untuk hadir. Tahu tak adik-adik semua ini adalah ciri-ciri dan tanda-tanda orang-orang yang pasti akan berjaya suatu hari nanti?”
Mesej saya jelas. Saya dapat lihat senyuman adik-adik di UDM tu. Saya percaya mereka yang hadir ada semangat dan kekuatan yang jarang dimiliki oleh pelajar lain yang lebih suka memilih untuk tidur atau balik kampung daripada menghadiri kursus pembangunan diri. Jadi, saya percaya pelajar-pelajar ini pasi akan berjaya dengan sangat cemerlang dalam hidup mereka suatu hari nanti.
Tahniah kepada peserta yang hadir. Tahniah dan terima kasih juga kepada Puan Rosni (gambar, sebelah kiri), kaunselor universiti yang berusaha bersungguh untuk memastikan program ini dijalankan dengan jayanya. Tahniah!






















