Thu 13 Nov 2008
Seminar ‘Perniagaan melalui internet dalam gerakan koperasi’
Posted by Osman Affan under Cerita, Soft Skills
No Comments
Selasa lalu saya berada di PJ Hilton bagi menyampaikan satu slot pembentangan yang bertajuk ‘Konsep dan Prospek perniagaan internet’. Program ini adalah program yang dianjurkan oleh Maktab Kerjasama Malaysia dan dibuka kepada ahli koperasi seluruh Malaysia. Saya diberitahu yang pada mulanya hanya dijangka seramai 500 orang sahaja yang akan hadir. Namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Pada hari program saya diberitahu ada hampir 700 peserta yang menyertai program 2 hari ini.
Saya dijemput bagi membentangkan konsep asas perniagaan internet. Saya merupakan penceramah pertama dalam program 2 hari ini. Sesi saya dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Naim Bin Datuk Haji Mohamad, ahli majlis Maktab Kerjasama Malaysia.
Ini adalah topik yang sangat menarik buat saya. Terasa sudah agak lama saya tidak berbicara tentang perniagaan internet. Kali terakhir mungkin pada awal tahun 2008 di mana saya jalankan program keusahawanan internet untuk para pensyarah IKM Lumut. Walaupun sudah lama, topik ini sentiasa berada di hati saya kerana internet merupakan medium utama saya jalankan perniagaan training saya. Saya terangkan kepada para peserta bahawa lebih 80% perniagaan yang saya perolehi ialah melalui laman web. Melalui laman web, saya mampu menyampaikan kepada bakal pelanggan tentang apa yang saya tawarkan dan jelaskan perbezaan utama saya berbanding pembekal khidmat training yang lain.

Konsep perniagaan internet jugalah yang membuatkan saya begitu peka tentang kepentingan meningkatkan kualiti perkhidmatan saya dan menambahkan tahap kredibiliti diri saya dalam bidang motivasi dan teknik belajar. Selalunya saya perlu ambil masa sekurang-kurangnya sehari untuk menerangkan konsep perniagaan internet namun dalam masa yang sangat singkat, Alhamdulillah dapat juga saya jelaskan maklumat paling asas mengenai perniagaan internet kepada peserta.
Alhamdulillah sekali lagi, saya mendapat maklumbalas yang sangat baik daripada peserta program. Ramai yang bertemu saya selepas program yang mengucapkan tahniah atas penyampaian maklumat yang mereka rasakan mudah dan jelas. Ini membuatkan saya rasa lebih bersemangat untuk berkongsi ilmu-ilmu sebegini yang dapat memajukan diri dan perniagaan seseorang.

Terima kasih saya ucapkan kepada Maktab Kerjasama Malaysia kerana mengundang saya sebagai penceramah dalam program ini. Semoga kerjasama berterusan dapat diadakan pada masa yang akan datang. Terima kasih khas untuk En Faiz Mohd Yatim, pegawai latihan Maktab Kerjasama Malaysia kerana banyak membantu saya terutamanya dalam berurusan dengan staf saya sebelum program ini dijalankan.
Kepada semua peserta program ini, saya ucapkan tahniah dan selamat berjaya dalam menggunakan internet sebagai satu medium untuk meningkatkan lagi tahap keberkesanan aktiviti koperasi.






















