Fri 20 Feb 2009
Tanggal 16 Februari 2009….
Posted by Osman Affan under Cerita
Isnin lalu, 16 Februari 2009, genaplah umur saya 33 tahun. Sekali lagi, seperti biasa, meningkat
setahun lagi usia saya. Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat dan kurniaan Allah yang sedang saya kecapi sepanjang tahun lepas hingga ke hari ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menghantar sms, email dan juga yang meninggalkan mesej di facebook saya (Osman Affan). Moga semua ucapan dan doa itu dimakbulkan untuk diri saya dan untuk diri anda semua.
Saya selalu cuba untuk ingat apa yang saya lakukan semasa saya menyambut hari lahir. Pada tahun 2007, saya menyambut hari lahir di Kuantan kerana menjalankan program bersama pegawai TUDM. Tahun 2008 saya luangkan bersama mahasiswa dan mahasiswi Universiti Tun Hussein Onn, Johor. Tahun ini, saya sambut hari lahir saya dengan menjalankan program bersama lebih kurang 60 orang guru di Besut, Terengganu.
Tahun ini, saya sambut hari jadi saya dengan penuh debaran. Ini adalah kerana saya perlu mempersembahkan teknik memori yang saya ajar selama kepada orang yang mahir dan sudah terdedah kepada teknik-teknik ini. Saya perlu persembahkan teknik ini kepada Dato’ Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar Terengganu) dan juga 60 orang guru yang sudah mengikuti program 3 hari tentang teknik memori. Agak berat tugas ini hingga menimbulkan sedikit keresahan di hati saya sebenarnya. Apa yang membimbangkan ialah adakah teknik yang bakal saya persembahkan menawarkan sesuatu yang berbeza dan bermanfaat kepada Dato’ Seri dan guru-guru ini?

Alhamdulillah, melalui komen dan maklumbalas yang saya perolehi daripada Dato’ Seri, Toh Puan Sri dan juga guru-guru yang hadir, teknik yang saya persembahkan adalah ringkas, mudah dan boleh diaplikasikan serta merta ke dalam sukatan pelajaran di sekolah. Ini bererti, teknik ini boleh membantu pelajar mengingati apa yang mereka pelajari di sekolah. Malah perancangan sedang dibuat agar teknik yang saya ajarkan ini boleh disebarkan kepada lebih banyak sekolah-sekolah di Besut dan juga di Maktab Rendah Sains Mara di sini.

(Gambar: Toh Puan Seri & Dato’ Seri Idris Jusoh, saya dan Tuan Haji Wan Zikri, CEO Imtiaz)
Maklumbalas ini membuat saya agak terharu sebenarnya. Ini adalah usaha saya sejak tahun 2005. Usaha untuk mendedahkan pelajar kepada teknik belajar dan teknik menghafal yang berkesan. Hari ini, pada hari lahir saya, saya rasa usaha saya ini telah diiktiraf oleh individu dan kumpulan yang layak memberi pengiktirafan di atas hasil kerja saya selama ini. Terima kasih diucapkan. Ini semua membuatkan hari lahir saya pada tahun ini begitu bermakna. ![]()























