Wed 22 Jul 2009
T.O.T. Guru Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS)
Posted by Osman Affan under Cerita, Program Motivasi, Soft Skills
Sabtu lalu, 18 Julai 2009, saya berada di Quality Hotel Shah Alam bagi menjayakan satu slot bersama guru-guru yang terlibat dalam Program Tuisyen Rakyat Selangor. Program ini dihadiri hampir 100 orang guru yang bertugas mengajar dan mengendalikan kelas-kelas tuisyen yang diberikan secara percuma kepada pelajar-pelajar di Negeri Selangor.
Sejak awal tahun, saya turut terlibat dalam Program Tuisyen Rakyat Selangor ini. Namun penglibatan saya bukanlah sebagai guru tuisyen. Tugas saya ialah menjalankan program sehari SmartStudy Learning Skills untuk pelajar-pelajar tuisyen ini di beberapa zon yang terpilih. Maklumbalas pelajar mengenai program tersebut boleh dibaca di www.OsmanAffan.com/testimoni.htm .

Kali ini, saya berdepan dengan guru-guru pula. Tajuk yang diberikan kepada saya ialah Petua Mengajar Berkesan. Topik ini sangat dekat di hati saya. Ini kerana saya juga berasal daripada guru yang mengajar tuisyen. Tambahan pula, saya benar-benar rasa begitu penting untuk setiap guru mempunyai teknik dan kebolehan untuk mengajar dengan baik. Apabila seorang guru boleh mengajar dengan baik, peluang untuk menukarkan seorang murid biasa kepada murid yang luar biasa cemerlangnya adalah lebih besar.
Di dalam program ini saya kongsikan bersama guru 4 topik utama iaitu:
- Prinsip mengajar
- Petua mengajar
- Etika mengajar
- Salam Mesra
Kesemua topik ini berkisar mengenai bagaimana seorang guru boleh mengajar dengan lebih baik. Malah lebih penting lagi, jika ia diamalkan, seorang guru akan menjadi seseorang yang hebat dan pakar dalam subjek yang diajarnya.
Satu contoh mudah yang saya berikan adalah pengalaman saya sendiri mengajar tuisyen. Ramai yang tahu, pelajar yang menghadiri tuisyen selalunya terdiri daripada pelajar yang agak lemah daripada segi pencapaian akademik. Ada juga yang sudah cemerlang namun jumlahnya tidak seramai yang kurang cemerlang. Jadi cabaran mengajar tuisyen ialah seorang guru tuisyen perlu membuat pelajar faham dalam masa yang singkat berbanding dengan guru yang mengajar di sekolah.

Jika guru tuisyen asyik merungut mengatakan bahawa anak muridnya lemah, tidak ada asas dan tidak berpotensi untuk skor A dalam peperiksaan, sudah tentulah tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan. Namun, jika seorang guru tuisyen itu mula berfikir, “bagaimana aku boleh buat pelajar ini lebih mudah faham?” atau “apa agaknya cara terbaik untuk buat pelajar aku ni ingat dan kuasai topik ni dengan secepat mungkin?”, saya percaya satu perubahan besar akan berlaku.
Bukan sahaja guru ini mula akan berfikiran positif, beliau juga akan mula mengasah dan meningkatkan kebolehannya untuk mengajar.
Apabila saya amalkan teknik ini, saya dapati diri saya sentiasa mencari jalan untuk memajukan cara saya menyampaikan sesuatu. Akibatnya, saya sentiasa (sengaja atau tidak sengaja) jumpa cara dan kaedah terbaik untuk menyampaikan sesuatu. Cara dan kaedah itu pula bukan sahaja sesuai untuk digunakan kepada pelajar, malah juga kepada peserta yang mengikuti program-program kendalian saya seperti program Mind Power dan juga program-program Public Speaking. Hasil daripada cara berfikir begitu juga membuat saya dapat menghasilkan beberapa buku mengenai teknik belajar seperti Persediaan Minda Pelajar Cemerlang, Kemahiran Belajar dan juga Tenang Menjawab Soalan Peperiksaan. Bayangkan apa akan jadi jika semua guru boleh amalkan cara berfikir tadi dan akhirnya semua menjadi pakar dan menulis dalam bidang kepakaran masing-masing?
Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada En Hamdan Bin Sapar yang telah menjemput saya bagi menjayakan program ini. Saya doakan agar Program Tuisyen Rakyat Selangor ini berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan supaya hasilnya dapat dinikmati oleh anak-anak bangsa kita sendiri.
Catatan: Maklumat lanjut mengenai Prinsip mengajar, petua mengajar dan etika mengajar boleh dibaca di dalam buku saya yang bertajuk ‘Buat duit dengan tuisyen’ terbitan PTS Professional.























