Hmm… lama rasanya saya tidak mencoretkan sesuatu di sini. Sibuk dan seronok dengan SmartStudy Tour saya sejak awal bulan Mac ini. Sejak awal Mac ini saya berusaha sedaya upaya memenuhi undangan program di Terengganu, Klang, Johor, Port Dickson dan Pulau Pinang. Walaupun kesihatan sedikit terjejas dengan kesibukan ini, keseronokannya tetap dapat saya rasakan.

Hari ini tergerak hendak bercerita tentang satu panggilan yang diterima oleh staff saya beberapa bulan lalu. Menurut seorang staff saya, pejabat menerima satu panggilan pada pukul 1 pagi. Ya, saya tidak tersilap tulis, pada pukul 1 pagi! Panggilan ke pejabat saya, selepas waktu pejabat akan disambungkan terus ke telefon bimbit staff saya. Jadi kebetulan staff saya itu belum tidur, jadi dia menjawab panggilan tersebut. Apa yang membimbangkan, apabila staff ini menjawab panggilan tersebut, pemanggilnya terus meletakkan telefon.

Mula timbul kebimbangan di hati staff saya. Ada kemungkinan ini dilakukan oleh pencuri yang mahu memecah masuk pejabat kerana mereka saja mahu mencuba jika ada sesiapa yang masih berada di pejabat. (Kejadian ini pernah berlaku kepada pejabat di bangunan tingkat atas pejabat saya). Jadi staff saya segera menelefon nombor telefon itu semula.

Lebih membimbangkan, pemanggil itu segera menolak panggilan staff saya ini. Setelah ditelefon beberapa kali, masih juga dia tidak mahu menjawab. Jadi, staff saya mula mengikut prosedur biasa. Dia menghant sms kepada nombor handphone tersebut agar menjawab panggilan atau nombor itu akan dihantar dan dilaporkan ke balai polis berdekatan pejabat saya.

Kemudian, staff saya menerima satu sms. Katanya lebih kurang macam ni, “saya telefon nak tanya tentang program smartstudy. Saya baca diinternet tuan ada banyak tulis tentang motivasi. Janganlah cepat berfikiran negatif.”

Saya tergelak besar mendengar cerita staff saya ini. Telefon nak tanya program pada pukul 1 pagi? Lepas tu bila orang jawab tidak mahu pula dia bercakap. Bila ditelefon semula dia menolaknya. Dan kemudian dia mengatakan saya (staff saya) berfikiran negatif? (pemanggil ini sangka saya yang menjawab telefon dan menghantar sms tersebut.

Hmm… memang banyak perkara menarik yang berlaku dalam dunia ni. :)