Wed 13 Aug 2008
7 tanda anda akan GAGAL di universiti - Tanda 2.1
Posted by Osman Affan under Fikir, Universiti
Adakah anda takut untuk mencuba? Adakah anda takut untuk salah? Pelajar-pelajar yang takut mencuba mempunyai kehebatan yang sama dengan semua pelajar cemerlang dan berjaya. Namun disebabkan mereka takut mencuba, mereka tidak dapat kecapi kejayaan. Bayangkan ada sepinggan kuih di hadapan anda. Walau sedap bagaimanapun kuih itu, anda tidak akan dapat merasainya jika anda tidak cuba atau usahakan untuk menyuapkannya ke dalam mulut anda.
Takut dan tidak mahu mencuba ini juga adalah tanda seseorang pelajar itu bakal menghadapi kesukaran untuk menuntut ilmu yang baru. Contohnya, baru sahaja lihat buku yang agak tebal, mereka sudah takut dan tidak mahu ‘cuba’ membuka atau membacanya.
Di dalam program saya bersama pelajar universiti, saya ada berikan satu cabaran untuk menghafal sekumpulan nombor yang panjang. Kadangkala saya berikan 20 digit nombor untuk dihafal dan kadangkala saya berikan 40 digit. Selepas saya berikan beberapa minit untuk pelajar menghafal, saya akan turut sama menghafal. Namun, saya lebih suka memerhatikan gelagat pelajar yang sedang menghafal.

Jika di hadapan saya ialah pelajar-pelajar yang selalu mendapat keputusan cemerlang dan aktif dalam aktiviti universiti, mereka selalunya kelihatan bersemangat, bersungguh-sungguh dan ceria semasa cuba menghafal nombor-nombor tersebut. Namun kalau program itu untuk pelajar yang kurang cemerlang, bermasalah disiplin dan berada dalam situasi bakal di buang universiti, mereka langsung tidak ada kesungguhan untuk mencuba. Mereka lihat nombor-nombor itu terlalu susah untuk dihafal lalu mereka tidak mahu langsung mencuba untuk menghafalnya.
Jika mereka hafal, mereka MUNGKIN gagal atau MUNGKIN berjaya untuk menghafal kesemuanya. Namun jika mereka tidak cuba hafal, mereka memang sudah GAGAL.
Jadi, apa kata kita kaji sikap dan cara kita berfikir selama ini. Adakah bimbangkan salah atau gagal menghalang kita daripada melakukan sesuatu yang baru, sesuatu yang hebat dan sesuatu yang bakal merubah masa depan kita? Adakah kita lebih sanggup berdiam diri daripada diketawakan apabila gagal menyampaikan idea kita dengan baik? Adakah kita lebih sanggup berdiri di belakang tabir sepanjang hayat daripada malu berada dihadapan pentas buat seketika? Mari sama-sama kita fikirkan.
























August 14th, 2008 at 12:13 am
Salam Cg,
memang benar apa yang cg katakan, jika kita tidak mahu mencuba kita sebenarnya telah gagal.Kadang-kadang benda mudah pun ramai yang takut untuk cuba melakukannya, dan sebenarnya apabila kita mencuba sesuatu yang baru kita telah memperolehi satu kepuasan.saya sendiri jika saya ingin melakukan sesuatu dan berjaya melakukannya saya pasti akan berasa puas dan lega dan walaupun kadang-kadang kita gagal tetapi sekurang-kurangnya kita telah mencuba.Permulaan adalah paling penting apabila kita mahu mencuba.seperti komen inipun kalau saya tidak mula menekan keyboard pasti komen ini gagal dihantar. Tetapi masih ramai yang tidak mahu mencuba.pelik tapi benar.
August 18th, 2008 at 6:29 pm
Naim, terima kasih atas input yang diberikan. Harapnya pelajar yang selalu serba salah untuk mencuba akan mula mencuba sesuatu yang baru hari ini.