Mon 15 Sep 2008
7 tanda anda akan GAGAL di universiti - Tanda 4.1
Posted by Osman Affan under Fikir, Universiti
Sudahkah anda perhatikan gelagat dan tabiat rakan-rakan yang rapat dengan anda? Adakah mereka mempunyai ciri-ciri yang anda mahu miliki satu hari nanti? Adakah anda sedar yang selama ini perangai dan gelagat anda juga sudah hampir sama atau memang sudah sama seperti mereka.
Di dalam program yang saya jalankan bersama pelajar di peringkat universiti, saya mendengar banyak keluhan tentang rakan sebilik yang malas belajar, malas bangun pagi, buat assignment saat akhir, suka ponteng kuliah, tidur lewat malam dan bermacam-macam lagi. Apa yang menjadi masalah ialah walaupun pelajar ini mahu berubah menjadi lebih baik, ia terasa terlalu sukar kerana rakan sebilik mereka begitu. Jika berubah dan tidak ikut kawan, mereka bimbang nanti dipinggirkan dan tidak ada orang yang mahu berkawan dengan mereka.
Ini satu perkara penting yang saya mahu kongsikan bersama anda. Saya faham jika anda kata anda bimbang nanti anda disisihkan jika tidak mengikut kehendak kawan. Saya faham kerana saya juga jenis pelajar yang begini satu masa dahulu. Bimbang tidak diterima kawan. Namun lama-kelamaan saya tersedar beberapa perkara:
Kawan-kawan yang ‘tidak mandi pagi’ ini selalunya agak mementingkan diri mereka. Mereka asyik fikir tentang perasaan mereka. Perasaan kita tidak berapa mereka hiraukan. Adakah itu kawan yang baik?- Kawan-kawan begini juga suka bergurau dan menyakitkan hati dengan sindiran-sindiran pedas jika kita belajar, mengulangkaji atau sibuk mahu mendapat markah yang baik. Namun jika kita sindir dan bergurau dengan mereka, mereka cepat pula terasa hati atau merajuk.
- Saya terfikir, kalau mereka ini betul-betul kawan, tentu mereka mahu lihat saya berjaya bukan? Tetapi jika mereka mahukan sebaliknya, bolehkah mereka digelarkan sebagai kawan?
- Lebih menakutkan, saya terfikir, jika saya gagal satu hari nanti, adakah kawan-kawan ini akan menolong saya mencari kerja, mencari nafkah untuk menanggung hidup saya?
- Bagaimana pula jika saya gagal kerana terikut cara mereka sedangkan mereka berjaya? Tidakkah saya akan sakit hati suatu hari nanti?
Saya faham mahu mengelakkan diri daripada kawan-kawan sebegini memang sukar. Namun mahu tidak mahu, anda mesti mencari jalan untuk menjauhkan diri agar anda tidak terpengaruh dan terikut-ikut dengan tabiat yang memusnahkan diri. Rujuk kaunselor di unit kanseling dan minta nasihat praktikal bagaimana anda boleh hadapi situasi yang mencabar ini. Saya percaya, jika anda bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada kawan yang malas mandi pagi ini, anda pasti akan berjaya. Malah, jika ada pelajar yang malas mandi pagi menghampiri dan cuba mendampingi anda, mereka pula yang akan terikut-ikut perangai anda yang suka mandi pagi.
Selamat berjaya! ![]()
























September 15th, 2008 at 5:42 pm
SALAM..JASAMU DIKENANG..SEMOGA TERUS SUCCESS…THANK A LOT…..