Fri 17 Oct 2008
7 tanda anda akan GAGAL di universiti – Tanda 5.1
Posted by Osman Affan under Fikir, Universiti
No Comments
Seperti yang saya terangkan dalam posting sebelum ini, tanda kelima yang perlu anda perhatikan ialah apabila anda rasa ‘Bawah tempurung lebih selesa daripada padang yang luas’. Pelajar yang selesa berada di bawah tempurung ini selalunya tidak suka mencuba sesuatu yang baru. Mereka begitu cepat menilai kebolehan diri mereka berdasarkan apa yang pernah berlaku pada masa lepas. Contohnya,
- Jika mereka pernah memegang jawatan dalam persatuan dan gagal menguruskannya dengan baik, mereka kata mereka tidak berbakat dan tidak lagi mahu memegang apa-apa jawatan.
- Jika mereka tidak pernah memegang apa-apa jawatan sebelum ini, mereka mahu kekal begitu kerana mereka labelkan diri sebagai ‘pelajar yang tidak berminat dengan pangkat dan kedudukan’.
- Rasa takut untuk gagal lebih besar daripada keinginan untuk mendapatkan pengalaman yang baru.
Apa yang saya lihat universiti ialah satu tempat di mana anda perlu meneroka peluang-peluang dan kemungkinan yang baru. Ia tempat di mana anda melihat sejauh mana bakat dan kebolehan anda boleh dikembangkan dan diperluaskan. Jika anda tidak pernah bercakap di depan khalayak ramai, inilah masanya untuk mencuba. Jika anda tidak pernah anjurkan apa-apa program berbentuk pendidikan atau kebajikan, inilah masanya untuk mencuba apa rasanya jika ia dilakukan. Namun penerokaan ini hanyalah untuk yang berbentuk positif, bukan untuk yang negatif dan merosakkan diri.
Ada yang mungkin terfikir, kalau saya cuba bercakap dihadapan khalayak ramai dan gagal melakukannya dengan baik, apa akan jadi kepada saya? Hmmm…. kalau anda adalah orang yang paling teruk sekalipun apabila bercakap di hadapan khalayak ramai, saya pasti ia tidak akan membawa maut. Paling teruk pun ada yang ketawakan anda. Jika mereka ketawa pun, dalam sehari dua mereka akan lupa tentang perkara tersebut. Jadi apa yang perlu anda takutkan. Satu perkara yang anda perlu tahu, pengalaman gagal atau diketawakan ini sebenarnya boleh menjadi satu pengalaman yang sangat manis satu hari nanti.
Jadi apa kata hari ini anda tanamkan azam untuk mencuba sesuatu yang baru. Sesuatu yang boleh melonjakkan lagi kebolehan dan bakat yang sedia ada dalam diri anda. Mana tahu, anda akan terjumpa bakat dan kebolehan yang selama ini anda fikir tidak ada dalam diri anda.






















