Tue 21 Oct 2008
7 tanda anda akan GAGAL di universiti - Tanda 6
Posted by Osman Affan under Fikir, Universiti
Tanda keenam seseorang pelajar akan gagal di universiti ialah ‘Tidak berani jadi berbeza’. Untuk pengetahuan anda, setiap pelajar berbeza. Kekuatan dan kelemahan setiap pelajar juga berbeza. Jika anda mahu berjaya, anda perlu kenal pasti apakah kekuatan diri anda dan cuba sebaik mungkin untuk menggilap dan menonjolkannya.
Ini juga bermakna, jika kekuatan anda membuat anda jadi lain daripada orang lain, anda mesti berani menghadapinya. Sebab saya mengutarakan tanda ini ialah saya lihat dan dengar banyak kisah pelajar yang cuba mengikut arus pelajar lain. Kalau pelajar lain mahu cemerlang kerana mahu dapat pekerjaan yang baik, mereka juga ikut sama. Jika pelajar malas belajar kerana pensyarah membosankan, mereka juga ikut sama. Pendek kata, majoriti keputusan yang mereka lakukan ialah berdasarkan keputusan yang dibuat oleh pelajar lain.
Ada beberapa situasi yang membuat saya melihat perkara ini dengan jelas. Pertama, dalam program motivasi saya bersama pelajar universiti, ada ketikanya saya bertanya soalan yang meminta pelajar mengangkat tangan untuk menentukan pendirian mereka. Contohnya saya suruh pelajar pilih keputusan A atau B. Ada yang angkat tangan untuk A dan ada yang angkat tangan untuk B. Agak menyedihkan, ramai yang tidak mengangkat tangan kerana tidak boleh membuat keputusan. Mereka takut salah lalu tidak berani mengangkat tangan.
Pelajar begini selalunya suka melihat apa yang pelajar lain lakukan. Mungkin mereka mahu angkat tangan untuk jawapan A, tetapi lihat tidak ramai yang mengangkat tangan. Jadi untuk tidak mahu berbeza, mereka tunggu jawapan untuk B. Namun apabila lihat tidak ramai juga pelajar angkat tangan untuk jawapan B, mereka buat keputusan untuk tidak angkat tangan. Berita buruk untuk pelajar begini, selagi mereka tidak ubah sikap ini, seumur hidup mereka, keputusan yang dibuat akan berdasarkan apa yang orang lain lakukan. Ini bermaksud, jika orang buat keputusan untuk terjun longkang, mereka akan ikut sama.
R. Ian Seymour dalam bukunya ‘Discover your true potential’ menyatakan tentang satu keputusan eksperimen yang agak membimbangkan. Dalam eksperimen tersebut, 10 pelajar dipanggil untuk duduk dalam satu kumpulan. Mereka ditanya beberapa soalan dan diminta mengangkat tangan untuk menyatakan jawapan. Dalam 10 orang pelajar ini, 9 daripada mereka sudah dipilih oleh pembuat eksperimen. Mereka sudah berpakat untuk menjawab dengan cara tertentu. Cuma pelajar yang kesepuluh sahaja yang mahu diuji.
Jadi, pembuat eksperimen memberikan soalan pertama iaitu garisan manakah yang paling panjang (sambil menunjukkan 3 garisan A, B dan C). Jika pelajar rasa garisan yang sedang ditunjukkan paling panjang, mereka perlu mengangkat tangan). Garisan yang paling panjang ialah garisan C, tetapi apabila garisan A ditunjukkan (garisan kedua terpanjang), sembilan pelajar (yang telah berpakat tadi) mengangkat tangan. Mereka telah diarahkan untuk menjawab begini untuk melihat reaksi pelajar kesepuluh tadi.
Apa yang berlaku ialah, pelajar kesepuluh pada mulanya tidak mahu mengangkat tangan, tetapi setelah melihat semua pelajar lain mengangkat tangan, dia turut mengangkat tangan. Ini berterusan hingga ke soalan-soalan seterusnya. Jelas kelihatan pelajar kesepuluh ini hanya mengikut sahaja jawapan yang salah.
Setelah tamat eksperimen, pelajar kesepuluh ditanya mengapa dia menjawab dengan jawapan yang salah. Katanya, pada awalnya, dia sangka dia tersalah dengar soalan. Jadi dia ikut sahaja jawapan pelajar lain. Namun dalam soalan-soalan berikutnya, dia tahu yang jawapan pelajar lain itu salah, tetapi dia tidak berani hendak memberikan jawapan yang lain. Dia bimbang jika dia seorang sahaja yang berbeza berbanding pelajar lain. Dia bimbang jika dia seorang sahaja yang betul. Eksperimen ini diteruskan dengan beberapa kumpulan pelajar lain dan didapati hampir 80% pelajar berkelakuan begini - tidak mahu jadi berbeza.
Bagaimana dengan anda? Adakah anda mempunyai tanda ini? Adakah anda juga sanggup gagal, salah atau kurang menyerlah semata-mata hendak menjaga hati kawan atau hendak menyesuaikan diri dengan orang lain? Adakah anda lebih rela mengenepikan apa yang anda rasa betul semata-mata kerana tidak mahu dilihat berbeza atau dikritik disebabkan tidak sama dengan orang lain? Adakah anda sanggup hantar assignment pada saat-saat akhir kerana tidak seorang pun kawan-kawan anda menghantarnya awal? Bolehkah anda membuat keputusan anda sendiri dan mempertahankannya?
Saya akan sambung situasi seterusnya dalam posting saya yang akan datang.























