Wed 29 Oct 2008
7 tanda anda akan GAGAL di universiti - Tanda 6.1
Posted by Osman Affan under Fikir, Universiti
Soalan saya kepada anda, beranikah anda jadi berbeza? Beranikah anda jika ada kemungkinan anda dipulaukan, diketawakan, dipersendakan dan sebagainya kerana mempertahankan apa yang anda percaya?
Apabila saya katakan berani jadi berbeza, ia bukan bermaksud kita sengaja mahu jadi berbeza berbanding orang lain. Contohnya jika semua orang lelaki pakai Baju Melayu dan kita mahu jadi berbeza dengan memakai Baju Kurung. Perbezaan yang dimaksudkan ialah apabila kita buat sesuatu keputusan yang berbeza daripada orang lain, kita mesti berani untuk mempertahankannya. Contohnya jika ditanya soalan di dalam dewan kuliah, anda berani beri jawapan menurut pendapat anda sendiri walaupun mungkin pelajar lain tidak bersetuju. Kemudian berani pula mempertahankan jawapan dan pendapat anda itu.
Saya banyak mendengar aduan pelajar lelaki dan juga perempuan yang mereka sukar berjaya kerana kawan-kawan mereka ialah jenis pelajar yang malas, suka bertangguh, suka ponteng kelas, suka bangun lambat dan sebagainya. Malah ada pelajar yang bangun awal pagi tetapi tidur semula kerana melihat kawan-kawan mereka masih terus tidur. Kalau bangun dan belajar, nanti berbeza pula daripada kawan-kawan. Nanti disindir pula. Pelik bukan, lebih takut disindir dan diketawakan berbanding gagal dan menyesal sepanjang hayat.
Berani jadi berbeza juga mungkin bermaksud anda berani meninggalkan kumpulan pelajar yang anda dampingi selama ini. Maksud saya, jika kumpulan kawan-kawan yang anda dampingi sekarang hanya membawa anda ke arah lebih teruk, anda mesti berani untuk meninggalkan mereka. Bukan bermaksud memutuskan sahabat tetapi memberikan sedikit jarak agar anda boleh bina cara hidup baru. Jika anda tinggal serumah dengan kawan-kawan yang menjatuhkan semangat belajar anda, mungkin anda perlu berani untuk keluar daripada rumah itu dan cari rumah yang mempunyai penghuni yang boleh membantu anda.
Amat menyedihkan, saya lihat pelajar begitu takut meninggalkan kumpulannya walaupun mereka tahu kumpulan itu merosakkan mereka. Saya banyak buat program untuk pelajar yang mendapat CGPA rendah. Apa yang saya dapati, mereka ini datang dari kumpulan yang sama. Ada juga saya buat program susulan. Lebih menyedihkan, pelajar begini masih hadir (kerana prestasi belum meningkat) dan mereka hadir dengan orang-orang dan kawan-kawan yang sama juga.
Ketika saya buat keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan, ada yang memberi komen kepada saya bahawa saya sedang menentang arus. Bahaya, nanti boleh lemas. Benar, memang boleh lemas. Namun belum pernah lemas lagi walaupun banyak kali tertelan air. Apa yang menariknya ketika menentang arus ini, sampai ke satu tahap, arus menjadi lebih tenang. Tidak perlu menentang arus lagi. Golongan yang tidak menentang arus pula sentiasa resah dan gelisah kerana mereka harus ikut sahaja kemana arus mahu membawa mereka.
Jadi apa kata anda buat keputusan sekarang. Mahu menentang arus, bersusah payah sekarang dan berenang dengan tenang kemudian, atau ikut sahaja arus sekarang hingga anda tersangkut di mana-mana perangkap sampah yang ada di sepanjang sungai.
























October 30th, 2008 at 12:16 pm
cikgu osman,terime kaseh kerana byk memberi kesedaran pada saya..ciri2 yg cikgu osman berikan hampir semua nye ade pada sya..spt xberani jadi berbeza,ikot kawan,takot disindir…saya membace artikel cikgu ni ketika saya berada di tahun akhir di campus ini..rugi rasenye..menyesal,kalau la dari first year lg saya berani jd berbeza dan menentang arus,mungkin saya lebih cemerlang hari ini..pencapaian saya sememangnye biase2 saje di campus..sedangkan sblm ini sy seorg yg cemerlang,tp sbb kwn2 slalu sindir saya rajin,menyebabkan saya patah smgt,takot disindir dan melakukan ape yg mereka lakukan..=(
October 30th, 2008 at 12:46 pm
Swetiepie, terima kasih kembali. Saya perlu ucapkan tahniah kerana Swetiepie mampu melihat keadaaan ini dalam diri sendiri. Itu adalah langkah pertama.
Jangan risau walaupun sudah berad di tahun akhir. Perjalanan hidup masih panjang. Gunakan cadangan untuk berani jadi berbeza untuk kerjaya Swetiepie pula nanti. Saya percaya Swetiepie boleh berjaya.
Selamat berjaya!
October 30th, 2008 at 6:24 pm
terime kaseh cikgu osman..seronok rasenye cikgu balas comment saya..saya teringin sgt nak menghadiri program2 yg cikgu jalankan..tp slalunye program cikgu bkn di tempat saya..insya Allah kalo ade rezeki,saya dpt jugak jumpe cikgu osman satu hari nnti..
October 30th, 2008 at 7:52 pm
Insyaallah Sweetiepie. Ada rezeki kita berjumpa.

November 10th, 2008 at 9:41 pm
wahhhhhhhh…terkesima seketika membaca motivasi ni.. begitu menyentuh..aku mesti berani berubah.. dare 2 be different..thanks sir Osman!!