Thu 30 Oct 2008
7 tanda anda akan GAGAL di universiti - Tanda 7
Posted by Osman Affan under Fikir, Universiti
Tanda ketujuh dan terakhir dalam siri posting mengenai 7 tanda anda akan gagal di universiti ialah ‘memanah di dalam gelap dengan mata yang tertutup‘.
Apa yang saya maksudkan ialah sebahagian besar pelajar di universiti tidak pernah berfikir dengan jelas apa yang mereka mahu capai selepas mereka habis belajar. Jika anda tidak percaya, tanya diri anda sendiri atau rakan-rakan yang sama belajar di universiti, apa yang mereka mahu lakukan sebaik sahaja tamat belajar hingga 5 tahun akan datang? Menurut kajian dan berdasarkan pemerhatian saya, lebih 90% pelajar tidak boleh menjawab dengan yakin.
Mereka mungkin boleh kata, saya mahu dapatkan kerja tetap, mahu bekerja dalam bidang ini dan itu, mahu jadi kaya dan sebagainya. Namun jawapan itu semua sebenarnya hanyalah jawapan umum yang tidak pernah difikirkan dengan teliti.
Saya banyak juga menjalankan program untuk pelajar yang bakal tamat belajar di universiti. Apabila saya tanya apakah rancangan mereka selepas itu, begitu ramai yang menunjukkan reaksi kosong, tidak ada apa-apa idea untuk menjawab soalan ini. Adakah anda sama seperti pelajar-pelajar ini?
Ada dua perkara saya perlu terangkan di sini. Mengapa saya kata tanda ini sebagai memanah di dalam gelap dengan mata tertutup dan mengapa ia merupakan satu tanda anda akan gagal.
Bayangkan anda pandai memanah. Diberi apa sahaja anda boleh panah dengan tepat. Bayangkan pula anda perlu memanah sesuatu sasaran yang kecil di dalam sebuah bilik yang sangat gelap. Mata anda pula ditutup rapat. Apakah peluang dan kebarangkalian untuk memanah dengan tepat? Hampir kosong bukan? Pelajar yang tidak pernah fikirkan dengan jelas apa yang mahu dicapai dalam hidup dan merancang jalan untuk mencapainya adalah umpama memanah di dalam gelap.
Mereka setiap hari datang ke kuliah dan tutorial kerana semua orang lakukan perkara yang sama. Apabila mereka diberi tugasan, mereka merungut kerana susah. Apabila disuruh membuat presentation, mereka merungut lagi. Ini tanda mereka tidak tahu apakah manfaat yang bakal mereka perolehi daripada aktiviti-aktiviti itu tadi. Mereka tidak nampak tujuan dan sasaran daripada aktiviti tersebut. Mengapa? Kerana mereka tidak pernah fikirkan apa yang hendak dicapai. Kerana mereka sedang seronok menutup mata sambil memanah di dalam gelap.
Apabila pelajar tidak pernah fikirkan dengan teliti apa yang mereka mahu capai, apa yang mereka mahu buat, apa yang mereka mahu beli,ke negara mana mereka hendak pergi melawat, kerjaya apa yang membuat mereka rasa seronok dan sebanyak mana duit yang mereka ingin kumpul, mereka akan mudah leka dan malas semasa belajar. Akibatnya, mereka kerap ponteng kelas kerana tidur lebih seronok daripada mendengar ceramah. Pelajar yang biasa berfikir tentang masa depan pula lebih seronok dengar ceramah dalam kuliah berbanding tidur kerana mereka akan belajar sesuatu yang satu hari nanti akan membantu mereka mencapai apa sahaja yang mereka mahukan.
Pelajar yang memanah di dalam gelap selalu merungut. Itu tak kena, ini tak kena. Orang itu salah dan orang ini salah. Pelajar yang memanah dalam keadaan terang dan mata yang terbuka luas pula malas mahu merungut. Bagi mereka, jika sesuatu perkara itu susah, tentu ada cara untuk membuatnya senang, dan merungut bukanlah caranya. Mereka juga percaya, semakin susah satu perkara itu semakin besarlah kepentingan dan kelebihan yang mereka bakal perolehi. Sama seperti melombong berlian. Begitu banyak tanah yang perlu dikorek, ditapis dan diayak untuk menghasilkan sejumlah kecil berlian. Namun harga yang diletakkan pada berlian itu membuatkan kerja-kerja berat semua itu tadi amat berbaloi.
Apa kata hari ini anda buat sesuatu tentang perkara ini. Sebagai langkah permulaan, apa kata anda ambil sekeping kertas kosong dan senaraikan sekurang-kurang 10 perkara yang anda mahu capai daripada sekarang hingga 10 tahun akan datang. Anda boleh tulis anda mahu beli kereta, rumah, ada simpanan wang yang banyak, ingin menunaikan haj, memberi wang saku kepada ibu bapa sebanyak RM1000 sebulan dan sebagainya. Tulis apa sahaja yang anda inginkan. Jangan fikirkan langsung tentang halangan untuk mendapat semua perkara ini. Jangan risau jika anda ambil masa yang agak lama untuk memikirkan perkara ini.
Saya akan terangkan dalam posting seterusnya mengapa tanda ini merupakan tanda anda akan gagal di universiti.
One Response to “ 7 tanda anda akan GAGAL di universiti - Tanda 7 ”
Comments:
Leave a Reply
Trackbacks & Pingbacks:
-
Pingback from WangCyber Gathering - kenangan cinta silam Part 1 | Kartun | Komik | Karikatur | Belajar Melukis Kartun
October 31st, 2008 at 9:51 pm[…] antara realiti & fantasi” yg sedang berlangsung ni, di moderatekan oleh saudara Osman Affan dan ahli-ahli panel khas terdiri daripada Sabri Saifulsham, Gobala Krishnan dan […]









Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 











