Will Mith & Ellen

Tidak berapa lama dulu saya ada menonton rancangan televisyen yang bertajuk Ellen Degeneres Show. Ketika itu Ellen menjemput Will Smith, seorang pelakon serba boleh yang terkenal dengan filem i-Robot, I am Legend, Hancock, 7 Pounds dan banyak lagi filem hebat lakonannya. Saya sebenarnya suka mendengar temuramah orang-orang yang dikategorikan sebagai berjaya dalam bidang mereka yang tersendiri. Will Smith ini dilabelkan sebagai pelakon yang membawa keuntungan kerana bukan sahaja lakonannya memberi kesan dan meyakinkan, pulangan filem-filem lakonannya dikatakan telah melebihi 5 billion US Dolar.

Namun hari ini saya bukan hendak bercerita tentang lakonan atau kejayaan beliau. Saya cuma ingin menyebut semula ada satu ayat ringkas yang diluahkan oleh Will Smith semasa disoal oleh Ellen. Ketika Ellen memuji Will Smith dengan mengatakan bahawa Will Smith sangat berbakat dan hebat dalam apa sahaja yang dilakukannya, Will Smith dengan tersenyum menjawab, “Terima kasih”. (Ini adalah satu contoh bagus bagaimana hendak menjawab atau membalas apabila orang memuji kita. Sebut terima kasih, bukan mengutuk diri kita semula)

Sambil menjawab, Will Smith ada berkata sesuatu yang benar-benar menarik perhatian saya. Kata beliau,

Will Smith

“Your talent will fail you if you are not skilled” (Walaupun berbakat, anda akan gagal juga jika anda tidak mempunyai kemahiran.”

Kata-kata beliau ini cukup jelas menerangkan bahawa untuk berjaya di dalam dunia ini, bakat sahaja tidak mencukupi. Apa yang perlu ditambah kepada bakat ialah kemahiran. Apa maksudnya?

Begini. Pernahkah kita lihat seseorang yang sangat berbakat tetapi tetap tidak berjaya dalam hidupnya? Pencapaian hidup mereka hanya sederhana sedangkan dengan bakat mereka, kita percaya mereka boleh mencapai kejayaan yang jauh lebih besar.

Sebagai contoh, ada orang yang ada bakat melukis yang hebat, tetapi bakat mereka hanya terbatas kepada melukis gambar-gambar untuk simpanan sendiri. Ada orang yang berbakat membuat kuih yang paling sedap, tetapi bakat mereka terbatas kepada menjual kuih ini kepada rakan-rakan dan saudara terdekat sahaja. Ada pelajar yang kelihatan seperti ada semua bakat dalam dunia semasa di sekolah, tetapi apabila masuk alam pekerjaan bakat itu semua seperti tidak bermakna lagi.

Persoalannya, apakah beza bakat dan kemahiran? Satu soalan yang bagus untuk difikirkan. Secara mudah, kita faham bahawa bakat wujud dalam diri kita sejak kita lahir. Ada orang berbakat melukis, ada yang berbakat memasak, ada berbakat menyanyi dan sebagainya. Bakat ini membuatkan kita mampu membuat sesuatu lebih baik daripada orang lain. Jadi, satu soalan, adakah anda mempunyai apa-apa bakat? Apa kata sambil membaca ini, kita senaraikan semua bakat semula jadi yang kita ada.

Kemahiran pula adalah kebolehan yang diperolehi melalui latihan berterusan, kerja keras, membuat sesuatu berulang-ulang kali, meniru aksi orang yang sudah mahir dan sebagainya. Kita tidak lahir dengan kemahiran ini. Maksudnya, ini adalah satu berita baik kerana semua orang boleh dapatkan kemahiran jika mereka mahu.

Namun, menurut pemahaman saya, jika kita mahu berjaya, kita perlu gabungkan bakat dan kemahiran. Sebagai contoh, jika kita ada bakat menyanyi, kita perlu dapatkan kemahiran menyanyi dengan belajar daripada guru vokal, belajar asas nyanyian, belajar main muzik dan sebagainya. Sama juga seperti kita ada bakat main bola. Kita perlu belajar teknik-teknik asas bermain bola. Apabila bakat dan kemahiran digabungkan, kita akan jadi lebih unik dan sukar ditandingi oleh orang lain. Jadi peluang untuk menyerlah dan hebat adalah lebih besar.

Masalahnya ramai yang kurang faham tentang bakat dan kemahiran ini. Kita lihat ada orang berbakat tetapi tidak pernah cuba meningkatkan kemahiran mereka. Jika pandai menyanyi (bakat), mereka hanya menyanyi tanpa panduan (kemahiran) dan tahap yang boleh mereka capai hanyalah tahap penyanyi karaoke sahaja.

Ada pula orang yang cuba meningkatkan kemahiran dalam bidang yang mereka tidak ada bakat. Contoh mudah adalah penyanyi juga. Dia tidak ada bakat seperti suara agak sumbang, tidak cekap mengesan beza nada suara dan tidak pandai membuat lenggok lagu. Namun dia bersungguh-sungguh belajar menyanyi hingga sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit. Hasilnya, dia pasti boleh menyanyi dengan teknik yang betul tetapi dia akan hadapi kesukaran untuk menyerlah dan menjadi yang terbaik. Ini kerana kemahiran itu tidak selari dengan bakatnya.

Jadi, cadangan saya untuk diri saya dan sahabat-sahabat pembaca sekalian, jika kita mahu cepat menyerlah, lebih unik, diiktiraf dan kebolehan kita dihargai, apa kata kita lakukan 2 langkah ini:

  1. Senaraikan bakat-bakat yang kita sedia ada. (Untuk mudah mengenali bakat, kita boleh lakukan perkara itu lebih baik daripada orang lain secara semula jadinya. Ada orang yang tidak pernah belajar melukis tetapi apabila dia melukis, ia kelihatan sangat hebat dan cantik. Ini bakat semulajadi)
  2. Usahakan agar kita dapat menambah kemahiran untuk memperhebatkan bakat ini. Jika bakat itu ialah bakat melukis, belajar teknik melukis, teknik penggunaan warna dan bermacam-macam teknik lagi yang membolehkan kita melukis dengan lebih hebat. Jika bakat itu ialah bakat berniaga, pelajari lebih mendalam teknik-teknik perniagaan agar perniagaan yang kita ceburi akan jadi lebih besar dan keuntungan akan lebih mengkagumkan.

Saya ucapkan selamat berjaya dalam mencari bakat dan meningkatkan kemahiran yang ada dalam diri. Semoga perkongsian kali ini ada mencetus sesuatu dalam diri sahabat-sahabat sekalian dan mendorong diri kita semua untuk melakukan sesuatu hari ini. Sesuatu yang dilakukan itu pula adalah sesuatu yang akan menambahkan tahap kejayaan, keceriaan dan keharmonian hidup kita semua. Selamat berjaya!