Sat 22 Aug 2009
Oh…disini saya parking rupa-rupanya.
Posted by Osman Affan under Fikir
[2] Comments
Sudahkah anda fikirkan jawapan kepada soalan-soalan saya semalam mengenai lupa tempat parking kereta? Yakinkah anda dengan jawapan tersebut?
Pada pendapat saya, masalah lupa tempat parking tidak menunjukkan kita ada masalah-masalah yang saya sebutkan semalam. Malah, kalau kita lupa, itu menunjukkan kita ini manusia normal. Tidak terkurang, tidak terlebih….cuma normal. Namun dalam keadaan normal ini, bagaimanakah caranya untuk kita lebih mudah ingat di mana kita parking?
Untuk menerangkan tentang perkara tersebut, saya ingin kongsikan hasil tulisan seorang pakar memori dunia yang bernama Nishant Kasibhatla. Kata beliau (seperti juga kata mana-mana pakar memori atau pakar psikologi lain), memori adalah satu proses. Proses ini melibatkan 3 langkah yang dinamakan
- Register (Daftar masuk)
- Retention (Simpan)
- Recall. (Ingat semula)
Mari saya permudahkan perkara ini. Bayangkan kita pergi ke hotel. Untuk menginap, kita kena daftar (Register) masuk dahulu bukan? Selepas daftar masuk, kita bolehlah tinggal di bilik yang telah disediakan (Retention). Kebiasaannya, kalau tidak daftar masuk, sudah pasti kita tidak boleh menginap di mana-mana bilik hotel tersebut.

Katakan tiba-tiba ada saudara mara kita datang ke hotel tersebut dan mencari kita. Mereka bertanya di kaunter pendaftaran dan meminta bantuan staff hotel untuk memanggil kita. Apabila staf di kaunter melihat nama di dalam senarai nama berdaftar, akan ternampaklah nama kita di situ. Jadi, staf di kaunter dengan mudah boleh memanggil kita (Recall).
Namun apa akan jadi jika saudara mara kita itu datang dan terus cari kita dari bilik ke bilik? Tentu sukar bukan? Kalau hanya ada 5 bilik di hotel tersebut, tentu mudah. Bagaimana jika ada 1000 bilik? Kemungkinan untuk jumpa itu ada tetapi memakan masa terlalu lama, terlalu memenatkan dan langsung tidak praktikal.
Proses mengingat juga begitu. Bayangkan ada hotel juga di dalam minda kita. Apabila kita mahu ingat tempat kita parking kereta, kita akan lihat nombor tempat parking, tingkat berapa dan jalan keluar mana yang kita gunakan. Apabila kita lihat dengan betul, ia umpama kita sedang daftar masuk (Register) dengan staf kaunter hotel di dalam minda kita. Jadi, maklumat itu pun disimpan (Retention) di dalam bilik hotel (iaitu memori kita).
Kemudian, setelah selesai membeli belah, kita cari semula kereta kita. Mudah sahaja caranya. Kita pergi ke kaunter pendaftaran di minda dan lihat semula di bilik manakah kita simpan maklumat tadi. Dengan mudah, kita akan ingat semula (Recall) dan tahu di mana kereta itu diletakkan.
Ketiga-tiga proses ini sangat penting. Jika ketiga-tiganya tidak dilakukan dengan betul, kita sama ada tidak akan ingat maklumat yang disimpan atau tidak dapat mencari di bahagian mana maklumat itu disimpan.
Jadi, saya ada satu soalan lagi untuk anda. Kebanyakan orang yang lupa di mana mereka parking kereta, langkah manakah (antara Register, Retention dan Recall) yang mereka lemah dan tidak lakukan dengan sebaik-baiknya? Langkah manakah yang mereka selalu tidak lakukan hingga mereka langsung tidak ingat di mana mereka letakkan kereta mereka?
Fikirkan seketika. Saya akan jawab soalan ini pada hari Isnin, 24 Ogos 2009. Selamat berfikir.























August 23rd, 2009 at 11:15 pm
Saya cuba ya (setelah berfikir dan berdasarkan pengalaman, hehe..)
Adakah kita sering mengalami masalah ‘retention’?
Ya, saya akan nantikan jawapan daripada Encik Osman..
August 24th, 2009 at 11:50 am
Terima kasih Zafira kerana mencuba. Hmm… jangan lupa baca jawapan saya.