Thu 6 Nov 2008
Hati yang tersentuh…
Posted by Osman Affan under Cerita, Fikir, Soft Skills
[5] Comments
Beberapa minggu lalu saya telah dijemput oleh Puan Siti, guru kaunseling Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Sungai Bertih Klang untuk memberikan ceramah ringkas kepada pelajar tingkatan 1. Ceramah ini adalah berkenaan pembinaan sahsiah cemerlang.
Sesi ceramah itu adalah biasa sahaja bagi saya. Namun satu perkara yang amat menarik hati saya mengenai sekolah ini ialah semasa saya tiba ke sana. Disebabkan sekolah ini terletak di Klang, saya keluar rumah seawal 6.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Saya tiba ke kawasan sekolah pada pukul 7.15 pagi. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, saya meletakkan kereta saya di tempat letak kereta di hadapan kawasan sekolah. Saya keluar dan berdiri di sisi kereta saya sambil memerhatikan gelagat pelajar. Ketika itu pelajar tingkatan 3 sedang bersedia untuk masuk dewan peperiksaan.
Setelah saya berdiri lebih kurang 5 minit, tiba-tiba ada seorang pelajar lelaki datang menghampiri saya. Dia masih menyandang beg sekolah yang bermakna dia baru tiba dan dalam perjalanan masuk ke kelas. Dia juga memang sengaja berjalan ke arah saya kerana di tempat saya berdiri itu bukanlah laluan untuk pelajar ke kelas. Pelajar ini berkata, “Assalamualaikum Encik…”
“Waalaikumsalam warahmatullah..” jawab saya.
“Boleh saya bantu Encik…? Encik ada hendak cari sesiapa?” Tanya pelajar lelaki tersebut dengan nada yang sangat sopan dan merendah diri.
Saya tersenyum. Sepanjang pengalaman saya beberapa tahun pergi ke sekolah, kolej dan universiti, inilah kali pertama ada pelajar yang datang menegur pelawat yang datang untuk memberi bantuan. Saya menjawab,
“Tak apa dik, saya tengah tunggu nak jumpa Cikgu Siti. Cikgu Siti akan datang ke sini sekejap lagi.”
Pelajar lelaki ini menganggukkan kepala sambil tunduk dan berkata, “Assalamualaikum.” Lalu dia bergegas menuju ke kelas.
Saya begitu gembira dan kagum dengan kelakuan ini hingga saya terlupa untuk bertanyakan nama dan umurnya. Rasa bangga juga memenuhi diri saya kerana pelajar ini datang daripada sekolah agama dan apa yang baru dilakukannya benar-benar mencerminkan keindahan adab dan budaya seorang muslim sejati. Hati saya tidak henti-henti memuji pelajar ini.
Dalam masa yang sama, saya percaya semua guru dan pihak pentadbiran sekolah ini juga harus diberi pujian yang tinggi. Sikap yang ditunjukkan oleh pelajar tadi adalah sesuatu yang sukar diajar. Bagi saya ia cuma boleh diajarkan dengan berkesan jika sikap itu diamalkan dengan meluas di sesebuah sekolah. Saya percaya pihak pentadbiran sekolah termasuk pengetua dan guru-guru telah berjaya mewujudkan suasana yang menggalakkan amalan baik dan adab-adab muslim sejati seperti ini.
Sekalung tahniah sekali lagi kepada pelajar yang tidak sempat saya tanyakan nama ini. Semoga sikap, kelakuan dan adab beliau menjadi contoh kepada semua pelajar di negara kita ini.























November 13th, 2008 at 3:26 pm
Tersentuh hati sy membaca entry tuan yg ini.
semoga pelajar tersebut, dan ibubapanya dirahmati Allah. Amin.
situasi menarik ini selalu sy alami setiap kali melawat anak sulung sy di salah sebuah sek men Agama di Kluang Johor. (2003-2007)
Namun keadaan adalah sebaliknya apabila melawat anak ke-2 sy yg kini di tahun pertama sek men agama, di daerah yg lain.
November 25th, 2008 at 11:07 am
Assalamualaikum,
Terharu bila membaca tentang ucapan awal dari murid tersebut. Saya rasa terlalu sukar untuk kita mengalami sendiri pembuka kata dari seorang murid yang prihatin dengan kehadiran seseorang yang dianggap tetamu. Saya sendiri jatuh airmata bila dialukan sedemikian ketika datang melawat anak di sekolah berasrama. Dalam kerisauan ibubapa terhadap kejatuhan moral murid sekarang masih ada lagi mereka yang menyanjung tinggi nilai-nilai murni dan adab sopan.
Alhamdulillah.
March 24th, 2009 at 2:19 am
alhamdulillah,dalam kita di bebani dengan isu-isu keganasan di sekolah masih ada jugak beberapa pelajar yg prihatin. masu tu mmg kami jemput Usman Affan ni sbg penceramah program cemerlang sahsiah, moga moga pengisian itu menambahkan lagi cemerlangnya sahsiah anak-anak kita.buat pengunjung lain bolehlah jemput beliau berkongsi ilmu, utk manfaat anak-anak kita juga
March 25th, 2009 at 8:03 am
Puan Hanis, Puan Maimunah dan Cikgu Aizan,
terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Alhamdulillah, saya juga rasa sangat gembira dan seronok apabila akhirnya bertemu juga dengan pelajar yang mempunyai akhlak yang baik begini. Semoga akhlak dan budaya begini akan terus diamalkan dan berkembang kepada semua pelajar di seluruh Malaysia.
April 20th, 2010 at 11:40 am
salam,kepada semua yang berkesempatan membaca blog ini,,sy juga tersentuh apabila membaca kisah pelajar itu kerna akhlak mulia yang ditunjukkannya itu,,memang benar kita sedang berada diambang yang amat membimbangkan terutama golongan remaja yg kini terlalu ramai terpesong jauh,,setiap hari ita boleh lihat tidak kira lelaki perempuan sudah tiada beza sifatnya,, tuan2 dan puan2 serta semua pembaca fikirkan lah siapa yang perlu menangani masalah keruntuhan akhlak, bukan guru, pihak brkuasa, pasti jawapan itu ada pd anda..kalu kita selami betul2 perkara ini pasti kita akan mendapat jawapan yg tepat,,,selami la bersama..