Osman Affan 

Hari ini entah kenapa saya teringat tentang satu komen/pertanyaan yang diajukan kepada saya beberapa bulan lalu. Komen ini diberikan oleh beberapa orang pelajar universiti yang bertugas sebagai urusetia dalam program pelajar yang mereka anjurkan. Ketika kami sedang berehat untuk minum pagi, seorang urusetia, mahasiswi tiba-tiba berkata kepada saya,

“Kerjaya En Osman sekarang ni, nampak semuanya dari dulu memang senang ye…” (lebih kurang beginilah komennya, saya tidak berapa ingat dengan jelas ayat-ayatnya).

“Apa maksud cik…?” Soal saya untuk kepastian.

“Maksudnya, bila saya baca background En Osman, nampak semuanya mudah je. Ye la, cemerlang zaman sekolah, pergi oversea, lepas tu buat master….dan sekarang buat program dengan pelajar. Semua nampak senang je kan?”

Saya ketawa kecil semasa mendengar komen ini. “Senang?” Hmmm….

Osman Affan

Jika dilihat latar belakang pendidikan saya, mungkin senanglah nampaknya. Sebagai contoh

  • UPSR 5A
  • PMR 8A SMKA Tok Jiring
  • SPM 6 Aggregat Kolej Islam Sultan Alam Shah, KISAS
  • Degree Accounting & Finance, UK
  • Master of Education, Counseling & Guidance, UIA Gombak.

Namun sebalik apa yang kelihatan mudah, tidak semestinya begitu. Bagi saya, apabila kejayaan sudah dicapai, kesukaran akan pasti dilupakan. Apabila kejayaan berjaya dicapai, laluan ke arahnya kelihatan begitu mudah dan jelas. Realitinya? Ia tidak begitu.

Di dalam program yang saya jalankan bersama pelajar, saya ada kongsikan beberapa kesukaran yang saya hadapi semasa belajar. Sebagai contoh, saya datang daripada keluarga yang agak susah. Semasa di dalam darjah enam, saya lihat sahabat sekelas asyik bercerita tentang pusat tuisyen yang mereka hadiri. Mereka kerap bergelak ketawa dengan lawak jenaka di tempat tuisyen dan apa yang selalu membimbangkan saya, mereka ini semua mempunyai banyak kelebihan untuk berjaya dalam bidang akademik. Mana tidaknya, apabila ada latihan dalam kelas, kerap kali mereka kelihatan begitu gembira kerana mereka pernah lakukan latihan tersebut di pusat tuisyen.

Pernah saya suarakan hasrat hendak masuk tuisyen kepada ayah saya. Ketika itu saya kurang faham masalah kewangan keluarga. Ayah saya mungkin tidak mampu untuk membiayai kos tuisyen. Jangan kata kos tuisyen, sepanjang darjah enam, saya hanya mempunyai sehelai baju sekolah sahaja! (Bayangkan hanya baju itu dipakai setiap hari daripada awal tahun hingga ke akhir tahun.)

Namun satu perkara yang hebat mengenai ayah saya ialah beliau sentiasa menanamkan sifat keyakinan diri dalam diri saya. Komen beliau apabila saya mahu masuk pusat tuisyen, “Orang macam mung ni tak perlu doh masuk tuisyen Mang.” (dalam loghat Terengganu sambil tersenyum). Daripada kata-kata itu, saya faham yang ayah saya cuba mengatakan bahawa saya ini sudah bijak dan tidak perlu pusat tuisyen untuk skor dalam peperiksaan. Adakah saya kecewa ketika mendengar jawapan ayah saya? Sudah tentu saya kecewa. Apabila saya kaji semula kini, apa yang ayah saya lakukan mendidik keupayaan diri saya untuk percaya kepada kebolehan diri sendiri meskipun tidak ada kelebihan seperti orang lain.

Jadi sepanjang darjah 6, seingat-ingat saya, saya tidak pernah minta apa-apa sangat daripada ayah saya. Cuma satu sahaja yang saya ingat. Ketika lebih kurang tinggal 4 minggu peperiksaan, ayah saya perlu pergi ke Kelantan kerana mengikut majikannya. Ayah saya bertanya kepada saya jika saya mahu beli apa-apa. Biasanya apa yang dipesan oleh kakak dan adik saya ialah sesuatu berbentuk makanan atau pakaian. Tetapi saya hanya minta ayah saya belikan saya 3 buku soalan latihan untuk peperiksaan UPSR. Alhamdulillah, setelah ayah saya pulang, benar-benar dia belikan saya 3 buku latihan tersebut.

Saya begitu seronok dan sayangkan buku-buku tersebut, saya langsung tidak tulis apa-apa di atas buku tersebut. Saya bimbang kalau saya tulis apa-apa nanti buku itu cepat rosak. Jadi apa yang saya lakukan setiap kali mahu buat latihan, saya ambil satu kertas kosong dan tuliskan jawapan kepada soalan-soalan di atas kertas kosong tadi. Buku itu semua ada lebih kurang 10 set latihan. Jadi, setelah saya habis buat latihan sampai ke set terakhir, saya ulang kembali buat latihan set pertama kerana ia kelihatan seperti baru dan belum pernah dibuat.

Percaya atau tidak, itulah sahaja 3 buku latihan yang saya gunakan sebelum peperiksaan sebenar UPSR. Alhamdulillah berkat doa ayah dan ibu saya, peperiksaan UPSR menjadi satu kenangan manis dalam hidup saya.

Persoalannya, adakah kesukaran itu membuat saya sedih, murung atau kecewa kini? SUDAH TENTU TIDAK! Seperti yang saya katakan awal tadi, kejayaan akan membuat segala kesukaran begitu mudah dilupakan. Jadi, satu lagi persoalan, adakah semuanya senang bagi saya? Sudah tentu tidak.

Osman Affan

Kini, keyakinan saya bahawa setiap yang susah akan disusuli kejayaan dan kemudahan adalah semakin kuat dan teguh. Ini ditambah lagi apabila saya membaca Al-Quran, Surah Al-Insyirah, ayat 5-8 yang bermaksud,’ Oleh itu (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa setiap kesukaran disertai kemudahan………

Jadi, jika kita sedang menempuh alam dan saat-saat kesukaran kini, jangan terlalu risau dan bimbang. Jika kita teruskan dengan usaha, sabar dan memohon pertolongan kepada Allah, saya percaya tidak ada halangan yang tidak boleh dihapuskan. Saya ucapkan selamat berjaya!