Mon 6 Jul 2009

Pagi tadi, saya berada di Angkasapuri sebagai tetamu undangan rancangan Hello On Two, satu siaran langsung saluran RTM2. Hari ini segmen ini dikendalikan oleh Terrence dan Angie. Sudah beberapa kali rasanya saya hadir sebagai tetamu dan dikendalikan oleh dua hos yang sangat riang dan ceria ini.
Tajuk untuk kali ini ialah ‘Who is a better messenger, man or woman’ atau dalam Bahasa Melayunya, siapakah penyampai mesej yang lebih baik, lelaki atau perempuan?
Bagi saya, topik ini terasa agak berat kerana dengan hanya berbekalkan apa yang saya sudah tahu, saya tidak dapat menjawab soalan tersebut. Ini menyebabkan saya terpaksa buka semula beberapa buku mengenai teknik komunikasi yang saya ada dan saya juga terpaksa lakukan beberapa carian melalui internet. Jika soalan ini ditanyakan kepada anda, apakah yang akan anda jawab? Lelaki atau Perempuan? Hmmm……
Apa yang saya jawab tadi, kita tidak boleh katakan dengan jelas atau muktamad bahawa lelaki atau perempuan yang lebih baik dalam menyampaikan mesej. Namun ada satu fakta yang saya kongsikan bersama Terrence dan Angie. Apa yang saya jelaskan tadi,
“Menurut pembacaan saya, secara umumnya, kebanyakan lelaki (bukan semua) adalah tergolong dalam kategori yang disebut ‘Global Learner’. Ia bermaksud, lelaki lebih suka melihat sesuatu dalam gambaran yang besar (big picture). Perempuan pula kebanyakannya (bukan semua) tergolong dalam kategori ‘Analytical Learner’. Ia bermaksud perempuan kebanyakannya suka melihat sesuatu dengan lebih terperinci. Sebagai contoh yang mudah, jika kita berikan peta kepada orang lelaki dan orang perempuan, yang manakah akan dapat mencari sesuatu destinasi dengan lebih berkesan? Ramai yang akan menjawab lelaki (termasuk hos Hello On Two, Angie) akan dapat cari destinasi atau lokasi dengan berkesan.
Mengapa? Kerana kebanyakan lelaki akan membayangkan destinasi yang hendak dituju di dalam minda mereka menggunakan gambaran keseluruhan. Jadi mereka akan sentiasa sedar di mana mereka berada sekarang dan tahu bagaimana hendak ke destinasi dengan lebih cepat dan berkesan.
Perempuan pula (bukan semua) hadapi masalah kerana mereka sangat memerhatikan perkara-perkara yang kecil. Jika diberi peta dan disuruh cari jalan, mereka akan leka dengan apa yang mereka boleh lihat disekeliling mereka.”

Apa kaitan ini semua dengan siapa lebih berkesan dalam menyampaikan mesej? Kaitannya begini.
Saya percaya, jika kita mahu dapatkan sesuatu mesej dengan ringkas, padat dan hanya isi penting sahaja yang diperlukan, lelaki lebih baik untuk menyampaikan mesej-mesej begini. Ini kerana lelaki selalunya bercakap dengan ringkas dan terus kepada isu atau isi penting yang hendak disampaikan. Masalahnya, disebabkan lelaki terlalu fokus kepada isi penting, mereka leka dan kurang peka kepada perkara-perkara kecil yang mereka dengar. Sebagai contoh, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, orang lelaki lebih mudah lupa nama orang yang baru dikenalinya. Baru kenal, baru tanya nama, beberapa minit kemudian, tanya sekali lagi. Kemudian, lupa lagi. Berbeza dengan perempuan, mereka lebih mendengar sesuatu dengan lebih teliti jadi maklumat yang bakal mereka sampaikan adalah lebih khusus dan terperinci.
Banyak lagi yang kami bincangkan sebenarnya. Namun kesimpulannya, kita tidak boleh mengatakan lelaki atau perempuan yang lebih berkesan dalam menyampaikan sesuatu mesej kerana ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Walau apa pun, satu perkara yang kita perlu tahu bahawa menyampaikan mesej dengan berkesan adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari. Jadi jika orang selalu merungut yang mereka sukar faham apabila kita sedang menerangkan sesuatu, kita boleh pelajari teknik dan kemahiran untuk menjadi penyampai mesej yang lebih baik.

Selamat menyampaikan mesej dengan lebih berkesan! ![]()
























September 26th, 2009 at 9:03 am
Assalamu alaikum, bukan niat untuk berlaku tidak sopan tetapi saya sangat ingin berhubung dengan Terrence Lam kerana memerlukan perkhidmatan beliau untuk menjadi pengacara majlis.
Boleh saya dapatkan nombor handphone beliau? Ataupun email beliau.
JazakAllahu khairan kathiran
October 2nd, 2009 at 2:25 pm
Waalaikumsalam Tuan Ali.
Maafkan saya kerana saya tidak ada maklumat tersebut. Mungkin Tuan boleh hubungi pihak RTM untuk mendapatkan maklumat tersebut.
November 19th, 2009 at 1:01 pm
Assalamualaikum, maafkan saya sekiranya saya menyinggung perasaan Tuan. Bagaimana saya hendak menghubungi producer Hello on 2? saya ingin mengemukakan satu proposal untuk rancangan tersebut.? Saya sudah menghubungi pihak RTM tetapi agak sukar untuk mendapatkan maklum balas. Minta jasa baik Tuan dalam hal ini. Terima kasih.