Mon 20 Aug 2007
Projek Mutiara Johor 2007 oleh PERDASAMA
Posted by Osman Affan under Khas, Motivasi, Teknik Belajar
Rabu lalu saya berada di Kota Tinggi Johor bagi menjayakan Projek Mutiara Johor yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia(PERDASAMA) Nasional. Projek ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman. Projek ini dihadiri oleh Presiden Perdasama Nasional Dato’ Moehamad Izat Emir dan juga YB Tuan Haji Zainal Abidin Bin Haji Osman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Negeri Johor. Program ini telah mengumpulkan pelajar-pelajar disekitar kawasan Kota Tinggi iaitu SM Teknik Kota Tinggi, SMK Tun Habab, SMK Laksamana, SMK Bandar, SMK Taman Kota, SMK Jaafar Albar dan SMK Saujana. Lebih kurang 400 pelajar mengikut program yang berlangsung selama sehari ini. Program ini turut dijayakan oleh 5 penceramah lain yang hebat dalam bidang pendidikan ini.
Saya diberikan tugas untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Fun & Smart Learning’. Jika anda tanya diri anda sendiri, adakah belajar itu sesuatu yang menyeronokkan, membosankan, atau menyakitkan? Setiap pelajar boleh memberikan definisi mereka sendiri.
Dalam sesi ceramah saya ini, saya terangkan 3 langkah untuk membuat proses pembelajaran menjadi sesuatu aktiviti yang menyeronokkan. Langkah pertama ialah ‘hapuskan halangan minda’. Jika anda rasa belajar itu tidak seronok, membosankan malah menyakitkan, anda mungkin mempunyai halangan minda terhadap proses pembelajaran. Mungkin anda selalu gagal atau tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Ini menyebabkan wujud halangan minda dalam diri anda hingga anda tidak suka kepada proses pembelajaran. Jadi, selepas anda hapuskan halangan minda anda, anda akan rasa belajar itu adalah sesuatu yang mudah dan sangat menyeronokkan.
Langkah kedua ialah dengan memahami konsep ‘fisiologi’. Secara mudah, saya katakan bahawa cara anda bergerak boleh mempengaruhi apa yang anda rasa. Jika anda bergerak, duduk atau berjalan seperti orang yang malas atau tidak seronok, anda akan rasa perkara yang sama. Jadi, jika anda rasa malas atau tidak ada ‘mood’ untuk belajar, ubah cara anda bergerak. bergerak, duduk dan membaca seperti seorang yang sangat rajin, bersemangat dan cemerlang. Anda akan rasa perkara yang sama. Akhir sekali, anda perlu belajar teknik belajar yang betul. Belajar jadi tidak seronok apabila anda tidak tahu cara belajar yang betul. Sama seperti bermain sukan, bolasepak jadi tidak seronok jika anda tidak ada kemahiran dan tidak tahu undang-undang dan peraturannya. Perlumbaan basikal jadi tidak seronok jika anda tidak tahu bagaimana mahu menunggang basikal dan seterusnya.
Mulai hari ini, pelajari lebih lanjut mengenai 3 langkah ini melalui buku-buku motivasi dan kemahiran belajar. Insyaallah, anda juga akan pasti jadi pelajar yang sangat cemerlang satu hari nanti. Selamat berjaya kepada anda semua terutamanya semua pelajar yang mengikuti sesi bersama saya di Kota Tinggi ini. :)























