Ketika mengendalikan program Pembangunan Organisasi dan Pemantapan Modal Insan bersama para pegawai daripada Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas, Ahad hingga Selasa lalu, saya ada ceritakan tentang konsep law of attraction di dalam slot khas. Slot ini memang saya sediakan khas untuk program sebegini kerana konsep ini benar-benar telah membantu saya sejak beberapa tahun lalu. Sejak tahun 2000, saya hanya mampu membaca mengenai konsep law of attraction ini tetapi tahun ini saya berpeluang menyaksikan konsep ini diceritakan dalam bentuk DVD yang bertajuk ‘The Secret. Nanti kalau ada kesempatan bolehlah saya kongsikan mengenai konsep ini kerana buat masa ini jadual blog ini masih penuh dengan maklumat-maklumat mengenai motivasi dan teknik belajar. :)

Apa yang hendak saya ceritakan ialah, pada satu pagi semasa program dijalankan, saya telah bersiap awal untuk turun bersarapan pagi. Sambil bersiap, saya membuka televisyen, TV3 kalau tidak silap saya. Ketika itu topik yang sedang dibincangkan ialah ‘Azam tertunda’. Ada seorang tetamu jemputan yang membicarakan mengenai perkara ini.

Entah kenapa, semasa saya menonton, saya asyik terfikir dan membayangkan apa yang akan saya jawab agaknya kalau saya sendiri yang berada di tempat tetamu jemputan itu. Saya rasa ketika itu soalan mengenai azam tertunda ini memang satu soalan yang bukan mudah hendak dijawab kerana ada banyak faktor yang perlu diambil kira. Saya tersenyum sendiri setiap kali saya bayangkan kalau saya yang berada di depan kamera menjawab soalan-soalan yang bakal diberikan.

Semalam, setelah beberapa hari selesai menjalankan program tadi, saya mendapat satu panggilan. Ada seorang pegawai daripada RTM1 yang ingin menjemput saya sebagai tetamu undangan pada 1 Januari, iaitu selasa depan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia. Setelah saya mengambil maklumat yang diperlukan, saya pun bertanya kepada pegawai tersebut mengenai tajuk yang bakal dibincangkan.

Bolehkah anda teka tajuknya? hmmm….. tajuknya ialah ‘Azam tertunda’. Saya tersenyum sekali lagi.

Law of attraction bukanlah satu konsep baru. ia boleh diterangkan menggunakan konsep psikologi dan sains. Malah, ia boleh diterangkan menurut pandangan Islam. Saya biasanya berkongsi dengan pelajar mengenai konsep ini melalui teknik Imaginasi Kejayaan (seperti yang tertulis di dalam buku Persediaan Minda Pelajar Cemerlang) dan teknik mengurangkan rasa tertekan dan meningkatkan tahap ketenangan diri (Buku Kemahiran Belajar).

Jika anda tidak ada apa-apa yang mahu dilakukan pada hari Selasa, 1 Januari, 8.00 pagi, apa kata anda tonton Rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1 dan sertai saya dan dua tetamu lagi dalam membincangkan tajuk Azam tertunda ini. :)