Sun 18 Mar 2007
Banyak membaca, petah berbicara
Posted by Osman Affan under Khas, Motivasi, Soft Skills
No Comments
Ada satu soalan yang biasa graduan tanya kepada saya. Bagaimanakah cara untuk menjawab soalan dengan bijak dan matang terutamanya semasa menjawab soalan temuduga? Adakah anda tahu jawapan kepada soalan ini?
Ada jawapan yang panjang dan ada jawapan yang pendek. Jawapan yang panjang, saya perlu ceritakan tentang jenis-jenis soalan yang ditanya, situasi semasa soalan ditanyakan, keadaan penyoal, latar belakang penyoal, latar belakang penjawab dan sebagainya dan sebagainya dan sebagainya……..
Panjang nak bercerita tu.
Jangan risau. Ada jawapan yang pendek. Jawapan yang pendek ialah, BACA BUKU. Pendek kan?
Buku apa yang perlu anda baca? Buku-buku pembangunan diri seperti buku-buku motivasi dan buku-buku kemahiran seperti kemahiran berfikir, kemahiran bercakap dikhalayak ramai, kemahiran pengurusan masa dan diri, dan sebagainya.
Bila anda membaca, otak anda akan berfikir. Semakin kuat anda berfikir dan semakin banyak buku yang anda baca, anda akan mempunyai pandangan yang luas tentang sesuatu berbanding orang-orang yang tidak membaca. Contohnya, jika ditanya soalan, apa pendapat anda tentang pelajar yang ponteng sekolah?
Orang-orang yang tidak membaca mungkin hanya boleh jawab dengan jawapan yang umum seperti tidak bertanggungjawab, tidak ada matlamat, tidak serius dan tidak nampak kepentingan pergi ke sekolah. Kadang-kadang jawapan ini pun mereka susah nak jawab.
Orang-orang yang membaca pula akan mempunyai lebih banyak jawapan yang lebih matang seperti
- Pelajar yang ponteng sekolah mungkin bermasalah tetapi pihak berkenaan perlu kaji apa sebab sebenarnya yang mendorong mereka ponteng sekolah.
- Pelajar yang ponteng sekolah tidak boleh terus dilabelkan sebagai pelajar bermasalah kerana, dengan label itu, mereka akan terus menerus menimbulkan masalah. Apabila kita sudah melabelkan mereka sebagai bermasalah, apa sahaja yang mereka lakukan baik atau buruk akan sentiasa kelihatan buruk di mata kita.
- Dan sebagainya……
Jadi, langkah pertama dan penting untuk anda mampu menjawab soalan dengan bijak dan matang ialah, Baca Buku mulai sekarang.






















