Sat 16 Jun 2007
Bayangkan masa depan anda…?
Posted by Osman Affan under Keyakinan Diri, Khas, Motivasi
Hari Rabu lalu saya berada di Lata Kinjang Perak bagi menjayakan satu program anjuran bersama pelajar Universiti Teknologi Petronas dan KEMAS di sekolah kebangsaan Sri Kinjang. Program yang saya kendalikan adalah untuk pelajar tahun 4, 5 dan 6.
Setelah berbual dengan guru penolong kanan, guru besar dan urusetia program ini, saya dimaklumkan bahawa 2/3 daripada peserta ini terdiri daripada anak-anak orang asli. Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap motivasi pelajar disamping mendedahkan pelajar kepada beberapa teknik belajar yang berkesan.
Satu sesi yang saya rasa amat menarik semasa program ini ialah, saya menyuruh pelajar melukis diri mereka ketika mereka berusia 25 tahun. Ini bermakna mereka perlu melihat lebih 10 tahun ke depan. Apa yang saya dapati, memang menarik cita-cita dan imaginasi kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun. Mereka mempunyai imaginasi dan cita-cita yang sangat tinggi.
Saya sangat tertarik dan merasa bersemangat apabila melihat hasil lukisan pelajar-pelajar ini. Walaupun mereka bukanlah pelukis professional, mereka dapat lukis apa yang mereka imaginasikan di masa hadapan. Persoalannya, bolehkan anda mengimaginasikan masa depan anda begini?
Satu perkara yang membuat pelajar ini seronok melukiskan imaginasi dan cita-cita mereka ialah, mereka tidak memikirkan tentang kesukaran dan masalah berkenaan mencapai cita-cita tersebut. Fikiran mereka bebas dan kreatif. Fikirkan orang dewasa selalunya lebih terhalang kerana mereka asyik memikirkan tentang perkara-perkara yang boleh menghalang mereka daripada mencapai cita-cita. Contohnya, jika mereka mahu beli kereta baru, mereka fikir tentang masalah kewangan. Jika mahu berniaga, mereka fikirkan tentang risiko kerugian. Jadi, mereka tidak bergerak langsung lalu mereka kekal di takuk lama.
Ini juga boleh jadi satu latihan bagi anda. Apa kata anda lukiskan diri anda 5 hingga 10 tahun
akan datang. Bagaimanakah keadaan anda ketika itu? Apakah kejayaan yang telah anda capai? Apakah yang anda miliki? Dimanakah anda tinggal? Apakah pekerjaan anda?
Lihat contoh-contoh lukisan yang saya paparkan kat sini. Lukisan anda tidak perlu cantik. Apa yang penting, lukisan anda itu boleh mencetus rasa semangat. Jangan letak apa-apa halangan. Biar cita-cita anda tinggi hingga mampu menaikkan semangat anda.
Satu perkara lagi yang anda perlu tahu, anda tidak perlu jadi apa yang orang mahu anda jadi. Seperti lukisan pertama di atas, pelajar bernama Aiman ini bercita-cita mahu menjadi seorang Chef, bukan pekerjaan professional seperti doktor, peguam atau jurutera. Ini adalah cita-citanya. Saya kagum melihat dia dapat melukis cita-citanya dengan begitu jelas.
Saya ucapkan terima kasih kepada urusetia daripada Universiti Teknologi Petronas terutamanya Farhana dan Faizal kerana menjemput saya untuk menjayakan program ini. Saya juga ingin ucapkan tahniah atas kejayaan mengendalikan program yang berskala agak besar ini. Semoga ini menjadi satu pengalaman yang sangat berharga untuk pihak urusetia di masa akan datang. ![]()









Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 













