Fri 11 Apr 2008
Selasa lalu saya berpeluang berada bersama Anne Ngasri mengendalikan beberapa slot pendek untuk rancangan Cahaya Permata siaran RTM1 tidak lama lagi. Rancangan ini ialah rancangan panduan untuk kaum ibu tentang bagaimana cara menguruskan anak bermula peringkat mengandung, lahir hingga anak-anak menjadi dewasa. Segmen yang melibatkan saya ialah segmen di mana anak-anak sudah berusia 7 hingga 9 tahun.
Ini kali pertama saya bertemu dengan pelakon yang terkenal ini. Dulu selalu tengok lakonan beliau di dalam rancangan cili padi. Kemudian saya ingat beliau ada berlakon dalam iklan Fair & Lovely (hehe… itulah soalan saya kepada beliau…”yang berlakon dalam iklan fair & lovely tu Anne la kan? :) )Tidak sangka boleh berjumpa dan bekerjasama dalam segmen Cahaya Permata ini. Entah macam mana saya boleh bercerita pula kepada Anne tentang bagaimana menggunakan teknik memori untuk menghafal skrip. Hmm… tersenyum juga saya bila Anne kata kalau beliau dah kenal saya masa zaman beliau belajar dulu, mesti beliau boleh skor subjek-subjek yang susah nak ingat.
Seperti dirancang-rancang pula. Baru sahaja saya ceritakan tentang perumpamaan menghadiri kursus motivasi, soalan ini juga ditanyakan kepada saya semasa segmen ini. Jadi, jika anda ada baca posting saya beberapa lepas mengenai mengapa saya kata menghadiri kursus bukan macam buat kek tetapi mamcam buat ukiran batu, ini jawapannya.
Apabila kita mengukir batu, banyak ketikanya kita perlu mengetuk beberapa kali tetapi hasilnya langsung tidak kelihatan. Kita tidak boleh mengetuk dengan terlalu kuat kerana batu itu akan pecah. Jadi, walaupun kita mengetuk dengan perlahan dan kelihatan seolah-olah tidak ada kesan, perubahan akan kelihatan juga nanti.
Begitu juga dengan menghadiri kursus. Sekali datang mungkin tidak berubah. Tetapi setelah beberapa kali datang kursus yang berbeza-beza, minda pelajar akan mula mengesan beberapa corak pemikiran positif. Minda pelajar juga akan mula menerima beberapa corak pemikiran positif sebagai corak pemikiran mereka sendiri. Hasilnya, mereka mula menyerap segala ilmu yang disampaikan dalam kursus dan mula mampu mengaplikasikannya dengan berkesan.
Apabila ini sudah berlaku, kursus atau mana-mana majlis ilmu yang dihadiri oleh pelajar akan membuahkan hasil yang berlipat kali ganda. Ini semua kerana mereka sudah biasa dengan kursus-kursus begitu dan sudah boleh menerima apa yang diajarkan dengan cepat.
Nasihat saya kepada diri saya sendiri dan anda semua, sebanyak mungkin, hadiri kursus atau majlis-majlis ilmu yang boleh menambahkan lagi pengetahuan kita. Tanam kepercayaan bahawa setiap majlis ilmu yang dihadiri pasti memberikan hasil yang lumayan suatu hari nanti walaupun ia langsung tidak kelihatan sekarang.
Selamat berjaya! ![]()









Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 













