Hot at One RTM1

Pagi ini (Isnin, 23 Februari), saya berada di Studio RTM bagi menjayakan slot di Hot @ One bersama tiga hos sensasi. Saya dijemput bagi memberikan pandangan dan pendapat mengenai satu topik yang agak menarik iaitu ‘Who’s the big Spender, Men or Women’. Seorang lagi tetamu undangan ialah seseorang yang saya sudah biasa lihat di kaca televisyen sejak di bangku sekolah lagi, Juliza Adlizan.

Topik ini agak santai sebenarnya. Walaupun tidak terlalu berat, agak mendebarkan juga semasa saya mula-mula masuk dan duduk di hadapan kamera. Mana tidaknya, saya baru terperasan yang saya akan bertikam lidah dengan 3 wanita (2 hos dan Juliza). Namun hos rancangan ini pandai mewujudkan suasana ceria yang membuatkan saya dan Juliza seperti tidak sedar masa setengah jam sudah tamat.

Hot at One RTM1

Satu nasihat akhir yang saya berikan (yang ditujukan kepada diri saya sendiri juga), kita perlu menjaga emosi jika mahu mengelakkan diri daripada berbelanja besar. Belanja besar yang dimaksudkan di sini ialah berbelanja di luar kemampuan. Saya terangkan sedikit bahawa iklan-iklan di tv, surat khabar, majalah dan di mana-mana sahaja selalunya akan menyerang emosi bakal pembeli. Saya tahu perkara ini kerana saya juga jalankan program-program keusahawanan yang melibatkan proses pemasaran.

Tugas kita sebenarnya ialah untuk sentiasa mengkaji sama ada apa yang kita mahu beli (terutamanya yang besar dan diluar kemampuan) adalah disebabkan keperluan atau disebabkan tuntutan emosi yang tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada.