buku smartstudyInsyaallah, akhir bulan April, buku kedua hasil tulisan saya akan keluar di pasaran. Dah hampir 6 bulan buku ni berada dalam proses penerbitan dan semalam saya telah lihat rupa akhir buku tersebut.

Asalnya, saya hanya menulis modul untuk program kemahiran belajar di Pusat Tuisyen saya di Kuala Lumpur. Hampir setiap minggu saya jalankan program ini selama setahun dan kemudian timbul idea untuk mengumpulkan hasil idea program saya dalam bentuk buku. Pada November 2004 saya mula menulis. Jika tidak silap saya ketika itu bulan puasa. Saya menulis setiap hari selama 20 hari. Ketika itu juga, tunang saya sedang belajar memandu kereta (sekarang ini isteri saya). Saya bawa semua bahan-bahan saya untuk menulis semasa menemani isteri saya ini belajar memandu. Kira bersemangat juga la nak menulis masa tu.

Hasilnya, setelah 20 hari berlalu, buku pertama saya telah siap. Namun, setelah saya berbincang dengan seorang rakan, saya dapati buku itu terlalu panjang. Jadi, saya buat keputusan untuk membahagikan buku itu kepada tiga bahagian iaitu yang pertama: Persediaan minda untuk menjadi pelajar cemerlang. Buku ini adalah langkah pertama pelajar untuk menjadi cemerlang kerana, tanpa persediaan minda, pelajar sama ada tidak akan terfikir pun untuk menjadi cemerlang atau mereka mereka tidak ada kebolehan untuk menjadi pelajar cemerlang.

buku smartstudyBuku kedua pula bertajuk Kemahiran Belajar. Di dalam buku ini, saya terangkan beberapa teknik belajar yang utama seperti teknik menghafal, teknik membuat nota kreatif, teknik pengurusan masa, teknik bacaan pantas dan juga beberapa tips dan petua untuk pelajar belajar dengan lebih berkesan.

Saya percaya buku ini sangat penting kerana majoriti pelajar yang saya temui tidak pernah belajar secara langsung bagaimana mahu belajar sesuatu dengan cepat dan ingat apa yang dipelajari itu dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah kemahiran yang pelajar sangat perlukan.

Buku ketiga saya yang akan terbit sebelum akhir tahun nanti pula bertajuk Psikologi Menghadapi Peperiksaan. Buku ini saya ceritakan bagaimana mahu membuat persediaan akhir dan bagaimana mahu mengawal emosi dan tekanan perasaan akibat peperiksaan ini. Saya berikan banyak tips dan teknik untuk bersedia menghadapi peperiksaan yang sebenar.

Jika tidak silap saya, akhir bulan April nanti ada satu pesta buku di PWTC Kuala Lumpur. Saya akan berada di sana pada 1 mei untuk sesi pelancaran dan promosi kedua-dua buku saya ini. Jika anda berada di sana ketika itu, singgah-singgah di tempat promosi saya…. :)