Mon 18 Jan 2010
Buku SmartStudy & Buat Duit Dengan Tuisyen Top 20 Paling Laris dalam senarai jualan buku PTS
Posted by Osman Affan under Khas, Pengumuman
Alhamdulillah, saya mendapat berita yang sangat menggembirakan hari ini. Apabila saya lihat senarai buku-buku PTS top 20 paling laris dalam tahun 2009 (dipaparkan di blog sifu saya, Puan Ainon Mohd), nama buku saya juga tersenarai dalam 2 kategori.
Siri buku saya ‘Menjadi Remaja SmartStudy’ menduduki tangga KEDUA dalam kategori Motivasi & Perhubungan. Buku ini sememangnya amat memberi makna dalam kerjaya saya. Kerjaya saya sebagai Perunding Latihan bidang Teknik Belajar melonjak dengan agak tinggi dan cepat disebabkan siri buku Menjadi Remaja SmartStudy ini. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak PTS terutamanya Tim PTS Millenia yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar dalam mempromosikan buku ini.

Buku saya ‘Buat Duit Dengan Tuisyen’ pula menduduki tempat ke SEMBILAN dalam senarai Top 20 Buku Bisnes & Pengurusan PTS Paling Laris 2009. Buku ini memberikan reaksi yang agak berbeza daripada buku SmartStudy saya. Selepas buku ini berada di pasaran, saya kerap mendapat email dan mesej di Facebook daripada pembaca dan pembeli buku. Majoriti yang menghubungi saya ialah bakal guru tuisyen dan juga pengusaha pusat tuisyen. Kebanyakannya memberi maklumbalas positif di mana isi kandungan buku ini benar-benar membantu mereka menguruskan perniagaan tuisyen dengan lebih baik, berhemah dan beretika.
Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada PTS terutamanya PTS Professional yang banyak memberi saya panduan dalam menghasilkan buku ini.

Jutaan terima kasih juga kepada anda semua yang membeli dan membaca buku-buku ini semua. Saya percaya, ‘orang yang membaca adalah orang yang berfikir. Orang yang berfikir adalah orang yang bakal berjaya. Orang yang berjaya boleh mencapai apa sahaja dalam hidupnya’.
Nota: Gambar disalin daripada blog Puan Ainon, www.UniversitiPts.com.























