Tenang Menjawab Soalan PeperiksaanAlhamdulillah, hari ini merupakan satu hari yang agak istimewa buat saya. Di tangan saya kini telah ada buku terbaru mengenai teknik belajar berkesan. Buku ini bertajuk ‘Tenang menjawab soalan peperiksaan’.

Buku ini merupakan buku ketiga dalam siri buku Menjadi Remaja SmartStudy. 2 buku telah terbit sebelum ini yang bertajuk

  1. Persediaan minda untuk menjadi pelajar cemerlang.
  2. Kemahiran Belajar.

Jika anda pernah baca kedua-dua buku ini, saya ada terangkan tentang buku yang ketiga ini. Ini kerana, setelah minda bersedia dan setelah kemahiran belajar membantu anda ingat apa yang telah dipelajari, anda perlu tahu teknik dan petua untuk menjawab soalan dengan tenang di dalam dewan peperiksaan. Pentingkah menjawab soalan dengan tenang? Sudah tentu.

Jika ditanya kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, satu perkara besar yang sering mereka rasa ialah debaran yang amat kuat. Adakalanya debaran ini menyebabkan mereka terlalu resah dan gelisah hingga mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada jawapan yang hendak ditulis. Akibatnya, mereka tidak dapat menjawab dengan baik dan keputusan peperiksaan mereka tidak memuaskan. Inilah juga sebabnya mengapa terdapat ramai pelajar yang merungut bahawa mereka selalunya boleh jawab dengan baik semasa mengulangkaji tetapi sebaliknya pada hari peperiksaan sebenar.

Tenang menjawab soalan peperiksaanDi dalam buku ini, saya terangkan tentang bagaimana fikiran yang tenang boleh diperolehi semasa peperiksaan. Saya juga terangkan langkah demi langkah yang perlu diambil menjelang peperiksaan. Contohnya, jika anda hendak mengulangkaji, subjek manakah yang perlu dibaca terlebih dahulu? Berapa lama hendak belajar bagi setiap subjek? Juga, bilakah masa yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran agar minda kita dapat menerima apa yang sedang diulangkaji.

Buku ini mengambil masa lebih 2 tahun untuk saya siapkan. Namun, masa yang lama itu disebabkan ia terbengkalai lebih setahun setengah sebenarnya. Selepas terbitnya buku pertama dan kedua, saya begitu sibuk menjalankan program-program teknik belajar dan motivasi. Begitu singkat masa yang ada untuk menyiapkan buku ini. Namun dengan sedikit disiplin, kesungguhan dan sokongan daripada ahli keluarga, Alhamdulillah akhirnya siap juga.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan penerbit PTS Millenia terutamanya Cik Ashikin yang banyak bersabar dalam menjayakan penghasilan buku ini. Terima kasih khas buat isteri tercinta, Elly, yang sentiasa memberi sokongan dan keyakinan agar saya dapat menyiapkan buku ini dengan baik. Semoga buku ini dapat membantu para pelajar menduduki peperiksaan dengan perasaan yang lebih tenang.