Thu 29 Oct 2009
Fitrah Kasih RTM1 - Nilai Kasih
Posted by Osman Affan under Khas

Sebentar tadi saya berada di Angkasapuri RTM bagi menjayakan rancangan Fitrah Kasih RTM1 yang membincangkan tentang ibu bapa dan warga emas yang ditinggalkan keluarga. Rancangan ini dihoskan oleh Hana dan Fifi dan turut menjemput Pengetua Rumah Ehsan Kuala Kubu Baru, Puan Aziah Nordin. Saya turut dijemput bagi memberikan maklumbalas daripada sudut psikologi tentang apa yang sedang dibincangkan.
Satu isu yang cuba diketengahkan ialah mengapa ada anak-anak yang sanggup membiarkan ibu dan ayah mereka yang sudah tidak berdaya tinggal di rumah orang tua? Bukan itu sahaja, menurut pengetua Rumah Ehsan sangat besar peratusnya anak-anak ini langsung tidak menjenguk atau menziarahi ibu bapa mereka ini. Adakah sudah pudar kasih sayang atau ada rasa dendam yang membuatkan mereka mengabaikan tanggungjawab sebagai anak.
Menurut pandangan saya, untuk membincangkan isu ini, kita perlu lihat dan dengar cerita daripada kedua-dua belah pihak. Tidak semua anak-anak yang menghantar ibu bapa ke rumah orang tua itu tidak bertanggungjawab. Malah berdasarkan perbincangan tadi ada juga ibu bapa sendiri yang meminta untuk dihantar ke sana.
Jadi, agar kita tidak hanya fokus kepada masalah, saya cadangkan dua perkara untuk mengelakkan masalah ini berlaku di masa akan datang.

Pertama, jika kita adalah seorang anak dan ada ibu bapa yang sudah uzur atau sakit, ingat kembali betapa ibu bapa kita sayangkan kita. Ada banyak ketikanya kita lihat ibu bapa kita lakukan sesuatu yang menyakitkan hati kita semasa kita kanak-kanak seperti merotan, menarik telinga atau dilarang keluar rumah. Namun saya percaya itu semua adalah dilakukan atas dasar kasih sayang mereka kepada kita.
Jika kita sudah ada anak, perkara ini lebih mudah diingat. Apabila saya sudah ada anak sendiri, saya semakin faham mengapa ayah saya selalu melarang saya membuat banyak perkara. ‘Bahaya’ adalah perkataan yang selalu keluar daripada mulut beliau. Saya juga faham mengapa ibu saya merotan saya apabila saya pergi mandi sungai atau laut tanpa kebenarannya.
Jika kita sudah ada anak juga, cuba duduk seketika dan lihat kepada anak-anak kita. Apakah rasanya kalau satu hari nanti anak-anak kita ini pula yang mengabaikan kita seperti kita mengabaikan ibu bapa sekarang? Kita juga perlu ingat bahawa anak-anak belajar sesuatu dengan meniru apa yang dilakukan oleh ibu bapanya.
Kedua, jika kita sekarang adalah ibu bapa, lakukan sesuatu untuk mengeratkan lagi kasih sayang di antara kita, pasangan kita dan anak-anak. Benar, kita tidak boleh memaksa anak-anak menyayangi kita. Namun kita boleh lakukan sesuatu untuk mengeratkan hubungan kita dengan anak-anak. Sebagai permulaan, jika kita adalah ibu bapa yang bekerja, mulai hari ini, cuba kira atau ingat, dalam sehari, berapa banyak kita berbual-bual dengan anak-anak?
Berbual yang dimaksudkan bukanlah berbual dengan bertanya, “kerja sekolah dan buat ke belum?” atau “duit belanja ada ke tidak?” Percaya atau tidak, saya pernah mendengar pengakuan seorang peserta program saya yang tersedar bahawa dia bercakap dengan anak-anaknya cuma 3 patah hingga 15 patah perkataan sahaja sehari! Jika ini yang berlaku, pelikkah jika anak-anak itu abaikan kita suatu hari nanti?
Jika kita sibuk bekerja mencari rezeki pula, kita tidak patut menggunakannya sebagai satu alasan. Apa yang boleh kita lakukan ialah gunakan apa-apa sahaja disekeliling kita sebagai peluang untuk mengeratkan lagi hubungan. Contohnya, apabila hendak ke kedai membeli barang dapur, bawa anak-anak dan berbual dengan mereka di dalam kereta atau semasa berjalan ke kedai.
Apabila melihat anak-anak menonton televisyen kegemaran mereka, lapangkan hati dan minda untuk duduk seketika bersama mereka dan tunjukkan yang kita juga minat apa yang mereka suka. Tanya mereka soalan mengenai cerita tersebut dan biarkan mereka bercerita dengan perasaan gembira dan seronok. Ini adalah satu peluang besar untuk memikat hati mereka.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada En Irwan daripada RTM yang menjemput saya bagi menjayakan rancangan ini. Terima kasih juga kepada Puan Aziah Nordin yang banyak berkongsi pengalaman dan maklumat sepanjang persiapan menjalankan rancangan ini. Tidak lupa kepada pengacara program, Hana dan Fifi yang membuatkan kami tetamu jemputan selesa untuk berbicara sepanjang program. Terima kasih.























