Sudah lebih seminggu saya buka blog saya tanpa menulis apa-apa. Nak kata tak ada idea, rasanya banyak perkara yang ingin dituliskan. Nak kata tak ada mood, hari-hari saya menulis terutamanya untuk buku saya yang berikutnya. Seminggu ini saya habiskan dengan membaca dua buah buku yang sangat menarik bagi saya. Seminggu ini juga saya habiskan dengan mengikuti perkembangan pengunjung ke blog saya ini. Saya sangka ramai masih bercuti dan tidak berminat untuk membaca, namun sangkaan saya agak salah. Pengunjung ke blog ini sudah kembali seperti biasa sejak Selasa lalu. :)

Bagaimana dengan hari raya anda? Adakah Syawal tahun lebih bermakna? Adakah Syawal kali ini benar-benar menandakan kemenangan yang anda raih sepanjang bulan Ramadhan? Bagi saya, setiap Syawal sangat bermakna. Syawal kali ini menyedarkan saya tentang perjuangan yang saya tempuhi sejak saya buat keputusan untuk bekerja sendiri lima tahun lalu sudah hampir menampakkan hasilnya. Syawal kali ini mengajar saya bahawa kesabaran dan keyakinan diri akan sentiasa membantu seseorang dalam mencapai kejayaan. Bagaimana dengan anda?

Apa kata hari ini anda bandingkan hidup anda sejak lima tahun yang lalu. Adakah cara hidup anda semakin baik? Adakah anda rasa hidup anda semakin tidak menentu? Walau apa pun yang anda rasa terjadi dalam hidup anda sejak lima tahun yang lalu, anda perlu yakin bahawa setiap manusia mempunyai peluang untuk berjaya. Anda juga perlu yakin bahawa setiap kesukaran, kesusahan dan keresahan fikiran akan berlalu dan digantikan dengan kegembiraan, kesejahteraan dan kebanggaan. Saya doakan kesejahteraan dan ketenangan akal dan fikiran buat anda semua, pengunjung setia blog ini. Semoga satu hari nanti kita semua berpeluang untuk bersua muka dan bertukar-tukar buah fikiran untuk kejayaan bersama di masa yang akan datang. :)