Hari ini merupakan satu hari yang sangat panjang buat saya. Petang semalam isteri saya menerima panggilan daripada Terengganu mengatakan anak saudaranya (Anak kepada abang) lemas dan masih hilang di Pantai Kelulut, Marang Terengganu. Terkejut juga saya dibuatnya kerana anak saudara ini bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini dan boleh dikatakan agak cemerlang berbanding adik-beradiknya. Hingga malam semalam, polis terpaksa menghentikan carian buat seketika kerana gelap dan  ombak yang kuat.

Pantai KelulutKetika saya menulis ini, 12.30 p.m Jumaat, baru 2 mayat ditemui iaitu Allahyarham En Khalid (yang cuba menyelamatkan mangsa) dan Azreen (sahabat kepada anak saudara isteri saya). Anak saudara isteri saya (Syaifuddin) masih lagi belum ditemui hingga ke saat ini.

Saya pula sekeluarga sudah bersiap sedia sejak malam semalam untuk pulang ke Terengganu. Kami keluar rumah sebaik sahaja solat Subuh melalui lebuh raya Karak.  Hendak dijadikan cerita, sampai sahaja di terowong Karak, suhu enjin kereta saya naik dengan mendadak. Saya tahu kalau ia naik begitu, enjin akan mati tidak lama lagi. Jadi dengan segera saya berhenti di perhentian Genting Sempah. Kami tersadai di situ dari pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Mujurlah ada seseorang yang dapat mengambil dan menghantar kami pulang ke rumah sementara menunggu kereta di hantar ke bengkel.

Kini saya masih menunggu berita terbaru daripada Terengganu. Moga segala urusan saya dipermudahkan agar boleh segera sampai ke sana.

Berita lanjut mengenai perkara ini boleh dibaca di sini.