Majalah Fokus SPMSemalam saya dan isteri keluar untuk membeli rak buku. Sudah hampir 2 tahun rasanya saya bercadang nak membeli satu rak buku baru untuk buku-buku saya yang selalu bersepah-sepah di dalam bilik saya. Ini kerana rak buku lama saya agak kecil.

Setelah membeli dua rak buku baru, mulalah proses mengemas dan menyusun semula buku-buku saya itu. Dalam sibuk-sibuk mengemas, saya terjumpa satu majalah Fokus SPM keluaran September 2006. Hmmm…. pelik juga, kenapa saya ada majalah tersebut sedangkan saya belum lagi menulis untuk Fokus SPM ketika itu. Setelah saya fikirkan buat seketika, baru saya teringat, saya beli majalah itu bersama beberapa majalah lain kerana saya memasang cita-cita untuk menulis di dalam majalah untuk pelajar.

Ketika itu, saya beli beberapa majalah yang berkaitan dengan pelajar dan remaja. Saya ada terfikir untuk menulis kepada editor majalah bagi memohon ruang untuk saya menulis. Namun, ketika itu saya mula sibuk dan terlupa tentang niat ini buat beberapa ketika.

Beberapa bulan kemudian, saya dihubungi oleh seorang sahabat lama. Beliau bertanya sama ada saya berminat untuk menulis di dalam ruangan teknik belajar bagi satu majalah. Tanpa berfikir panjang, tentulah saya setuju! Saya pun dihubungi oleh editor (Puan Shahriza) dan kami berbincang mengenai ruangan ini. Akhirnya, saya diterima setelah saya hantarkan cadangan topik untuk sepanjang tahun. Tulisan pertama saya di majalah Fokus SPM bermula pada Mac 2007.

Saya percaya ini adalah satu kehebatan akal fikiran kita. Bila kita letakkan niat, cita-cita dan matlamat untuk mencapai sesuatu, kita akan mula melihat atau terlihat cara untuk mendapatkannya. Saya beli majalah Fokus SPM dengan niat untuk menjadi salah seorang penulisnya dan niat saya itu telah dipermudahkan. Bagaimana dengan anda? Apakah yang anda mahu capai? Apakah satu perkara yang anda ingin sangat dapat hingga anda sanggup lakukan apa sahaja (asalkan dengan cara baik) untuk mendapatkannya?

Apa kata hari ini anda ambil sekeping kertas dan tuliskan apa yang anda mahukan itu. Jika anda sudah tulis, apa kata anda cari satu perkara yang boleh dilakukan untuk mendekatkan diri anda kepada matlamat itu. Seperti saya, langkah yang saya ambil ialah membeli majalah tersebut. Fikirkan….. apa yang boleh anda lakukan sekarang. Ini penting kerana langkah yang anda ambil itu akan memberi minda anda isyarat bahawa anda bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Jadi, minda anda juga akan membantu anda.  Siapa tahu, anda akan alami pengalaman seperti saya tidak lama lagi. :)