Hari ini saya berpeluang mengunjungi pejabat Editorial PTS yang baru di Batu Caves Gombak. Tujuan kunjungan saya adalah untuk menemui Tim PTS Millenia untuk buku terbaru saya “Tips Belajar Saat Akhir” dan Tim PTS Pro untuk buku saya “Panduan Mengajar Teknik Memori SmartStudy Di Sekolah“. Buku-buku ini semua dijadualkan untuk terbit pada pesta buku 2010 bulan Mac ini.

Majalah PTS Legasi

Selepas selesai perbincangan, saya dihadiahkan dengan satu Majalah terbitan PTS yang dihantar ke sekolah-sekolah. Sangat menarik rupa, isi kandungan dan persembahan majalah ringkas ini. Namun yang lebih menggembirakan hati saya ialah apabila membaca hasil temuramah Pegawai PTS dengan saya beberapa bulan lalu turut dimuatkan ke dalam majalah ini.

Bagi saya, ini adalah satu langkah PTS yang sangat-sangat saya hargai. Selain daripada menerbitkan buku saya, saya lihat PTS banyak melakukan aktiviti-aktiviti promosi secara langsung dan tidak langsung untuk menyebarkan lagi maklumat tentang buku hasil tulisan saya di pasaran. Ini menambahkan lagi semangat saya untuk menulis dan berkongsi teknik-teknik penting yang patut dikuasai oleh pelajar.

PTS Legasi Osman Affan

Bersama Tim PTS Pro pula, saya diajak untuk turut sama menulis dalam bidang teknik mengajar dan penambahbaikan ilmu guru. Topik ini semua sememangnya sudah berada sangat dekat di hati saya kerana itulah yang saya cuba sampaikan sejak mula-mula saya menceburi bidang Motivasi & Teknik Belajar Berkesan ini.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tim PTS Millenia, Tim PTS Pro dan juga warga kerja PTS keseluruhannya. Moga Allah membalas budi baik Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian di dunia dan di akhirat.

Terima kasih.