Semalam saya berada hampir sehari di Universiti Putra Malaysia bagi menjayakan program persediaan menjelang peperiksaan akhir anjuran kelab Rakan Siswa (KRS) UPM di bawah naungan unit bimbingan dan kaunseling. Seperti program yang saya jalankan bersama MEDCY UIA awal Ramadhan lalu, saya sangat berbangga dengan usaha urusetia yang terdiri daripada para mahasiswa dan mahasiswi sendiri dalam menjayakan program ini.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada urusetia program ini terutamanya kepada Presiden Kelab dan juga Pengarah projek kecemerlangan pelajar ini. Saya dulu juga terlibat dalam aktiviti pelajar di peringkat sekolah dan universiti jadi saya tahu betapa sukarnya untuk menganjurkan dan menjayakan program sebegini. Tanpa usaha dan semangat daripada pihak kepimpinan pelajar, pasti program ini sukar untuk dijayakan.

Tahniah juga kepada mahasiswa dan mahasiwi yang terlibat sebagai urusetia program ini. Saya agak seronok melihat kesungguhan dan keceriaan mereka semasa mengendalikan program ini. Ia membuat saya merasa tenang dan selesa sepanjang program dijalankan.

Tidak dilupakan tahniah kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang menghadiri program ini. Seperti kata saya pada awal program, semua mahasiswa dan mahasiswi mempunyai pilihan untuk datang atau tidak. Namun mereka tetap memilih untuk datang. Ini menunjukkan mereka mempunyai semangat, minat dan kehendak untuk berjaya.

Saya juga mengucapkan terima kasih khas kepada Wani, mahasiswi yang berurusan dengan saya sebelum program ini berlangsung. Beliau banyak membantu dari segi memberi maklumat yang saya perlukan. Juga kepada pengacara majlis yang begitu professional semasa menjalankan tugas mereka. Saya percaya anda berdua mempunyai bakat untuk menjadi pengacara majlis professional suatu hari nanti. :)

Satu mesej saya untuk semua pelajar yang hadir ke program tersebut dan semua pelajar yang membaca mesej ini….. anda semua mempunyai potensi dan kebolehan yang sama untuk berjaya. Apa yang membezakan pelajar yang berjaya atau tidak ialah tindakan yang anda ambil. Pelajar biasa mungkin ada matlamat dan ada strategi untuk berjaya. Namun pelajar cemerlang mengambil satu langkah lagi ke depan dengan mengambil tindakan ke atas matlamat dan strategi mereka. Mereka tidak hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan kejayaan datang bergolek.

Selamat berjaya! :)