johorSejak Sabtu lalu hingga semalam, saya berada di Johor Baru bagi menjayakan program ‘Pecutan Akhir’ bagi Yayasan Bandaraya Johor Baru dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa. Selama beberapa hari saya tinggal di hotel berhampiran bangunan Kotaraya Johor Baru. Itu bermakna, makan tengahari, minum petang atau makan malam, saya sentiasa ke bangunan Kotaraya ini. Bangunan ini sudah tidak asing lagi buat saya kerana disitulah letaknya pejabat Unit Bestari Johor Corporation. Bulan ini sahaja sudah 2 kali saya mengadakana program bersama mereka.

Bagi staff restoran Singgah Selalu, mungkin mereka sudah mula kenal muka saya yang hampir 3 kali sehari datang ke restoran mereka. Saya pilih restoran ini kerana mudah untuk saya bawa isteri dan anak saya. Anak saya boleh bermain di dalam satu bilik yang dipenuhi bola (Anak saya ni memang suka sangat dengan bola sampai ada bermacam-macam jenis bola ada di rumah saya :)  ).

johorProgram Pecutan Akhir sebenarnya adalah program yang menerangkan apa yang pelajar perlu lakukan menjelang peperiksaan utama. Banyak ketikanya, pelajar merasa buntu dan tertekan menjelang peperiksaan hingga tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan. Lebih buruk lagi, jika mereka terlalu tertekan dan buntu, mereka mungkin akan hilang keupayaan untuk menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Di zaman saya bersekolah dulu, saya ada dengar kisah pelajar yang langung ‘blank’ dalam dewan peperiksaan hingga dia tidak sedar langsung apa yang dia lakukan semasa peperiksaan. Akhirnya, setelah keputusan peperiksaan untuk kertas itu keluar, dia gagal dan yang lebih memeranjatkan, dia cuma menghantar kertas kosong. Pelajar ini langsung tidak ingat yang dia sendiri menghantar kertas kosong disebabkan fikirannya yang ‘blank’ semasa peperiksaan itu.

Jadi, di dalam program ini saya kongsikan beberapa tips dan teknik untuk bersedia menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah pelajar perlu tahu bagaimana mahu menenangkan diri mereka jika mereka resah atau blank dalam dewan peperiksaan.

Mari saya kongsikan satu teknik apa yang boleh anda lakukan jika anda rasa tiba-tiba blank atau lupa semua yang telah anda pelajari. Jika anda rasa begitu dalam dewan peperiksaan, lepaskan pen dan pensel. letakkan tangan anda di atas meja dan bertenang. Pejam mata anda. Tarik nafas dengan tenang beberapa kali. Lupakan semua perkara buat seketika. Pejam mata seolah-olah atau sedang lena tidur dan tidak berada di dalam dewan peperiksaan itu. kemudian, setelah 15-20 saat, buka mata anda semula. Dengan tenang, cuba jawab semula soalan yang anda mahu jawab.

Teknik ini selalunya akan buat anda jadi lebih tenang. Bila anda sudah tenang, anda akan lebih mudah ingat apa yang telah anda pelajari. Selamat mencuba. :)