Sun 23 Sep 2007
Seketika di Resensi, Selamat Pagi Malaysia, RTM
Posted by Osman Affan under Khas
Rabu lalu, 19 Spetember, saya berpeluang untuk bercerita secara ringkas mengenai buku terbaru saya “Menjual Perkhidmatan di Internet” di rakaman rancangan Selamat Pagi Malaysia, Slot Resensi. Slot ini dikendalikan oleh Syed Munawar yang sudah tidak asing lagi kepada saya kerana sendiri telah bertemu beliau beberapa kali.
Di dalam sesi rakaman ini, saya diberi peluang untuk menceritakan serba sedikit mengenai siapa yang perlu membacanya, apa isi kandungannya dan apakah tiga langkah untuk membina perniagaan internet bagi sesiapa yang tidak mempunya latar belakang dalam bidang IT.
Seperti saya sendiri, latar belakang pendidikan saya ialah perakaunan dan kemudian dalam bidang kaunseling & Psikologi. Dari mana datangnya pengetahuan mengenai IT dan internet? Sebenarnya, bagi saya, pengetahuan IT atau internet adalah sejenis ilmu. Ilmu boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang. Jika kena caranya, anda boleh belajar dan kuasai apa sahaja yang anda mahu. Ini jugalah yang selalu saya kongsikan bersama pelajar setiap kali saya kendalikan program-program motivasi dan kemahiran belajar.
Satu mesej utama yang saya kongsikan melalui buku saya ini ialah jika anda seorang usahawan atau bercadang mahu memasuki dunia keusahawanan, internet merupakan satu alat yang sangat berkesan untuk membantu memajukan perniagaan anda. Melalui internet, anda mudah dicari, dihubungi dan
dipercayai. Lalu, perniagaan anda akan semakin meningkat maju. Saya juga tekankan bahawa anda tidak perlu risau jika anda tidak mempunyai kemahiran IT kerana itu bukanlah kelayakan utama untuk berjaya memasarkan perniagaan anda di internet.
Semasa rakaman dijalankan, saya juga berpeluang bertemu dengan beberapa usahawan internet lain yang juga merupakan penulis di bawah naungan syarikat True Wealth Sdn Bhd. Pertemuan ini sangat menyeronokkan kerana kami rasanya sudah mengenali antara satu sama lain di alam siber tetapi tidak pernah berpeluang untuk berjumpa.
Sayang pula rasanya kerana kami tidak sempat untuk berbual lama memandangkan masing-masing mempunyai agenda tersendiri pada hari tersebut. namun insyaallah kami akan bertemu lagi dalam program yang bakal di anjurkan oleh Azizi Ali tidak lama lagi.
(Dari kiri: Shuth, Osman Affan, Zamri Nanyan, Eruwan Gerry Norsen & Irwan Dahnil)
Untuk maklumat lanjut mengenai buku “Menjual Perkhidmatan di Internet” ini, sila klik disini.























