Alhamdulillah saya selamat sampai ke Kuala Lumpur hari ini lebih kurang pukul 3.45 petang tadi. Penat juga memandu hampir 8 jam daripada Kuala Besut Terengganu seawal pukul 8 pagi. Entah kenapa, penat tubuh badan dan rasa pening kepala yang saya rasa sejak semalam tidak mengganggu saya untuk terus memandu. Ini tentu kesan semangat dan motivasi seorang ayah untuk bertemu buat pertama kali dengan anakandanya setelah lebih 9 bulan menunggu. :)

Alhamdulillah juga perjalanan saya agak lancar. Saya cuma ada berhenti beberapa kali untuk mengisi minyak dan jga sempat melelapkan mata selama lebih kurang 15 minit kerana kepala saya agak pening. Ini mungkin disebabkan keletihan mengendalikan program termasuk perubahan cuaca yang agak ketara semasa berada di dalam dan di luar dewan latihan.

Setibanya saya dirumah, saya langsung tidak mengangkat beg atau barang-barang lain keluar daripada kereta. Itu boleh diselesaikan kemudian. Misi utama ialah untuk menatap wajah dan mendukung anak kedua saya, Danish. Namun, pelik juga, dalam rumah saya hanya kelihatan ibu bapa saya, seorang makcik dan 2 adik sepupu. Di mana isteri saya? Di mana anak saya?

Berdebar juga seketika kerana saya sangka mereka keluar ke hospital atau ke mana-mana tanpa pengetahuan saya. Rupa-rupanya, isteri saya sedang berada di bilik air kerana membantu memandikan anak sulung saya Darwish, manakala anak kedua saya sedang disorokkan daripada saya! Hehe…sempat juga ahli keluarga saya berjenaka. :)

Benar kata orang. Sinar daripada mata seorang anak mampu melenyapkan keletihan, kesedihan atau kerisauan ibu bapa. Saya langsung terlupa yang saya sedang letih dan lapar (kerana hanya makan pagi sahaja). Benar juga kata orang kehadiran cahaya mata mengundang rezeki ke dalam keluarga. Kehadiran anakanda kedua saya ini mengundang seribu macam kegembiraan dan ketenangan di dalam hati saya dan itulah satu ‘rezeki’ yang sentiasa saya harapkan dikurniakan kepada saya setiap masa.

Alhamdulillah……….

p/s 7 petua skor A 2008 akan disambung semula bermula Isnin depan.