Motivasi


Politeknik Melaka 

Isnin 24 November lalu saya meluangkan masa sehari bersama lebih kurang 700 pelajar Jabatan Perdagangan Politeknik Merlimau Melaka. Ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki ke Politeknik ini. Kali ini nampaknya lebih meriah dengan kehadiran begitu ramai pelajar.

Suasana program ini begitu meriah saya rasakan. Macam ada pesta pula bila mendengar gelak ketawa para peserta ini. banyak ketikanya saya terpaksa tahan diri daripada mengatakan sesuatu yang kelakar kerana bimbang program ini menjadi program Raja Lawak. :)

Walau bagaimanapun, saya tetap cuba menyampaikan mesej yang sangat penting kepada pelajar iaitu mereka perlu kaji dan terokai potensi yang ada di dalam diri mereka. Seperti nasihat-nasihat saya kepada pelajar-pelajar lain, kegagalan lalu bukanlah petunjuk kepada kebolehan diri kita yang sebenar. Jika kita berani mencuba dan tidak takut kepada kegagalan, banyak lagi kemungkinan kejayaan-kejayaan besar yang bakal kita kecapi. Tahniah saya ucapkan kepada pelajar yang berjaya hadir dari awal hingga akhir program ini.

Politeknik Melaka

Untuk program ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Nazila yang menguruskan program ini daripada awal lagi. Tidak lupa ucapan terima kasih kepada Puan Surani,ketua program Jabatan Perdagangan. Semoga ada rezeki di masa akan datang untuk menjalankan program-program sebegini.

 

UITM Sabah 

Pada hari Jumaat (19 September) lalu saya berpeluang buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke UITM Sabah. Program yang saya jalankan kali ini ialah program SmartStudy Learning Skills khusus untuk pelajar diperingkat universiti.

Alhamdulillah saya rasa semuanya berjalan dengan lancar. Lebih seratus pelajar yang menghadiri program ini. Masalah yang saya hadapi cumalah kesuntukan masa memandangkan program dijalankan pada hari Jumaat. Jadi lebih banyak masa perlu diberikan untuk memberi ruang kepada Sembahyang Jumaat. Namun saya percaya ini bukanlah satu masalah serius kerana saya telah berjaya menyampaikan beberapa mesej utama yang penting buat pelajar.

UITM Sabah

Di dalam program ini, antara mesej utama yang saya sampaikan kepada pelajar ialah mereka perlu ingat bahawa mereka mempunyai kebolehan intelektual berbanding orang lain. Itulah sebabnya mereka berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Namun ramai pelajar yang sudah lupa atau tidak sedar tentang perkara ini. Akibatnya, mereka jadi lemah semangat, tidak bersungguh-sungguh semasa belajar dan tidak ada keyakinan diri. Mereka perlu juga ingat bahawa kegagalan mereka untuk mendapatkan keputusan yang baik di universiti bukanlah petunjuk kepada kebolehan sebenar mereka. Ia cuma menunjukkan bahawa strategi mereka di masa tidak berkesan.

Jadi, jika mereka ubah strategi mereka kepada strategi yang lebih berkesan, tentu mereka boleh ubah keputusan mereka kepada keputusan yang lebih memuaskan.

En Ardey & En Ajimin

Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada En Ajimin (gambar di atas, paling kanan) yang mula-mula sekali menghubungi Creative Questions Enterprise untuk menjalankan program ini. Saya sangka orangnya garang dan tegas. Bila sudah berjumpa, sangat peramah dan ‘friendly’ perwatakannya. Juga ucapan terima kasih kepada En Ardey (gambar diatas, paling kiri) yang sentiasa berhubung dengan staff saya En Arif bagi menjayakan program ini. En Ardey telah bersusah payah menjemput saya di lapangan terbang, menguruskan penginapan saya dan menghantar pula saya pulang pada hari terakhir saya di Sabah tempohari. En Ardey merupakan salah seorang kaunselor di UITM Sabah ini. Terima kasih En Ardey. :)

Pensyarah UITM

Tidak lupa kepada para pensyarah yang turut serta menjayakan program ini terutamanya kepada Cik Norhayat, kaunselor UITM Sabah dan Cik Rusalbiah, pengarah program daripada unit kecemerlangan akademik UITM Sabah. Kemudian, terima kasih kepada En Saiman yang menguruskan pengangkutan saya sepanjang program. Akhir sekali, terima kasih kepada semua pelajar yang begitu sporting dan bekerjasama sepanjang program dijalankan. Semoga berjumpa lagi. :)

Pusat Minda 

Semalam (Sabtu, 2 Ogos) saya berada di kampung halaman Terengganu Darul Iman bagi menjayakan program yang bertajuk Brain Based Learning bersama lebih 100 guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir Terengganu. Program ini dijalankan di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Minda Terengganu yang berperanan menganjurkan program-program dan usaha bagi memajukan tahap pemikiran dan intelektual rakyat negeri Terengganu. Usaha murni kali ini ialah untuk mendedahkan para guru kepada beberapa teknik menggunakan keupayaan otak dalam mempelajari sesuatu yang baru.

Semasa upacara pembukaan, CEO Pusat Minda, Datuk Hj Saidi telah memberi beberapa penjelasan yang sangat menarik. Kata beliau begitu banyak usaha yang dijalankan untuk memastikan guru-guru pandai mengajar. Hasilnya tidak dinafikan begitu ramai guru yang hebat mengajar. Namun sayangnya, kehebatan guru mengajar tidak cukup jika pelajar sendiri tidak tahu bagaimana teknik untuk belajar. Jadi penekanan perlu diberikan kepada usaha membekalkan pelajar dengan teknik belajar berkesan agar kehebatan guru mengajar tadi dapat disambut dengan kebolehan pelajar untuk belajar. Ini pasti boleh memberikan hasil yang dinginkan. Saya sangat bersetuju dengan kata-kata Dato’ Hj Saidi ini.

Guru SMK Ibrahim Fikri 

Program kali ini juga sangat istimewa kerana di dalam senarai guru yang hadir, turut hadir ialah 3 guru yang pernah mengajar di sekolah saya iaitu di SMKA Tok Jiring. Dua daripada guru ini pernah mengajar saya iaitu Cikgu Rahaida dan Ustazah Rahimah. Tidak dapat saya bayangkan betapa seronoknya saya dapat bertemu semula dengan guru-guru saya ini. Ustazah Rahimah terutamanya, beliau mengajar saya Bahasa Arab semasa saya berada di tingkatan 1. Saya masih ingat lagi cara beliau mengajar dan bagaimana beliau memberikan semangat kepada saya untuk menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti. Alhamdulillah, Ustazah Rahimah masih ingat pada saya sebagai muridnya walaupun kali terakhir saya belajar dengan beliau ialah 19 tahun lalu! Terima kasih ustazah! :)   (Bila berbual dengan beliau, saya rasa saya jadi budak tingkatan 1 semula)

Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Minda terutamanya Dato’Hj Saidi dan Dr. Wan Shaari kerana telah menjemput saya bagi menjayakan program ini. Tidak lupa ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua guru yang hadir meskipun mereka agak sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain yang mungkin lebih penting. Semoga pertemuan semalam membuahkan hasil dan manfaat yang diinginkan. :)

Assalamualaikum….En.Osman

MasalahSaya merupakan salah seorang pelajar di upm….sebenarnya saya ingin berkongsi satu masalah dengan En..dan kalau boleh saya ingin sedikit pandangan daripada En. Semasa saya mula mendaftar sebagai mahasiswa di upm pada tahun lepas saya mempunyai 3 sahabat yg paling rapat,1 lelaki,2 perempuan..semua kerja kami lakukan bersama..mereka semua amat baik kepada saya..semasa kami berada di semester 1 kami banyak membuang masa & abaikan pelajaran akibatnya..lama kelamaan saya mulai lalai dan mengikut saja kehendak mereka..saya lupa untuk belajar& mengulangkaji pelajaran..

mungkin saya dah capai matlamat saya untuk jejakkan kaki di U sebab itulah saya banyak membuang masa..berbeza sangat semasa saya berada d sekolah dahulu belajar bagai nak rak sebab niat di hati nak masuk universiti…1 tahun saya berkawan dgn mreka telah menjadikan diri saya orang lain..saya rasa saya bukan lagi diri saya yang dahulu sebelum menjejakkan kaki di U…saya terpaksa menjadi orang lain untuk menjaga hati kawan2 saya..kalau saya tidak mengikut kehendak mereka, mereka akan pulaukan saya…

saya ikut jer kehendak mereka kerana saya takut kehilangan kawan…disebabkan kawan pointer saya untuk sem 2 jatuh…saya sedih sangat kerana saya telah mengecewakan harapan ma &abah saya…..sekarang saya berada di tahun 2…saya cuba mengelak daripada kawan saya….tapi mereka kata saya pentingkn diri…dalam masa yang sama saya tak tahu macam mana nak selesaikan masalah saya…kawan2 yang lain dah cop kami 4 orng ni adalah satu sahabat yg sejati tapi dalam masa yang sama mereka tidak tahu masalah saya..saya mula menjauhkan diri daripada mereka..kerana bagi saya tindakan ini amat memberi keselesaan kepada saya & saya mula kenal diri saya yang dahulu…

apabila kawan lain perasan yang saya tak join lagi dengan diorang..ramai la yang bertanya kenapa? Saya tak tahu nk jawab ape? Saya masih anggap diaorang kawan & saya masih bertegur sapa dengan mereka tapi mereka macam tak nak bercakap dengan saya….betulkah saya pentingkan diri?Patutkah saya menjauhkan diri dari mereka untuk menjadi diri saya yang sebenar? Apa  yg patut saya buat sekarang? ~NA~

Osman AffanWaalaikumsalam warahmatullah.

NA, nasihat utama saya seperti biasa ialah dapatkan khidmat kaunselor supaya NA dapat lihat jalan penyelesaian yang mungkin lebih baik dan jelas. Dalam masa yang sama, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan.

Pertama, kawan adalah penting. Kawan yang baik boleh membantu seseorang mencapai kejayaan yang mungkin sukar diperolehi jika diusahakan seorang diri. Namun NA kena ingat, bukan semua kawan mempunyai ciri-ciri begitu. Saya selalu kongsikan bersama pelajar tentang kawan yang sifat mereka seperti sauh kapal. Mereka tenggelam semakin jauh ke dalam laut dan mahu kita turut tenggelam sama.

Tidak perlu risau jika hilang kawan seperti sauh ini. Seumur hidup, ada begitu banyak peluang untuk bertemu kawan baru. Ini bukan bermaksud perhubungan dengan sahabat tadi perlu diputuskan. Ia bermaksud, teruskan dengan usaha mencapai apa yang mahu dicapai dan jangan bimbang jika kawan-kawan itu tidak setuju. Satu hari nanti jika NA gagal dan kecewa kerana tidak dapat apa yang dihajatkan, kawan-kawan begini tidak dapat janjikan apa-apa.

Kedua, berhenti melihat menuding jari kepada kawan di atas kegagalan diri. Saya faham ada kawan-kawan yang mempengaruhi NA untuk malas belajar. Memang senang untuk salahkan mereka. Tetapi perlu ingat, kita perlu salahkan diri sendiri kerana jika kita tidak mahu malas, tidak ada sesiapa pun yang boleh mempengaruhi kita. Lagipun, selagi kita rasa ada orang yang menyebabkan kegagalan kita, kita akan sentiasa sakit hati dan marah. Perasaan itu langsung tidak akan membantu membawa kita ke arah kejayaan. Tambahan pula, perasaan itu akan menutup mata hati dan fikiran kita untuk melihat jalan penyelesaian.

Salahkan diri sendiri pula tidak bermaksud perlu bersedih, menangis atau menyendiri. Lebih baik jika kita menyalahkan diri sendiri dengan mengakui kesilapan diri dan cari jalan untuk mengubahnya sekarang juga!

Matlamat dan cita-citaAkhir sekali, jangan terlalu risau tentang apa orang kata. Orang memang suka berkata-kata. :) Buat baik orang kata, buat jahat lagilah orang kata. Lebih baik fokus kepada apa yang nak dicapai. Tuliskan semula apa yang nak dicapai sebelum sesi pembelajaran di UPM berakhir. Bayangkan bagaimana rasanya kalau semua yang ditulis itu berjaya dicapai. Ini lebih mampu menaikkan semangat untuk terus berusaha.

Jika tidak keberatan, teruskan membaca apa yang saya kongsikan di blog ini. Mulai minggu depan saya akan tulis mengenai situasi pembelajaran pelajar-pelajar di universiti.

Selamat berjaya!

Semalam saya berada di Sekolah Al-Ikhlas Taman Permata bagi meluangkan masa bersama beberapa penulis hebat PTS. Perjumpaan ini merupakan satu majlis ilmu di mana kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai banyak perkara terutamanya mengenai industri latihan. Ini juga merupakan salah satu aktiviti awal TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia).

Puan Ainon, Sifu Unika PTS mengetuai majlis ilmu ini dengan berkongsi begitu banyak sekali maklumat dan pengalaman. Turut hadir di majlis ilmu ini ialah Dr. Tengku Asmadi, Tuan Fauzul Naim, Tuan Fadzli Yusof, Tuan Shamsuddin Kadir, Tuan Zamri Mohamad, Puan Norlela Zubir, Tuan Sabtu dan anakanda beliau Tuan Azzam. (Gambar ihsan Tuan Sabtu. Tidak ada di dalam gambar, Tuan Zamri Mohamad & Puan Norlela Zubir)

Majlis Ilmu Tamrin

Satu perkara yang sangat menarik mengenai majlis ilmu ini bagi saya ialah majoritinya ialah ‘trainer’. Bayangkan bagaimana agaknya majlis ilmu kecil yang dihadiri oleh orang-orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing? Bagi saya, minda saya seperti meletup-letup dengan ilham dan cara pemikiran yang baru. Apa yang saya sedar, kepakaran seseorang adalah sangat berharga. Namun apabila digabungkan kepakaran-kepakaran itu, ia menjadi lebih hebat dan bernilai.

Ini mengingatkan saya kepada konsep ‘Master Mind Group’ yang banyak diperkatakan di barat. Master Mind Group ialah sekumpulan orang yang berkumpul dengan tujuan ingin berkongsi dan menambahkan ilmu pengetahuan sesama mereka. Mereka selalunya mempunyai kepakaran yang berbeza-beza. Mereka membuat perjumpaan atau berhubung melalui email untuk berkongsi maklumat-maklumat baru yang mereka perolehi. Dengan perkongsian begini, sesuatu maklumat dan pengetahuan baru itu lebih cepat dikuasai dan lebih mudah dipraktikkan dengan berkesan.

Saya lihat majlis ilmu bersama penulis ini sebagai Master Mind Group juga. Namun, lebih tepat kalau saya katakan ini adalah Islamic Master Mind Group. Banyak perbincangan kami berkisar di sekitar mengkaji semula sama ada latihan yang kami berikan kepada peserta selama ini menjurus ke arah pemikiran barat atau ke arah pemikiran Islam yang sejati.

Disebabkan kebanyakan buku popular mengenai kepimpinan, motivasi, perniagaan, keusahawanan dan sebagainya datang daripada barat, ada kecenderungan ‘trainer-trainer’ muda masa kini (termasuklah saya walaupun sudah tidak terlalu muda) mengikut model barat atau menggunakan contoh-contoh daripada barat (terima kasih Puan Ainon kerana menyedarkan saya tentang perkara ini). Ini menyebabkan orang barat semakin disanjungi padahal kejayaan orang-orang tempatan atau orang-orang Islam juga tidak pernah kurang hebatnya.

Ini membuka mata dan hati saya agar berusaha lebih keras untuk mengkaji dan menyebarkan kepada peserta tentang kehebatan orang-orang Islam kita sendiri tentang kehebatan dan kecemerlangan yang sudah lama wujud di dalam diri. Semoga pertemuan sebegini akan berterusan dan ilmu yang dikongsikan dapat disebarkan kepada lebih ramai orang agar ia dapat memberi manfaat kepada semua.

 Universiti Putra Malaysia

Selepas selesai program bersama UDM di Terengganu, saya bergegas ke KL semula untuk menjayakan program bersama mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia. Program ini bertajuk ‘Strategi Pembelajaran Cemerlang’. Sangat menarik dan cantik banner yang digunakan untuk program ini.

Program kali ini saya diminta menekankan tentang kepentingan menetapkan matlamat untuk pelajar. Saya kongsikan bersama pelajar beberapa langkah dalam menetapkan matlamat dan bagaimana mahu menaikkan semangat belajar dengan menulis matlamat yang benar-benar bertenaga dan hebat. Matlamat yang hebat selalunya adalah sesuatu yang agak mendebarkan untuk dicapai kerana kita ada rasa bimbang jika ia hanya menjadi angan-angan kosong. Namun ia mesti mampu membuat kita rasa bersemangat setiap kali kita membayangkan saat di mana ia tercapai.

Universiti Putra Malaysia 

Dalam masa yang sama, saya kongsikan tips ringkas bagaimana pelajar boleh menggunakan teknik belajar yang berkesan dalam menghafal apa yang mereka pelajari. Pesan saya kepada pelajar ialah tidak perlu menghafal semua yang mereka baca. Sebaliknya, cuma hafal kata kunci atau isi penting dan berlatih untuk mengembangkan idea daripada kata kunci tersebut.

Saya juga sempat berkongsi tips ringkas dalam pengurusan masa. Bagi saya, untuk pelajar di peringkat universiti, yang berjaya dan gagal selalunya ditentukan oleh kebolehan mereka membahagikan masa yang mengisi masa mereka dengan perkara yang membawa mereka ke arah matlamat mereka. Ada satu pesan saya yang paling penting di sini, “Jika pelajar mahu berjaya suatu hari nanti, berlatih untuk bangun tidur tepat pada waktu yang telah mereka sendiri tetapkan.” Maksud saya, jika mereka kata mahu bangun pukul 6.30 pagi dan bunyikan jam loceng, disiplinkan diri untuk benar-benar bangun pada waktu tersebut.

Universiti Putra Malaysia 

Jika mereka perlu bangun awal untuk pergi ke kelas, pastikan mereka benar-benar bangun tidak kira pukul berapa pun mereka tidur pada malam sebelumnya. Jika pelajar gagal amalkan ini, tahap disiplin diri mereka akan menurun dan mereka akan rasa tidak mampu menjamin kejayaan mereka dalam bidang akademik.

Terima kasih saya ucapkan kepada unit kaunseling UPM terutamanya Encik Zaliazam dan pihak urusetia program yang memberi layanan yang sangat baik dan istimewa kepada saya dan krew sepanjang program dijalankan. Semoga program ini dapat mencetuskan sedikit api di dalam diri pelajar untuk terus berusaha dan maju.

Satu perkara yang saya sedar sejak menceburkan diri dalam bidang ‘training’ ialah saya mula melihat kepada ‘apa yang boleh dipelajari’ dalam situasi yang saya hadapi. Contohnya, jika saya sedang berjalan dan terpijak lubang hingga hampir jatuh, saya mula terfikir bahawa pasti ada orang yang akan menyalahkan lubang tersebut kerana berada di tengah jalan atau pasti juga ada orang yang menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak melakukan sesuatu untuk menutup lubang tersebut. Namun yang lebih penting, saya pasti saya perlu menyalahkan diri saya sendiri kerana terlalu leka berjalan hingga tidak sedar ada lubang di tengah jalan.

DarwishSama seperti apabila saya melihat gelagat anak-anak saya. Setiap kali saya lihat anak-anak saya menunjukkan sifat degil, keras kepala atau terlalu manja, saya selalu cuba kaitkan dengan diri saya sendiri suatu masa dulu dan juga sekarang. Walaupun saya kurang selesa apabila anak saya menangis dengan kuat dan buat hal di depan orang ramai, saya terfikir tentu ibu bapa saya juga mengalami masalah yang sama suatu masa dulu. Selalu saya dengar cerita ibu saya tentang dalam 4 adik-beradik saya, sayalah yang paling banyak kerenah semasa kecil dahulu.

Ini membuat saya terfikir, adakah kedegilan saya di masa kecil dulu merupakan satu perkara yang baik atau sebaliknya? Sampai sekarang dalam beberapa perkara tentang hidup saya masih lagi sangat degil. Pelik juga kadangkala apabila saya terfikir bahawa kedegilan saya itu ada membawa kejayaan yang membanggakan buat saya. Adakah ini bermakna saya perlu kekal degil dan tidak pedulikan kata-kata orang lain? Setiap kali saya melihat kedegilan anak-anak saya, saya terfikir ‘adakah kedegilan mereka ini akan membantu mereka apabila mereka dewasa nanti?’.

Bagaimana dengan anda? Cuba imbas kembali zaman kanak-kanak anda. Adakah anda degil dan susah dikawal oleh ibu bapa? Adakah anda jenis kanak-kanak yang kalau mahukan sesuatu, anda tidak akan berhenti meminta sehinggalah anda dapat apa yang anda mahukan? Adakah anda degil dan keras kepala hingga tidak ada sesiapa pun yang boleh menukar fikiran anda? Fikirkan situasi di mana anda begitu degil tentang sesuatu dan ingat semula apa yang anda perolehi akibat kedegilan itu.

Jika anda seorang ibu atau bapa, tentu anda pernah lalui saat-saat di mana anda begitu asyik memerhatikan gelagat anak-anak anda semasa kecil. Bagi saya sendiri, saya rasa begitu seronok memerhatikan gelagat dan perkembangan minda anak-anak saya yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Sesetengah orang akan mendefinisikan perkembangan minda anak-anak ini sebagai ‘semakin nakal’ atau ‘semakin buas’ tetapi realitinya, anak-anak ini sedang mempelajari sesuatu yang baru setiap hari berdasarkan interaksi dengan persekitaran mereka.

Saya sebenarnya mahu mengajak anda berfikir tentang satu perkara. Pernahkah anda melihat gelagat kanak-kanak kecil dan tiba-tiba terfikir, “Ish…. aku masa kecik dulu macam ni juga perangainya….”?

Lebih menarik lagi, pernahkah anda terfikir bahawa kadangkala perangai kita orang dewasa masih lagi terbawa-bawa perangai semasa kita di zaman kanak-kanak dahulu? Ada antara kita yang semasa kecil kecil suka menangis dan merajuk apabila tidak dapat apa yang kita inginkan. Apabila sudah dewasa, kita tidak lagi menangis tetapi masih lagi merajuk dan mengharapkan seseorang membantu kita untuk mendapatkan sesuatu yang kita mahu.

Ada antara kita semasa kecil mempunyai perangai yang sangat degil. Begitu degil hingga jika kita mahukan sesuatu, kita tidak akan berhenti meminta atau mencuba hingga kita mendapatkannya. Adakah kita masih mempunyai kedegilan sebegitu? Jika kita masih degil begitu, tentu sudah ada beberapa kejayaan besar yang sudah kita kecapi sekarang ini.

DarwishDarwish

Saya sering berkongsi cerita mengenai perangai anak sulung saya, Darwish kepada para peserta program. Anak sulung saya ini suka minum Vitagen. Kalau sekali minum, bukan sebotol, kadangkala sampai 3 botol dimintanya. Saya dan isteri selalu bimbang jika dia sakit perut kerana minum berlebihan.

Ada satu hari, ketika saya sedang menonton televisyen bersama isteri, Darwish meminta vitagennya seperti biasa. “Abah, nak Vitagen.” Kalau minta Vitagen memang lancar dan jelas pertuturannya walaupun baru berusia 2 tahun setengah.

Saya berikan. Cepat dia habiskan kemudian dia minta lagi. Saya berikan sebotol lagi. Apabila sudah habis botol kedua, Darwish datang lagi dan meminta yang ketiga. Saya mahu hentikan tabiat minum terlalu banyak ini jadi saya kata, “Cukup la ye, esok pulak.” Boleh anda teka apa reaksi Darwish? Ya, dia menangis dan meraung sambil berguling-guling di depan televisyen.

Saya dan isteri sudah masak dengan perangai itu jadi kami biarkan sahaja. Lebih 5-10 minit, setelah penat menangis, Darwish berhenti. Saya dan isteri rasa sedikit lega kerana mungkin dia sudah lupa tentang vitagennya. Kemudian Darwish datang kepada saya perlahan-lahan, peluk tengkuk saya, hadapkan mukanya ke depan muka saya, TERSENGIH sambil berkata, “Abah, Vitagen eh?”

Isteri saya sudah mula menutup mulut kerana menahan ketawa. Saya pula tidak tahu apa reaksi yang patut saya berikan. Apa saya lakukan….? Pergi ke peti ais dan berikan Darwish sebotol lagi Vitagen.

Hmm… rasa-rasanya, apakah yang telah saya pelajari daripada perangai dan gelagat anak saya ini?

 Lapar perut, lapar minda

Jika anda terdengar orang daripada Terengganu berkata, “Lapar perut ah.” ia cuma bermaksud yang dia sedang rasa lapar. Ketika mula-mula berpindah ke Terengganu semasa di sekolah rendah dulu, selalu juga saya tergelak apabila mendengar ungkapan-ungkapan yang jarang saya dengar dalam loghat Terengganu. Pahit lepang, Putih lepuk, masam gebang, masin gebing dan banyak lagi. Masih saya ingat ketika berada di dalam darjah dua, saya diketawakan kawan-kawan sekelas apabila bertanya, “Eh, samah tu seringgit eh?” (Samah bermaksud lima puluh sen).

Kini, semua loghat tu sudah menjadi sebati dengan diri saya. Malah anak sulung saya kalau mahu kata ‘tak nak’ dia akan kata ‘Tak emboh’ dan kalau dia kata ‘tidak’ dia akan kata ‘dok’. Kini anak saya ini pula yang sering menjadi sumber lawak jenaka apabila saya membawanya ke pusat tuisyen saya di Keramat Permai. Pelajar-pelajar saya suka mengusik dan mendengar loghatnya terutamanya apabila dia berkata, “Mama…nok makang aiskring eh…” :)

Sebenarnya, saya bukan hendak bercerita tentang loghat Terengganu  hari ini. Sekadar terlintas fikiran saya tentang rasa perut yang lapar. Kalau perut kita lapar, selalunya susah untuk buat sesuatu dengan rasa tenang kan? Asyik teringatkan makanan-makanan yang menyelerakan. Kalau berterusan rasa lapar, rasa begitu susah untuk laksanakan sesuatu hingga kadang-kadang kita rasa tanpa perut yang berisi, hampir semua perkara tidak menjadi.

Namun, pernahkah kita terfikir tentang minda kita yang lapar? Minda juga seperti perut, memerlukan makanan untuk sihat dan segar. Tanpa makanan, minda akan sentiasa kelaparan dan kesannya memang boleh kelihatan. Contohnya, minda yang lapar boleh menyebabkan seseorang berfikiran negatif. Apabila lihat kejayaan orang lain, mula rasa dengki dan syak wasangka. Mula rasa orang itu kuat bodek dan mengampu. Mula terasa hendak menuduh yang bukan-bukan.

Minda yang lapar juga boleh membuat seseorang itu berkhayal bahawa dia sudah tahu segalanya. Bila sudah tahu segalanya, mulalah dia rasa belajar sesuatu yang baru itu tidak perlu. Mulalah dia rasa dia lebih pandai daripada semua orang. Jadi, jika anda lihat seseorang yang rasa asyik dia sahaja yang betul dan semua orang lain salah, ada kemungkinannya mindanya sedang kelaparan.

Berita buruknya di sini ialah minda yang lapar jarang boleh membawa kepada kejayaan. Ini kerana minda yang lapar mampu menutup mata pemiliknya daripada melihat sesuatu di dalam pandangan yang lebih luas dan besar. Pelajar yang lapar mindanya tidak akan dapat lihat mengapa pentingnya dia fokus dan dengar kata-kata guru dan ibu bapanya. Pekerja yang lapar mindanya tidak mampu melihat mengapa dia perlu meningkatkan kualiti kerjanya. Ibu bapa yang lapar mindanya tidak mampu melihat mengapa anak-anak mereka dimarahi oleh guru-gurunya di sekolah. Pendek kata, minda yang lapar jarang boleh membawa kepada kejayaan yang diinginkan.

Jadi, bagaimanakah mahu mengelakkan diri kita daripada mengalami kelaparan minda? Ada beberapa cara sebenarnya. Salah satu cara yang sangat baik ialah dengan membaca buku. Bukan sebarangan buku tetapi buku yang boleh membawa kepada pembangunan diri. Bukan buku hiburan, bukan majalah berita dan bukan majalah gosip (saya selalu percaya majalah gosip akan membuat minda semakin kelaparan).

Lapar perut lapar minda

Apa kata mulakan hari ini dengan membaca satu muka surat buku-buku mengenai pembangunan diri. Jika anda boleh meminjam buku tersebut, bagus. Jika tidak boleh pinjam, apa kata keluarkan sedikit belanja untuk minda kita yang mungkin sedang kelaparan. Agak mengejutkan juga apabila saya sering diberitahu oleh staff saya yang ada individu dan organisasi yang meminta ‘naskhah percuma’ buku-buku saya. Mengapa naskhah percuma? Katanya mereka mahu membuat penilaian sama ada pelajar mereka memerlukan buku-buku tersebut. Staff saya bertanya kepada saya, “buku RM15 pun nak kena bagi percuma baru nak baca ke?”. Saya hanya tersenyum tanpa menjawab. :)

Selamat membaca.

Semalam saya menerima satu surat yang difakskan ke pejabat saya. Surat itu datangnya daripada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan PutraJaya. Sebelum ini saya ada dimaklumkan oleh staff saya En Arif mengenai program yang bakal dijalankan bersama JPWP PutraJaya ini. Cuma selagi belum ada pengesahannya, saya jarang hendak memikirkannya.

Alhamdulillah, surat ini melantik saya sebagai pengendali atau penceramah untuk Seminar Kecemerlangan Dan Kemahiran Belajar Untuk Pelajar-Pelajar UPSR, PMR dan SPM Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan PutraJaya. Saya sebenarnya agak gembira dengan perlantikan ini kerana bagi saya ini adalah satu kepercayaan yang telah diberikan kepada saya. Semoga seminar yang bakal saya jalankan akan memberi manfaat dan membuka mata pelajar ke arah kecemerlangan yang mereka idam-idamkan selama ini.

Berikut adalah maklumat lanjut mengenai seminar tersebut.
Seminar Kecemerlangan UPSR & PMR 2008
Tarikh: 3 Julai 2008 (Khamis)
Masa : 8 pagi hingga 5 petang
Tempat: Dewan SMK Putrajaya Presint 9(2)

Seminar Kecemerlangan SPM 2008
Tarikh: 7 Julai 2008 (Isnin)
Masa : 8 pagi hingga 12.30 tengahari
Tempat: Dewan Pavilion, Jabatan Perdana Menteri

Osman AffanAlhamdulillah. Saya telah kongsikan 3 sumber keyakinan diri untuk kita semua gunakan bagi meningkatkan tahap keyakinan diri kita. Bagi saya, tanpa keyakinan diri, kita sukar untuk melakukan sesuatu terutamanya sesuatu yang baru. Kita akan sukar untuk meletakkan matlamat kejayaan kerana kita bimbang dan tidak yakin bahawa kita boleh berjaya.

3 Sumber keyakinan diri yang telah saya kongsikan itu ialah

  1. Kejayaan dan kenangan manis di masa lalu’
  2. Sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita.
  3. Cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara 
    1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
    2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Insyaallah saya akan letakkan hasil tulisan ini di dalam ruangan kompilasi tips dan petua dalam masa terdekat ini. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita yang membaca dan yang mencubanya. :)

Bagaimanakah ibu bapa boleh gunakan sumber keyakinan diri yang ketiga ini untuk membantu anak-anak mereka? Begini.

Keyakinan diriJika bercakap dengan anak-anak, elakkan daripada membandingkan kebolehan anak-anak kita dengan orang lain. Contohnya, kita kata kepada anak-anak kita,

‘Belajar la betul-betul. Mak tengok anak jiran sebelah tu rajin belajar, keputusan pun cemerlang. Bukan macam kau.’

‘Masa abang kau dulu, tak payah suruh, dia belajar sendiri. Sebab tu dia boleh masuk universiti.’

‘Anak Pak Long kau semua cemerlang. Kenapa la anak-anak abah ni tak boleh jadi macam tu’.

Keyakinan diriMembandingkan anak-anak kita dengan orang lain yang lebih cemerlang lebih banyak merosakkan daripada membantu sebenarnya. Walaupun niat kita baik untuk meningkatkan semangat mereka, ia lebih memedihkan hati dan semangat mereka kerana mesej yang mereka perolehi ialah

‘Asyik aku je yang tak pandai. Asyik aku je yang bodoh. Orang lain semua pandai, semua bagus.’

Apabila anak-anak dapat mesej begini, semangat dan keyakinan diri mereka akan terus jatuh. Dibimbangi mereka akan membesar dengan pemikiran bahawa semua orang lain lebih baik daripada mereka.

Jadi, kalau mahu meningkatkan keyakinan diri anak-anak untuk kecemerlangan, ada dua langkah. Semasa berbual dengannya

  1. Imbas kembali cerita-cerita di mana anak-anak kita hebat, cemerlang, bijak dan yakin. Cerita dengan penuh keyakinan agar anak-anak kita ingat semula tentang kisah itu semua. Kesannya, kita akan lihat anak kita semakin bersemangat. Cara dia duduk juga akan berubah sedikit seperti mahu kita terus bercerita. Teruskan bercerita dengan ikhlas. (Ikhlas bermaksud tak nampak macam kita bercerita macam terpaksa atau tak bersungguh-sungguh).
  2. Apabila wajah anak-anak kita dah nampak mula bercahaya, mula berseri dan mula ceria, baru kita masukkan sedikit cerita tentang orang lain yang cemerlang. Dalam keadaan ceria, anak-anak kita akan lebih bersedia untuk menerima cerita-cerita tentang kehebatan orang lain. Kemudian katakan kepada mereka, “Mak/abah rasa, anak-anak mak/abah lebih hebat dari mereka semua ni. Kalau belajar betul-betul sikit, tambah jadi rajin sikit, mesti tak ada orang lain boleh lawan. (Senyum dan kita mesti percaya apa yang kita katakan).

Apa kata kita cuba teknik ini bila berpeluang. Jika kita tidak cuba, kita pasti akan gunakan cara lama yang biasa kita gunakan. Jangan risau jika tidak dapat buat dengan sempurna kerana setelah mencuba, kita akan dapat beberapa idea baru bagaimana mahu melaksanakan teknik ini dengan lebih berkesan. Untuk jangka masa panjang, kita akan mula meningkatkan tahap keyakinan diri anak-anak kita sendiri tanpa bantuan orang lain. Selamat mencuba. :)

Sekolah Seri PuteriRabu lalu saya berada di Sekolah Seri Puteri CyberJaya bagi menjayakan program SmartStudy Learning Skills bersama para pelajar tingkatan 2. Program ini berlangsung bermula lebih kurang pukul 3.30 hinggalah ke pukul 11 malam. Lebih kurang 170 pelajar yang menghadiri program kali ini. Para pelajar ini mengelarkan kumpulan mereka sebagai ‘ELDATERRA’ (harapnya saya telah eja dengan betul :)   )

Sekolah Seri PuteriSaya sebenarnya sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke Sekolah Seri Puteri ini tetapi inilah kali pertama saya dapat membentangkan modul keseluruhan SmartStudy Learning Skills bersama pelajar di sini.

Komen saya mengenai program ini….. hmmmm… saya boleh katakan yang para pelajar ini semua sangat bertenaga! Mungkin ada beberapa pelajar yang kelihatan agak letih dengan aktiviti harian yang agak padat buat mereka tetapi saya rasa mereka semua sangat bertenaga hingga saya sendiri kena kekal Sekolah Seri Puteridengan tenaga yang tinggi sepanjang program. Setiap modul yang saya bentangkan dapat difahami oleh peserta dengan mudah hingga saya rasa seolah-olah mereka pernah mengikuti sebelum ini. Ini kerana mereka dapat jawab soalan-soalan saya dengan baik malah ada yang mengatasi jangkaan saya.

Saya percaya, daripada segi motivasi diri, para pelajar ini tidak memerlukan bantuan saya kerana saya lihat mereka semua mempunyai semangat dan motivasi diri yang sangat tinggi. Mereka kelihatan kekal bersemangat melakukan aktiviti walaupun jam sudah menunjukkan jam 10 malam. Sekolah Seri PuteriSaya percaya tugas utama saya ialah untuk berkongsi dengan mereka tentang teknik-teknik belajar yang lebih berkesan. Dengan teknik-teknik ini, mereka akan dapat menguruskan jadual harian mereka yang ketat dengan lebih baik. Malah, mereka akan dapat menguasai sesuatu yang baru dalam jangka masa yang lebih singkat. Sebagai bonus, sesuatu baru yang mereka kuasai ini akan kekal dalam memori mereka hingga ke hari peperiksaan.

Setelah tamat program, saya mendapat maklumbalas yang agak baik daripada semua pelajar. Seronok juga membaca maklumbalas ini semua kerana ada antara komen dalam maklumbalas tersebut tidak pernah saya dengar sebelum ini. Di sini saya kongsikan sedikit maklumbalas pelajar mengenai program ini sebagai testimoni kepada program SmartStudy yang saya jalankan.

Sekolah Seri Puteri‘Sangat seronok. Amat bagus. One word for this – : B.R.I.L.L.I.A.N.T! Congratulations & Thanks.‘~Khairunnajihah Aqila Mohd Sufian~

‘SmartStudy Learning Skills memang menyeronokkan. Penceramah En Osman Affan memang seorang penceramah yang mantap. Tidak sia-sia mendengar ceramahnya selama 7 jam kerana banyak yang dapat diperolehi.’ ~Nur Nathrah Kamaruddin~

‘Program ini dapat membuatkan saya lebih yakin terhadap diri sendiri dan membuat saya menghafal dengan lebih mudah. Terima kasih En Osman Affan.’ ~Fatin Mastura Abdul Razak~

‘Program ini merupakan program yang amat bagus! Saya suka En Osman bukan sahaja memberi ceramah atau motivasi, tetapi beliau seperti ‘bercakap’ dengan kita semua! Satu kaedah pengajaran yang bagus! ~Fatimah Nadiah Mohd Hisham~

‘Saya rasa ini merupakan program motivasi yang paling menarik pernah saya hadiri. Semoga satu hari nanti kita dapat bertemu lagi.’ ~Faten Nur Artikah Johari ~

‘Ini merupakan program motivasi yang paling menyeronokkan yang pernah saya sertai.‘ ~Nur Fadzleen Izyana~

‘Program ini sangat bagus dan insyaallah akan memberi kesan positif kepada kami pelajar ELDATERRA 0711 SSP. Thank you En Osman.’ ~Nurul Atiqah Hj Samuri

‘Saya amat berterima kasih kepada pihak sekolah kerana menganjurkan program seperti ini. Keep it up doing this job! Saya memperoleh pelbagai teknik yang saya kira berkesan.’ ~Nur Afiqah Abdul Adzim Shukri~

Ini komen yang belum pernah saya jumpa dan belum pernah saya terfikir pun sebelum ini.

‘Nak tahu tak Cikgu Osman nih!! Lawak jenaka sampai ke Raja Lawak!! Bukan sahaja lawak tapi sambil tu berkongsi aset-aset untuk berjaya juga.‘~Nurfarahin Mohd Yazid~

Untuk para pelajar ELDATERRA, saya ucapakan selamat berjaya dan semoga apa sahaja yang ditulis di dalam ruangan matlamat berjaya dicapai. :)

Gambar hiasanJika kita asyik membandingkan diri kita dengan orang yang kurang berjaya, tentu kita kelihatan lebih hebat bukan? Bukankah perasaan begini akan menghancurkan dan merosakkan kita di masa akan datang?

Ya, benar, jika kita terlalu bandingkan diri dengan orang yang kurang berjaya, kita akan gagal. Itulah sebabnya sumber ketiga keyakinan diri ini mengatakan bahawa anda perlu ingat 2 perkara iaitu

  1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
  2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Gambar hiasanTujuan kita membandingkan diri dengan orang kurang berjaya adalah sekadar untuk menaikkan semula semangat kita daripada bawah. Apabila semangat dan keyakinan diri kita jatuh ke paras terendah, tidak begitu mudah untuk kita mengangkatnya begitu sahaja. Saya dapati antara cara termudah untuk mengangkatnya semula ialah dengan membandingkan diri dengan kelemahan orang lain.

Namun, kita tidak sepatutnya berhenti di situ. Apabila semangat dan keyakinan diri kita sudah meningkat sedikit akibat aktiviti perkara pertama, kita perlu tingkatkan lagi kejayaan kita dengan membandingkan diri kita dengan orang-orang yang lebih berjaya.

Jika kita sedang lemah semangat dan tidak yakin diri, ia akan jadi lebih teruk jika kita bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini kerana kita akan rasa semakin jauh ketinggalan di belakang. Jadi apa kata kita naikkan dulu sedikit semangat kita. Kemudian, apabila ia sudah meningkat Gambar hiasansedikit, kita pun sudah mula mampu hilangkan rasa sedih dan kecewa akibat rasa tidak yakin diri tadi, barulah kita bandingkan diri kita dengan orang-orang berjaya. Ini akan menambahkan dan meningkatkan lagi semangat dan keyakinan diri kita sendiri.

Idea mengenai sumber keyakinan diri ketiga ini sebenarnya datang apabila saya teringat kisah saya semasa di tingkatan lima.  Ketika belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, saya dikelilingi oleh pelajar-pelajar cemerlang. Keputusan peperiksaan bulanan saya selalunya tidak sehebat kawan-kawan saya yang lain. Ini membuat saya merasa kecil dengan kebolehan diri saya terutamanya dalam bidang akademik. Lama-kelamaan, saya seolah-olah telah menerima kenyataan bahawa saya tidak sehebat pelajar lain. Ini adalah satu perkara yang tidak sihat untuk keyakinan diri.

Kemudian, beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM, saya pulang ke kampung dan mengambil peluang bermalam di rumah sahabat baik saya daripada sekolah lama (SMKA Tok Jiring). Ketika bermalam di sana, selepas membuat latihan dan sedikit ulangkaji, sahabat saya ini membuka cerita kisah sekolah rendah kami (SK Tok Jiring). Sahabat saya ceritakan tentang ke mana perginya 11 orang pelajar yang berjaya mendapat 5A dulu. Masing-masing ada cerita kejayaan masing-masing. Semasa dia bercerita, saya mula sedar rupa-rupanya saya juga termasuk dalam cerita tersebut kerana saya adalah salah seorang daripada 11 pelajar tadi. Saya juga mula sedar yang saya sebenarnya datang dari kalangan pelajar cemerlang. Lebih hebat lagi, saya mula sedar yang kalau dulu saya boleh cemerlang, kenapa sekarang tidak boleh cemerlang?

Cetusan idea ini terus meningkatkan semangat diri saya untuk bersedia menghadapi peperiksaan SPM pada tahun itu. Sejak hari tersebut, apabila saya lihat sahabat lain yang cemerlang di KISAS, saya akan kenang kembali bagaimana saya cemerlang suatu masa dahulu. Dalam masa yang sama, saya tekadkan azam untuk capai kejayaan seperti beberapa pelajar cemerlang di dalam kelas saya dan kelas lain. Dua perkara ini berjaya mengekalkan semangat dan keyakinan diri saya hingga hari peperiksaan sebenar.

Saya percaya anda boleh gunakan pendekatan ini. Saya juga percaya bahawa pendekatan ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk meningkatkan semangat anak-anak. Bagaimana ye? Kita tunggu posting seterusnya. :)

Sumber keyakinan diri yang ketiga ialah cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara 

  1. Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
  2. Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita untuk terus berjaya, kita bandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih bersemangat daripada kita.

Gambar hiasanPenggunaan perkara pertama adalah lebih kurang seperti cara membuat diri kita bersyukur. Apabila kita merungut tentang sekolah kita yang kurang peralatan atau kurang dewan besar, kita bandingkan sekolah kita dengan sekolah yang lebih mundur. Tentu kita akan rasa bersyukur berada di sekolah kita sekarang. Jika kita merungut tentang banyak masalah di tempat kerja kita sekarang, cuba bandingkannya dengan tempat kerja lain yang lebih teruk. Ini akan menimbulkan rasa bersyukur dan kita sepatutnya akan berhenti merungut.

Begitu juga dengan keyakinan diri, jika kita rasa lemah semangat dan hilang keyakinan diri, ingat kembali kelebihan diri kita dan bandingkan dengan orang lain yang tidak mempunyai kelebihan tersebut. Ini akan mengangkat semangat kita kembali. Saya banyak kali bertemu pelajar di sekolah berasrama penuh dan pelajar diperingkat kolej dan universiti yang mengadu lemah semangat dan tidak ada keyakinan diri. Mereka rasa mereka tidak pandai dan tidak kurang potensi untuk berjaya.

Gambar hiasanNasihat saya mudah sahaja. Tahukah pelajar ini semua bahawa di luar sana beribu-ribu lagi pelajar yang gagal memasuki asrama penuh, kolej dan universiti? Sedarkah pelajar ini semua bahawa apabila mereka berjaya berada di tempat sekarang, ia bermakna mereka lebih hebat (dalam beberapa perkara terutamanya pencapaian akademik) berbanding dengan pelajar-pelajar lain di luar sana? Tidakkah ini boleh membuat mereka merasa atau melihat kehebatan dan potensi yang sebenarnya terpendam dalam diri mereka selama ini?

Untuk hari ini, apa kata jika anda merasa rendah diri dan tidak berkebolehan, bandingkan diri anda dengan seseorang yang anda tahu anda lebih hebat daripadanya. Jika anda rasa tidak pandai, apa kata bandingkan diri Gambar hiasananda dengan seseorang yang mungkin jauh lebih tidak pandai. Aktivti mudah ini sahaja akan meningkatkan tahap keyakinan diri anda.

Saya faham mungkin ada antara anda yang terfikir bahawa, kalau kita asyik bandingkan diri kita dengan orang kurang berjaya, sampai bila kita akan berubah? Bukankah ia akan menyebabkan kita selesa dan tidak mahu berusaha kerana sangka kita sudah hebat? Bukankah ia akan menimbulkan rasa sombong, bangga diri dan bongkak?

Jika anda terfikit begitu, tahniah. Ia menunjukkan anda benar-benar faham apa yang saya sampaikan di dalam posting ini. Saya akan menjawab persoalan itu dalam posting seterusnya dengan menerangkan tentang perkara kedua (di atas).

« Previous PageNext Page »