Dalam posting yang lepas, saya telah berikan dua soalan mengenai keyakinan diri. Soalan-soalan itu ialah

  • Soalan pertama, adakah benar orang lain boleh melihat dalaman diri anda yang tidak yakin?
  • Soalan kedua, bagaimanakah rahsia pertama ini dapat membantu anda?

Keyakinan diriSaya telah bincangkan mengenai soalan pertama. Mari kita bincangkan mengenai soalan kedua. Mengapa dengan mengetahui bahawa orang lain tidak dapat melihat yang anda tidak yakin boleh membantu meningkatkan keyakinan diri anda? Hmmm…. berbelit-belit pula rasanya ayat ini. :)

Begini. Apabila kita rasa tidak yakin diri, kita rasa lemah, malu dan tidak dapat melihat kekuatan yang ada dalam diri kita. Lebih buruk lagi, kita akan rasa seolah-olah satu dunia dapat melihat kelemahan diri kita. Ini membuat keyakinan diri kita semakin jatuh. Hakikatnya, orang lain tidak dapat melihat kelemahan dan rasa tidak yakin itu tadi. Jadi dengan menyembunyikan rasa tidak yakin itu sahaja, kita akan terus kelihatan sangat yakin dan bersemangat!

Ini adalah beberapa perkara yang perlu kita ingat jika kita sedang merasa tidak yakin.

  • Jangan sebut atau beritahu orang yang kita tidak yakin, tidak pandai atau tidak hebat. Contohnya, jika kita sedang memulakan ucapan, jangan mulakan dengan “Saya sebenarnya tak berapa bersedia ni, baru disuruh buat presentasi ni semalam”, atau “maafkan saya, bahasa Inggeris saya teruk sikit”. Tujuan kita kata begini selalunya ialah untuk melindungi diri kita agar orang faham kenapa ucapan atau presentasi kita tidak bagus. Tetapi apa yang buruknya, selepas berkata demikian, orang lain akan segera nampak rasa tidak yakin diri kita itu. Malah, orang lain akan mula mencari kelemahan dan kekurangan dalam ucapan dan presentasi kita.
  • Keyakinan diriApabila kita rasa tidak yakin semasa belajar, mengulangkaji atau semasa menghadapi peperiksaan, jangan bercakap tentang rasa tidak yakin itu. Berlagak atau berlakon seperti yang kita sedang merasa yakin (kenang kembali pengalaman di mana kita merasa yakin dan tiru semula apa rasanya semasa yakin itu). Apa yang kita buat ini akan menimbulkan rasa yakin dalam diri lalu meningkatkan kebolehan kita untuk mengulangkaji atau menjawab soalan peperiksaan.
  • Jangan asyik ingatkan diri kita bahawa kita tidak yakin. Saya selalu mendapat soalan daripada pelajar atau orang dewasa mengenai masalah yang mereka rasa tidak yakin dengan kebolehan diri mereka.  Mereka ini berulang-ulang kali mengatakan bahawa mereka tidak yakin. Sedar atau tidak, bila kita kata kita tidak yakin, kita sedang mengarahkan minda kita untuk merasa tidak yakin. Jadi…… betul-betul lah tidak yakin rasanya.

Mulai hari ini, setiap kali kita rasa tidak yakin, jangan sebut kuat-kuat. Bertenang, tarik nafas dalam-dalam dan bayangkan bagaimana agaknya rupa dan kelakuan kita kalau kita sedang merasa yakin. Ini akan melatih minda kita supaya fokus kepada keadaan keyakinan diri yang tinggi. Selamat mencuba. :)